Kanak-kanak yang sedang membesar memang kita sedia maklum aktif dan suka meneroka. Berlari, memanjat dan banyak lagi aktiviti yang dibuat tidak kira dalam rumah mahupun di luar rumah bersama adik-beradik ataupun rakan yang seusia mereka.
Tapi ada sesetengahnya yang mengalami kesukaran untuk bernafas setiap kali terlalu aktif dengan aktiviti yang dijalankan. Justeru menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa yang melihat keadaan anak sukar bernafas.
Seperti yang ditanyakan oleh seorang ibu tentang keadaan anaknya yang aktif namun ada ketikanya kelihatan tercungap-cungap dan sukar bernafas. Dr Hairin Anisa Tajudin, Pakar Laktasi, Pakar Kanak-kanak Pusat Rawatan ADDA dan Pensyarah Pediatrik di Monash University Malaysia menjelaskan keadaan tersebut.
Anak lelaki saya berusia 6 tahun dan seorang yang aktif. Namun, ada ketikanya dia kelihatan tercungap-cungap dan sukar bernafas. Pernah juga dia mengeluh menyatakan perkara yang sama iaitu sukar bernafas. Adakah tanda tersebut menunjukkan dia mempunyai asma? Mohon pandangan daripada doktor.
Mama risau, Petaling Jaya.
Jawapan yang diberikan oleh Dr Hairin Anisa:
Ads
Terima kasih atas soalan Puan.
Kanak-kanak kebiasaannya di peringkat usia begini, amat aktif bermain dan selalu akan keletihan. Namun, mereka tidak sepatutnya mengalami masalah susah bernafas kecuali sebahagian kecil kanak-kanak yang menghidapi penyakit lelah (asma). Jika anak yang tercungap-cungap ketika ligat bermain, mungkin dia terlalu keletihan atau memang dia mengalami sesak nafas.
Bagaimana ibubapa dapat mengenalpasti samada anak terlalu keletihan bermain atau diserang asma (asthma attack)?
Ads
Asma adalah sejenis penyakit alahan yang disebabkan oleh tindakan antibodi IgE atau komponen yang terlibat dalam mekanisme alahan menyerang saluran dalam paru-paru (bronkiol). Tindakan ini mengakibatkan keradangan berlaku pada dinding saluran dan menjadikan ianya sangat sensitif. Keradangan pada saluran paru-paru menyebabkannya ianya bengkak dan menghasilkan kahak yang berlebihan daripada biasa. Pesakit asma amat mudah terkena serangan setiap kali terdedah kepada faktor alahan tertentu dalam makanan, cuaca / udara sejuk, minuman atau makanan yang sejuk atau terlalu penat bermain (exercise induced asthma) atau jangkitan virus. Serangan ini akan menyebabkan otot sekeliling saluran bronkiol yang bengkak (akibat keradangan) akan mengecut dan menjadi sempit (lihat gambar). Akhirnya, pesakit akan mengalami gejala batuk dan sesak nafas (bernafas laju dan dada berombak).
Sekiranya anak Puan menghidapi asma, dia akan terlalu mudah terkena serangan (lelah) setiap kali terdedah kepada faktor alahan (seperti yang dinyatakan di atas) selain daripada bermain terlalu aktif. Anak akan berasa sesak nafas, terbatuk-batuk dan kadang kala nafasnya berbunyi seperti wisel halus (wheezing) yang menandakan bahawa saluran bronkial menjadi sempit (bronchoconstriction). Jika serangan yang teruk, anak boleh menjadi kebiruan kerana kekurangan oksigen.
Ads
Namun berbeza jika anak hanya mengalami keletihan bermain, dia tidak akan sesak nafas apabila terdedah kepada faktor alahan tertentu yang lain. Maka, untuk pastikan anak mengalami asma atau tidak, bawa anak berjumpa doktor semasa dia mengalami batuk dan sesak nafas untuk mendapatkan pengesahan diagnosis. Jika doktor mendengar bunyi wisel halus dalam paru-paru melalui stetoskop, ini bermaksud anak Puan besar kemungkinan adalah pesakit asma. Maka, rawatan yang sepatutnya untuk asma mesti diberikan oleh doktor.
Oleh kerana penyakit asma ini menyebabkan kanak-kanak mengalami sesak nafas semasa aktif bermain, ibubapa menjadi “overprotective” dan tidak membenarkan anaknya menyertai sukan atau aktiviti yang lasak. Namun, perlu diingat bahawa asma ini ada ubat pencegahan dan ubat untuk membuka saluran paru-paru. Penyakit asma bukan penghalang kepada pesakit untuk aktif bermain dan bersukan. Sekian terima kasih
—————————————————————————————————–
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tak dinafikan sebagai ibu dan ayah, kadangkala kerenah anak-anak buat kepala kita sakit, hakikatnya tanpa sedar merekalah ubat hilang penat dan stres kita!
Adakalanya kita marah dan menolak ajakan si kecil untuk bermain bersama dengan alasan sibuk dan letih pulang dari kerja tanpa mengambil kira perasaan sedih si anak.
Oh, kejamnya kita sebagai ibu dan ayah sedangkan anak tak sabar hendak menghiburkan hati kita kerana kasih dan sayang mereka yang tiada hadnya.
Perkongsian daripada seorang ibu kepada sepasang cahayamata yang juga merupakan pensyarah dan penulis buku keibubapaan, Dr Siti Ujila Masuri wajar dijadikan panduan kepada semua ibu bapa.
JIKA SERABUT DENGAN KARENAH ANAK, JIKA HIDUP TERASA BERAT..SEMOGA PERKONGSIAN KECIL INI ADA MANFAATNYA
Hidup kita ini memang macam-macam halnya kan?
Kat tempat kerja, satu perkara yang saya notice ialah: ‘to-do-list’ tak pernah betul-betul settle. Belum pun siap kerja yang sedang diuruskan, ehh..dah bertambah list? Kenapa ek pandai betul kerja ni beranak-pinak. Geram pula dibuatnya. Kalaulah yang beranak-pinak ni duit kan bagus hahaha.
Ha tu dia, bila kepala dah serabut mulalah fikir macam kartun
Balik rumah pula, bagi yang ada anak-anak comel ni faham-faham je la. Baru nak rehat sekejap sebelum masak dinner, yang kecil tiba-tiba menjerit, menangis. Ingatkan kenapa, rupanya kaki terlanggar kaki meja. Hmm..okay.
Yang seorang lagi membebel-bebel cari pemadam tak jumpa. Tu baru dua orang. Kalau yang ada anak lebih ramai, huu i feel you.
Fuh, tarik nafas sekejap.
Itu baru rutin biasa. Belum cerita masalah yang buat habis hilang semua mood. Masalah hati dan perasaan. Masalah yang tak nampak jalan penyelesaian. Yang buat kita menangis sorang-sorang.
Kadang-kadang ia buat hidup terasa berat.
Berat untuk kaki melangkah. Untuk meneruskan hidup, adakalanya terasa begitu payah.
Yang ada hanya air mata yang mengalir tanpa henti dan fikiran yang buntu, tidak tahu lagi apa yang harus dilakukan.
Tuhan, betapa lemahnya diri ini.
Saat seperti ini, entah kenapa..anak cuma menangis pun kita jadi serabut. Anak bising bermain, kita jadi marah. Tak pasal-pasal, anak yang sedang seronok bermain jadi menangis kerana dimarahi.
Kita Manusia Yang Lemah
Allahu..maafkan mama sayang. Kenapalah mama macam ni..
Tuan-puan yang budiman, mengertilah bahawa ini perkara biasa.
Kita manusia lemah, yang terkadang sedikit masalah sudah mampu membuat kita hilang punca. Kita bukan robot yang tiada perasaan dan tidak mengenal penat.
Kita manusia biasa. Kita penat, kita sedih. Kita mahu bahagia, tapi seringkali hati kita terasa sakit.
Hingga seringkali anak-anak yang menjadi mangsa walaupun bukan niat kita.
Tuan-puan, izinkan saya berkongsi. Satu perkara yang sangat saya hargai. Sangat simple, tapi itulah yang banyak membantu saya menghilangkan segala rasa lelah.
Yang, ketika saya sedih, mampu untuk buat saya ketawa sekelip mata.
Seronokkan adanya satu perkara ini..
Itulah dia, anak-anak saya.
Seorang puteri, seorang putera.
Yang puteri gemar berkongsi cerita dengan saya, yang selalu ceritanya kadang-kadang buat saya ketawa, kadang-kadang buat saya tersentuh. Banyak juga dari cerita-ceritanya, Allah buka ruang untuk saya kongsikan kepadanya apa yang baik apa yang tidak.
Mengajinya lancar, sejuk hati mendengarnya. Bila disuruh dia terus buat. Bila dipanggil, dia terus datang. Sesekali dia datang saja-saja, hanya untuk mencium mamanya dan buat hati mama mengembang macam icon love di applikasi whatsapp tu haha. Kadang ciumnya banyak sangat sampai mama paksa dia stop sambil sama-sama gelak (sebab dia tetap cuba untuk cium dan mama cuba mengelak hahhaha).
Yang putera pula, jenis mudah terhibur bila dengan mama. Kadang benda tak kelakar pun dia boleh gelak sampai mama pelik, apa yang kelakar dik? Haha. Bila makan, tengok-tengok dia berdiri..sebab bila duduk tangannya susah untuk menyuap makanan (tak cukup tinggi haha). Bila saya perasan, “ehhh..laaa..adik berdiri?” Dahhh..masing-masing jadi ketawa.
Seronok rasanya bila perkara simple pun selalu jadi asbab kami gelak bersama.
Itu tang gelak. Kalau bab disuruh, dia memang akan buat. Ampai baju, lap meja makan, kemas mainan. Cakap saja, dia akan buat. Tak merungut pun. Siap kadang-kadang tu sambil mulutnya menyanyi lagu kesukaan.
Terhibur hati mama dik. Sejuk rasanya.
Very good sayang. Mama doakan..bila adik dah besar dan jadi suami orang, adik jadi suami yang rajin bantu isteri buat kerja rumah. Confirm isteri adik bertambah sayang kat adik hehe.
Itu belum cakap tentang manjanya, sweetnya dia. Teringat saya..kadang bila makan, disuapnya saya. Lagi-lagi bila mama on diet. Memang dia suka suap. Grrrr, saja je adik ni.
Sebenarnya Anak-Anak Penghibur Kita
Tuan-puan yang budiman, saya bukan nak cerita tentang anak-anak saya. Tapi saya nak kongsikan, yang sebenarnya anak-anak kita..walaupun karenahnya kadang buat kepala kita sakit…tapi mereka bukan itu semata-mata.
Terjunlah ke dalam hati kita, dan lihatlah dengan mata hati..lihatlah dengan sesungguhnya..
Kita akan mendapati, senyuman anak itu yang buat hati kita merasa lapang. Bisingnya mereka bermain bergurau, itulah riang ria di rumah kita yang akan kita rindui saat mereka semua masing-masing sudah besar dan punya hidup sendiri.
Saat kita mula mengubah sudut pandang, kita akan semakin mendapati jika mereka datang kepada kita untuk bermanja, ia tidak lagi terasa mencuri masa kita yang terhad. Tapi itulah terapi untuk kita menghilangkan penat setelah seharian bekerja. Ya memang kerja kita di rumah masih banyak. Pinggan kotor belum dibasuh. Nasi belum dimasak. Tapi..bila anak datang kepada kita, rupanya itulah masa untuk kita baring sekejap bersamanya. Dia peluk kita, kita usap kepalanya. Hilang segala penat. Selang 2 minit, anak bangun dan pergi dari kita..ready untuk menyepahkan rumah dengan mainannya haha.
Adik..adik..comelnya la hai anak mama ni.
Inilah dia ‘rungutan’ seorang ibu yang bahagia.
Ya, kita bahagia jika kita melihat yang di hadapan kita itu sebagai sumber bahagia.
Bila anak ajak bermain, sedangkan kita penat…tapi kerana kita melihat anak sebagai sumber bahagia, kita turutkan juga. Sudahnya, kita yang lagi tergelak berbanding anak.
Ya Allah, terima kasih ya Allah.
Jika dulu..aku merungut bila anakku ajak bermain. Malah aku marahinya, kataku..mama kan sibuk ni dik. Mama kan penat nii..hingga anak monyok mukanya..sedih hatinya..
Tapi sekarang, ternyata akulah yang lebih bahagia dan gembira bila mereka mengajakku bermain. Akulah yang hilang penat dan stress.
Rupanya akulah yang perlukan waktu untuk bermain bersama mereka itu, masa bersama itu..lebih dari mereka sendiri.
Mereka itulah yang membuatku gembira sekelip mata.
Terima kasih sayang mama. You are my terapi. You are my happiness sayang.
Betapa baiknya Allah kepada mama, kerana buat mama sedar dan rasai..bahawa kedua anak mama inilah syurga mama. Syurga di dunia ini, penguat mama mengharungi segala liku kehidupan, penggembira mama yang sangat pandai mencuit hati mama.
Dan syurga mama di akhirat kelak. Bila kasih sayang yang tercipta, kebahagiaan yang Allah berikan di dunia ini..berterusan hingga di syurga yang sebenar. Masa tu sayang, mama dah tak payah kerja. So all the time kita akan spend masa sama-sama..bestnyaa..tasabar..hihi.
Disiplinkan Anak Dengan Kasih Sayang
Tuan-puan yang dihormati, inilah yang saya ingin kongsikan.
Saya ingin nyatakan, bahawa anak-anak bukan tanggungjawab dan amanah semata-mata.
Memang, hadirnya mereka menambah tugasan kita.
Tapi, mereka juga hadir untuk membuat kita ketawa saat kita bersedih. Untuk membuat kita kuat saat dunia terasa melelahkan. Yang buat kita tersentuh dan hati berbunga hanya dengan ucapannya, “i love you mama”
Lihatlah ke dalam hati kita. Lihatlah dengan sesungguhnya. Itulah mereka.
Semuanya, semua bahagia ini..sangat mudah tercapai..jika kita sayangkan mereka dengan cara memberi kasih sayang.
Berilah kasih sayang kepada mereka..
Dengan banyak melihat sisi baik mereka,
Dengan banyak meluangkan masa bersama walaupun sekejap,
Dengan banyak bergurau senda dan tertawa bersama,
Dengan banyak mengucapkan kata cinta,
Dengan selalu mengusap kepalanya, mencium pipinya,
Dengan makan bersama sambil berkongsi cerita,
Dengan mengambil tahu minatnya, kawan-kawannya,
Dengan bertanyakan kepadanya jika ada yang tidak kena.
Bahkan untuk mendisiplinkannya juga dengan kasih sayang.
Itulah tegas. Tegas itu mendisiplinkan anak tanpa perlu terjerit-jerit memarahinya. Tanpa perlu mengugutnya. Tanpa perlu memukulnya.
Didiklah anak dengan kasih sayang. Besarkan anak dengan kasih sayang. Disiplinkan anak dengan kasih sayang.
Hiduplah bersama anak dengan kasih sayang.
Kasih sayang itu yang akan melembutkan hatinya hingga mudah dilentur.
Kasih sayang itu yang membuatkan anak amat kasih dan sayangkan kita.
Dan kasih sayang itu jugalah yang menjadikan hidup kita setiap hari bahagia.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Yang baik semuanya dari Allah swt.
Hari ini, bilangan wanita yang mengalami PCOS semakin ramai. Kesedaran PCOS atau ovari polisistik semakin meluas dan banyak kempen atau program yang diadakan bagi memberi lebih banyak pendedahan tentang hal ini. September merupakan Bulan Kesedaran PCOS, oleh itu marilah sama-sama kita belajar sesuatu mengenai PCOS.
Melalui perkongsian di laman Facebook, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak yang merupakan Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi menjelaskan bahawa PCOS adalah keadaan yang boleh menganggu kesuburan wanita, hormon dan penampilan seseorang wanita. PCOS mempunyai kesan jangka masa panjang kepada kesihatan. Dalam setiap 100 wanita 2 hingga 26 wanita akan mengalami masalah ini.
Apakah ovari polisistik ni?
Ovari polisistik adalah ovari yang lebih besar dari ovari-ovari yang normal dan mempunyai 2 kali ganda folikel ruang kosong dalam ovari yang berisi air selepas ovari menetaskan telur dalam setiap ovulasi).
Maka, dengan mempunyai ovari polisistik tak bermakna anda mengalami PCOS. Tetapi wanita yang telah didiagnos dengan PCOS mempunyai ovari polisistik.
Apakah gejala-gejala PCOS?
Haid menjadi tak teratur atau tiada langsung
Pertumbuhan bulu lebih banyak di muka dan badan (hirsuitism)
Kepala botak
Berat badan menjadi berlebihan – berat badan naik dengan cepat dan susah nak diturunkan
Kulit berminyak dan senang naik jerawat
Sukar untuk hamil
Kemurungan dan masalah psikologi
Gejala ini berbeza antara satu pesakit dengan yang lain. Ada yang mengalami gejala yang sedikit, walaubagaimanapun ada yang mengalami gejala yang melampau.
Apakah sebenarnya punca PCOS?
Tidak diketahui, tapi ianya diwarisi. Jika mak, makcik atau adik beradik mempunyai PCOS, kemungkinan anda mendapat PCOS pun meningkat.
Perlu diketahui gejala yang timbul akibat PCOS sebenarnya berpunca dari ketidakseimbangan hormon dalam badan.
Hormon testosteron (hormon lelaki) dihasilkan dalam kuantiti yang sedikit oleh ovari semua wanita. Wanita yang menghidap PCOS mempunyai paras hormon testosteron yang lebih tinggi dari biasa dan menyebabkan seseorang wanita itu ‘menyerupai’ lelaki
Insulin adalah hormon yang bertanggungjawab mengawal atur paras gula dalam darah. Bagi wanita yang menghidap PCOS, insulin dalam badan menghadapi kerintangan dan tidak dapat berfungsi seperti biasa. Hasilnya paras gula dalam darah meningkat.
Untuk mengatasi masalah ini, badan secara automatik akan menghasilkan lebih banyak insulin. Insulin yang banyak ini menjadi punca kepada masalah kegemukkan, haid tak teratur, masalah kesuburan dan paras hormon lelaki (testosteron) yang tinggi.
Bagaimanakah PCOS dikenalpasti?
Wanita yang menghidap PCOS mempunyai gejala yang datang dan pergi, lebih-lebih lagi jika berat badan mereka bertambah dan berkurang. Keadaan ini menyukarkan doktor membuat diagnosis dan mungkin mengambil masa yang sedikit lama untuk mengenalpasti PCOS.
Walau bagaimanapun, diagnosis PCOS dikenalpasti bila anda mengalami mana-mana 2 simptom di bawah :
Haid tak teratur, atau tiada langsung
Pertumbuhan bulu di muka dan badan yang berlebihan atau ujian darah hormon menunjukkan paras testosteron lebih dari biasa
Pemeriksaan ultrasound menunjukkan ovari polisistik
Apa kesan PCOS kepada kesihatan dalam jangka masa panjang ?
Kerintangan Insulin / Diabetes
Jika paras gula darah tidak berada dalam lingkungan yang normal, keadaan ini boleh menyebabkan diabetes. 1 atau 2 dari 10 wanita yang menghidap PCOS akan menghidap kencing manis juga nanti . Diabetes yang tidak dirawat akan menyebabkan kesan buruk untuk jangka masa yang panjang. Jika anda penghidap PCOS, kemungkinan anda mendapat kencing manis meningkat sekiranya :
Umur lebih 40 tahun
Sejarah keluarga mengidap kencing manis
Menghidap kencing manis ketika hamil
BMI melebihi 30
Tekanan darah tinggi
Wanita yang menghidap PCOS akan mengalami tekanan darah tinggi yang mana disebabkan oleh kerintangan insulin dan berat badan berlebihan untuk mereka yang menghidap PCOS. Tekanan darah tinggi yang tidak dirawat boleh menyebabkan sakit jantung, masalah buah pinggang dan strok.
Kanser
Jika anda didatangi haid kurang dari 3 kali setahun, dinding rahim akan jadi tebal lebih dari biasa dan boleh menyebabkan kanser rahim pada sebilangan kecil wanita.
Ada banyak cara untuk melindungi dinding rahim menggunakan hormon progesterone. Doktor akan berbincang dengan anda sama ada menggunakan pil hormon selama 5 hari berturut–turut untuk 3 atau 4 bulan, mengamalkan pil perancangan keluarga atau menggunakan alat dalam rahim (Mirena) . Cara-cara ini bergantung kepada hasrat pesakit sama ada mahu mengandung lagi atau tidak.
PCOS TIDAK meningkatkan risiko wanita mendapat kanser payu dara atau kanser ovari.
Kemurungan dan perubahan mood
Simptom PCOS boleh menyebabkan seseorang wanita kemurungan memikirkan perubahan yang terjadi pada diri dan berasa rendah diri
Apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko jangka panjang ?
Mengamalkan gaya hidup yang sihat
▪ Makan makanan yg seimbang
▪ Bersenam secara berkala ( 30 minit setiap sesi sekurang kurangnya 3 kali seminggu )
Dapatkan berat badan atau BMI yang ideal
Pemeriksaan doktor berkala untuk saringan kencing manis, darah tinggi, kanser Rahim atau masalah kemurungan
PCOS boleh sembuh?
PCOS tiada penawar dan tidak boleh sembuh. Rawatan perubatan yang diberikan adalah untuk mengurangkan simptom-simptom PCOS di samping mencegah komplikasi yang boleh timbul akibat PCOS. Rawatan yang sangat berkesan adalah dengan mengurangkan berat badan dan bersenam dan mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat, bukan bergantung kepada ubat-ubatan semata-mata.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Tepat 14 tahun kita hidup bersama, Elyana titip ucapan istimewa sempena ulang tahun perkahwinan. Ulang tahun perkahwinan menjadi kenangan manis dalam perjalanan cinta pasangan suami isteri.