Secara umumnya, apabila anak dah mula membesar dan makin aktif, corak pemakanannya juga akan mempengaruhi tumbesaran anak. Jadi di usia anak 1- 4 tahun, anak-anak telah didedahkan dengan makanan keluarga secara beransur-ansur.
Bagaimanapun bukan semua makanan yang dimakan anak-anak dapat membekalkan semua zat yang diperlukan tubuh. Oleh itu, ada baiknya ibu bapa mempelbagaikan pengambilan makanan anak anda berasaskan piramid makanan.
Cuma apa yang menjadi masalah, ramai ibu bapa merungut anak susah nak makan makanan yang disediakan untuk mereka. Ada anak-anak yang hanya nak susu sahaja dan makan kurang dan ada juga yang langsung tak mahu nasi.
Disebabkan masalah ini ibu bapa dah jadi buntu dan berputus asa hingga biarkan anak makan apa yang dia nak. Jika diikutkan kalau kita tak ajar dan biasakan dari awal lama-kelamaan anak pun akan kekalkan tabiat itu hingga mereka besar.
Lagi susah bila anak hanya berminat dengan makanan ringan yang tinggi kandungan garam, MSG, pewarna dan sebagainya.
Bukan hanya boleh menjejaskan kesihatan anak, tapi mungkin boleh menyebabkan daya tumpuan anak nak belajar terganggu, tingkah laku yang sukar di kawal selain menyebabkan sistem imun badan anak jadi tak kuat.
Bagi yang rasa sukar nak biasakan anak-anak dengan pemakanan yang sihat, ikutlah jadual pemakanan terbaik untuk anak-anak berumur 1 hingga 4 tahun seperti yang dikeluarkan oleh Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sumber: Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pakar Kongsi Ini Patut Ibu Bapa Tahu Bila Anak Lambat Cakap. Bukan Biarkan Je!
Perkembangan setiap anak berbeza. Walaupun secara luarannya nampak seperti biasa, ada anak di usia 2 tahun masih belum boleh bercakap mengikut usianya. Dalam hal ini anak dikategorikan mengalami masalah speech delayed atau lambat bercakap.
Terdapat beberapa punca dan cara untuk membantu anak-anak yang mengalami masalah speech delayed. Paling penting ibu bapa kena ambil tindakan dan jangan tunggu tanpa berbuat apa-apa.
Menerusi perkongsian Jurupulih Pertuturan, Puan Ruby Atika, ada beberapa perkara ibu bapa perlu tahu mengenai anak lambat bercakap.
Apa yang ibu bapa patut tahu tentang speech delay?
1) lewat perkembangan, bukanlah sejenis penyakit. Bukan penyakit, jadi tak ada ubat. Tak ada sembuh tak sembuh.
2) ada kanak-kanak speech delay yang boleh berkembang sendiri secara natural dan mencapai seperti rakan sebaya. Spontan saja.
3) tapi ramai juga yang tak. Sebab di lapisan dalam speech delay tu rupanya ada masalah tumpuan, kefahaman, ingatan dan komunikasi dua hala. Jadi dia perlu dibantu untuk berkembang.
3) pendedahan skrin sebelum usia 2 tahun dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan anak jadi speech delay.
4) tantrum dan speech delay sangat berkait rapat.
5) ibu bapa boleh ajar anak ke tandas, walaupun anak speech delay yang belum boleh bercakap.
6) autism dan speech delay adalah perkara yang berbeza.
7) anak tidak malas bercakap. Tapi dia tak boleh bercakap dan dia perlu dibantu. Suasana berbeza boleh berikan kesan berbeza kepada kanak-kanak. Tapi malas tetap bukan punca anak tidak bercakap.
Majoriti kanak-kanak speech delay ialah lelaki. Majoriti kanak-kanak autism ialah lelaki. Majoriti kanak-kanak disleksia ialah lelaki.
9) ada kajian menunjukkan 18.3% kanak-kanak tadika ada mengalami jangkitan telinga tengah. Masalah pendengaran boleh menyebabkan kanak-kanak jadi masalah bercakap.
10) bercakap pelat / hujung-hujung pada usia dua tahun ialah normal, bukan speech delay. Tapi jika masih tak bercakap atau kurang 50 perkataan pada usia 2 tahun, itu yang terkeluar dari julat normal.
Oleh itu, jika ada dalam kalangan anak-anak kita masih belum boleh bercakap, perlu ambil tindakan segera dan rujuklah pada pakar dengan segera.
Kredit: Jurupulih Pertuturan, Ruby Atika
Jangan abaikan keselamatan si manja ketika berada dalam kereta. Belajar tentang fungsi car seat serta ketahui kecederaan yang akan berlaku kerana impak kemalangan. Ketahui lebih lanjut tentang car seat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up!
Daftar secara PERCUMA di https://toko.ideaktiv.com/product/sayang-nyawa-anak-dalam-kereta/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Tak Pandai Nak Buat Kawan Baru? Ibu Ayah Kena Ajar Si Kecil 7 ‘Skill’ Ini
Seiring dengan peningkatan usia si manja, perkembangan sosial kanak kanak juga perlu diperluaskan. Terdapat 7 skil perkembangan sosial anak yang perlu anda terapkan dalam diri mereka.
Jom baca!
Perkembangan sosial kanak kanak
Kanak-kanak yang mempunyai perkembangan sosial yang seimbang pastinya akan memiliki hubungan dengan rakan sebaya yang lebih baik. Ini kerana ia membantu kanak-kanak untuk mudah berinteraksi dan bergaul bersama rakan mereka.
Namun, manfaat perkembangan sosial anak tidak terhenti setakat untuk penerimaan sosial semata-mata. Sudah pastinya ia menawarkan beberapa manfaat lain untuk kehidupan si kecil.
Sebagai contoh, dalam 1 kajian yang dilakukan pada tahun 2019 mendapati, kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan dan mempunyai kemahiran sosial yang baik akan kurang mengalami tekanan.
Berada jauh daripada keluarga mungkin akan memberikan tekanan kepada kanak-kanak, ditambah pula dengan kurangnya skil sosial mengakibatkan tekanan itu semakin membebankan.
Penyelidik menyifatkan kanak-kanak akan mengalami penurunan hormon kortisol apabila mereka mempelajari kemahiran sosial baharu. Malahan, kanak-kanak yang mudah bergaul dengan rakan sebaya akan mudah memperolehi kawan baharu.
Jadi ini bererti skil sosial pada kanak-kanak adalah penting. Tetapi, bagaimana ingin membentuk perkembangan sosial kanak-kanak?
Pembentukan skil sosial kanak-kanak
Skil sosial adalah kemahiran yang kita gunakan setiap hari bagi berinteraksi dan berkomunikasi dengan individu lain. Ia termasuk komunikasi lisan dan bukan lisan seperti ucapan, isyarat, ekspresi wajah dan bahasa badan.
Pengetahuan tentang peraturan bertulis dan yang diaplikasi dalam kehidupan seharian membolehkan seseorang individu untuk memiliki kemahiran sosial yang kukuh.
Begitu jugalah kepada kanak-kanak, kemahiran sosial adalah penting untuk membolehkan mereka berinteraksi dengan bukan sahaja rakan sebaya, bahkan melibatkan individu di sekeliling mereka.
7 skil sosial kanak-kanak yang penting
Kanak-kanak yang kurang kemahiran sosial dan emosi cenderung untuk mengalami isu seperti buli, perhubungan harian dan juga melibatkan undang-undang. Mereka juga dikatakan akan lebih bergantung kepada bantuan sekeliling.
Berita baiknya, perkembangan sosial merupakan 1 perkara yang boleh diajar. Jika anda berasakan si kecil mungkin kurang kemahiran sosial, jangan risau! Anda tidak pernah terlewat untuk mendidik mereka.
Berikut disenaraikan 7 kemahiran sosial yang perlu diterapkan dalam diri anak anda:
Berkongsi
Kesanggupan untuk berkongsi makanan atau permainan adalah antara cara terbaik membantu si kecil untuk mempunyai dan kekal berkawan. Berdasarkan kajian pada tahun 2010 yang diterbitkan dalam Psychological Science, kanak-kanak seawal usia 2 tahun akan menunjukkan keinginan untuk berkongsi dengan individu lain hanya apabila sumber yang mereka miliki banyak.
Kanak-kanak pada usia 3 hingga 6 tahun akan lebih mementingkan diri daripada berkongsi apabila sumber yang dimiliki sedikit. Pada usia 7 atau 8 tahun, kebanyakan kanak-kanak lebih prihatin dan bersedia berkongsi.
Secara keseluruhan, kajian menunjukkan kanak-kanak yang berkeyakinan diri lebih mudah berkongsi. Tindakan tersebut juga membuatkan mereka berasa lebih baik tentang diri mereka. Jadi ajarkan anak anda berkongsi untuk tingkatkan rasa yakin dalam diri mereka
Bekerjasama
Ia melibatkan kerjasama bagi mencapai matlamat. Kanak-kanak yang bekerjasama akan lebih mematuhi permintaan individu lain. Mereka juga akan menyumbang, mengambil bahagian dan membantu.
Pada usia 3 ½ tahun, kanak-kanak boleh mula bekerjasama dengan rakan sebaya bagi matlamat yang sama. Ia mungkin sekadar melibatkan kerjasama untuk membina menara mainan bersama-sama.
Ada kanak-kanak mungkin akan mengambil posisi sebagai pemimpin, sementara yang lain akan lebih selesa sebagai pengikut. Apa pun, bekerjsama adalah 1 peluang untuk anak-anak belajar tentang diri mereka.
Mendengar
Bukan sekadar duduk diam semata-mata, tetapi ia melibatkan proses penyerapan maklumat yang disampaikan seseorang. Mendengar adalah 1 komponen penting dalam komunikasi sihat.
Ini merupakan antara kemahiran sosial kanak-kanak yang perlu ditekankan dalam kehidupan si kecil. Ia dapat membantu anak untuk lebih berjaya di sekolah dengan kemampuan mendengar apa yang disampaikan guru.
Mengikuti arahan
Kanak-kanak yang sukar mengikuti arahan adalah lebih cenderung untuk mengalami masalah kemudian hari. Disebabkan itu, adalah penting untuk si kecil mempunyai keupayaan menerima dan mengikuti arahan.
Jika anak melakukan kesilapan daripada arahan yang diberikan, ia adalah normal. Ini kerana kanak-kanak sememangnya mudah terganggu dan lupa apa yang harus mereka lakukan. Anggap kesilapan tersebut sebagai cara mempertajamkan kemahiran mereka.
Hak privasi
Kanak-kanak mungkin sukar memahami apa itu hak privasi tetapi itu tidak bermakna mereka boleh berbuat sesuka hati mereka. Atas sebab itu adalah penting untuk mengajar anak menghormati hak privasi individu. Sebagai contoh, anda boleh mengajar si kecil untuk mengetuk pintu yang tertutup sebelum membukanya.
Komunikasi mata
Hubungan mata ketika berkomunikasi adalah 1 skil sosial kanak-kanak yang perlu dipupuk. Anak anda mungkin malu, tetapi terangkan kepada mereka pentingnya untuk membuat hubungan mata ketika berkomunikasi.
Ia mungkin sukar, tetapi anda boleh memberikan galakkan dan pujian kepada anak jika mereka berjaya membuat hubungan mata apabila bercakap dengan seseorang.
Mempunyai adab
Ucapan terima kasih, maaf dan tolong merupakan antara adab yang paling penting dalam kehidupan seseorang, khususnya si kecil. Ia membantu si kecil mendapatkan pujian yang sewajarnya apabila mereka berjaya melakukannya tanpa sebarang paksaan.
Sudah tentu ia memerlukan kesabaran. Tetapi percayalah ia merupakan perkembangan sosial anak paling utama yang perlu sentiasa diterapkan dalam kehidupan.
Sentiasa mengingatkan si kecil
Ia adalah normal untuk si manja terlupa apa yang telah anda ajarkan kepada mereka. Usah marah, sebaliknya tegurlah dengan cara yang baik dan berhemah. Sentiasa mengingatkan mereka tentang kepentingan skil sosial dalam kehidupan mereka.
Kredit: Hello Doktor
KLIK UNTUK DAFTAR PA&MA EWORSHOP
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Anak Pandai Bercakap Kena Banyak Bercakap Dengan Mereka! Anak Belajar Dari Mendengar
Pembelajaran bahasa merupakan satu proses yang kompleks. Ia berlaku secara berperingkat dan memakan masa yang panjang. Kanak-kanak mula belajar bercakap selepas dilahirkan dan menjadi mahir apabila berumur 5-6 tahun.
Walaupun begitu terdapat variasi pada tempoh pemerolehan bahasa kanak-kanak. Ada kanak-kanak yang petah bercakap ketika berumur 3 tahun tetapi ada juga yang baru mula bercakap pada umur tersebut. Hal ini kerap merunsingkan ibu-bapa mahupun penjaga. Proses penguasaan bahasa sebenarnya banyak bergantung kepada faktor–faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa.
Asas Pembelajaran Bahasa
Kemahiran mendengar, memahami dan bertutur adalah kemahiran asas yang diperlukan untuk mempelajari bahasa. Semua kemahiran ini saling berkaitan di mana kemahiran mendengar dan memahami adalah proses pemerolehan maklumat. Manakala kemahiran bertutur pula merupakan proses penghasilan maklumat.
Kemahiran mendengar
Kemahiran mendengar merupakan titik permulaan pembelajaran bahasa bagi kanak-kanak. Kemahiran ini merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak sebelum mereka mengeluarkan bunyi awal.
Di awal kelahiran, bayi mula mendengar dan memberi respon pada ritma pertuturan orang disekeliling mereka. Respon yang diberi biasanya dalam bentuk senyuman, ketawa dan juga tangisan. Bayi mula mengenalpasti suara individu yang kerap berinteraksi dengan mereka. Ketika berumur 6 bulan kemahiran mendengar meningkat dan ketika ini bayi sudah mula membezakan bunyi pertuturan dan bunyi persekitaran. Proses mendengar menjadi semakin kompleks dan ketika berumur satu tahun, mereka mula mendengar dengan lebih baik dan memahami maklumat yang diperolehi.
Kemahiran memahami maklumat
Kanak-kanak mula mengaitkan objek dan perkataan ketika berumur satu tahun. Pada ketika ini mereka mula mengenali objek yang selalu dilihat dan arahan mudah. Kanak-kanak memahami lebih banyak objek, arahan dan gambar apabila berumur 2 tahun. Ketika kanak-kanak berumur 2 hingga 3 tahun, mereka akan mula menggunakan memori dan belajar memahami arahan 2 langkah.
Kanak-kanak menjadi semakin mahir dalam memahami maklumat ketika berumur 3 hingga 4 tahun di mana mereka dapat memahami hampir 1500 perkataan. Mereka mula memahami arahan panjang (3 langkah) dan soalan mudah seperti, apa dan mana. Ketika ini, mereka telah memahami lebih banyak perkara berkaitan konsep seperti preposisi, warna dan jantina.
Kemahiran pemahaman ini akan meningkat sehingga kanak-kanak berumur 7 tahun di mana mereka dapat memahami petikan yang panjang dan lebih sukar. Kefahaman menjadi semakin kompleks di mana mereka juga mula memahami maklumat abstrak seperti sindiran dan gurauan.
Kemahiran bertutur
Semasa bertutur seseorang akan menggerakkan alat pertuturan untuk menghasilkan bunyi yang bermakna. Proses bertutur tidak hanya terhad kepada penghasilan bunyi sahaja tetapi juga melibatkan penggunaan nada dan intonasi yang bersesuaian.
Seawal umur 4 bulan bayi mula menghasilkan bunyi vokal atau juga dikenali sebagai vokalisasi. Kebiasaannya bayi akan menghasilkan bunyi vokal secara berulang seperti bunyi aaa, iii.
Ketika bayi berumur 6 bulan, mereka mula menghasilkan bunyi ‘bebelan’ (babling) dan bunyi cooing. Penghasilan bunyi bebelan berkait rapat dengan penghasilan suara (fonasi) serta pergerakan pembukaan dan penutupan rahang mulut. Pada tahap awal bebelan, bayi biasanya menghasilkan kombinasi bunyi konsonan dan vokal secara berulang seperti (baba atau mama).
Kombinasi bebelan menjadi semakin sukar apabila bayi berumur 8-9 bulan. Ketika ini mereka menghasilkan kombinasi bunyi yang melibatkan penghasilan lebih bunyi konsonan seperti (babadebo).
Seterusnya apabila berumur 9 -10 bulan, bayi mula meniru struktur percakapan orang dewasa. Pada tahap ini mereka mula menghasilkan bunyi ‘jargon’. Bunyi jargon adalah vokalisasi bunyi yang menghampiri pertuturan orang dewasa dari segi intonasi dan tekanan. Walaubagaimanapun bunyi yang dihasilkan tidak mempunyai sebarang maksud.
Kanak-kanak mula menghasilkan perkataan pertama apabila mereka berumur lebih kurang satu tahun. Ketika ini mereka mempelajari bahawa satu perkataan mempunyai makna yang tersendiri. Mereka akan cuba meniru perkataan yang di sebut oleh orang dewasa. Perbendaharaan kata kanak-kanak akan meningkat dengan pesat setelah melepasi umur satu tahun. Kebolehan kanak-kanak membina ayat akan meningkat dari masa ke semasa dan mereka boleh menggunakan struktur ayat orang dewasa ketika berumur 5-6 tahun.
Faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa
Kesihatan: Tahap kesihatan memainkan peranan yang penting dalam pembelajaran bahasa. Sekiranya kanak-kanak mempunyai masalah kesihatan yang turut memberi kesan pada perkembangan kognitif seperti Sindrom Down, Autisma, Palsi Cerebral dan lain-lain, pemerolehan bahasa akan menjadi lebih perlahan berbanding kanak-kanak normal yang seusia mereka.
Kognitif: Kebolehan kognitif merujuk kepada kebolehan kanak-kanak untuk berfikir. Sekiranya kanak-kanak mempunyai kebolehan kognitif yang rendah, proses penerimaan dan pembelajaran akan menjadi lebih perlahan berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya.
Fizikal: Terdapat banyak organ yang membantu dalam menghasilkan bunyi pertuturan. Organ seperti telinga, peti suara, lidah, mulut, gigi dan lelangit membantu dalam penghasilan bunyi bahasa yang normal. Sekiranya kanak-kanak mempunyai ketidaknormalan pada organ pertuturan, kejelasan bunyi pertuturan akan terjejas. Contoh; Klef pada lelangit mulut boleh menyebabkan bunyi pertuturan menjadi sengau dan sukar untuk difahami oleh orang yang mendengarnya.
Persekitaran: Faktor persekitaran merujuk kepada individu yang berada di sekeliling kanak-kanak termasuklah keluarga, penjaga, guru serta rakan-rakan. Kepentingan individu ini adalah untuk memberikan rangsangan bahasa pada kanak-kanak. Mereka merupakan sumber rujukan awal pembelajaran bahasa kanak-kanak. Walaupun begitu, terdapat juga faktor-faktor lain yang mempengaruhi pembelajaran bahasa kanak-kanak seperti tahap pendidikan, sosioekonomi penjaga dan budaya keluarga.
Perkembangan neurologi: Perkembangan neurologi berlaku dengan pesat sehingga kanak-kanak mencapai umur 7 tahun. Perubahan yang berlaku pada saiz, berat dan pertumbuhan otak meningkatkan kebolehan berfikir kanak-kanak. Oleh itu rangsangan bahasa pada ketika ini amat penting. Kanak-kanak lebih mudah memahami dan mempelajari stimulasi yang diterima daripada persekitaran dalam tempoh kritikal ini.
Rujukan
Owen Robert E. (1995). Language Development: An Introduction. Allyn & Bacon
Carol Bainbridge (2011). How Do Children Learn Language?. Retreived January 13, 2014 from http://giftedkids.about.com/od/gifted101/a/language-learning.htm
Nicole mahony. Learning Language. Retreived January 13, 2014 from www.nsf.gov/news/special-reports/linguistucs/learn jsp
Jill Mc Cain (2000). Language Acquisition and Affective Variables. Retreived January 13, 2014 from serendip-brynmawr.edu/biology/b103/f00/web3/mccain3-html
Muhd Ruslee (2010). Modul BMM 3104 Kemahiran Mendengar Bertutur Membaca Menulis. Retreived February 2, 2014 from http://www.scribd.com/doc/28428335/MODUL-BMM-MENENGAR-BERTUTUR-MEMBACA-MENULIS
Kredit: Myhealth
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI