Kanak-kanak sangat pantas berkembang. Contohnya, jika semasa umur 2 tahun, dia boleh sebut 50-100 perkataan, tapi pada 2 tahun 2 bulan, perkataannya sudah mencecah 120-150 perkataan.
Menurut Terapis Pertuturan, Ruby Izyan Atika Abu Bakar, dalam tempoh 2 bulan, macam-macam perkembangan berlaku. Dari hanya melompat setempat, dah reti melompat dari kerusi ke bawah. Dari hanya conteng garis-garis, dah reti conteng bulat-bulat. Dari hanya reti tiru sujud, dah reti tiru rukuk, iktidal dan tahiyat.
Sebab itu lah, saya galakkan ibubapa yang ada anak masalah perkembangan untuk memulakan proses intervansi seawal yang mungkin. Pada umur yang muda, 2-4 tahun, kanak-kanak cepat belajar. Walaupun ada isu keperluan khas, tapi mereka tetap belajar dengan cara tersendiri dengan lebih pantas berbanding apabila umur dah bertambah (7 tahun ke atas).
Masalah utama apabila mengajar budak usia 2-4 tahun ini ialah dari segi tumpuan dan tingkahlaku.
Anak masih kecil, tumpuannya terhad dan kerjanya nak main saja. Kemudian dia semakin bijak manipulasi orang dewasa untuk ikut kehendak dia dengan cara tantrum, merajuk dan agresif.
Maka ramai ibubapa mengaku kalah. Lihat saja betapa ramai ibubapa hantar anak ke kelas tuisyen membaca, padahal bukanlah ibubapa itu tidak tahu membaca. Tapi kerana betapa sukarnya untuk ibubapa ajar sendiri anak dia. Jika dengan cikgu, lebih senang untuk anak mengikut kata.
Begitu juga dengan terapi pertuturan. Ramai Ibubapa terpaksa hantar anak ke kelas terapi dengan kerap kerana sukar untuk ajar sendiri anak di rumah.
Sebenarnya tidak mustahil untuk ibubapa menjadi terapis. Sama juga tidak mustahil untuk ibubapa ajar sendiri anak membaca/mengaji.
Kunci utama ialah bagaimana memahami daya tumpuan anak dan mengawal tingkahlaku anak.
Jika ibubapa faham, maka tidak ada isu naik panas baran. Sebab ibubapa faham bahawa tumpuannya terhad pada apa yang dia lihat, pegang dan minat saja.
Untuk mengawal tingkahlaku, ibubapa mesti bersedia dengan target serta ganjarannya. Selalu yang berlaku, ibubapa hanya fikir target. Tapi tidak bersedia dengan sebarang ganjaran.
Lepas tu, tidak konsisten pula. Hujung minggu saja anda ajak anak belek buku. Memanglah dia tak suka. Tapi cuba kalau hari-hari dia memang kena tengok paling kurang 1 buku. Maka aktiviti itu ditanam sebagai rutin setiap kali selepas makan malam, contohnya.
Jika kanak-kanak umur 4 tahun ke atas, lebih mudah untuk kita ajak dia tumpu pada apa yang kita mahu. Tapi jika bawah 4 tahun, dia akan tumpu pada yang dia suka.
Maka ibubapa kena bijak untuk gunakan benda yang dia suka (contohnya koleksi kereta) untuk ajar apa yang anda target (contohnya kata tempat :atas, bawah, depan belakang).
Kanak-kanak memang kerjanya main saja. Jadi ibubapa kena ajar anak dalam suasana bermain. Tapi bukan main-main saja-saja. Ini yang selalu berlaku. Ibubapa pula terlebih over bermain. Tiada target mengajar.
Contohnya jika anak suka main susun puzzle (kes autisme), maka ibubapa kena target untuk latih giliran dan eye contact. Ini penting supaya anak faham interaksi 2 hala.
Contoh lain jika anak suka main masak-masak, maka ibubapa kena set target, apa perkataan yang anda nak ajar dalam aktiviti tersebut? kata kerja : tuang, kacau, masak, buka, tutup, potong, letak. Atau kata sifat : panas, pedas, sedap, masam, manis.
Saya melatih ibubapa menjadi therapist kepada anak masing-masing. Saya percaya bahawa ibubapa paling memahami anak anda dan paling banyak meluang masa dengan anak. Jadi ibubapalah therapist paling hebat untuk anak masing-masing.
Sumber: Ruby Speech Therapy