Kanak-kanak pra sekolah (empat hingga enam tahun ) memang seorang yang aktif dan suka bermain dengan mainan kegemarannya berbanding belajar. Mereka ini langsung tidak menunjukkan keadaan penat pada dirinya. Mungkin sekali-sekala akan memasuki dapur untuk minuman menghilangkan dahaga dan lapar.
Bagaimanapun, kanak-kanak pada tahap usia ini tidak harus dibiarkan bermain tanpa kawalan daripada ibu bapa atau guru di tadika. Ia akan menjejaskan perkembangan diri anak secara positif termasuk untuk membentuk potensi diri dan kecerdasannya. Inilah yang dikatakan bermain sambil belajar!
POTENSI DIRI DAN KECERDASAN
Potensi dalam diri kanak-kanak bukan sahaja untuk bersosial seperti bermain dengan rakan-rakan sebaya sahaja tetapi mereka ini mempunyai kebolehan untuk meneroka, berimainasi,suka mencuba sesuatu yang baru, mencabar, belajar menyelesaian masalah dan mempunyai kemahiran mengingati.
Dalam aspek pembelajaran pada usia ini, sebagai ibu bapa sudah tentu anda akan membandingkan tahap kecerdasan anak anda dengan rakan sebayanya di tadika. Namun usah ia menjadi isu kerana kecerdasan setiap kanak-kanak adalah berbeza antara satu sama lain. Begitu juga degan minat mereka. Cepat atau lambat anak ini menerima pembelajaran adalah bergantung kepada minat mereka.
Bayangkan ada kanak-kanak dengan mudah dapat melakukan pergerakan lompat dengan tali untuk aktiviti motor kasar tetapi ada kanak-kanak lain sukar untuk melakukannya. Begitu juga aktiviti kognitif seperti menggunakan ‘puzzle’ tidak semua kanak-kanak dapat menguasainya dengan cepat. Namun bagi mereka mempunyai minat yang tinggi dapat melakukan dengan mudah.
ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kematangan kanak-kanak tidak sama. Jadi hendaklah mengembangkan minat anak-anak bukannya menentukan pekara mengikut kehendak ibu bapa.
INI AKTIVITI BERMAIN YANG BOLEH RANGSANG KECERDASAN DAN POTENSI DIRI
Ibu bapa boleh cuba aktiviti rangsangan minda ini kepada anak.
- Barang mainan
Dengan barang permainannya kanak-kanak boleh melakukan imaginasi dan meneroka. Contohnya kereta mainan, dia akan membayangkan diri membawa kereta itu. Semasa bermain dengan akan meneroka bagaimana kereka itu bergerak dan kenapa tayar kereta itu bulat dan warna kenderaan itu. Aktiviti ini sesuai untuk merangsang mindanya. Jadi ibu bapa haruslah pilih aktiviti yang sesuai dengan usianya dan jelaskan aktiviti permainan itu.
- Buku cerita
Duduk bersama anak anda untuk membaca buku cerita yang disukainya. Aktiviti ini mengajar anak anda menjadi seorang yang pendengar dan belajar mengingati jalan cerita dan watak cerita itu. Ilustrasi dan warna yang ditampilkan dalam buku cerita itu akan membuatkan anak anda berimaginasi terhadap watak dalam cerita itu. Pilihlah buku cerita yang mengisahkan teladan dan mempunyai nilai moral yang tinggi.
- Bersosial dengan rakan sebaya
Ibu bapa boleh mengadakan majlis hari jadi merupakan salah satu akviti sosial yang selamat untuk kanak-kanak pra sekolah. Majlis ini biasanya akan menjemput rakan-rakan sebaya di kawasan tempat tinggal dan di tadika. Situasi ini mengajar kepada anak anda mengenai erti persahabatan, setia kawan, perkongsian dan sikap tidak mementingkan diri sendiri. Cara ini mampu memberi impak kepada emosinya apabila dewasa nanti.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Nakal, Ini Tip Cara Mendidik Oleh Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah
Cabaran terbesar ibu bapa ialah mendidik anak yang nakal. Setiap ibu bapa ingin mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna kepada masyarakat, mengenal penciptaNya dan berbakti kepada ibu bapa.
Namun berdepan dengan kedegilan anak-anak membuatkan mak ayah buntu dalam mendidik. Pelbagai ragam anak-anak mengundang rasa marah mak ayah. Kesabaran pun mulai tipis.
Anak Nakal, Ini Tip Cara Mendidik Oleh Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah
Artikel berkaitan: Anak Nakal & Lasak Itu Normal, Tapi Lasak Jenis Ni Mak Ayah Perlu Lebih Perhatian, Jangan Biarkan!
Anak Nakal Sikit, Dah Mengeluh. Sepatutnya Kita Bersyukur! Orang Lain Nak Rezeki Anak Susah
Tip yang dikongsikan oleh Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah ini mungkin boleh diamalkan oleh mak ayah. Kita usaha mana yang termampu.
1. Pastikan anak makan malam sebelum maghrib seperti yang Nabi SAW sarankan supaya mudah belajar waktu malam. Makan malam lepas maghrib buat anak mudah letih dan mengantuk bila belajar.
Makanan hadam selepas 1 ½ jam makan. Jadi anak boleh belajar dengan berkesan dan fokus jika belajar 1 ½ jam selepas makan malam. Pastikan dia kurang makan daging merah, banyakkan daging putih seperti ayam dan ikan.
Daging merah buat anak pemarah dan agresif serta mudah melawan cakap. Pastikan mereka makan buah SEBELUM makan nasi agar badan dapat serap Vitamin C yang ada dalam buah-buahan. Vitamin C membantu tenangkan fikiran anak di samping jaga kulit.
Banyakkan memeluk anak. Anak yang sering dipeluk akan tenang, kurang degil, rasa selamat dan disayangi serta tidak perlu nak buat nakal.
3. Pesan kepada anak untuk menghadap Qiblat semasa belajar atau mengaji, ini akan tingkatkan keberkatan dalam belajar.
4. Sebelum belajar, baca doa-doa penerang hati termasuk surah Al-Insyirah. Nabi suruh Ali RA baca surah Al-Insyirah untuk kuat ingatan, mudah faham, jadi tenang, mudah patuh arahan ibubapa dan tidak banyak meragam.
5. Letak pokok hidup, seperti pokok keladi air, di kanan dan kiri meja tempat anak belajar untuk bekalkan oksigen kepada otak anak semasa belajar.
6. Beri anak suplemen yang dapat menguatkan minda, tenangkan emosi, lembutkan hati dan kuatkan daya ingatannya.
7. Bacakan di kepala anak surah Al-Fatihah, ayar Qursi dan surah Al-Insyirah untuk rangsang otak dan memori anak dan jadikan dia anak yang tenang, baik akhlak, dengar cakap ibubapa dan pintar. Bacakan waktu malam semasa nak belajar dan waktu anak nak pergi tadika atau sekolah.
8. Elakkan anak memakai pakaian berwarna merah atau oren. Ikut kajian, warna merah dan oren akan rangsang anak jadi agresif dan hyperaktif.
9. Suruh anak tidur mengiring kekanan agar otak jadi lebih pintar, puas tidur dan ikut sunnah Nabi SAW.
10. Pastikan rezeki yang ibu bapa terima benar-benar berkat dengan mengelakkan perkara haram dan syubahat serta keluarkan zakat pendapatan dan zakat-zakat yang berkenaan. Rezeki yang kurang berkat juga jadi punca anak jadi agresif, tidak dengar cakap ibubapa dan extra nakal.
11. Ibu bapa baik pulih diri secara bersepadu agar Allah SWT ubah anak-anak jadi hebat dan cemerlang.
Prinsip hidup: Jika baik pulih diri kita secara bersepadu, Allah SWT akan ubah anak-anak dan semua orang di sekeliling kita. Juga, semakin rapat kita dengan Allah SWT, maka Allah SWT akan perbaiki hubungan kita dengan semua orang.
Mulai hari ini baik pulih diri secara menyeluruh dengan:
1. Jaga solat 5 waktu dan lakukan solat-solat sunat qabliah dan ba’diah untuk menampung segala kekurangan dalam solat-solat fardhu kita.
2. Solat taubat dan istighfar 70 kali sehari setiap hari. Lakukan juga solat hajat, istikharah dan tutup dengan solat WITIR setiap malam. Nabi SAW suruh kita untuk solat witir setiap malam sebagai pembalut kepada semua amalan kita setiap hari untuk dipersembahkan kepada Allah SWT.
3. Maafkan semua orang setiap malam sebelum tidur agar hati jadi bersih, badan sihat, wajah jadi anggun, doa dimakbulkan, semua orang sayang dan anak dengar cakap kita.
4. Untuk merangsang ahli keluarga supaya solat dan elok perangai, bacalah Surah Ibrahim (ayat 40). Ini memang doa khas untuk mohon agar diri dan keluarga jaga solat.
5. Baca Doa Pembuka 12 Pintu, Doa Membuang Sifat Negatif, Bismillah 5 dan Ayat Qursi. Pengalaman menunjukkan sesiapa yang mengamalkan doa-doa tersebut, maka orang bujang akan bertemu jodoh, suami isteri akan bertambah sayang, orang bergaduh akan jadi damai, selesai masalah, langsai hutang, anak-anak jadi hebat dan soleh, hilang perangai buruk seperti enggan solat, dan sebagainya.
6. Pagar diri dengan Fatehah and Surah 3 Qul, hembus tapak tangan dan sapu seluruh badan. Ini akan menghindar daripada gangguan manusia, binatang, jin dan sihir.
7. Lembutkan hati anak kita atau orang lain dengan Fatihah, Surah Al-Hasyr (ayat 21-24), Surah Ta Ha (ayat 1-5), Ayat Qursi dan hembus ke badan, makanan, gambar atau pakaian yang sudah dipakai sebelum dicuci atau sekadar menghembus ke arah orang itu dari jauh.
8. Layan anak lebih baik daripada biasa agar dia rasa bersalah jika ingkar perintah ibu bapa.
9. Setiap kali nak masuk rumah, pesan kepada semua ahli keluarga kita untuk baca Bismillah 3 kali, senyum, beri salam dan masuk dengan melangkah kaki kanan dahulu. Ini akan menghindarkan syaitan bernama DASIM daripada masuk ke kepala kita dan ganggu manusia supaya berkonflik, suami isteri supaya bergaduh hingga bercerai berai, anak-anak melawan ibubapa, anak-anak bergaduh sesama sendiri, anak-anak jadi extra nakal, dan sebagainya.
10. Setiap kali nak nasihati anak, nak suruh anak solat atau belajar, bacalah 3 Nama Allah: Ya ‘Aziz, Ya Jabbar, Ya Mutakabbir dan hembus ke arah dia jika masih jauh atau berdehem depannya jika sudah berhadapan. Ini akan melembutkan hatinya agar dapat mendengar cakap atau hujah ibu.
11. Jika terlalu sedih atau tertekan, bacalah 3 doa Nabi SAW:
Inna lillahi wainna ilahi rojiuun.
Ya Allah, aku redha dengan segala ujianMu, berilah aku pahala atas redha ini.
Ya Allah, aku ada masalah anak sukar nak dengar cakap ibubapa. Ya Allah, Kau bantulah selesaikan masalahku. Kau jadikan dia anak yang soleh, sabar, pintar, baik akhlak, mendengar cakap ibubapa, rajin belajar dan sebagainya. Insya Allah hati akan tenang dan doa akan dimakbulkan.
12. Baca Al-Fatihah, Ayat Qursi dan Surah Al-Insyirah dan hembus atas kepala anak kita setiap hari hingga aqil baligh. Ini akan membantu dia jadi anak yang soleh, pintar, berakhlak mulia dan taat kepada ibubapa.
13. Cuba nasihati anak semasa dia tidur dengan berbisik di telinganya atau sekadar bercakap dalam hati. Nasihatkan agar jadi anak yang baik, sopan santun, dengar cakap ibu bapa, dan sebagainya.
Ikut kajian dan pengalaman peribadi saya, jika kita istiqamah menasihati anak kita semasa mereka tidur, anak-anak Insya Allah akan berubah menjadi anak yang baik.
Cuba amalkan selama 40 hari, kerana tabiat baru terbentuk dalam masa 40 hari. Insya Allah segala masalah anak yang keluarga anda hadapi akan selesai langkah demi langkah.
Sumber: Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Orang Kata Anak Banyak Akal Cerdik, Tapi Menguji Kesabaran. Fasa Ini Penting Didik Tingkah Lakunya
Tiada anak yang dilahirkan “nakal”, semuanya berdasarkan bagaimana mak ayah membentuk peribadi anak”
Ya, semua anak akan mengalami fasa “nakal” atau aktif sebenarnya, kita yang dah jadi mak ayah pun sama juga.
Berdasarkan perkongsian Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi, fasa “nakal” ini selalunya bermula semasa fasa autonomi (18 bulan – 3 tahun) dalam perkembangan emosi dan sosisal. Dimana anak akan mula mengamuk apabila tak dapat apa yang dikehendaki, nak lari ke sana ke mari ke tempat yang dia mahu, ambil apa yang dia mahu dan sebagainya.
Waktu inilah fasa kritikal membentuk tingkah laku anak. Kalau mak ayah abaikan waktu ini, tingkahlaku negatif anak akan menjadi semakin berpanjangan.
Hari ini saya nak kongsikan tips penyelesaian masalah tingkahlaku anak yang biasa ada pada semua anak. Sesuai untuk anak berumur 18 bulan ke atas.
MASALAH ANAK DAN PENYELESAIAN
- Anak terlampau aktif di luar rumah.
Ramai orang ingat semakin kita kurung anak, semakin anak dapat dikawal. Sebenarnya tidak, semakin kita kurung semakin anak susah dikawal. Konsepnya sama dengan semasa anak baru “dapat kaki”, asyik nak berjalan sahaja sampai dah tak fikir apa-apa. Tetapi pasti sampai satu masa, anak akan mula kurangkan aktiviti berjalannya berbanding masa mula-mula “dapat kaki”. Betul tak?
Agak-agak kalau kita sekat anak dari berjalan dengan ikat kakinya, dia akan berhenti berjalan? Masa diikat sahaja anak berhenti berjalan, bila buka ikatan lagi kuat anak nak berjalan. Sama juga bila kita kurung anak, bila dilepaskan makin susah dikawal.
Dunia ini terlampau kecil bagi anak sehinggakan benda kecil pun dapat buat anak bahagia. Bawa pergi “shopping mall”, tak beli apa-apa pun anak dah bahagia sehingga nak lari kesana kemari.
Percaya tak kalau saya kata, ada perbezaan tahap aktif pada anak jika kita bandingkan anak yang mak ayah bawa keluar setiap hari dan anak yang mak ayah bawa keluar sebulan sekali? Sangat-sangat berbeza. Sebab itu, setiap kawasan perumahan pasti ada taman permainan kerana taman permainan adalah keperluan WAJIB untuk perkembangan anak-anak kita.
Kalau perasan anak susah dikawal apabila pergi ke taman permainan, bawalah mereka ke sana selalu. Kalau anak susah dikawal apabila pergi pasaraya, bawalah mereka pergi untuk “window shopping”. Tetapi kalau perasan anak sangat susah dikawal semasa di luar rumah, saya sarankan cari tempat yang:
– Kurang padat supaya anak mudah dikawal dan tidak mengganggu orang lain.
– Selamat (tiada barang mudah pecah dan tajam).
– Ada kawasan lapang untuk anak berlari. Kalau anak lari laju, mak ayah pakailah kasut sukan supaya senang nak kejar.
– Keluar dengan pasangan atau kawan supaya ada orang lain, elakkan bersendirian.
– Pakaikan “baby harness”.
- Anak pantang tengok sesuatu benda.
(Pantang tengok gadget/TV tak termasuk dalam kategori ini ya.)
Contoh: Anak pantang nampak tangga. Semakin mak ayah halang anak naik tangga, selama-lamanya anak akan pantang nampak tangga. Jadi, caranya banyakkan lagi “main tangga” tetapi dengan pantauan dan selagi ia selamat sebab lambat laun anak perlu juga belajar naik dan turun tangga.
Anak saya sendiri, saya dah dedahkan dengan tangga sejak dia umur 6 bulan waktu sibuk nak merangkak tetapi dengan pantauan. Hasilnya umur 1 tahun lebih, anak dah tak “heran” dengan tangga. Tangga tetap ada pagar untuk keselamatan tetapi setiap kali naik dan turun beri anak cuba sendiri, mak ayah jaga di belakang/bawah anak macam penjaga gol.
Sama juga kes anak asyik nak berlari naik turun escalator. Semakin dihalang, semakin anak nak berlari ke sana. Kalau ada yang macam ini, luangkan masa untuk naik dan turun dengan anak berulang kali. Semakin awal kita dedahkan sehingga mereka jemu, semakin mereka kurang berlari ke arah tempat itu tetapi kena hati-hati dengan kaki tersepit di penghujung escalator. Cara saya, saya akan angkat anak sedikit sebelum sampai penghujung escalator.
- Anak bising di kedai makan.
Kadang-kadang ada situasi dimana kita tak boleh elak masa anak tengah ada mood nak buat bising atau mengamuk di kedai makan. Cara terbaik untuk mengawal anak dikedai makan adalah anak pun perlu sibuk makan sekali. Kalau tidak, mak ayah boleh cuba tips di bawah:
-Kenal pasti mood anak sebelum pilih kedai makan.
– Cari meja yang paling hujung dan kawasan kurang padat.
– Bawa mainan jika anak tidak makan bersama mak ayah.
– Elakkan duduk terlampau awal di kerusi bayi untuk elak anak cepat bosan.
– Bawa anak berjalan-jalan keliling kedai makan sebelum makanan sampai.
- Anak terlampau aktif di rumah orang lain.
Kalau mak ayah dah ada pengalaman anak asyik nak panjat meja, ataupun nak ambil barang perhiasan di rumah orang lain sehingga susah dikawal. Beritahu atau tanya dengan tuan rumah dahulu yang kita ada anak kecil yang tengah fasa meneroka supaya tuan rumah dapat bersedia dan simpan harta karun yang berharga sementara mak ayah beraya. Ataupun tanya dahulu, sesuai tak nak bawa anak kecil yang sedang aktif.
Jika anak dah mula memahami arahan, beritahu anak awal-awal “kawasan larangan”di rumah orang lain. Adab dirumah orang perlu sangat ditekankan pada anak dari awal. Sebelum mak ayah makan serentak, minta tolong saudara terdekat untuk tengokkan anak yang sibuk bermain.
- Anak pecahkan cawan atau pinggan.
Senang sahaja, kalau anak masih kerap jatuhkan pinggan atau cawan. Siap-siap bawa mangkuk dan cawan plastik dalam beg. Air pula tuang sikit-sikit cukup 3 teguk supaya kurang risiko tumpah habis karpet rumah orang.
- Anak main bersepah.
Terapkan dan amalkan kemas mainan selepas main seawal anak umur 18 bulan. Sebelum itu mak ayahlah yang perlu tunjukkan sikap mengemas kerana anak belajar melalui pemerhatian. Lama-kelamaan anak pun akan terikut sama dan berminat nak belajar kemas mainan. Sampai satu masa, kita dah tak perlu membebel minta anak kemas mainan lepas main, cuma perlu puji sahaja.
- Anak mudah cedera semasa bermain.
Apa yang mak ayah boleh buat untuk kurangkan risiko kemalangan anak disamping dengan pemantauan, mak ayah boleh kenalkan unsur-unsur bahaya sebelum anak bermain, boleh kenalkan ciri-ciri:
– Tajam (Bucu meja atau permukaan tajam)
– Bahaya (Lintas jalan)
-Tinggi (Meja atau kerusi tinggi)
– Panas (Air panas atau seterika)
– Pedas (Makanan pedas, cili dll)
– Sakit (Baling barang)
Kalau 6 ciri-ciri ini anak dah tahu, insyaAllah mak ayah tak perlu dah asyik nak kata “careful” berjuta kali semasa anak bermain.
Semua tips diatas sudah diguna pakai pada anak saya sendiri dan klien saya di BEYOND. Alhamdulillah kebanyakannya berkesan mengurangkan aktif anak.
Kesimpulannya, yang paling penting mak ayah WAJIB “kenal” anak sendiri. Kena tahu kelebihan dan kelemahan anak supaya mudah kita nak atasi tingkahlaku anak. Tips yang saya berikan ini sebenarnya sangat mudah untuk dilakukan dan sebenarnya banyak yang mak ayah dah lakukan tanpa sedar. Pendidikan anak bermula dari rumah, disiplin pun bermula dari rumah. Jangan marah anak letak kasut bersepah kalau kita pun letak kasut bersepah.
Mulakan sejak awal, jangan tunggu jadi buluh baru nak lentur. Masa itu anak pun dah “keras”.
Saya pun ibu yang sama seperti anda, ibu kepada seorang anak, terapis kepada ratusan anak juga. Bersyukurlah anak anda aktif/nakal kerana ia bermakna anak kita sihat, kalau dibandingkan anak yang sedang terlantar kesakitan. Jangan bandingkan anak kita dengan anak orang lain sebab pasti tak sama.
Dan yang paling penting, jangan putus asa dalam mendidik anak. Kata-kata kita adalah doa pada anak. Sebab itu orang dulu-dulu bahasakan anak yang aktif ini sebagai “anak banyak akal”. Tak ada pula bahasakan “anak tarzan”, “anak nakal”, “anak degil”, “anak monyet” dan sebagainya.
Sumber: Maryam Jamadi (Terapis Cara Kerja)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Risau, Cemas & Takut Anak Perlu Masa Untuk Ditangani, Pakar Saran Mak Ayah Buat Ini Nak Bantu Si Kecil
Rasa risau dan juga rasa takut ialah dua perasaan yang lazim dalam hidup manusia. Bukan manusia namanya jika kita tidak pernah berasa risau dan takut! Begitu juga kisahnya tentang kanak-kanak dalam lingkungan usia 0-6 tahun. Yang pasti, pada peringkat usia ini ketika mereka sedang melalui proses pendidikan separa formal (praformal) yang menjadi jambatan antara rumah kediaman dan institusi prasekolah, banyak hal dan perkara yang boleh menjadikan seorang anak kecil risau lagi takut.
Apakah reaksi pertama anda sebagai papa atau mama ketika si kecil berkata dia risau atau takut akan sesuatu? Ingat, hanya kerana hari ini kita sebagai orang dewasa punya banyak pengalaman hidup dan kita tidak lagi takut tidur di dalam gelap, kanak-kanak masih belum punya pengalaman yang sama.
Lebih tragis, ada pula mama dan papa yang cenderung meremehkan kerisauan dan juga ketakutan anak kecil mereka! Memang betul (rasanya) di bawah katil kita tidak ada monster yang sedia untuk menyerang dan memakan kita. Tetapi papa dan mama juga perlu ingat bahawa imaginasi kanak-kanak 0-6 tahun amat aktif berbanding dengan kita. Maka, untuk bulan ini saya kongsikan beberapa cara untuk membantu anak anda yang mungkin sedang berasa risau lagi takut.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM dan Penyelidik Aktil Ilmu Psikologi perkembangan tahun awal sosiologi Pendidikan praformal kanak-kanak dari usia 0-6 tahun senaraikan 7 cara untuk ibu bapa bantu anak-anak atasi rasa takut dan risau.
Pertama: Risau, cemas dan takut perlukan masa untuk ditangani
Hakikatnya, tidak semua kanak-kanak sama walaupun umur mereka mungkin sebaya. Ada yang bersifat terlalu berani, ada pula yang sering dilanda risau, cemas dan takut hingga anak kecil itu kelihatan gelisah pada setiap detik. Tangani perasaan negatif itu satu persatu dengan aktif dan fahami sebanyak mungkin hal dan keadaan yang boleh menerbitkan rasa negatif itu dalam diri anak kesayangan anda.
Didik anak secara berperingkat untuk memerangi rasa risau dan takut. Misalnya, kalau dia takut tidur dalam gelap, belikan lampu tidur yang sesuai dengan citarasanya sebagai satu cara untuk melawan rasa takut kepada gelap. Perlahan-lahan, anak anda akan terbiasa dengan kegelapan dan akan sampai waktunya dia tidak lagi menggunakan lampu itu (atau mungkin juga dia akan kekal memakai lampu tidur sampai ke tua, macam saya juga).
Kedua: Kalau anak anda terlampau cepat risau… biarkan sahaja dia risau!
Percayalah, anak anda tidak akan berhenti berasa risau atau takut hanya kerana anda suka memekik, “Janganlah takut!” atau “Jangan risaulah!” ditelinganya. Percaya atau tidak, rasa risau dan takut mempunyai asas genetik iaitu kewaspadaan. Pada zaman Jurassic dahulu kala, manusia prasejarah harus sentiasa berwaspada takut-takut kalau mereka menjadi lauk dinosaur Velociraptor atau Tyrannosaurus Rex pada hari itu.
Asas genetik ini tetap ada dalam diri setiap manusia hingga ke hari. Ajaklah si kecil anda berdialog dan dengar luahan hatinya. Siapa tahu? Dia takut pergi ke tandas seorang diri bukan kerana ada hantu di dalam tandas rumah anda tetapi kerana dia terlalu pendek untuk mencapai suis lampu. Begitu juga dia takut tidur di dalam gelap kerana hidungnya sering berdarah hingga habis bantal dan cadar (bukan kerana ada monster di bawah katil).
Ketiga: Elakkan asyik mengelak daripada berdepan dengan risau dan takut
Meneruskan contoh saya beri tentang kanak-kanak yang takut untuk tidur di dalam gelap, ada banyak lagi usaha yang boleh kita lakukan agar rasa takut dan rasa risau mereka dapat ditangani dengan baik lagi efektif. Perlu difahami, mama dan papa harus mengelakkan diri daripada asyik mengelak untuk berdepan dengan rasa risau dan takut si kecil. Mengelak bukan suatu strategi yang baik dan hanya akan menguatkan rasa risau dan takut itu.
Jika si kecil anda takut kepada anjing misalnya, mendukung si kecil sekuat hati dan terus melarikan diri daripada semua anjing yang anda jumpai tidak akan membantu si kecil anda menjadi berani untuk berdepan dengan anjing (silap haribulan anda juga bakal dikejar anjing kerana lari daripadanya). Lebih elok jika anda memegang tangan anak anda dengan erat dan melintas di depan seekor anjing daripada mengelakkan situasi itu.
Keempat: Ajar anak anda untuk berfikir secara logik apabila dia risau atau takut
“Macam mana?”, “Boleh ke?”, “Takutlah kalau-kalau…” Semua ini sering keluar daripada mulut si kecil yang terlalu risau dan cepat takut. “Macam mana kalau monster keluar bila papa padam lampu nanti?” Pemikiran logik dapat membantu anak manja anda berdepan dengan banyak perasaan negatif yang dia rasai. Tambah juga humor dan gelak ketawa supaya kesan perasaan negaatif berkenaan dapat dikurangi.
Bermacam-macam rasa risau dan takut boleh dirasai dalam setiap keadaan. Ada kanak-kanak yang tidak suka ke tadika kerana dia takut dia tidak diterima oleh rakan sebayanya. Ada pula yang berasa cemas bila terlihat sesuatu rangsangan negatif di depan matanya. Supaya si kecil comel anda menjadi lebih yakin dan berani, pemikiran logik dan humor akan memberi kesan positif pada jangka masa panjang dengan izin Tuhan.
Kelima: Selain logik ada kemahiran lain untuk mengatasi rasa cemas dan takut
Strategi jangka panjang yang bermanfaat untuk membantu anak anda mengatasi rasa cemas dan takutnya ialah strategi yang berasaskan kemahiran dalam diri sendiri. Semakin banyak kemahiran yang dikuasai, semakin kurang kesan perasaan negatif seperti risau dan takut dalam hidup seharian anak anda. Selain strategi berasaskan pemikiran seperti fikiran logik dan fikiran positif, strategi fizikal juga boleh dicuba.
Contohnya, memegang erat tangan si kecil anda atau memeluknya dengan penuh kasih-sayang jika dia terlampau cemas atau takut. Latih juga anak anda untuk bernafas dengan stabil dan merehatkan otot-otot jika dilanda perasaan negatif. Kemahiran pernafasan memang terbukti untuk mengurangkan stres dan rasa negatif, begitu juga kemahiran merehatkan otot yang cepat tegang ketika kita sedang cemas, takut atau pun marah.
Keenam: Jangan lupa perkara-perkara asas dalam tumbesaran si kecil
Jangan dipaksa si kecil anda melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan dia risau atau pun takut. Memaksa hanya mengundang tindak balas ekstrem kelak malah boleh menerbitkan risau dan takut yang melampau pula. Pada masa yang sama, pastikan semua perkara asas mencukupi dan terjaga dalam hidup anak anda seperti waktu tidur yang cukup, makanan yang berkhasiat, air yang mencukupi, waktu beriadah dan lain-lain lagi.
Perasaan negatif mudah menguasai diri kita apabila kita tidak dapat berehat atau berasa tenang. Fakta ini bukan hanya terpakai dalam hidup orang dewasa tetapi juga untuk
kanak-kanak. Jika semua keperluan asas tumbesaran ini dapat dipenuhi maka risiko perasaan risau, cemas, takut dan marah pun dapat dikurangkan dengan banyak. Jadi, pastikan semua keperluan asas si kecil kesayangan anda dipenuhi pada setiap masa.
Ketujuh: Si kecil yang selalu risau dan takut perlukan empati mama juga papa
Kerisauan dan ketakutan sebenarnya boleh ‘melumpuhkan’ diri dan peribadi si kecil anda. Anak anda yang tidak mahu tidur di dalam gelap akan berperang dengan dirinya (dan juga dengan anda pastinya) dan dia akan bertahan selama mana boleh daripada tidur kerana dia dikuasai kepercayaan yang ada monster tinggal di bawah katilnya. Seboleh-bolehnya, jangan dimarahi si kecil itu dan cubalah berempati dengan perasaannya.
Empati daripada papa dan mama akan membantu kanak-kanak yang cenderung berasa risau dan takut untuk memahami bahawa mereka tidak bersendirian dalam hidup, dan orang tua mereka akan sentiasa bersama dengan mereka. Hari bertukar minggu bertukar bulan, perlahan-lahan rasa risau dan takut itu pasti berkurangan sejajar dengan masa.
Oh ya, jangan lupa mama dan papa semua memantau keperluan anda sendiri. Mengasuh anak kecil yang cepat risau dan cepat takut boleh memakan masa yang lagi di samping menguji kesabaran kita orang dewasa. Waktu tidur si kecil yang terganggu atau pun kerisauannya yang berterusan, boleh memberi kesan negatif juga kepada kita orang dewasa. Maka, beri juga keutamaan kepada keperluan kesihatan anda supaya anda memiliki tenaga yang diperlukan untuk membantu anak comel manja anda melalui tempoh masa yang sukar ini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI