Amalkan Doa Ini Setiap Hari Kalau Nak Anak Cerdik, Lembut Hati, Baik Tingkah Laku!

Share

Setiap ibu bapa mengimpikan untuk mendapat anak yang soleh dan solehah. Anak yang cerdik, lembut hati dan mendengar kata ibu bapanya. Kebanyakan ibu bapa sentiasa mahu memberikan didikan dan ajaran yang terbaik untuk anak mereka.

Bagi yang beragama Islam, mereka sentiasa mengamalkan doa-doa mujarab yang boleh dibaca untuk membentuk anak-anak yang baik dari segi kebijaksanaan dan juga sikap menghormati orang tua. Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa akan berasa risau dengan persekitaran anak-anak yang boleh memudaratkan masa depannya.

Tetapi, sejauh mana kita boleh memantau anak-anak? Hanya kepercayaan dan doa sahaja yang boleh menjadi pendinding kepada anak-anak supaya terhindar daripada gejala sosial. Jom kita amalkan doa di bawah ini.

  1. Doa untuk melembutkan hati anak yang degil Ibu bapa bolehlah amalkan membaca Surah As-Syura ayat 19

“Allah Maha Lembut takdir-Nya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihan-Nya) terhadap hamba-hamba-Nya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa “.

Baca doa ini 19 kali pada air dan minta anak tersebut meminumnya. Insya-Allah perangai anak yang degil akan berubah kepada baik dengan izin Allah.

Boleh juga baca doa ini pada ubun-ubun anak itu ketika dia tidur.

  1. Doa untuk anak lembut hati, pintar dan soleh Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200 dari Surah Ali Imran yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”

Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Qayyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang.

Baca:

[VIDEO] Mak Jengil Mata Suruh Anak Duduk Diam, Netizen Puji Cara Didik Anak

Buat Sendiri Serunding Halia Ikan Bilis Untuk Makan Ketika Berpantang, Lebih Murah & Sedap!

Anak Lukis Pelan Rumah, Ayah Tunaikan Rumah Impian Bawah Tangga. Hasilnya Sangat Cantik

Atau baca Surah al-Fatihah, surah Taha ayat 1 sehingga 5, diikuti doa Nabi Daud sebanyak 3 kali. Doanya, ‘Ya Allah, lembutkanlah hati anakku (sebut namanya), seperti mana Engkau lembutkan Nabi Daud akan besi. (Sebut namanya). “Kemudian hembuskan pada makanan dan minuman. Kalau anak masih menyusu, hembuskan pada susu.

  1. Doa untuk menangani anak lasak dan nakal Amalkan ayat 40 daripada Surah Ibrahim yang bermaksud

“Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan sembahyang, dan zuriat keturunanku. Wahai Tuhanku perkenankanlah doa permohonanku.”

Selepas solat lima waktu, amalkan doa dari Surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud

“Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati kami, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa.”

  1. Doa supaya anak rajin kerjakan solat. Ibu bapa bolehlah amalkan membaca Surah Ibrahim ayat 40-41.

“Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak-anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Ya Tuhan kami perkenankanlah doaku. Ya Tuhan kami beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat ).

Doa ini seeloknya dibaca selepas solat, atau setiap kali teringatkan anak. Amalkan membaca doa ini InsyaAllah anak-anak akan utamakan solatnya.

  1. Doa anak taat perintah Allah Supaya anak taat perintah Allah boleh amalkan doa ini; Surah Al-Baqarah ayat 128.

“Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami dan terimalah taubat kami ini . Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

Amalkan dan bacalah doa ini setiap kali selepas solat.

  1. Doa agar anak dengar kata Amalkan membaca Surah Al-Anbiya ayat 69. “Kami berfirman, Hai api, jadilah engkau sejuk, dan menjadi keselamatan bagi Ibrahim. Atau Al-Hasyar ayat 22-24.

“Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara , yang Maha Perkasa, yang Maha Kuasa, yang memiliki segala keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

Dialah Allah yang Menciptakan, yang Mengadakan, yang Membentuk Rupa, yang mempunyai Hasmaul Husna, bertasbih kepadanya, apa yang ada di langit dan di bumi, dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

  1. Doa memohon rahmat dan keberkatan Jika surah-surah di atas telah diamalkan, ibu bapa juga dituntut untuk meminta rahmat dan keberkatan dalam setiap yang dilakukan supaya hasilnya akan lebih baik. Bolehlah amalkan surah di bawah ini.

Surah Al-Imran ayat 8-9 “Mereka berdoa, Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan, sesudah Engkau memberi pertunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami, rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Kurnia.

Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia, untuk menerima pembalasan pada hari yang tak ada keraguan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.

Ibu bapa yang terbaik akan sentiasa mendoakan anaknya menjadi yang terbaik. Oleh hal yang demikian, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan didikan agama yang sempurna diberikan yang secukupnya kepada anak-anak mereka.

Biarlah kita mendidiknya dari kecil lagi. Supaya kelak, dia membesar nanti dengan didikan agama. Semoga doa yang terbaik untuk anak-anak ini dapat dijadikan panduan untuk semua.

Sumber: mediadakwah.com

Kredit: Aishah Kassim

Cara mudah nak latih anak suka solat, jom sertai Kem Solat 2023. Klik https://toko.ideaktiv.com/product/kem-solat-mega-bintang-kecil-2023/ untuk daftar

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)

 

Published by
NuFa