Ambil Vitamin Tambahkan Selera Anak Tak Berkesan Pun, Doktor Kongsikan Cara Tepat!

Share

Bila anak tidak suka makan dan hanya makan makanan ringan, ibu bapa mula tercari-cari vitamin yang sesuai untuk tambahkan selera anak. Hakikatnya pengambilan vitamin ini tidaklah membantu malah pengambilan vitamin juga tidak mendorong kenaikan berat anak.

Menurut Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan, pengambilan vitamin penambah selera makan seperti Lysine tidak membantu menaikkan selera makan anak jika salah caranya. Ada beberapa perkara dan tip yang dikongsikannya sebagai panduan ibu bapa.

“Doktor, ada vitamin tambah selera, tak?”

Di klinik saya, ramai ibubapa tanya macam mana nak tingkat selera makan anak-anak. Anak-anak mereka hanya makan biskut atau makanan ringan.

Vitamin tertentu, seperti lysine boleh bantu tingkatkan selera makan. Tetapi ada beberapa perkara yang ibubapa perlu tahu berkenaan selera makan.

Lysine meningkatkan selera secara umum, bukan selera khusus pada nasi, lauk pauk, atau makanan berkhasiat.

Jika tak kawal apa yang dimakan, mungkin peningkatan selera makan tu menyebabkan anak makan lebih banyak makanan ringan. Itu tak selesaikan masalah.

Kaedah yang baik untuk menggalakkan anak-anak makan makanan berkhasiat adalah:

Set jadual waktu makan yang tetap. Sarapan, mesti waktu sekian, makan tengah hari waktu sekian, dsb. Elak makan sembarangan masa. Jika tidak, anak akan beri alasan “sekejap lagi” untuk, mengelak.

Pada waktu makan, semua ahli keluarga yang ada di rumah , hendaklah makan bersama (sekali/serentak), di meja yang sama. Kanak-kanak cenderung buat dan ikut apa yang semua orang buat.

Makanan yang dihidang, sama untuk semua orang. Cuba elakkan makanan khusus untuk individu. Ayah makan ikan, emak makan ayam, anak makan telur. Kecuali jika individu ada alahan makanan.

Jika nak galakkan anak makan sesuatu, ibubapa kena tunjukkan teladan iaitu makan makanan itu juga. Nak galakkan anak makan sayur, maka ibubapa kena makan sayur yang sama, dsb.

Libatkan anak dalam penyediaan makanan. Ia aktiviti yang menyeronokkan dan biasanya kanak-kanak teruja untuk makan makanan yang dia terlibat sediakan. Tak sedap pun dia rasa nak makan.

Elakkan makan sambil menonton TV, tablet atau smartphone. Makan sambil menonton, menyebabkan aktiviti makan dianggap sebagai aktiviti sampingan semasa menonton.

Kadang-kadang kanak-kanak tak suka sesuatu makanan, bukan kerana rasanya, tetapi kerana teksturnya. Cuba tukar tekstur makanan itu jika anak tak suka makanan itu.

Ibubapa perlu luangkan masa untuk latih amalan pemakanan yang betul. Tiada jalan mudah. Sabar, tenang dan jika sudah cuba semua ikhtiar ini, tetapi masih gagal, bawa jumpa doktor atau dietician.

Semoga bermanfaat!

Published by
Siti Ramlah Mahmud