KENAPA ANAK 2 TAHUN BANYAK AKAL? Dari kaca mata seorang anak kecil, dunia ini berada di luar kawalan dan capaian mereka. Mereka tidak berpeluang untuk membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan, apa yang boleh dimakan, dengan siapa mereka boleh berkawan dan ke mana mereka boleh berkeliaran.
Semua keputusan ini dibuat oleh orang dewasa dan semestinya perlu dibuat oleh orang dewasa kerana anak-anak ini belum berpengalaman dan belum boleh menilai baik dan buruk.
Walau bagaimanapun, pada masa yang sama anak-anak yang berusia di antara 1-3 tahun sedang mengalami pembesaran dan perkembangan yang sangat pesat dalam semua aspek.
Perkembangan mereka perlukan sokongan daripada orang dewasa. SUKA KE SANA KE SINI.
Kanak-kanak usia ini sedang meneroka pelbagai cara untuk bergerak dari setempat ke setempat – berguling, merangkak, menyusur, berjalan, berlari, melompat dan memanjat. Ini normal.
Ads
Mereka juga berupaya untuk memusing atau menarik tombol pintu dan membuka tudung balang atau botol. Ini juga normal.
Sediakan ruang dan pelbagaikan aktiviti yang dapat membantu perkembangan fizikal ini.
Lapangkan rumah agar mereka boleh bernafas dan bergerak dengan bebas dan selamat.
Kurangkan atau tangguhkan dari membeli perabut dan perhiasan rumah di Shopee atau Lazada.
SAINTIS CILIK
Pada fasa ini juga mereka aktif menggunakan sensori untuk meneroka dunia sekeliling mereka. Mereka akan cuba untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika penerokaan dengan kaedah mudah ‘trial and error’. Mereka tidak suka di’suap’ dengan solusi kerana mereka mahu mencuba sendiri. Mereka akan melakukan sesuatu aktiviti yang menarik bagi mereka berulang-ulang kali sehingga mencapai tahap masteri. Ini juga normal.
Selagi aktiviti itu bermanfaat untuk perkembangan mereka, usah dihalang. Biarkan mereka meneroka dan mencuba pelbagai aktiviti yang memberi stimulasi kepada sensori mereka. Walau bagaimanapun tetapkan batasan agar keselamatan mereka terpelihara.
Ads
SEUMPAMA BURUNG KAKAK TUA
Mereka juga sedang melalui fasa ‘language explosion’. Dengan pantas mereka menangkap apa yang didengari dari orang sekeliling dan juga dari media. Mereka akan menyebut semula seakan ‘latihan praktikal’ subjek bahasa dan komunikasi. Ini juga normal.
Banyakkan bercakap DENGAN anak – bukan bercakap KEPADA anak sahaja dan pantau juga apa yang disebut dan didengari oleh anak.
Ads
Anak-anak 1-3 tahun banyak akal kerana mereka sedang berkembang dan membesar dengan sangat pesat. TANTRUM juga kerap berlaku pada fasa ini apabila mereka kecewa kerana ingin mencuba, inginkan kawalan dan inginkan autonomi. Ini adalah sesuatu yang normal.
Apa yang tidak normal ialah ibu bapa yang mengharapkan agar anak-anak usia ini berupaya untuk diam, patuh dan langsung tiada ‘protes’.
Tetapkan jangkaan yang realistik. Fahami perkembangan, pembawaan dan keperluan anak. Pelajari cara untuk menguruskan kerenahnya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sekiranya anda memperuntukkan setiap bulan, RM50 bagi seorang anak sebagai simpanan dalam produk kewangan yang memberikan pulangan 6% setahun, pada umur anak 18 tahun nanti, jumlah simpanan itu berkemungkinan boleh menjadi RM19,656.
Namun, cukupkah ia untuk menjadi belanja biaya pengajiannya kelak? Sebagai ibu bapa, anda perlu mengajar anak menyimpan untuk kebaikan dirinya sendiri di masa depan. Anda perlu memupuk budaya menyimpan kepadanya seawal mungkin.
Ini langkah awal yang perlu diri anda mulakan terlebih dahulu sejak daripada bulan-bulan awal kelahiran dan diteruskan oleh anak itu dengan menyimpan secara berdikit-dikit.
1. Buka akaun simpanan khase
Beberapa bulan selepas anak lahir, bukalah akaun simpanan yang khusus seperti akaun Tabung Haji, unit amanah, akaun bank dan apa-apa medium simpanan yang seumpama dengannya.
2. Tetapkan jumlah simpanan
Setiap bulan, simpan duit secara konsisten walaupun sedikit. Dengan hanya simpan RM50 sebulan, selama 18 tahun dalam akaun yang memberikan pulangan konsisten 6% setahun, anak anda boleh mendapat jumlah simpanan hampir RM 20,000!
Jadi, adalah lebih baik tetapkan jumlah simpanan setiap bulan. Jika jumlahnya lebih besar sudah pasti jumlah simpanan nanti akan jadi lebih banyak.
Pada awalnya, anda sendiri yang perlu keluarkan wang daripada poket sendiri dan terus masuk ke dalam akaun simpanan anak. Namun, apabila anak sudah ada tabung sendiri, minta dia berikan wang simpanan itu untuk anda kira bersama-samanya dan terus simpan di dalam akaun.
Jika jumlah tabungan itu kurang daripada apa yang telah ditetapkan setiap bulan, anda perlu bantu menambah jumlah wang agar ia cukup dengan nilai simpanan tetap.
3. Maklumkan kepada anak
Mulakan tabiat menyimpan ini seawal mungkin. Sebaik-baiknya apabila anak sudah pandai mengira dengan baik.
Apabila anak sudah mencapai usia remaja, terangkan tentang simpanan tersebut. Beritahu matlamat simpanan tersebut dan nyatakan tempoh waktu yang sesuai untuk dia menguruskan sendiri duit tersebut.
Sebagai ibu bapa, anda hanya memegang amanah. Duit simpanan yang ada itu adalah milik si anak.
Jika anda menunjukkan budaya menyimpan daripada awal kepada anak, itu bererti anda telah mempersiapkan dirinya dengan persekitaran kewangan yang lebih baik.
Sumber: Suzardi Maulan
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan senang nak besarkan anak tapi jika kena cara didikan memang mudah. Setiap ibu bapa juga, lain cara mereka membesarkan anak. Ada yang menggunakan pendekatan lemah-lembut, ada yang menggunakan pendekatan yang tegas.
Namun, apa pendekatan sekali pun, harapan mereka tetap sama iaitu agar anak membesar menjadi orang yang berguna. Dikongsikan 6 pesanan ringkas dari Imam Muda Azhar Ghazali untuk ibu bapa.
1. Ubah Pandangan Anak Ketika Dia Menangis
Jika melihat anakmu menangis, jangan buang waktu untuk mendiamkannya. Cuba tunjuk burung atau awan di atas langit agar dia melihatnya, dia akan terdiam. Kerana psikologi manusia saat menangis, adalah menunduk.
2. Beri Anak Masa Untuk Berhenti Bermain
Jika ingin anak-anakmu berhenti bermain, jangan berkata: “Dah, sudah main, stop sekarang!”. Tapi katakan kepada mereka: “Main 5 minit lagi yaaa”. Kemudian ingatkan kembali:”Dua minit lagi yaaa”. Kemudian barulah katakan:”Dah, waktu main sudah habis”. Mereka akan berhenti bermain.
3. Alih Perhatian Anak Ketika Dia Bertelingkah
Jika anak-anak sedang bertelingkah atau menyebabkan keadaan riuh di sesuatu tempat, dan ingin mengalih perhatian mereka, maka katakanlah: “siapa yang mahu mendengar cerita ibu? angkat tangan..”. Salah seorang akan mengangkat tangan, kemudian disusuli dengan anak-anak yang lain, dan semuanya akan diam.
4. Tanamkan Akhirat Dalam Minda Anak Sebelum Anak Tidur
Katakan kepada anak-anak sewaktu mahu tidur: “tidur sayang..besok pagi kan kita solat Subuh.”, maka perhatian mereka akan selalu ke akhirat. Jangan berkata: “Jom tidur, besok kan sekolah.”, akhirnya mereka tidak solat Subuh kerana perhatiannya adalah dunia.
5. Dampingi Anak, Kenakalan Anak Itu Akan Menjadi Kenangan
Nikmati masa kecil anak-anakmu, kerana waktu akan berlalu sangat cepat. Kenakalan dan keanak-anakan mereka tidak akan lama, ia akan menjadi kenangan. Bermainlah bersama mereka, tertawalah bersama mereka, berguraulah bersama mereka.
6. Utamakan Yang Lebih Utama
Tinggalkan handphone seketika, dan matikan juga TV. Jika ada teman yang menelefon urusan tak penting, katakan:”Maaf, saya sedang sibuk dengan anak-anak”. Semua ini tidak menyebabkan jatuhnya wibawamu, atau hilangnya keperibadianmu. Orang yang bijaksana tahu bagaimana cara menyeimbangkan segala sesuatu dan menguasai pendidikan anak.
Selain itu, jangan lupa berdoa dan bermohon kepada Allah. Dengarkan doa kita didepan anak-anak supaya mereka tahu betapa pentingnya mereka pada kita.
Sumber: ragamanak.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jika kanak-kanak pada zaman dahulu hanya tahu bermain lego, baling selipar dan kejar-kejar, kanak-kanak zaman ini lebih advanced dengan YouTube, Facebook dan Instagram. Tanpa menolak kelebihan yang ada, penggunaannya haruslah diselia dan dikawal khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Tanpa kawalan, ia boleh menyebabkan ketagihan dan merencatkan kemahiran sosial anak-anak.
Berikut beberapa tip untuk mengawal penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak.
1. Tetapkan masa
Gajet mempunyai banyak kebaikan. Antaranya ialah ia boleh merangsang kreativiti anak-anak melalui video dan gambar yang bergerak. Terdapat juga banyak permainan video yang berbentuk pendidikan.
Di samping kebaikan yang ada, had masa hendaklah ditetapkan agar mereka tidak menjadi ketagih. Jika anak-anak sudah terbiasa bermain telefon atau iPad, mereka akan sentiasa meminta peranti tersebut dari semasa ke semasa.
Setiap kali anda ingin berikan kepada anak-anak anda, hadkan masa kurang daripada 15 minit pada satu-satu masa. Sebaiknya, elakkan penggunaan melebihi 30 minit sehari.
2. Pantau penggunaan
Kanak-kanak sangat mudah terdedah kepada pelbagai jenis kandungan tidak sihat di dalam gajet, khususnya pornografi yang semakin menular dan mudah didapati di dalam internet.
Anda perlu memantau anak anda semasa menggunakan gajet. Lakukan interaksi bersamanya semasa melihat skrin telefon dan tanyakan mereka soalan seperti “apa nama binatang ni?”, “warna apa ni?” atau “macam mana bunyi kucing?”
Bagi kanak-kanak yang lebih dewasa, tanyakan soalan-soalan yang lebih mencabar seperti “macam mana burung boleh terbang?” atau “kenapa kita perlu makan sayur?”
Dengan interaksi yang berlaku, hubungan antara ibu bapa dan anak akan lebih erat. Dalam masa yang sama, minda anak-anak juga akan berkembang. Anda juga boleh letakkan telefon kepada mod parenting control untuk mengelakkan mereka membuka laman-laman yang tidak sepatutnya.
3. Jangan manjakan anak anda dengan gajet
Sebahagian ibu bapa menjadikan telefon sebagai “ubat penenang” apabila anak-anak mereka menangis atau mengamuk. Membuka video di YouTube adalah langkah yang sangat mudah untuk memujuk kanak-kanak yang menangis.
Namun, video tersebut hanyalah solusi sementara dan tidak akan menyelesaikan punca sebenar. Anda seharusnya mencari sebab sebenar anak anda menangis. Contohnya, jika seorang anak anda menangis kerana mainannya diambil oleh adiknya, anda perlu meminta si adik memulangkan semula kepada si abang kerana itu adalah haknya.
Jika anak-anak terlalu dimanjakan dengan gajet, mereka akan lebih mudah mengamuk dan sentiasa meminta-minta.
4. Elakkan gajet ketika ada ramai orang
Apabila saudara mara pulang ke kampung, gunakan saat itu untuk membiarkan anak-anak anda bersosial bersama sepupu dan saudaranya. Jika mereka meminta gajet, elakkan daripada menunaikan permintaannya.
Anak-anak perlu belajar bersosial dan berinteraksi dengan persekitarannya. Ia adalah skil yang penting sebelum melangkah ke alam sekolah dan remaja.
5. Tiada gajet dalam dua tahun pertama
Terdapat banyak umur yang digariskan oleh pakar yang berbeza berkenaan umur yang sesuai untuk memperkenalkan gajet kepada anak-anak. Kebanyakan pakar meletakkan umur selepas dua tahun sebelum menggunakan apa-apa gajet.
Umur dua tahun pertama ini adalah waktu yang harus digunakan oleh anak-anak untuk berinteraksi dengan objek-objek fizikal di sekeliling mereka. Ini adalah penting untuk merangsang deria sentuhan mereka yang gagal didapati melalui gajet.
6. Tunjukkan contoh teladan yang baik
Jika anda mengharapkan anak-anak anda agar tidak terlalu kerap menghadap skrin telefon atau iPad, anda harus memulakannya terlebih dahulu. Kanak-kanak sangat mudah terikut dengan tingkah laku orang tuanya.
Banyakkan masa bermain dan berborak dengan anak-anak anda. Elakkan memegang gajet semasa waktu keluarga seperti waktu makan atau berkumpul di ruang tamu.
Hadkan Penggunaan Gajet, Ibu Bapa Juga Perlu Mematuhinya!
‘Bagai ketam mengajar anaknya berjalan lurus,’ barangkali itulah peribahasa yang sesuai pada setiap ibu bapa moden yang bergelut untuk mendisiplinkan anak mereka dan juga diri mereka sendiri daripada penggunaan gajet berlebihan dalam kehidupan seharian mereka.
Masa yang dihabiskan dengan gajet bererti tidak dimanfaatkan untuk meneroka dunia luar atau berinteraksi dengan manusia lain, yang sangat penting bagi perkembangan si manja. Disebabkan itu, panduan daripada American Academy of Pediatrics menyarankan tiada gajet dibenarkan sebelum usia dua tahun, dan perlu dihadkan kepada kurang daripada dua jam sehari untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 18 tahun.
Tetapi kesan pendedahan skrin kepada perkembangan anak anda bukanlah semata-mata kerana pendedahan secara langsung, malah boleh berlaku disebabkan anda sendiri yang sebenarnya terleka dengan skrin gajet anda.
Seperti perkongsian ibu ini, dia menggunakan aplikasi yang mana dia boleh memantau aktiviti penggunaan gajet anak seharian.
Finally ibu baru jumpa application yang betul yang mana kita sebagai parent boleh pantau aktiviti penggunaan hp anak seharian.
Mungkin ramai parent luar sana dah tau. Ibu Lin sekadar berkongsi apa yang baik untuk Kita pantau anak-anak.
Dengan apps ini, ANAK KITA:
❌ Tak boleh download apa sahaja sesuka hati dan mesti minta permission dari parent yang mana kena masukkan password yang parent sendiri create.
❌ Anak tidak akan dapat access hp sendiri sehingga larut malam sampai tak tidur tanpa pengetahuan parent, sebab Kita boleh setting limit penggunaan harian mereka.
❌ Anak dapat main game mengikut jadual yang Kita tetapkan sahaja, bila cukup Masa tamat, hp akan autolock game tersebut
❌ Tak boleh access website sebarang tanpa pengetahuan Kita..
Nama Apps
✅ FAMILY LINK (untuk install dalam hp parent) ✅ FAMILY LINK FOR CHILDREN & TEENAGER (untuk install dalam hp anak)
Wajib kena ada acc google untuk parent & anak.
Mudah je, ikut step yang ada dalam apps.
Bukan lah KONTROL 100% , tapi Kita pantau aktiviti dalam hp anak kita je
Kesan kelekaan ibu bapa dengan gajet
Komunikasi antara ibu bapa dan bayi, walaupun kelihatan remeh; dipenuhi bunyi tak bermakna, tatabahasa mudah, dan gaya badan berlebihan, sebenarnya merupakan interaksi penting untuk pembentukan otak bayi.
Jadi, bayangkan apabila sistem komunikasi yang penting untuk perkembangan anak anda ini diganggu dengan perhatian yang teralih kepada bunyi notifikasi telefon bimbit; dan ketidakupayaan anda menahan diri daripada menyemak mesej atau gambar dan komen di media sosial.
Dalam satu kajian untuk mengenal pasti kesan penggunaan telefon bimbit ibu bapa dengan pembelajaran bahasa anak, para ibu ditetapkan untuk mengajar anak mereka dua perkataan baru dan diberikan telefon. Kajian tersebut mendapati jika ibu diganggu dengan panggilan telefon (sebentar), kanak-kanak tersebut gagal mempelajari perkataan baharu tersebut berbanding jika mereka tidak terganggu.
Keputusan kajian tersebut bukanlah sesuatu yang asing lagi. Bayi daripada awal usia kelahiran didapati boleh memahami bahasa sosial dan terkesan dengannya. Eksperimen ‘Still Face’ yang dipopularkan oleh Dr. Ed Tronick merupakan antara eksperimen klasik dalam memahami interaksi ibu bapa dan bayi mereka.
Dalam eksperimen ini, si ibu dibiarkan berinteraksi secara normal dengan bayi, kemudian tiba-tiba berubah kepada ‘still face’ (muka pegun) selama 3 minit. Bayi didapati mula bertindak balas dengan mencuba untuk mendapatkan perhatian si ibu. Apabila bayi gagal mendapatkan perhatian, mereka mula menjadi tertekan dan menunjukkan emosi negatif.
Eksperimen ini menunjukkan fenomena interaksi sosial yang universal dalam semua bayi. Jadi, bayangkan kesan pengabaian emosi sewaktu anda terpegun dengan skrin telefon bimbit dan tidak menghiraukan anak anda. Bayi yang terlalu lama diabaikan akan mula mengalami ‘withdrawal‘ atau pengasingan dan tidak berminat untuk meneroka dan mempelajari persekitaran mereka.
Mengapa ibu bapa patut mengawal penggunaan gajet mereka
Memang benar bahawa tidak mungkin bahkan mustahil untuk ibu bapa sentiasa berinteraksi dengan anak mereka. Bahkan tidak memberikan tumpuan kepada si kecil anda membantu mereka membina ketahanan diri yang sihat dan kemampuan berdikari yang turut diperlukan untuk perkembangan mereka.
Tetapi tidak memberikan tumpuan -atau tumpuan yang selalu terganggu- secara berterusan adalah berbahaya. Bahkan ibu bapa yang kerap menggunakan gajet didapati menunjukkan tanda seperti ketagihan. Ibu bapa yang terleka dengan gajet didapati lebih cepat marah berbanding mereka yang memberi perhatian kepada anak mereka.
Ya, anda berhak untuk menyuruh anak anda bermain sendiri, atau menguruskan perkara lain selain memberi perhatian kepada mereka. Tetapi ini tidak sama dengan mengabaikan mereka sedangkan anda ada secara fizikal di sebelah mereka.
Kebanyakan ibu bapa didapati menghabiskan masa sekitar 9 jam sehari dengan skrin telefon tanpa mereka sedari. Jika anda risau dengan masa yang anak anda habiskan dengan gajet, mungkin ini masa yang sesuai untuk anda menilai penggunaan gajet oleh diri anda sendiri.
Sumber: Ibu Lin
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!