Ada ibu bapa merungut bila suruh anaknya pegang buku, macam-macam lah alasan. Kadang tu baca tak sampai 10 minit, terus pergi main. Nak paksa atau beri kebebasan anak main dulu.
Menurut Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi ramai ibu bapa bertanyakan soalan padanya.
“Anak saya suka sangat melukis, saya risau dia leka melukis sampai abaikan pelajaran”
Saya: Umur anak puan berapa ya?
“4 tahun”
Ada mak ayah tanya soalan ini kepada saya semasa sesi penilaian, susah saya nak jawab sebab ini adalah atas individu itu sendiri. Sebenarnya sejak anak umur 4 bulan, mereka dah ada personaliti mereka sendiri dan “hobi” setiap anak berbeza.
Ada yang hobinya menconteng.
Ada yang hobinya melompat.
Ada yang hobinya memanjat.
Ada yang hobinya menyelongkar almari.
Ada yang hobinya cerai-ceraikan mainan kereta.
Ada yang hobinya main anak patung.
Hobi-hobi anak ini, kita tak perlu suruh pun mereka akan cari dan buat dengan sendiri ikut minat mereka. Samalah macam orang dewasa, semua orang hobi berlainan. Macam mana kita hormat hobi orang lain macam itu juga kita perlu hormat “hobi” anak-anak selagi tak memudaratkan dan tak ada masalah.
Mana tahu daripada hobi ini, 20 tahun akan datang anak akan jadi sorang yang sangat berbakat dalam bidangnya.
Yang hobinya melukis, mana tahu dia bakal jadi arkitek terbaik.
Yang hobinya menyibuk masa mak ayah memasak, mana tahu dia bakal jadi chef terhebat.
Yang hobinya memunggah barang, mana tahu dia bakal jadi seorang akauntan terbaik negara.
Yang mana hobinya “pot pet” sentiasa, mana tahu bakal jadi peguam antarabangsa.
Yang mana hobinya main dengan anak patung, mana tahu dia bakal jadi pakar bedah.
Yang mana hobinya asyik nak kejar kucing, mana tahu dia bakal jadi doktor haiwan terbaik.
Yang mana hobinya ceraikan kereta mainan, mana tahu dia bakal jadi jurutera pembuatan kereta.
Cuba bayangkan hobi anak adalah melukis, tapi kita asyik halang dan sekat hobi mereka. Kita secara tak langsung menyekat perkembangan motor halus yang sepatutnya mereka cari sendiri dan secara tak langsung menyekat komponen kreativiti dan imaginasi yang sangat penting dalam perkembangan otak.
Perkembangan motor halus terbantut ➡kurang kreativiti dan imaginasi ➡Anak stress ➡Emosi terganggu ➡ Semua perkembangan terbantut ➡Melukis tak nak, belajar tak nak
Apa pun tak dapat kerana stress kronik pada anak-anak memang terbukti akan membantutkan perkembangan dan anak akan mempunyai risiko mempunyai masalah mental di masa akan datang.
Apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Kalau nak cerita tentang kebaikan bermain dan berseni (arts and creative) memang banyak sangat untuk anak-anak sehinggakan ianya kerap digunakan sebagai terapi untuk anak.
Kita tak perlu tentukan kerjaya anak sejak kecil, cukuplah sekadar nasihatkan mereka untuk buat sesuatu itu dengan sepenuh hati. Hormatilah hobi anak kita.
“Hobi” anak ini juga adalah berdasarkan keperluan sensori mereka dan pekerjaan anak-anak terutamanya 7 tahun ke bawah adalah bermain. “Kerja separuh masa” mereka barulah belajar. Itupun berdasarkan kesediaan mereka untuk belajar dan personaliti anak. Tugas mak ayah adalah menarik minat mereka belajar mengikut kreativiti dan bukannya dengan cara memaksa.
7 tahun kebawah adalah fasa persediaan anak untuk belajar dan bukannya wajib dah pandai belajar. Kembangkan motor halus dan motor kasar anak secukupnya dengan lakukan banyak aktiviti di rumah atau luar rumah. 70% masa anak bermain, 30% masa belajar bukannya sebaliknya. Kalau belajar sambil bermain lebih bagus sebab dua-dua dapat.
Kebanyakan kes anak yang tak suka belajar, pasti ada sebab tersendiri yang mak ayah perlu siasat. Kalau nak kepastian, disarankan berjumpa dengan occupational therapist bertauliah untuk lakukan developmental atau handwriting screening mengikut keperluan anak.
Sumber: Maryam Jamadi (Terapis Cara Kerja)