Ada anak kecil dan sering terkucil atas tilam waktu tengah malam itu perkara yang biasa bagi sesetengah ibu bapa. Kencing malam atau ‘betwetting’ terjadi apabila kanak-kanak berusia 5 tahun dan ke atas tidak dapat mengawal kencing mereka semasa tidur. Perkara sebegini sering kali memberikan tekanan kepada ibu bapa malah kepada kanak-kanak itu sendiri.

Keadaan ini biasanya berlaku disebabkan oleh beberapa faktor antaranya genetik, stress dan masalah kesihatan yang lain. Namun persoalannya, menyucikan najis pada tilam yang besar dan berat itu pastinya agak sukar untuk dilakukan.

Anak Buang Air Kecil Atas Tilam Berat & Besar, Mufti Kongsi Cara Nak Bersihkan Dan Sucikan Dari Najis

Dalam satu persoalan yang diutarakan mengenai masalah ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Seri Dr. Hj. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerangkan bagaimana untuk membersihkan air kencing pada tilam yang besar dan berat.

Anak Buang Air Kecil Atas Tilam Berat & Besar, Mufti Kongsi Cara Nak Bersihkan Dan Sucikan Dari Najis

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu kemusykilan. Bagaimana cara untuk membersihkan najis  air kencing anak (najis mutawassitah) di atas tilam tebal dan berat serta susah untuk diangkat? Cukupkah sekadar direnjis air mutlak di atasnya atau perlu dibasuh pada bahagian terkena najis? Harap Datuk Mufti dapat memberi pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW :

Ads

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya : “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

Pembahagian najis

Najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassitah (sederhana) dan Najis Mughallazah (berat).

  • Najis Mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.
  • Najis Mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
  • Najis Mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas. Najis Mutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah.

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41)

Anak Buang Air Kecil Atas Tilam Berat & Besar, Mufti Kongsi Cara Nak Bersihkan Dan Sucikan Dari Najis

Cara membersihkan Najis Mutawassitah

Sebelum itu, kita mesti ketahui bahawa setiap jenis najis tersebut berbeza cara membersihkannya. Mengenai cara membersihkan najis Mukhaffafah, kami telah membahaskannya secara panjang lebar di dalam artikel kami :

Ads
  • Irsyad al-Fatwa Siri ke-348 : Bayi Lelaki Yang Diberi Makan Ubat, Adakah Air Kencingnya Masih Mukhaffafah Dan Bagaimana Cara Membersihkannya?[1]

Manakala najis Mughallazah hendaklah dibersihkan dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan air yang bercampur tanah. Bagi mendapatkan perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami di dalam :

  • Irsyad al-Fatwa Siri ke-176 : Jenis dan Kaedah Tanah Samak.[2]
  • Irsyad al-Fatwa Siri ke-221: Hukum Sertu Munggunakan Sabun Taharah.[3]

Mengenai najis Mutawassitah Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff ada menyatakan bahawa ia terbahagi kepada dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiyyah ialah yang tidak kelihatan najisnya secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau,rasa dan juga warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah  najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau atau rasa atau warna. Cara membersihkannya ialah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut (bau, rasa dan warna). Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi sunat untuk dia membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.

Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Dan sekiranya masih belum lagi hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حالة التعسر).

(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135)

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa contoh najis hukmiyyah adalah seperti air kencing yang telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. Maka, cara membersihkannya, cukup dengan hanya mengalirkan air padanya sekali. Adapun ‘ainiyyah, maka wajib dihilangkan sifat-sifatnya yang terdiri daripada bau, rasa dan warna, melainkan ada kesukaran bagi menghilangkan salah satu antara dua sifat iaitu sama ada warna atau bau. Maka, dalam hal ini tidak wajib menghilangkannya, bahkan ia telah pun dikira sebagai suci. Akan tetapi, sekiranya terhimpun kedua-duanya sekali (bau dan warna) pada tempat tersebut, maka wajib untuk dihilangkan kedua-dua sifat tersebut kerana ia adalah merupakan bukti yang kuat bahawa ‘ain najis itu masih ada sepertimana ciri atau sifat yang ditunjukkan oleh rasa. (Lihat Fath al-Wahhab, 1/25 dan Kasyifah al-Saja, hlm. 182-184)

Begitu juga, belum lagi dikira suci (masih najis), jika masih ada sifat najis daripada segi rasa kerana kebiasaannya ia mudah untuk dihilangkan. Oleh itu, sekiranya masih berbaki sifat rasa, maka wajib untuk dihilangkan sekalipun dengan mengikis atau menggosok sebanyak 3 kali. Cara mengikis adalah dengan mengikis tempat terkena najis itu menggunakan batu atau lain-lain, manakala menggosok pula adalah dengan menggunakan jari jemari dengan gosokan yang kuat dan kemudian menjiruskan air ke atasnya sehingga hilang ‘ain dan kesan najis itu. Selain itu, tidak disyaratkan menggunakan bahan bantuan seperti sabun dan usynan (sejenis pokok) bagi menghilangkan najis melainkan setelah terhimpun baud an warna sekali atau hanya daripada segi rasa sahaja. Maka, dalam situasi ini wajib menggunakan bahan bantuan tersebut. (Lihat Kasyifah al-Saja, 182-183)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff telah meringkaskan berkenaan hukum bagi keadaan susah (حالة التعسر) kepada dua, iaitu :

Ads
  • Sekiranya hanya tinggal bau sahaja atau warna sahaja, hukumnya adalah dikira sebagai suci.
  • Sekiranya yang tinggal adalah bau dan warna atau hanya rasa sahaja, maka wajib membasuhnya bersama bahan bantuan seperti sabun sehingga hilang sifat-sifat tersebut.

Akan tetapi, sekiranya orang yang berkepakaran (Ahl al-Khibrah) menyatakan najis tersebut, tidak akan dapat dihilangkan melainkan hanya dengan memotongnya (membuangnya), maka dinamakan bagi keadaan atau situasi ini sebagai situasi yang ada keuzuran (حالة التعذر). Hukumnya, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Walau bagaimanapun, jika dia mampu untuk menghilangkannya pada masa akan datang, wajib untuk dia menghilangkannya.

(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 136)

Anak Buang Air Kecil Atas Tilam Berat & Besar, Mufti Kongsi Cara Nak Bersihkan Dan Sucikan Dari Najis

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti dalil-dalil serta pandangan para ulama, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  1. Serap guna span atau kain

  • Sekiranya air kencing yang terdapat di atas tilam telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya, maka bagi mensucikannya cukup dengan hanya mengalirkan air padanya. Dan sekiranya kuantiti air sedikit, hendaklah air yang dilalukan ke atas najis dan bukan sebaliknya sepertimana yang telah dijelaskan oleh  Syeikh Ibrahim al-Baijuri di dalam hasyiahnya. (Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim Baijuri, 1/199)
  • Akan tetapi, jika air kencing tersebut meninggalkan ‘ain atau sifat-sifatnya, maka terlebih dahulu hendaklah dihilangkan ‘ain dan sifat-sifatnya.
  • Kami syorkan lap dan pindahkan air kencing yang bertakung di atas tilam semampu mungkin dengan menggunakan kain atau span atau wet/dry vacuum sehingga tidak ada lagi yang berbaki melainkan sedikit lembap yang tidak boleh dipisahkan (dielakkan) sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 181)
  1. Alirkan Air

Kemudian, barulah dialirkan air di atasnya. Sekiranya air basuhan tersebut tidak dapat mengalir, hendaklah ia juga dipindahkan atau dikeringkan semampu mungkin, dengan menggunakan kain atau span atau seumpamanya. Sekiranya masih berbaki warna atau bau sahaja, tidak mengapa dan ia dikira telah suci.

Anak Buang Air Kecil Atas Tilam Berat & Besar, Mufti Kongsi Cara Nak Bersihkan Dan Sucikan Dari Najis

  • Akan tetapi, sekiranya masih berbaki warna dan bau sekali atau semata-mata rasa sahaja, hendaklah ia dihilangkan semampu mungkin dengan menggunakan bahan bantuan seperti sabun atau seumpamanya atau dengan menggosoknya sekuat mungkin sehinggalah sifat-sifat yang berbaki tersebut hilang. Sekiranya masih lagi tidak dapat dihilangkan ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan serta sah solat di atasnya.
  • Manakala apa-apa air yang mungkin terserap di dalam tilam semasa proses pembersihan adalah tidak mengapa. Basuhan di bahagian luar sahaja telah cukup. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi telah menukilkan pendapat Imam Syafie bahawa:

لو أحمى حديد ثُمَّ صَبَّ عَلَيْهَا سُمًّا أَوْ غَسَلَهَا فِيهِ فَشَرِبَتْهُ ثُمَّ غُسِلَتْ بِالْمَاءِ طَهُرَتْ لِأَنَّ الطَّهَارَاتِ كُلَّهَا إنَّمَا جُعِلَتْ عَلَى مَا يَظْهَرُ فِيهِ لَيْسَ عَلَى الْأَجْوَافِ

Maksudnya : “Sekiranya dipanaskan sekeping besi dan kemudian besi tersebut disiram dengan racun (najis) atau dibasuh dengannya. Dan kemudian, racun tersebut telah meresap masuk ke dalam besi tersebut. Kemudian, besi tersebut dibasuh dengan air, maka ia kembali menjadi suci kerana kesucian itu adalah berdasarkan apa yang zahir (dilihat) dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga (tidak nampak). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/600)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Sumber: Siakap Keli & Mufti Wilayah Persekutuan

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI