Ramai ibu hairan, bukankah bayi manusia telah hidup selama 9 bulan di dalam air? Jadi mengapa ada bayi yang takut mandi?
Enam Sebab Anak Takut Mandi (0-2 tahun);
1.Posisi Badan yang Tak Selesa
Di dalam rahim, bayi duduk dengan kedua tangan dan lutut yang rapat ke abdomen/perut serta kepalanya tunduk ke dada. Posisi ini membuat bayi merasa bagai berpeluk selama 9 bulan. Posisi ini juga menghalang kedua tangan bayi dari menggapai-gapai.
Ramai bayi ‘infant’ (0-3 bulan) yang super sensitif dengan posisi yang membuatkan tangannya menggapai di udara: ia buat bayi merasa bagai di tolak dari suatu tempat yang tinggi (free falling position) dan ketakutan kerana posisi itu asing bagi mereka.
Telangkupkan badan bayi di lengan anda atau tiarapkan bayi di dalam tab mandinya (tahan kepalanya dengan lengan) untuk posisi yang lebih di gemarinya.
2. Sensitif dengan Suhu
Ramai orang hanya bercakap soal suhu air mandi bayi. Bagaimana dengan suhu bilik mandi? Suhu bilik ketika menyiapkan bayi untuk mandi (atau selepas mandi)? Serta suhu tangan orang yang memegang bayi ketika badannya tak berpakaian?
Tahukah anda, bayi 0-8 minggu mempunyai ‘total thermal immaturity’? Ia bermaksud bayi tidak mampu seimbangkan suhu badan dan sangat sukar untuk badan bayi kekalkan suhu asasnya ke 37-37.5 °C.
YA, BACA BETUL-BETUL. 37-37.5 °C ya. BUKAN 27-27.5 °C.
Hanya sekitar usia 18 -24 bulan nanti baru bayi tahu selaraskan suhu badannya secara semulajadi.(Climakid: Dr Candice Ostrowka)
Ini sebabnya mengapa keseluruhan proses mandi sejak: buka baju ➡ pegang bayi tak berbaju ➡ masuk dalam air ➡ lap badan ➡ pakai baju: boleh jadi satu acara paling sukar untuk bayi bertahan dengan suhu.
3. Bayi Sudah Keletihan
Berapa ramai ibu yang sedar setiap usia anak ada masa berjaga maksimum yang mereka boleh tahan sebelum kembali mengantuk?
Misalnya:
Bawah 1 bulan: minimum (beberapa minit-puluh minit)
1 bulan: 30-45 minit
2 bulan: 45 minit – 1 jam 15 minit
3 bulan: 1 jam 15 minit – 1 jam 30 minit
4-6 bulan: ~ 2 jam
7 bulan -12 bulan: ~ 3 jam
12 bulan- 18 bulan : ~3-4 jam
Lihat masa berjaga bayi kecil yang sangat singkat. Bayi mungkin sudah keletihan dan mahu tidur ketika anda baru mahu memandikannya akibat telah mengguna masa sebelum ini untuk menyusu, bermain atau menukar lampinnya.
4. Tak Matang = Tak Faham
Saya yakin ramai ibu dapat faham bila saya sebut amat biasa anak kecil menjerit takut bila acara potong rambut, potong kuku, korek telinga dan melihat orang menggunakan vacuum cleaner, kan? Begitulah juga dengan acara mandi buat sebahagian anak.
Mengapa? Kerana semua benda di sekeliling anak kecil adalah benda baharu dan otak mereka pula masih lemah dalam bab ‘reasoning’ (memikir alasan di sebalik sesuatu).
Air yang mengalir masuk ke dalam mata, sabun yang terasa licin di badan, perasaan macam tak boleh bernafas bila air masuk hidung, bunyi air menyimbah jatuh ke lantai, C:..ini semua boleh jadi punca anak takut.
Anak lihat , anak dengar, anak bau , anak dapat rasa sesuatu dari keseluruhan acara mandi TAPI, dia tak dapat faham apa yang terjadi.
5. Tak Boleh Beza Realiti VS Imaginasi VS Fantasi
Ini selalunya terjadi buat anak yang ‘sudah ada fikirannya sendiri’ iaitu yang berusia setahun ke atas. Anak yang dahulunya tak takut mandi,pun tiba-tiba boleh jadi penakut. Kenapa?
Baik, ingat lagi ketika anda di tipu bulat-bulat dahulu bahawa jika tertelan biji rambutan maka nanti pokok rambutan akan tumbuh dari atas kepala anda? Terus anda ‘blacklist’ semua biji buah, bukan?
Itu berlaku di zaman anda ‘tidak tahu apa’…
Jika anda menonton cerita, anda tahu itu semua rekaan. Namun tidak bagi anak kecil. Bunyi pam tandas di ikuti dengan air mangkuk tandas yang menghilang benar-benar buat anak rasa dia boleh di sedut hilang dari mangkuk tandas.
Anak mungkin rasa paip air boleh pecah dan tiba-tiba berlaku banjir yang akan lemaskan dia seperti mana yang dia lihat di dalam cerita.
Atau di sebalik saluran air keluar itu ada badut menakutkan atau labah-labah gergasi yang menunggu untuk menerkamnya.
6. Anak Tahu Apa Akan Berlaku Selepas Mandi
Seawal 4-5 bulan, anak sudah dapat mengagak rutin biasa kehidupan. Ini berikutan berlakunya perkembangan mental dunia kejadian (usia 19 minggu) dan dunia hubungan (usia 26 minggu).
Misalnya, selepas mandi di awal pagi, ibu akan menghantar saya ke rumah pengasuh. Maka, anak mungkin akan sengaja bikin drama waktu mandi di awal pagi untuk sabotaj perjalanan rutin.
Hal ini makin meneruk bila anak mahir hal autonomi (kuasa) sekitar usianya 15 bulan iaitu bila berlaku perkembangan mental dunia prinsip. Inilah usia anda lihat anak menjadi baby bos dan tentukan apa yang dia mahu.
Misalnya: anak hulurkan kasut yang dia nak pakai kepada anda atau anak serta merta bertindak tutup pintu bilik untuk halang anda keluar.
Maka, jika selepas acara mandi bermaksud masuk tidur, mungkin itu yang buat anak tak gembira dengan mandi.
Sumber:
USWATUN HASANAH MOHD HABIB
KONSULTAN TANGISAN BAYI
DBL INSTITUTE
THB EDU ASSC
THE WONDER WEEKS ACADEMY
SLEEPSMART EDUCATION
Teruja nak dapat baby, tapi masih banyak persiapan yang perlu dibuat. Mental dan fizikal pun kena mantap sebelum si manja lahir nanti. Mahu belajar segalanya tentang cara-cara menguruskan bayi baharu lahir? Jom sertai E-Workshop Pa&Ma : A-Z Uruskan Newborn Baby! Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/urus-newborn-baby-a-z/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)