Anak Bawah 5 Tahun Paling Mudah Dijangkiti Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut. Bayi Pun Tidak Terkecuali!

Share

Penyakit tangan, kaki dan mulut atau hand foot and mouth (HFMD) kerap menjangkiti kanak-kanak termasuk bayi. Mama papa wajib tahu  mengenai penyakit ini.

Pada musim perayaan dan keraian ini boleh meningkatkan risiko jangkitan penyakit ini. Apatah lagi jika anak-anak yang dijangkiti tidak dikuarantin dan dibiarkan keluar bebas bermain dengan anak-anak yang lain.


HFMD ialah penyakit berjangkit kanak-kanak bawah usia 10 tahun yang mengakibatkan lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut. Tekak dan tonsil akan membentuk ulser kecil manakala pada tangan, kaki dan kawasan lampin pula dijangkiti ruam yang melepuh berisi air. Mama papa perlu mendapatkan rawatan dan pengesahan daripada doktor bagi memastikan penyakit ini.


SIMPTOM HMFD
Berikut ialah ciri-ciri HMFD. Mama dan papa peka pada perubahan diri si manja untuk pengesanan awal.

  1. Demam
  2. Sakit Tekak
  3. Ulser pada tekak, mulut dan lidah
  4. Ruam atau lepuhan kecil pada tangan, pergelangan tangan, kaki dan kawasan lampin.
  5. Tapak tangan dan tumit kaki adalah dua lokasi yang menjadi tumpuan munculnya ruam ini.
  6. Sakit kepala
  7. Hilang selera makan

BAGAIMANA IA MEREBAK?
Penyakit tangan, kaki dan mulut HFMD merebak dari individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti. Tidak terhad kepada kanak-kanak, individu dewasa juga boleh dijangkiti. bagaimana pun bayi dan kanak-kanak di bawah usia 5 tahun paling mudah dijangkiti HMFD.


BERISIKO TERJADI DALAM KELOMPOK
HFMD selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan atau berada pada lokasi bersama. Ia boleh merebak melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas melakukan penukaran lampin atau sentuhan kepada air liur yang membolehkan virus berpindah daripada satu kanak-kanak ke kanak-kanak lain. Walau pun HMFD biasanya tidak serius tetapi sebilangan kecil kes didapati boleh menimbulkan komplikasi merbahaya apabila melibatkan sistem saraf dan jantung.


PERLU RAWATAN SEGERA
mama dan papa yang mendapati si manja mempunyai simptom HMFD perlulah segera membawa mereka mendapatkan rawatan. Kepekaan kepada sebarang perubahan tingkah laku anak-anak mereka seperti kerengsaan dan mengantuk. Jika mereka tidak mahu minum atau makan, muntah berterusan, atau mengantuk,segera membawa anak mereka ke hospital untuk mengelakkan perkara tidak diingini.


PERLU BERTANGGUNGJAWAB ELAK JANGKITAN
Pada musim perayaan ini, elakkan daripada membawa anak yang mengalami HMFD keluar bagi mengelakkan jangkitan. kuarantinkan mereka untuk mengelakkan jangkitan kepada kanak-kanak lain ialah tindakan yang bertanggungjawab. Elakkan juga menghantar mereka ke tadika, taska atau nurseri. Sapu dan bersihkan hidung serta mulut anak dengan tisu dan buang tisu yang telah digunakan. Sentiasa basuh tangan selepas menyentuh anak yang sakit dan sebelum menyentuh anak lain yang sihat untuk mengelakkan jangkitan.
Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis. Pastikan anda juga tidak membiarkan anak berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.
Paling mustahak mama papa wajib memastikan diri mereka bersih terlebih dahulu sebelum menguruskan anak atau bayi mereka. Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.

Published by
Azma ML