Ambil Masa Bawa Ainul Balik Malaysia. Lepas Ni Akan Ada Fasa Belajar Makan Guna Mulut

Share

Sinar kegembiraan jelas terlihat pada klip video terbaharu yang dikongsikan walid Ainul Mardhiah, Ahmad Saifuddin Ahmad Razak, 24, yang memperlihatkan bayinya itu sedar dan seakan-akan berbual dengan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24.

Video Ainul bersama ibunya itu turut diiringi lagu latar nyanyian kumpulan UNIC, dengan tajuk lagu yang sama dengan nama bayi sembilan bulan itu, Ainul Mardhiah, berdurasi 39 saat dimuat naik di laman Facebooknya.

Dalam rakaman video tersebut, bayi bertuah itu kelihatan dalam keadaan sihat dan sedang melihat ibunya. Ainul juga kelihatan seakan-akan memahami apa yang diperkatakan oleh ibunya yang berbual dengannya.

Bait-bait lagu Ainul Mardhiah itu bersama keadaan bayi berkenaan nyata menyentuh emosi bagi yang melihatnya.

Ainul juga dilihat seperti ingin berbicara dengan gerakan mulutnya yang tidak lagi tersekat dek ketumbuhan seberat 200 gram yang sebelum ini menghuni mulutnya.

Bukan itu sahaja, Ahmad Safiuddin turut menjawab beberapa pertanyaan orang ramai.

Berapa lama Ainul akan berada di London?

Kami tidak pasti. Dengar khabar, mungkin sebulan, mungkin lebih atau mungkin kurang dari sebulan.

Mereka di sini mahu pantau Ainul dulu. Mereka mahu pastikan bahawa ketumbuhan itu tidak akan datang semula ( Semoga Allah jauhkan ). Jika mereka yakin yang Ainul bebas dari sebarang perkara yang tidak diingini ( berulang ), mungkin Ainul boleh balik.

Sebenarnya, kami sebagai penjaganya boleh sahaja minta Ainul segera dibawa pulang. Tapi, demi kebaikan Ainul, kami akan selesaikan semua perkara penting di sini sebelum Ainul dibawa pulang ke tanah air.

Biarkan pakar buat kerja mereka, biar mereka putuskan bilakah masa sesuai untuk Ainul keluar dari hospital.

Untuk masa terdekat ini, Ainul perlu dijaga dengan rapi, banyak perkara perlu diteliti selepas buat pembedahan. Selepas fasa ini selesai, berkemungkinan Ainul akan ada fasa ” Belajar makan guna mulut “.

Doktor di sini mungkin akan cuba mengajar Ainul makan menggunakan mulut. Selain pernah memiliki ketumbuhan, Ainul juga memiliki cleft palate ( Sejak lahir ). Surgery untuk cleft palate ini mungkin akan dibuat selepas Ainul dapat berat badan yang sesuai (6kg-8kg).

Bila Ainul boleh balik Malaysia?

Bila semua di atas telah selesai, kami akan bawa Ainul pulang ke tanah air berjumpa dengan tuan puan yang baik hati dengan izinNya.

Doakan Ainul Mardhiah ya. Saya yakin, jika Ainul boleh bercakap sekarang, mungkin dia akan ucap terima kasih kepada kalian semua. Sekarang ini, ucapan terima kasih itu ditunjukkan melalui kesihatan dan kekuatannya.

Sumber: Ahmad Safiuddin  & ig nurul erwani

 

Published by
Wan Amy