Anak 5 Tahun, Tak Pernah Minum Air Putih Kecuali Setahun Pertama Sahaja Dan Waktu Makan Ubat

Share

Membiasakan anak kecil dengan minuman manis sejak kecil tak elok kerana anak boleh ketagih dan mula tidak suka pada air putih. Bila berterusan dan anak makin besar, nak ubah tabiat tersebut lagi susah.

Melalui perkongsian dari Puan Mazliana Mazlan, dia cukup terkejut apabila ada seorang ibu bercerita kepadanya apabila si anak langsung tak mahu minum air putih selepas usia setahun akibat ketagih minuman manis. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada ibu bapa lain. Jika anak anda pun sukakan minuman manis tak terlambat lagi untuk mengubah tabiat tersebut.

Anak umur 5 tahun, tak pernah minum air putih kecuali setahun pertama sahaja dan sewaktu makan ubat.

Allahu.Terkejut Ummi dengar ibunya bercerita. Sampai Ummi ulang ‘tak penah langsung?’ sampai beberapa kali.

Air yang diminum selepas umur 1 tahun, hanyalah air manis. Di rumah, suka minum air sirap dan M***. Ke sekolah, suka bawak air teh o. Di sekolah, juga dihidangkan dengan air manis mengikut jadual harian.

Deria rasa lidahnya dah terbiasa dengan makanan minuman manis. Sehinggakan air putih tanpa rasa tidak dapat diterima oleh tekaknya.

Bukan itu sahaja, nasi juga hanya 1 – 2 mulut yang boleh ditelan. Mesti ayam goreng atau telur goreng menjadi lauk. Sayur dan buah? Juga direject.

Tidak salah Ummi katakan semua kesan ini, adalah sebab gula dan pemanis tiruan yang berlebihan telah terserap di dalam badan anak tadi.

Makanan dan minuman proses bukan saja tinggi kandungan gula, pemanis tiruan juga tidak ketinggalan. Semakin diamalkan makanan minuman proses, semakin susah untuk elakkan ketagihan makanan minuman manis pada anak.

Bila dah begini, apa saya boleh buat? Gantikan gula dan pemanis tiruan dalam makanan minuman proses anak, kepada makanan yang segar dengan menggunakan gula dan pemanis semulajadi yang dicipta Allah.

  1. Madu
  2. Daun stevia
  3. Kurma
  4. Puree epal
  5. Gula versi lebih sihat dari gula putih
    – Gula tebu asli
    – Gula kelapa
    -Gula kabung
    -Gula mollasses

Cuba ya, kita sama-sama jaga makan minum anak-anak kita.Kerana apa? Kerana Allah telah amanahkan kita sebagai ibu dan ayah, untuk menjaga dan membentuk mereka sebaiknya.

Sekian dari Ummi Mazliana Mazlan.
Ibu anak 2 yang masih bertatih ke arah kehidupan sihat.

Published by
Wan Amy