Anak akan cepat belajar jika ibu ayah turut serta mengajar dan bagus untuk perkembangan minda anak-anak anda. Hakikatnya anak belajar, meniru apa yang dilihat dan sentiasa bersemangat untuk mengetahui semua perkara. Itulah definisi si manja pada usia ini. Seperti Amanda, enam tahun, yang suka untuk mencuba sesuatu yang baru. Terbaru dia ingin berbasikal dengan menggunakan hanya dua tayar. Dalam permulaan proses belajar, dia kerap kali terjatuh dan kecewa. Namun, mamanya Suria sentiasa memberikan semangat agar tidak berputus asa.
Demikian adalah peranan penting yang dimainkan oleh mama dan papa. Anda mempunyai peranan besar dalam memupuk sikap pantang menyerah kalah dalam diri si manja terutamanya ketika menghadapi cabaran yang sengit atau saat-saat genting.
1.Respons positif
Anak-anak akan mengaplikasikan pengajaran dengan lebih cepat dan berkesan jika ibu bapa turut sama belajar di samping mereka dan mempraktikkan apa yang telah ditunjuk ajar. Sebagaimana pepatah keluarga yang makan bersama, akan kekal bersatu. Keluarga adalah sokongan yang paling kuat kepada semangat dan jati diri si manja.
Berhati-hati ketika memberi maklum balas kepada si manja kerana ia amat memberikan kesan kepada pengukuhan kepercayaan terhadap dirinya sendiri. Cara memberikan respons kepada pertanyaan atau percubaan anak yang gagal perlulah khusus. Anda perlu membantu memperbaiki kemahirannya, berikan bimbingan dan dorongan. Bukannya menyindir dan memarahinya.
Anda juga perlu mengelakkan daripada memberi komen yang menyerang personaliti atau watak anak. Sebaliknya berikan tumpuan kepada tingkah laku. Sebagai contoh, ketika bermain badminton, berikan nasihat seperti “Cuba angkat tangan dengan lebih tinggi. Pasti adik boleh memukul bulu tangkis”, dan bukan “Kenapa adik pukul bola macam tu?!” Ingat! anak boleh membuat perbandingan melalui tona suara dan cara penyampaian kritikan anda.
2.Rendahkan jangkaan
Anda perlu banyak bersabar dan sentiasa ingat bahawa anak baru mula belajar dan membiasakan diri dengan sesuatu kemahiran. Jangkaan yang tinggi menyebabkan kesukaran kepadanya. Anda perlu melihat dan menilai sesuatu dari sudut pandangan si manja dan menyesuaikannya dengan tahap jangkaan yang ingin disasarkan.
Semakin banyak yang diharapkan daripada anak, lebih cenderung baginya menemui kegagalan.
Elakkan mengukur kejayaan anak berasaskan tafsiran diri sendiri. Sebaliknya, kenal dan perakui kejayaan dari sudut pandangan anak. Biarkan dia belajar memperbaiki diri melalui kesilapan.
3.Berpuas hati dan yakin
Anda boleh memupuk nilai murni dalam diri anak pada usia muda agar dia membesar dengan yakin terhadap pencapaian yang dimiliki. Antaranya dengan mengajarnya mencari jalan penyelesaian apabila berhadapan halangan tetapi elakkan daripada memberi penyelesaian secara langsung kepada. Beri dia kuasa untuk mengambil tindakan sendiri. Hal ini akan melatihnya menyusun strategi, mekanisme kesan-akibat, merancang dan berfikir sebelum bertindak.
Biar dia tahu, mama dan papa turut berkongsi matlamat yang sama iaitu tidak menyerah kalah dan bangkit sebagai juara. Dalam proses ini, anda perlu cuba memahami apa yang si manja alami apabila dia sedang belajar untuk bertahan dalam mengharungi kekecewaan. Hal ini adalah penting baginya untuk belajar bahawa dia tidak akan sentiasa dapat apa yang dicita-citakan. Ingatkan anda bahawa anda akan tetap berada di sisinya walau apa pun hasilnya.
Si manja juga perlu diajar untuk berhenti jika perlu. Anda perlu mengetahui tahap kemampuan anak dan mencadangkan rehat dalam percubaan menguasai sesuatu skil yang sukar. Jika dalam cuba untuk berbasikal, si manja mengalami kecederaan, maka berhenti seketika. Usah terlalu memaksa.
Menerima kegagalan dan kelemahan diri memerlukan ketabahan dan kekuatan emosi. Ketabahan juga bermakna berlatih untuk memperbaiki diri. Anda boleh berkongsi kisah kejayaan semasa kecil dahulu dengan menceritakan semula kepada si manja. Dengan cara ini, anda boleh membuktikan bahawa si kecil berjaya setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan berlatih dengan konsisten.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI