Copy of NEWBORN - 2020-06-29T122956.975

Sayur-sayuran sememangnya merupakan musuh kepada seorang kanak-kanak. Mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan diri mereka selamat daripada dipaksa ibu bapa untuk memakannya. Namun begitu, ia bukanlah satu perkara yang wajar dilakukan kerana sayur-sayuran adalah jenis makanan bernutrisi yang wajib ada dalam menu kanak-kanak.

Anak-Anak Akan Contohi Ibu Bapa. Kalau Anda Benci Sayur, Anak Pun Akan Benci Sayur
Memaksa kanak-kanak untuk makan sayur bukanlah satu langkah yang bijak. Sebenarnya, terdapat beberapa trik atau tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi mengajar si kecil kesayangan mereka untuk makan sayur-sayuran.

#1. Puji anak anda apabila mereka makan sayur

Apa yang diperlukan oleh kanak-kanak sebenarnya hanyalah sokongan dan galakan daripada ibu bapa. Jadikan aktiviti makan sayur seperti sebuah pertandingan dan jika mereka berjaya, puji mereka. Namun jika tidak, jangan pula anda berkecil hati atau memarahinya. Sudah menjadi tugas ibu bapa untuk mendidik segenap aspek kehidupan anak.

#2. Pelbagaikan cara masakan

Kadangkala, kanak-kanak mungkin sudah bosan dengan cara masakan anda. Seperti contoh, mereka mungkin tidak menggemari sup sayur-sayuran yang anda selalu sajikan. Sebaliknya, anda boleh cuba cara masakan lain seperti memanggang atau menggoreng sayur-sayuran bagi mempelbagaikan menu sayur-sayuran mereka.

#3. Libatkan anak anda

IKLAN

Anda boleh melibatkan anak anda untuk membantu semasa membeli, menyedia dan memasak sayur-sayuran. Beri peluang kepada mereka untuk memilih jenis sayur yang mereka suka dan terangkan apa khasiatnya kepada mereka. Semasa menyedia dan memasak pula, pelawa anak anda untuk membantu anda di dapur bagi membiasakan diri mereka dengan sayur-sayuran.

#4. Campurkan sayur ke dalam makanan

Trik ini adalah cara yang paling berkesan dalam memperdaya anak untuk makan sayur. Apa yang anda perlu lakukan adalah mencampurkan sayur-sayuran yang telah dipotong kecil-kecil ke dalam makanan anak. Sebagai contoh, selitkan sayur timun dan kubis ke dalam burger dan biarkan anak anda memakannya. Lama-kelamaan, mereka akan terbiasa dengannya.

#5. Jadikan sayur sebagai snek

IKLAN

Kanak-kanak amat lemah dan mudah terpedaya dengan snek. Anda boleh menggunakan kelemahan mereka ini sebagai senjata anda. Jadikan sayur-sayuran sebagai ganti kepada makanan ringan yang selalu dijadikan snek oleh anak anda. Ketika mereka berasa lapar, tawarkan kepada mereka snek ciptaan terbaru anda.

Apa yang anda perlu lakukan adalah meletakkan sayur-sayuran yang telah dipotong kecil-kecil di dalam sebuah bekas. Hias bekas ini dengan warna, corak yang boleh menarik minat anak anda. Anda boleh meletakkan sayur seperti lobak, timun, tomato atau brokoli dan mencampurkan kesemuanya di dalam satu bekas agar ia kelihatan menarik.

#6. Jadikan sayur-sayuran sebagai jus atau koktel

IKLAN

Jika anak anda memang tidak menyukai sayur dalam bentuk pepejal, jadikan ia sebagai bentuk cecair. Sebagai contoh, kisar timun, lobak atau tomato untuk menjadikan sayur-sayuran ini sebagai jus. Cara ini akan membuat mereka tertarik kerana lebih mudah untuk mereka menelannya selain warna-warna jus sayur-sayuran yang sangat menarik dan pelbagai.

#7. Jadi kreatif

Kanak-kanak sangat mudah terpedaya dengan sesuatu makanan yang kelihatan menarik. Anda boleh memotong sayur-sayuran menjadi bentuk yang comel dan mudah untuk dimakan seperti kiub atau batang mancis. Selain itu, anda juga boleh hiaskan pinggan makan dengan cantik dan hidangkan sayur-sayuran yang pelbagai warna kepada anak anda.

#8. Jadi contoh yang baik

Anak-anak gemar mencontohi sikap ibu bapa mereka. Jika anda adalah seorang pengamal diet yang sihat, kemungkinan besar anak anda juga akan mewarisi sikap anda. Begitu juga sebaliknya. Oleh itu, anda juga perlu memainkan peranan dengan makan sayur di hadapan dan bersama-sama dengan mereka.

Sumber: Hello Doktor

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI