Peranan seorang ayah sebagai ketua keluarga sangat penting. Jika ayah mengambil berat apa yang berlaku setiap hari dirumah pasti keluarga tersebut menjadi sebuah keluarga yang harmoni.

Penglibatan ayah dalam mendidik dan menjaga anak-anak juga boleh menjadikan anak-anak lebih bijak. Luangkan masa anda untuk mendidik dan mengambil tahu tentang anak-anak setiap hari.

[Baca: Suami Mana Tak Sedih Bila Tak Dapat Bagi Apa-Apa Pada Isteri, Tapi Isteri Tak Kisah]

mudah- mudahan ada kebaikan sesama kita sebagai ibu bapa. Aameen.

Sedikit petua untuk rapatkan hubungan dengan anak yang masih kecil.

1) Makan bersuap

Saya dan ratu hati amalkan walaupun anakanda Umar kini sudah menganjak usia 6 tahun. Bagi kami, timbul rasa kepuasan bila anak- anak disuap makan. Ada yang mengatakan, sampai bila anak hendak disuap? Biarkan mereka makan dengan sendiri. Lagi cepat mereka berdikari. Lagi cepat mereka matang. Ini jawapan saya. Anak- anak bukan selamanya kecil. Mereka akan dewasa. Lambat laun mereka tak akan pedulikan suapan tangan kita. Sambil bersuap sambil berzikir. Selagi mana suapan kita diperlukan untuk anak-anak, teruskan. PERCAYALAH, anak kita tak akan selamanya mahu di suap.

2) Baby carrier

Ada 3 biji di rumah saya. Namun, saya jarang menggunakannya. Ada yang mengatakan anak- anak akan selesa bila memakaikannya. Iya, mungkin benar. Tapi saya sendiri lebih selesa dukung anak walaupun berat anak makin bertambah. Bagi saya satu je, takpelah. Waktu ini kita bersusah payah mendukung mereka. Terasa rapat dakapan kita untuk anak- anak. Akan tiba saat jika kita panjang umur, waktu kita sudah uzur mudah- mudahan perkara yang sama akan berulang dengan anak akan dukung kita.

3) Basuh berak

Saya tak akan benarkan ratu hati saya membasuh berak anak- anak. Melainkan jika saya tiada di rumah. Anak- anak akan berlari mendapatkan saya jika mereka berak. Amalkan perkara ini. Nampak simple, tapi kesan saya dapat rasakan sekarang. Anak- anak sangat rapat dengan kita.

4) Jangan biarkan anak- anak tidur dengan jiwa yang kosong

Pastikan mereka mendapat halwa telinga yang bermanfaat. Dendangkan anak- anak dengan ayat- ayat yang melembutkan hati dan jiwa. Bukan sahaja mempercepatkan masa tidur anak- anak, tetapi untuk kesan jangka yang panjang akan merubah sikap dan perwatakan anak- anak. Pastikan Al-Fatihah (الفاتحة), surah Toha (طه), ayat Kursi dan ayat- ayat Al-Quran yang lain tidak dilupakan. Khasiatnya amat besar untuk makanan jiwa anak- anak.

Ambillah seberapa banyak masa dengan anak- anak. Di waktu mereka masih memerlukan kita. Tataplah wajah. Tenunglah mereka sepuasnya sebelum akan datang waktu mereka dewasa. Sebelum sampai masa mereka sibuk untuk mengisi keperluan duniawi mereka.

Kepada ibu dan bapa. Tak akan selamanya kita akan lelah. Anak- anak akan membesar. Berlelah- lelahlah kita untuk amanah Allah ini. Kerana tiada pengorbanan yang sia- sia disisi Allah Maha ESA.

*Saya minta maaf andai perkongsian ini ada merencatkan pembacaan sahabat. Moga apa yang baik boleh kita kongsikan bersama. Segalanya milik Allah. Kita hanya mampu berdoa dan berusaha. Moga kita tergolong ke arah kebaikan yang berpanjangan.

Abi Umar, Al Fateh dan Anas
Menyayangi untuk disayangi.

Sumber: Wan Kamarul Wan Salim