
Geramnya rasa bila anak tunjuk perangai tak baik dan biadap. Mungkin ibu bapa tanpa sedar membiarkan anak terdedah kepada punca-puncanya.
Menggunakan perkataan kasar dan negatif, berkelakuan ganas, tidak hormat peraturan, tidak menghormati orang lain dan tiada adab termasuk dalam kategori kurang adab atau biadap.
Mungkin sesetengah ibu bapa merasakan didikan yang baik sudah diberikan tetapi kenapa perkara nenatif tetap berlaku. Wajar bagi anda ‘membedah siasat’ apa yang telah didedahkan kepada si kecil tanpa sedar yang menjadi punca dia biadap.
Dr Taufiq Razif berkongsi 5 punca yang perlu dilihat semula ibu bapa. Sama ada ia didedahkan tanpa sedar atau
Jangan Buat 5 Benda Ni Kalau Tak Nak Anak Jadi Biadap
#1 – Bagi gajet tanpa batasan
- Saya perasan anak-anak zaman sekarang ni bukan biadap sebab mereka jahat tapi mereka biadap kerana kurang Interpersonal Skills.
- Tiap hari anak kita duk hadap skrin smartphone dan kawan alam maya sampai skill mereka melayan orang luar jadi tumpul
- Tu yang mereka nampak biadap, padahal bukan sebab mereka jahat tapi mereka tak reti nak bergaul ( interpersonal skills lemah )
#2 – Bergaduh depan anak
- Bila tengah emosi, kadang kita lupa ada mata yang memerhati
- Kita lupa anak kita ni CCTV terhebat dunia. Dia akan rakam semua yang dia lihat dan sampai masanya dia akan praktik apa yang dia lihat
#3 – Kita Selalu Abai Anak
- Antara penyebab anak jadi biadap ni adalah kerana dia kurang ’emotional connection’ dengan kita
- Yela, walaupun mungkin kita berada 1 meter je daripada anak kita tapi fikiran kita menerawang beratus ratus kilometer daripada anak kita
- Merasa nak rasa didengari, diperhati, disayangi baru lah perlahan lahan sifat empati dalam diri mereka akan berkembang sempurna
- Anak yang tinggi sifat empati ni takkan sanggup biadap pada mak ayahnya sendiri.
#4 – Marah anak secara melampau
- Anak umur 0-1 ni ada fasa krisis psikososial yang dipanggil Trust Vs Mistrust
- Masa ni la dia belajar untuk percayakan mak ayahnya. Kalau masa tu pun kita dah ‘break trust’ diorang dengan marah melampau lampau tanpa kawalan emosi, rosak lah perkembangan anak kita
- Akhirnya anak jadi perengus, suka melenting, sensitif dan keras kepala.
#5 – Kita cuma fokus IQ anak sampai lupa nak asah EQ anak
- Kita terkadang fokus sangat nak anak kita cerdik otak ( IQ ) dengan skor exam tapi terlepas pandang pula nak anak cerdik pada emosinya ( EQ )
- Maka lahirlah anak anak yang bijak otaknya tapi miskin budi pekerti, keras hati, tak bertimbangrasa, biadap dan tak memahami!
Saya rasa ramai lagi mak ayah yang belum tahu tentang benda ni. Tolong bagitahu mak ayah yang belum tahu ye
Sumber: https://theproparenting.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Melancong Tanpa Ditemani Suami. Perkongsian Ibu Ini Boleh Jadi Panduan

Sejak umur Aulia 1 tahun, pada bulan September 2016 (Aulia lahir pada September 2015) dengan kawan saya pada mulanya ke Krabi, Thailand. Dia belum pernah mengembara ke luar negara.
Oleh itu, dengan sedikit pengalaman saya sebelum ini ke luar negara sama ada secara bersendirian ataupun ditemani suami, saya menjadi penunjuk arah dan rakan kembara kepada dia pada masa yang sama.
Selepas Aulia menunjuk perkembangan yang positif daripada pengembaraan itu, saya memberanikan diri terbang berdua dengannya ke pelbagai negara di sekitar Asia Tenggara.

Lokasi yang telah jejaki berdua bersama anaknya ialah
September 2016 – Krabi, Thailand.
Disember 2016 – Ho Chi Minh & Mekong, Vietnam.
Januari 2017 – Bukit Tinggi, Padang, Indonesia.

Kenapa pilih nak pergi dengan anak?
Sebelum saya mempunyai anak, saya memang selalu mengembara dengan kawan-kawan. Selepas melahirkan Aulia, saya rasa kehadirannya bukan penghalang untuk saya meneruskan minat.
Lagipun, saya bawa dia mengembara bersama-sama kerana ingin memberikan pendedahan kepadanya tentang dunia luar supaya dia boleh menjelajahi dan mengalami sendiri pengalaman di negara orang apabila dewasa kelak.
Disebabkan saya dalam bidang pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, saya tahu betapa pentingnya stimulasi untuk anak-anak bawah umur dua tahun. Anak saya dilahirkan tidak cukup bulan, oleh itu, dia perlu lebih stimulasi daripada kanak-kanak normal yang lain.
Hal ini memang sangat digalakkan oleh pakar pediatrik. Jadi saya cantumkan dua perkara ini sekaligus – baik untuk pendidikan awal dan kesihatan anak saya serta meneruskan hobi saya nan satu ini.
Apakah pengalaman paling manis sepanjang mengembara ini dengan anak sahaja?
Sepanjang saya mengembara, soalan yang selalu saya terima daripada orang ramai adalah di mana kelibat ayah kepada anak kecil saya ini. Saya memberitahu mereka bahawa ayah kepada anak saya ini terikat dengan tuntutan kerja dan tidak dapat meluangkan masa dengan kami.
Kemudian, mereka semua membuat muka terkejut dan kagum dengan kecekalan hati saya bersendirian melayan kerenah anak.Namun pengalaman paling manis sepanjang mengembara dengan Aulia adalah apabila dia dapat bergaul mesra dengan orang ramai daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Disebabkan aktiviti mengembara berdua dengannya, hubungan dan ikatan ibu dan anak antara kami semakin erat.
Pernah lalui sebarang pengalaman pahit sepanjang travel? Jika tak keberatan, boleh kongsikan?
Pengalaman semasa mengembara di Ho Chi Minh tidak dapat dilupakan apabila dipaksa menaiki teksi oleh pemandunya. Sebelum mengembara, saya akan membuat kajian mendalam terlebih dahulu demi keselamatan diri dan anak.
Saya ada membaca dalam Facebook kumpulan backpackers yang memberi amaran jangan menaiki sebarang teksi di Ho Chi Minh selain daripada Vinasun. Pada mulanya, pemandu teksi tersebut menunjukkan tiket teksi Vinasun namun sebenarnya ia bukannya teksi Vinasun pun. Walaupun warnanya sama, ia bukan teksi Vinasun apabila diperhatikan dengan teliti.
Saya beritahu bahawa tidak mahu naik dan hampir ditolak masuk ke dalam teksi secara paksaan oleh pemandu. Alhamdulillah saya dapat melarikan diri daripada ‘teksi hantu’ tersebut sambil mendukung anak dalam keadaan hujan.
Nasib baik saya dapat melepaskan diri dan berpandukan aplikasi Waze di tangan, saya menuju ke hotel dengan perasaan penuh debaran dan kejutan yang tidak disangka. Pahit namun memberi pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Tips travel dengan anak kecil?
- Buat kajian tentang tempat yang ingin dilawati. Ketahui perkara yang boleh dibuat dan dilarang di situ. Bawa makannan dan peta awal-awal.
- Pastikan telefon bimbit anda boleh digunakan di sana untuk sebarang kes kecemasan (rujuk kisah cemas di Ho Chi Minh).
- Bawa ubat demam dan termometer untuk anak anda.
- Pastikan beg yang dibawa memudahkan pergerakan anda kerana belum tentu ada orang yang akan membantu kita.
- Semasa kapal terbang berlepas dan mendarat, pastikan anak menyusu.
- Jangan sesekali memakai emas dan perhiasan yang menunjukkan kemewahan anda walaupun sekadar emas tipu kerana anda memudahkan tugas penjenayah.
Ada ambil mana-mana insurans kembara?
Saya sentiasa mengambil insurans kembara ke mana sahaja saya pergi kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko jika berlaku sebarang kecelakaan semasa saya mengembara.
Perancangan travel akan datang?
Saya sedang merancang untuk mengembara ke Sabah dan Jepun. Buat masa sekarang, pengembaraan ke Jepun belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada ayah Aulia tetapi hampir 90% kajian tentang Jepun telah saya lakukan. Kita tengok macam mana nanti.
Sumber: kaki.sini.com.my/bm/
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
6 Cara “Power” Untuk Ajar Anak Umur 2 Tahun Supaya Tak Kedekut

Memang biasa anak umur 2 tahun bersifat kedekut. Tapi ibu ayah kena tahu cara ajar mereka supaya tak kedekut lagi.
Ini saya punya!” Anak anda berusia dua tahun mula menjerit, merampas mainan dari tangan kawannya yang datang ke rumah.
“Jangan!” Sekali lagi suara jeritan nyaring melarang tetamu mengambil mainan dari dalam kotaknya. Si kecil mula menjadi tamak, kedekut dan mementingkan diri sendiri. Padahal selama ini mainan tersebut tak pernah dihiraukan.
Hati ibu begitu meronta-ronta mahu menegur sikap si kecil yang agak keterlaluan di hadapan tetamu. “Geramnya dengan Ayra ni!” hanya tercetus dalam hati sahaja.
Ibu, cuba bertenang dan jangan terus menengking dan memarahi sikap si kecil dua tahun itu. Anak anda hanyalah bertindak mengikut akal pemikiran anak usianya sahaja di mana segala barang kepunyaannya tidak boleh diambil oleh orang lain.
Anak umur dua tahun juga mula faham tentang tak boleh berkongsi barang miliknya, dan mereka bimbang orang lain mengambil barang kepunyaannya, sehingga menjadikan dua perkataan iaitu “saya punya” dan “jangan” adalah perkataan kegemarannya.
Bagaimanapun ada juga kanak-kanak usia ini yang boleh berkongsi tetapi kebanyakan mereka tidak mahu berkongsi. Hakikatnya, pada peringkat perkembangan usia ini ramai kanak-kanak tidak bersedia untuk berkongsi. Ya, mereka boleh bermain bersama jika anda terus memerhatikan mereka, tetapi jangkakan beberapa perkara yang tak konsisten dalam bab bertolak-ansur.
Berkongsi adalah aktiviti yang perlu dipelajari dan memerlukan masa untuk menguasainya. Sudah tiba masanya anda mengajar si kecil pentingnya berkongsi. Ini caranya yang anda boleh buat untuk membantu mereka belajar berkongsi.
1. Berlatih ambil giliran
Bila bermain dengan anak, ajar dia ambil giliran untuk buat sesuatu aktiviti. Misalnya bila baca buku cerita, bergilir-gilir buka muka surat buku, atau kalau bina blog lego, anda boleh ajak dia susun secara bergilir. Boleh juga buat giliran peluk dan cium teddy bearnya ketika bermain. Mula-mula giliran anak lepas tu anda dan seterusnya. Dari sini dia boleh belajar iaitu berkongsi dan mengambil giliran ketika bermain juga sesuatu yang menyeronokkan. Memberi orang lain berkongsi mainan bukan bermakna dia tak akan dapat semula mainannya.
2. Jangan hukum sikap kedekutnya
Kalau anda selalu cakap anak pentingkan diri sendiri, kedekut dan akan denda kalau dia tak nak berkongsi atau memaksanya menyerahkan barang yang disayangi, anda hanya akan menggalakkan kemarahan daripada kemurahan hati. Untuk menggalakkan dia berkongsi, gunakan cara yang positif berbanding kekerasan. Sentiasa ingat yang anak anda masih kecil dan belum betul-betul faham erti berkongsi. Semakin besar dia akan lebih faham seronoknya berkongsi mainan bersama kawan-kawan dengan syarat anda tak jemu mengajarnya untuk berkongsi.
3. Jangan jemu berpesan
Orang kata kalau nak mengajar anak kecil jangan pernah jemu berpesan perkara yang sama walaupun terpaksa cakap beribu kali. Lebih efektif sekiranya anda boleh berpesan kepadanya semasa situasi sebenar sedang berlaku. Misalnya jika kawannya cuba memegang barang kepunyaannya anda boleh cakap “Maryam nak tengok teddy bear Ayra. Dia nak peluk sekejap je. Boleh kan?” Berikan dia pujian sekiranya si kecil tidak merampas barang itu daripada tangan kawannya.
4. Puji jika dia tak kedekut
Kanak-kanak dua tahun kadangkala akan menunjukkan sikap memiliki tetapi membenarkan kawan untuk menyentuh mainannya tanpa melepaskan dari genggamannya. Berikan sedikit pujian kepadanya yang menunjukkan mainan tersebut kepada kawan. Akhirnya dengan pujian anda, dia berasa selamat untuk melepaskkan cengkaman pada mainan tersebut untuk dikongsi.
5. Hormat barang miliknya
Jika anda tak suka orang ambil barang milik anda tanpa kebenaran begitulah yang dirasakan oleh si kecil. Jadi, minta kebenaran darinya sebelum meminjam barang mainannya. Pastikan adik-beradik lain yang lebih besar menghormati juga barang milik si kecil. Jangan terus rampas atau ambil barangnnya kerana dia akan marah dan menjadi kedekut.
6. Tunjukkan contoh
Cara terbaik bagi anak kecil belajar sikap murah hati iaitu dengan melihat sendiri contoh. Anda sendiri perlu memainkan peranan penting mengajar anak untuk berkongsi. Anda boleh berkongsi makan aiskrim dengan si kecil atau meminjamkan barang anda jika dia memintanya. Gunakan perkataan “kongsi” untuk menggambarkan apa yang anda lakukan. Apa yang penting, biarkan dia melihat anda bersikap tolak-ansur, berkompromi dan berkongsi dengan orang lain. Barulah dia akan mengikut sikap tersebut.
Mengajar si kecil memerlukan kesabaran dan pengulangan pesanan yang sama berulang kali. Jangan jemu mengajar mereka. Si kecil dua tahun masih terlalu mentah untuk memahami tentang dunia ini. Mereka baru sahaja melepasi fasa bayi dan memerlukan banyak tunjuk ajar untuk membesar!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Saffiyah Abah Minta Maaf”. Abah Tetap Sayangkan Kamu!

Mendidik anak sebenarnya fleksibel. Jika kena formulanya memang berkesan tapi kadang-kadang kesilapan juga boleh berlaku kerana kita sebagai ibu bapa terlalu mengikut perasaan.
Mungkin kita tak boleh nak kawal kemarahan pada waktu itu namun bila keadaan dah kembali reda baru kita rasa insaf dan kasihan pada anak. Inilah lumrah kita sebagai ibu bapa.
Perkongsian dari seorang bapa, Ws Adli W Muhammad ini boleh dijadikan pengajaran bersama dan semoga kita sama-sama menjadi ibu bapa terbaik dalam mendidik anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
- Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
- Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
- Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
- Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
- Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
- Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
- Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
Sumber: WS Adli
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI