Anak Baru Belajar Berjalan, Terjatuh Dan Gigi Susu Tercedera. Perhatikan Tahap Kecederaan Gigi Sebelum Ke Klinik

Share

Saya nak tanya semua, anak saya baru pandai berjalan. Terjatuh dan gigi dia kebelakang. Apa perlu saya buat?

Ibu cemas.

Kecederaan gigi susu sangat kerap berlaku pada kanak-kanak kecil yang baru belajar berjalan, berlari dan memanjat. Kecederaan kegigian juga berlaku apabila kanak-kanak tersebut terjatuh daripada basikal atau terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Apakah Kecederaan yang Boleh Berlaku kepada Gigi Susu?

Konkusi
-Ada impak pada gigi, tetapi tiada perubahan ketara pada gigi tersebut
-Rawatan segera tidak diperlukan. Akan tetapi gigi perlu diperiksa secara berkala oleh doktor gigi.
-Adakalanya gigi tercedera ini boleh berubah warna (warna kelabu atau kekuningan). Ini biasanya tidak menjadi masalah. Akan tetapi jikalau kanak- kanak tersebut juga mengalami kesakitan atau bengkak pada gusi, maka perlulah berjumpa dengan doktor gigi.

Subluksasi
-Impak pada gigi menyebabkannya goyah dan gusi berdarah tetapi gigi masih pada kedudukan asal

Luksasi
-Gigi sudah terganjak akibat impak

Avulsi
-Gigi sudah tercabut keluar dari soket (gusi) akibat impak
-Patah kepala gigi
-Bahagian korona gigi patah. Jika patah sehingga ternampak bahagian pulpa gigi, anda perlu berjumpa dengan doktor gigi untuk mendapatkan rawatan segera.

Struktur Gigi

Patah akar gigi
Akar gigi (di bawah paras gusi) sudah patah. Gigi mungkin goyah dan gusi berdarah
Rawatan Kecederaan Kegigian Susu

Kecederaan kegigian susu boleh mengakibatkan kecederaan kepada struktur gigi kekal yang sedang berkembang berdekatan dengan akar gigi susu. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu mendapatkan nasihat doktor gigi jika kanak – kanak mengalami kecederaan kegigian dan jika ada kelewatan dalam perkembangan gigi kekal.

Gigi yang Longgar atau Tergerak (Subluksasi dan Luksasi)

Rawatan yang diberi berdasarkan kepada kecederaan tersebut. Jika gigi susu terlalu goyang, ia perlu dicabut. Jika tergerak sedikit, tetapi tidak menganggu fungsi, ia boleh diperhatikan dahulu dan dicabut hanya jika mempunyai gejala.

Dalam keadaan seperti gambar rajah di atas, gigi susu tersebut perlu dicabut kerana ia boleh mengganggu fungsi (pemakanan, pertuturan).
Gigi susu tidak diposisikan semula seperti mana dilakukan untuk kegigian kekal.

Avulsi

Gigi susu yang teravuls (tercabut keluar dari soketnya) tidak perlu diletakkan semula ke dalam soket. Gigi yang tercabut keluar perlu dicari. Jikalau gigi tercabut itu tidak dijumpai, kanak-kanak tersebut akan perlu diperiksa untuk memastikan jika ada kemungkinan gigi itu tertelan atau termasuk ke dalam saluran pernafasan

Gigi patah

Rawatan yang diberi berdasarkan bahagian mana gigi tersebut yang patah. Jika ianya melibatkan bahagian pulpa (saraf) gigi, cabutan mungkin lebih sesuai. Sekiranya kanak-kanak tersebut boleh memberi kerjasama, maka rawatan akar pada gigi susu tersebut boleh juga dijalankan. Doktor gigi anda dapat memberi nasihat selepas pemeriksaan jikalau gigi tersebut boleh ditampal.

Rujukan

U Glendor, Epidemiology of traumatic dental injuries – a 12 year review of the literature. Dental Traumatology 2008; 24:603-611

Kredit: Portal KKM

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa