Anak Bermain 20 Kali Ganda Mudah Faham. Ulang Buat Benda Sama Tanda Sel Otak Sedang Berhubung

Share

Bemain ialah fitrah kanak-kanak. Menerusi bermain anak mudah faham & ingat. Manakala pengulangan pula bantu perkembangan sel otak.

Menurut Puan Noor Afidah Abu Bakar, konsultan keibubapaan dengan bermain anak 20 kali ganda lebih mudah faham. Jadi ibu bapa jangan rimas kalau anak buat perkara sama berulang kali, itu tanda sel otak sedang berhubung.

Beliau menampilkan kajian yang dilakukan oleh saintis di mana pengulangan menerusi bermain jauh lebih berkesan kepada kanak-kanak!

KANAK-KANAK BELAJAR LEBIH EFEKTIF DENGAN PENGULANGAN

Secara umumnya kita sudah pun tahu bahawa kanak-kanak belajar dengan efektif apabila sesuatu pembelajaran itu berlaku secara berulang-ulang. Contohnya

  • pengulangan melalui latihan
  • pengulangan pergerakan
  • berulang-ulang didedahkan kepada sesuatu informasi
  • berulangkali berusaha untuk mencapai sesuatu matlamat.

Tingkah laku yang positif juga boleh dipupuk jika dilatih dan diamalkan secara berulang-ulang.

BANTU BINA PERHUBUNGAN NEURON DALAM OTAK

Pengulangan atau ‘repetition’ ini sangat penting untuk proses pembelajaran kerana pengulangan inilah yang membina perhubungan neuron dalam otak. Perhubungan neuron ini diperkukuhkan lagi apabila pengulangan berlaku.

DENGAN BERMAIN, TAK PERLU ULANG BANYAK KALI UNTUK INGAT

Walau bagaimanapun, kajian mendapati bahawa BERMAIN tidak memerlukan pengulangan yang banyak bagi mewujudkan perhubungan neuron.

Ini kerana bermain itu sendiri adalah kaedah pembelajaran yang SANGAT EFEKTIF bagi kanak-kanak. Kanak-kanak mempelajari pelbagai perkara melalui bermain, walaupun mereka kelihatan releks dan santai, kerana itulah tugas hakiki mereka.

PAKSA DUDUK DIAM BERTENTANG DENGAN PROSES PEMBELAJARAN

Memaksa kanak-kanak untuk duduk diam di meja pada satu jangkamasa yang lama tanpa sebarang pergerakan atau penerokaan adalah ‘counter productive’ bagi proses pembelajaran.

Ini merupakan satu penderaan intelektual kerana ia melawan fitrah semulajadi kanak-kanak.

Bandingkan 400 pengulangan dan 20.
Bezanya sungguh banyak.

Noor Afidah Abu Bakar

Published by
Azma ML