Anak Asyik Nak Berdukung 24 Jam. Ada Cara Ibu Boleh Buat Bagi Anak Faham

Share

“Anak asyik nak berdukung je 24 jam. Nak buat kerja pun tak boleh. Letak je terus nangis. Sampaikan kerja rumah jadi terbengkalai,” luah Aini.

Mesti ramai yang mengalami masalah anak asyik nak berdukung setiap masa dan akan menangis setiap kali letak bawah. Adakah nak biar je dia menangis atau ikut kehendak dia?

Jom baca lebih lanjut dari Maryam Jamadi (Occupational Therapist) mengenai perkara ini.

Buat pengetahuan ibu, pertama, kena faham kenapa bayi suka kena dukung. Bayi secara fitrahnya memang suka kena dukung. Sebab bila didukung, secara tak langsung dia akan dipeluk dan terasa dibuai, didodoi.

Perkara ini saya suka kaitkan dengan Pyramid of Learning (Williams & Shellenberger), ada 3 core sensory yang menjadi asas dalam piramid ini iaitu:

1. Tactile (deria sentuhan)

2. Vestibular (deria keseimbangan/balance)

3. Propioception (deria sendi/joint senses)

Sejak dari lahir, bayi memerlukan semua deria ini dalam proses perkembangan otak. Sebab itu, bayi normal memang suka dibelai (deria sentuhan), suka dipeluk (deria sendi) dan suka didukung (deria keseimbangan).

3 deria penting ini memang sangat diperlukan untuk perkembangan otak bayi. Setiap bayi berbeza keperluannya. Jadi jangan bandingkan anak kita dengan anak org lain. Tugas kita ialah memenuhi semua keperluan deria ini, bukan hanya dengan berdukung ok? Ada banyak cara untuk memenuhi keperluan sensori bayi, tak perlu beli apa-apa pun cuma pakai apa yang ada je. Contohnya:

Tactile (Deria sentuhan)

1. Pakaikan losyen pada bayi sambil belai-belai seluruh badan bayi.

2. Sambil minum susu boleh usap-usap kepala dia.

3. Baringkan bayi dekat atas baju belum lipat, lagi banyak jenis material kain lagi bagus.

4. Beri bayi gengam jari kita.

5. Usap tangan dan jari jemari bayi.

6. Beri bayi main dengan pelbagai jenis texture dan bentuk.

Vestibular (Deria keseimbangan)

1. Letak dalam buaian ataupun bouncer semasa dia sedar.

Proprioception (Deria sendi/ Joint sense)

1. Urut lepas mandi. Sangat penting dan tolong jangan skip untuk bayi baru lahir.

2. Pakaikan bedung untuk bayi baru lahir.

3. Selalu buat “tummy time” seawal baru lahir.

4. Peluk bayi.

Cara di atas ini boleh dilakukan untuk bayi baru lahir untuk memenuhi keperluan sensori mereka.

Kedua, kenapa bayi suka berdukung adalah disebabkan Separation Anxiety (resah bila berpisah). Ini normal dalam proses perkembangan emosi bayi. Bila kita hilang dari pandangan, bayi akan rasa macam kita akan hilang selamanya. Sebab itulah, bila kita letak ke bawah dia risau kita “hilang”.

Biasanya akan bermula bila bayi dah kenal orang sekeliling, lagi teruk bila pergi rumah orang tak nak lepas nak melekat je. Biasanya bermula seawal 6-7 bulan dan waktu genting sekitar 10-18 bulan dan mungkin akan berterusan sampai umur 2 tahun. Jangan risau, ini semua akan hilang ikut masa. Kena ingat setiap bayi berbeza.

Tapi, berdukung/melekat 24 jam ini mungkin akan timbul masalah lain sekiranya bayi kurang “tummy time”, meniarap atau merangkak. Jadi mak ayah kena juga buat sesuatu, supaya bayi belajar yang kita tak “hilang” pun. Caranya

1. Ajar konsep “bye- bye”.

Bila kita ke mana-mana, cakap “bye, ibu pergi tandas/dapur ni”. Kalau baru-baru memang dia akan menangis, jadi kita pergi sekejap je main cak-cak dengan dia. Bila dah selalu buat, dia dah faham konsep “bye” baru boleh pergi lama sikit.

2. Kena selalu bercakap dengan bayi walaupun dia tak faham.

Bagitahu nak pergi tandas, nak pergi makan nak ke mana-mana. Nanti lama-lama dia faham, makan dekat dapur, tandas dekat mana dan sebagainya.

3. Kalau pergi mana-mana, bawa mainan yang dia biasa main untuk dia rasa selamat macam rumah. Boleh kurangkan ini bila anak dah boleh cope dengan tempat baru.

4. Kalau punca berdukung sebab bosan, bagi dia pegang apa-apa barang baru yang selamat. Contoh ke dapur, bagi main senduk, tupperware, bekas-bekas yang selamat untuk alihkan perasaan nak berdukung.

5. Untuk yang dah pandai merangkak atau berjalan, selalu main kejar-kejar dengan dia. Bila dia datang dekat nak dukung, kita lari sambil gelak-gelak.

6. Cara terakhir, kalau bayi minta dukung tapi kita cakap ada kerja nak buat. Biarkan dia menangis. Jangan pandang langsung, muka senyum relaks je. Lepas dah siap kerja, cakap “ok dah siap” sambil pandang anak. Masa ini baru boleh pergi ke anak. Semakin lama, boleh cuba makin jarakkan masa pergi pada anak. Lama-lama anak akan percaya yang kita tak abaikan pun dia, cuma ada kerja sekejap.

Apa yang penting adalah emosi kita masa menguruskan masalah anak nak berdukung. Kena bertenang dan jangan ada sikit pun rasa bersalah sebab bayi boleh kesan emosi dan reaksi kita yang kelam kabut itu.

Published by
Hasnita Sawal