Anak 5 Tahun Kerap Menangis, Bila Ditanya Tak Dijawab? Ibu Bapa Perlu Tahu Cara Untuk Kendali Emosi Anak

Share

Bagaimana cara untuk menggalakkan anak bercerita/meluahkan perasaannya? Anak saya, lelaki, berumur 5 tahun, jika dia sedang marah / menangis, saya kerap bertanya apa yang buatkan dia marah atau sedih tapi dia hanya berdiam diri je. Ada masanya, bila dia dah reda dari marah/sedih, baru dia cerita. Itu pun sangat jarang.

Bersabarlah agar anak senang meluahkan dan bercerita masalahnya. Bukan semua anak mudah meluahkan perasaannya. Samalah dengan orang dewasa. Selalunya orang lelaki atau anak lelaki akan lebih susah untuk memberitahu keresahan hatinya. Dalam buku ‘Men Are From Mars and Women Are From Venus’ dan buku ‘Why Men dont’t listen and Women can’t read map’ ada menceritakan dengan panjang lebar mengenai perkara ini. The make up of men and women are not the same. In most cases we compliment each other. 

Namun, ada juga anak lelaki yang mudah bercerita. Anak lelaki susah meluahkan perasaan bukan sesuatu yang mesti, ianya adalah kebanyakan.

Mengetahui anak anda jenis yang susah untuk meluahkan perasaan, janganlah dipaksa dan ditanya untuk dia meluahkan perasaan. Apa yang perlu anda lakukan ialah

1- Beri dia rasa selamat dan dikasihi. Anda boleh peluk atau kesat air matanya atau duduk sahaja dengan hati penuh simpati kepadanya. Apa yang anak itu mahu rasakan ialah SELAMAT dan DIKASIHI serta DIHARGAI.

2- Semasa itu katakan sahaja tak mengapa jika belum boleh memberitahu. Anda akan sabar menunggu sehingga dia boleh memberitahu. And you love him/her .

3- Semasa anda memandikannya atau semasa dia hendak tidur, anda boleh bertanya, ” Mama, sayang abang tau, sebab mama sayang sangat abang, mama nak tolong abang kalau abang tak happy. Abang nak beritahu mama apa yang membuat abang menangis? Jika dia belum bersedia, janganlah memaksa. Yakinlah suatu hari ia akan keluar juga.

Contoh dari pengalaman Ibu sendiri; Anak bongsu Ibu, juga bukan seorang yang senang untuk menyatakan perasaannya semasa dia kecil. Semasa dia di tadika kalau dia sedih dan diminta menyatakan payah sungguh untuk perkataan keluar. Bukan anak lelaki tetapi perempuan. 

Namun, Ibu tahu dia seorang yang Kinestatik, perlukan sentuhan, maka semasa memandikan dia, Ibu akan gosok dia lebih sedikit dan keluarlah segala luahan dan cerita yang merundung perasaanya itu.

4- Jika dia memberitahu, jangan marah atau panik atau geram kepada sesiapa, cuba kawal reaksi diri. Kerana anak itu tidak akan mempercayai anda lagi jika anda cepat melatah begitu. Lain kali dia tidak akan berani memberitahu kerana dia berasa keselamatannya tercabar.

Contoh, kalau kawannya membuli dia, kalau anda terus mengamuk dan nak memarahi kawan dia, ini akan membuat dia lagi risau sebab bagi dia yang dia takut ialah kawan-kawannya.

Oleh itu jika anda mahu mengambil tindakan, beritahu dengan tenang dan lebih baik bertanya apakah yang dia hendak anda lakukan. Jika anda merasakan ada sesuatu tindakan yang perlu diambil, maka anda boleh menyakinkannya tanpa memaksa akan tindakan yang mahu diambil.

Kadang-kadang anak-anak lelaki susah untuk meluahkan hatinya kerana dia telah dikondisi oleh orang sekelilingi, Big Boys Don’t Cry! Jadi bagaimana dia hendak berani meluahkan perasaannya…Eh, budak lelaki tak menangislah! Yang menangis tu budak lembik!

Kefahaman begini mungkin dia pernah dengar atau pernah disogokkan kepadanya semasa dia membesar tidak semestinya dari ibu bapa, ia mungkin dari orang lain.
Oleh itu untuk mengatasinya boleh memberitahu bahawa tidak mengapa meluahkan perasaan dan menangis dengan cara tenang. Ramai orang lelaki yang kuat dan bijak juga mengalirkan airmata dengan tenang bila mereka sedih. Big Boys do cry.

Nabi Muhammad s.a.w. juga pernah menangis bila baginda sedih. Menangis bukan bermaksud lemah. Tetapi asyik menangis dan meraung-meraung dan mengutuk orang dan diri bila kesedihan, ya itu satu kelemahan pada perangai. Kerana di dalam keadaan begitu, mudah syaitan mengambil kesempatan.

“Tetapi kalau abang menangis dan mengalirkan airmata kerana sakit dan bercerita sedih abang, kepada mama, itu bukan bermaksud abang lemah dan lembik. Itu bermaksud abang tahu bagaimana untuk meminta tolong dan dapat mengatasi msalah abang. Kerana orang yang kuat juga menerima pertolongan dari orang lain. Kerana abang hendak terus boleh jadi kuat dan bijak.”

Jika anak itu tersekat-sekat perkataan semasa menangis atau macam perkataan tidak boleh keluar, gosokkan saja dadanya dan belakangnya dengan penuh kasih sayang. Ingat yang penting kita mahu mereka berasa selamat dan disokong. 

Ibu doakan agar anda berjaya menjadi ibubapa yang bijak tangani apa jua isu anak-anak MILENNIA. Tersemat di hati FIRST CLASS PARENTS Anak ku, Kau Layak Berjaya!

Sumber: Ibu Rose

Published by
NuFa