Anak adalah anugerah dari Allah SWT buat kita. Betapa sayangnya kita dengan mereka sehinggakan apa saja sanggup kita korbankan untuk kesenangan anak-anak. Ada masanya kita diuji dengan perangai mereka, selalu buat ibu ayah ‘naik hantu’.
Bila tengah marah tu, kadang-kadang kita akan menjerit atau menengking mereka. Kita berpendapat dengan cara begitu akan buat anak menjadi takut dan mendengar kata. Sebenarnya, ia tidak baik untuk tumbesaran anak-anak.
Artikel Menarik: [Salam Akhirat Ibu Ayah Pastikan Anak Terus Berkasih Sayang. Susah & Senang Bersama!]
Menurut artikel yang pernah dikeluarkan dalam The Wall Street Journal, mengatakan kebanyakan ibu bapa cenderung untuk menjerit kepada anak untuk mendisiplinkan mereka. Jeritan juga sebagai satu tanda melepaskan amarah.
Dr. Phil McGraw seorang pakar psikologi turut mengakui konsep itu yang telah diamalkan oleh kebanyakan ibu bapa seluruh dunia. Bahkan dalam sebuah rancangan temubual yang dihadirinya, dia sempat bergurau mengatakan;
Saya fikirkan anak-anak saya pekak sehinggalah mereka berusia lima tahun. Mana tidaknya, kita semua kadang-kadang tu suka menjerit tanpa sebab.
Dalam gurauannya itu, Dr.Phil tetap tegas menerangkan tindakan ibu bapa yang gemar meninggikan suara atau menjerit kepada anak-anak untuk mereka tidak melakukan kesalahan adalah suatu yang salah. Tindakan itu tidak berkesan.
“Ia menghentikan komunikasi, itu masalahnya. Sebaik sahaja anda mula menjerit, anak-anak akan terus shutdown.” Jika berdepan dengan anak yang sedang buat perangai, jangan tengking mereka. Rapatkan diri dengan anak dan berbisiklah kepada mereka.
Anak-anak yang selalu dijerkah apabila dihampiri ibu bapa mereka dengan cara berbisik akan terus bertenang dan emosinya akan kembali stabil kerana ia tidak seperti situasi yang sering mereka lalui.
Pada ketika ini, mereka akan lebih tenang dan mudah untuk mendengar apa yang cuba ibu bapa mereka ingin katakan. Dalam keadaan ini, mereka sangat-sangat ingin tahu apa sebenarnya yang cuba anda sampaikan.
Baca Artikel Ini: [6 Tahun Pertama usia Emas Anak, Berkasih Sayang Cara Terbaik Mendidik]
Tahukah anda, anak-anak yang sering dimarahi dengan jeritan lebih cenderung untuk mengalami masalah sikap, mempunyai simptom depresi dan akan membesar sebagai seorang dewasa yang sukar berpuas hati.