Hubungan anak dengan ibu bapa dah bermula sejak dalam kandungan lagi. Sebab itu ketika dengar je suara ibu dan ayah semasa dalam kandungan, anak akan bagi respon.
Malah menurut Puan Noor Afidah Abu Bakar dari mula lahir, anak memerlukan pengalaman dan perhubungan yang membuktikan bahawa dia dihargai dan dia merupakan manusia yang membawa kebahagiaan dan keseronokan kepada orang lain terutamanya keluarga.
Perhatian yang positif, tindak balas dan reaksi dari orang dewasa yang rapat dengan anak membantu anak untuk membina gambaran tentang nilai dirinya sendiri kepada orang yang rapat dengannya.
Cara memberi perhatian kepada anak tidak memerlukan wang ringgit.
1) Pandang anak dan senyum sebagai tanda anda gembira anak berada di sisi.
2) Peluk anak
3) Tunjukkan minat pada apa yang dikerjakan oleh anak. Minta anak terangkan dan ceritakan tentang apa yang sedang dilakukan
4) Bina ‘ritual’ dalam keluarga yang boleh dilakukan bersama-sama
5) Luangkan masa melakukan aktiviti yang disukai bersama-sama
6) Gunakan perkataan yang menggalakkan dan meraikan. Puji anak apabila dia cuba meneroka sesuatu yang baru ataupun berusaha untuk mencapai sesuatu.
7) Tenangkan anak apabila menangis atau bersedih.
8 ) Hentikan apa yang sedang dilakukan apabila anak ingin bercerita atau meluahkan perasaan.
Bagaimanapun semua perkara mudah ini sukar dilakukan apabila ibubapa diganggu oleh teknologi terutamanya gajet dan media sosial.
Bagaimana kita hendak memandang anak dan senyum kepada anak sekiranya kita asyik pandang telefon dan senyum pada reels, story atau TikTok?
Bagaimana kita hendak biasakan memeluk anak sekiranya kita sentiasa mengulit telefon di tangan?
Bagaimana kita hendak memberi tumpuan kepada cerita dan luahan hati anak sekiranya konten di media sosial lebih menarik perhatian kita?
Bagaimana kita hendak memuji dan menggalakkan anak sekiranya kita lebih melayan media sosial berbanding minat anak?
Gangguan teknologi ataupun ‘technoference’ (technological interference) ini pada asalnya mengganggu interaksi dan komunikasi antara suami dan isteri tetapi apabila dibiarkan lama-kelamaan mengganggu pula perhubungan di antara ibubapa dan anak-anak.
Anak-anak Gen Z yang lahir di antara tahun 1997-2010 sudah mula meluahkan kegusaran mereka.
Entah apa pula luahan Gen Alpha yang lahir dari tahun 2010 nanti di mana aktiviti dan platform media sosial semakin rancak dilayan oleh ibubapa mereka.
Sekarang mereka belum pandai ‘bercakap’ lagi. Sebagai ibubapa, kita perlu muhasabah diri dan mengambil iktibar.
Yang sering kita bualkan adalah tentang anak ketagihan gajet. Mungkin kita patut menilai penggunaan gajet oleh ibubapa juga sebelum mengeji dan mengecam generasi muda yang bermasalah tingkah laku.
Kajian tentang Technoference menunjukkan bahawa gangguan teknologi terhadap ibubapa menjadi penyumbang (bukan penyebab) kepada tingkah laku anak-anak yang bermasalah dan mempengaruhi kualiti hubungan kekeluargaan.
Kredit: Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
Jom, meriahkan Pa&Ma Gala 2022 Reunion X TYT dan anda berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik! Sharing istimewa dari Dayah Bakar & Tasha Manshahar tentang cara penjagaan anak serta demo urutan istimewa dari Aunty June (TYT).
Daftar segera di SINI (https://toko.ideaktiv.com/product/pama-gala-2022-reunion-x-tyt/)
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)