Anak Ada 7 Orang, 6 Lelaki. Siapa Kata Rumah Tak Boleh Kemas Cuba Ikut Teknik Ibu Ini

Share

Anak masuk dua pun mama dah rasa pening tengok keadaan rumah apatah lagi lebih dari 5 orang anak. Fuh! Memang mencabar nak membesarkan anak-anak ni. Lain anak lain ragam dan perangainya kan?

Tak mustahil kalau dalam rumah tersebut ada sistem khas untuk pastikan rumah sentiasa kemas kan? Yang penting kena didik sejak kecil! Jom ikuti perkongsian ini.

Ada 7 anak, 6 lelaki

Itu hari saya duduk dengan seorang ibu yang dah lama pencen dari sector perguruan. Beliau ini ramah ya ampun. Asalnya beliau merupakan seorang peserta kelas brownies beberapa tahun lalu. Namun sekarang dah jadi macam kawan.

Beliau bersembang tentang 4 orang menantunya yang berbagai-bagai ragam. Seronok mendengarnya. Ibu kepada 7 orang anak ini, punya 6 orang anak lelaki dan seorang sahaja anak perempuan.

Yang sulong itu anak gadisnya yang sudah punya 3 orang anak, kemudian ada 3 anak lelaki yang sudah berkahwin. Yang lain masih bujang trang-tang-tang.

Dalam banyak-banyak hal yang kami sembang, beliau nasihatkan saya tentang saya kena bertegas dengan orang rumah bab-bab mengemas, bab mencuci dan sebagainya kena bertegas walau beliau seorang yang bekerja. Kalau tak bekerja lagilah kena kuat tegasannya itu.

Suami tegas bab rumah kena kemas

Beliau kata, sepanjang jadi guru dan 10 tahun terakhir dapat jadi pengetua, beliau dapat suami yang sangat tegas bab itu.

Oleh kerana anak lelaki pula sangat ramai, dan memang susah ya amat nak pastikan rumah itu sentiasa kemas, namun sebagai isteri memang kena kreatif bab-bab menguruskan rumah. Sebab, semua inilah menunjukkan kebijaksanaan seorang wanita.

Kita memang boleh cakap “suami, tolonglah sama mengemas juga,” Itu boleh kata dalam mimpi pun susah nak jumpa. Memang ada, namun susah. Jadi dah bertukar status sebagai isteri, beliau cakap beliau reda sahaja namun kena kreatif.

5 perkara yang dilakukan. Ini yang saya belajar.

Sebab suami tak suka nak mengemas seperti dia, dan dia juga seorang yang bekerja dan penat ya ampun menjadi seorang guru ini. Di sekolah dah beratus anak murid, di rumah ada 7 orang yang jenis terbang nakal bukan main. Jadi beliau buat ini;

1. Beli banyak organizer

Beli banyaknya organizer untuk baju, seluar dalam, seluar, baju tidur, baju sukan, baju sekolah dan segala-gala untuk anak-anak ini beliau beli jenis rak macam toyogo yang ada laci itu.

Seorang anak, ada 1 organizer dan mereka kena uruskan semuanya sendiri termasuk mencuci, melipat dan memasukkannya di dalam organizer tersebut. Tak ada baju, memang kena libas kerana boleh jadi tak ke sekolah.

2. Beli ampaian untuk baju-baju yang mahu digosok

Ampaian ini perlu ada beberapa, senang untuk anak-anak gantung baju dan ambil sahaja. Oleh kerana rezeki beliau punya anak perempuan yang jadi anak sulong, maka si kakak ini banyak tanggungjawab membantu adik-adik dan beliau bersyukur kerana dari si kakak ini kecil lagi beliau sudah ajar untuk enjoy buat kerja.

Si kakak ini memang jadi ratu gosok baju untuk adik-adik. Mana yang cari pasal dengan kakak, pastinya tak akan digosok bajunya. Jadi semua kena behave dan layan kakak baik-baik.

3. Bakul mainan dan stor

Dua perkara ini benda penting yang wajib ada dalam rumah. Bakul mainan ini perlu diajar kepada anak-anak tentang apabila ambil, kena simpan semula. Kalau tidak, buang. Jadi ibu, bab ini kena bertukar menjadi raksaksa.

Biasanya anak-anak sangat sayangkan mainan mereka, jadi jika mereka tidak kemas, kasi buang. Namun, kalian ‘buang’ diam-diam dalam stor.

Setelah beberapa lama, hadiahkan mainan tersebut kepada orang lain. Ia lebih bermanfaat dari membuangnya. Anak akan dapat pengajaran, ibu bapa juga tidak membazir.

4. Hari Jumaat adalah hari bersih bagi semua bilik

Wajib letak dalam bakul kain seperti cadar, sarung bantal, dan segala jenis mak nenek pakaian yang belum dicuci termasuk tuala. Sekiranya tak buat, terus penjarakan mereka untuk bermain di padang selama 1 minggu.

Ia memang menjadi dengan sangat baik dan semua anak-anak lelaki cikgu ini sangat menjaga bilik mereka sendiri.

5. Sediakan sabun, pencuci muka segala pencuci

Sentiasa sediakan sabun, pencuci muka, pencuci segala semuanya kepada anak-anak. Dan di dalam bilik air, yang ini tak payah kedekut. Pastikan anak belajar tentang kebersihan. Dan ianya akan melekat di jiwa anak-anak.

Sampai ke tahap, nanti akhirnya anak sendiri akan tahu tentang pentingnya bersih, tentang pentingnya menyusun semua perkara.

Beliau cerita yang mana anaknya yang kecil-kecil, apabila beliau sudah didik abang dan kakak yang dah besar, yang kecil-kecil akhirnya mengikut. Rumahnya sentiasa kemas walau anak-anak banyak mainan. Dirinya sendiri juga tak stress suruh laki bantu kemas.

Iya benarlah, isteri cerdik yang solehah, penyejuk mata, penawar hati, hahaha. Macam lagu. Namun, itu semua betul, kan?

Rumah kita adalah yang memberi hilangnya gelisah, ianya disempurnakan oleh isteri yang cerdik, bijak dalam mengatur segalanya di dalam rumah.

Itulah emak-emak kita semua. harapnya isteri kita juga akan begitu selama-lamanya! Cewah!

Kredit: Khairul Hakimin Muhammad

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
NuFa