Kanak-kanak yang sedang membesar memang suka bermain. Dari usia setahun sehingga umur pra sekolah, anak-anak suka meneroka alam persekitaran mereka. Kadang kalau tengok mereka sepahkan permainanan tu bukan apa, ada yang tengah berimaginasi dan bereksplorasi.
Kalau nak ikutkan bila si kecil buat sepah, mama papa la yang penat nak kena kemas dan sebagainya tapi itu semua untuk kebaikan perkembangan si kecil anda. Tapi anda juga boleh didik mereka untuk kemas sendiri kerana itu juga boleh jadi sesuatu yang menyeronokkan buat anak-anak.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN dalam penulisannya di Pa&Ma mengulas lanjut tentang 5 jenis aktitivi bermain yang papa mama perlu tahu buat si kecil tersayang.
5 JENIS AKTIVITI BERMAIN YANG PAPA & MAMA PERLU TAHU
Zaman pendidikan praformal 0-6 tahun seharusnya penuh dengan aktiviti bermain berdasarkan beberapa bukti penyelidikan dan hujah santifik yang jelas. Pertama sekali, penyelidikan demi penyelidikan sains sosial membuktikan bahawa kanak-kanak pada usia pendidikan praformal tidak sesuai diberi pendidikan yang berbentuk akademik sepenuhnya. Kedua, tidak semestinya semakin kita memaksa si kecil dalam lingkungan usia praformal untuk menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira), semakin mereka akan menjadi pintar dan cerdas berbanding kanak-kanak lain!
Sebenarnya pada usia sekitar 10 tahun nanti, segala ‘kelebihan’ kanak-kanak yang diberi pendedahan 3M sepenuhnya akan dapat disaingi oleh si kecil yang banyak belajar melalui aktiviti bermain di taska dan tadika! Ambil contoh negara-negara maju di kawasan Scandinavia, Eropah.
Kita tidaklah perlu mengagungkan sistem pendidikan prasekolah di negara-negara ini, namun pada masa yang sama papa, mama dan pendidik prasekolah di Malaysia khasnya perlu memikirkan secara kritis tentang konsep pendidikan prasekolah yang terlalu memaksa kanak-kanak menjadi ‘pakar’ dalam bidang akademik (intelek) sehingga perkembangan jasmani, emosi dan rohani mereka diabaikan.
Keseimbangan harus menjadi kata kunci di sini, ditambah pula dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang naluri si kecil yang sentiasa ingin bermain dan meneroka dunia di sekelilingnya. Untuk lebih faham tentang naluri yang saya sebutkan ini, bulan ini saya akan berkongsi 5 jenis aktiviti bermain si kecil pada peringkat usia pendidikan praformal yang papa dan mama perlu tahu…
Aktiviti Pertama: Aktiviti bermain lokomotor
Aktiviti bermain lokomotor lazimnya melibatkan gerak kerja fizikal seperti merangkak, berjalan, melompat, berlari, memanjat dan sebagainya. Aktiviti ini berkait rapat dengan pertumbuhan fizikal kanak-kanak. Melalui proses tumbesaran semula jadi bermula dari usia bayi hingga usia lewat kanak-kanak dan awal remaja, si kecil semakin menunjukkan perkembangan dan kemajuan dalam kekuatan fizikal dan kemahiran motornya.
Ads
Dapatan penyelidikan jangka panjang menunjukkan bahawa aktiviti bermain lokomotor membantu kanak-kanak 0-6 tahun belajar kemahiran koordinasi tubuh badan dengan cepat dan cekap. Aktiviti bermain ini bermula sebaik sahaja seorang bayi sudah pandai meniarap, duduk serta merangkak. Ia berterusan hingga ke usia lewat kanak-kanak dan semakin berkurangan apabila seorang anak kecil mencecah usia awal remaja.
Walaupun kita jarang memikirkan manfaat aktiviti bermain lokomotor selain daripada aktiviti riadah yang amat digemari oleh kanak-kanak, sebenarnya aktiviti bermain ini amat penting untuk mereka. Aktiviti bermain ini membantu mempercepatkan tumbesaran otak dan otot – dua komponen komponen biologi yang akan membantu mereka meneroka dan belajar tentang dunia sekeliling dengan lebih aktif lagi.
Eksperimen dalam jurnal akademik tersohor ‘American Psychologist’ membuktikan bahawa aktiviti bermain lokomotor serta aktiviti bermain aktif di taman permainan dapat meningkatkan tahap tumpuan kanak-kanak 4-6 tahun. Bukan itu sahaja, eksperimen ini mendapati bahawa selepas aktiviti bermain aktif, kanak-kanak dapat menguasai konsep baru dan menaakul ilmu pengetahuan dengan lebih cekap berbanding kanak-kanak lain yang tidak diberikan ruang dan peluang untuk bermain sepuas hati mereka.
Aktiviti Kedua: Aktiviti bermain berciri sosial
Aktiviti bermain berciri sosial bermula pada usia bayi lagi, sebaik sahaja si kecil lahir ke dunia. Umum mengetahui bahawa semasa usia bayi, kanak-kanak sudah mula belajar dan bermain dengan cara yang tersendiri. Beberapa bulan selepas dilahirkan, seorang bayi dapat menggunakan pancaindera untuk memahami alam sekeliling. Bayi itu juga sedang melalui proses perapatan (attachment) dengan papa, mama dan penjaga atau pengasuhnya.
Ads
Proses perapatan berlaku secara semula jadi dan salah satu cara proses ini berlaku adalah melalui aktiviti bermain berciri sosial! Bila orang dewasa memberi perhatian kepada seorang bayi dan menyapa (agah) atau mengusiknya sebagai contoh, aktiviti bermain berciri sosial mula berlaku. Kemudian sekitar usia dua tahun dan ke atas, aktiviti bermain berciri sosial pun berubah bentuk. Kalau dahulu kitalah yang menjadi teman bermain, bermula saat ini seorang anak kecil lebih cenderung untuk bermain dengan kanak-kanak lain. Semakin banyak kanak-kanak berinteraksi dan bermain sesama mereka, semakin tinggi frekuensi dan kualiti aktiviti bermain berciri sosial yang mereka rasai.
Apabila usia si kecil meningkat kepada 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain berciri sosial berubah bentuk lagi menjadi aktiviti berkumpulan. Apabila tiga orang atau lebih kanak-kanak merasai pengalaman bermain berciri sosial, mereka dapat menguasai kemahiran sosial dan hidup berkumpulan. Dari titik ini, mereka mula faham dan sedar akan konsep komuniti dan masyarakat walaupun pemahaman mereka masih terhad.
Aktiviti Ketiga: Aktiviti bermain dengan objek
Kanak-kanak juga gemar bermain dengan objek. Suatu hakikat hidup yang kita semua tahu, kanak-kanak pada usia pendidikan praformal amat suka bermain dengan objek biasa atau alat permainan! Seperti juga aktiviti bermain berciri sosial, aktiviti bermain dengan objek pada hakikatnya bermula pada usia bayi lagi. Lihat sahaja telatah bayi yang diberi sesuatu, jika tidak dipantau segala macam benda akan dimasukkan ke dalam mulutnya, dikeluarkan dan dimasukkan lagi. Ini sebenarnya awalan aktiviti bermain dengan objek dalam hidup si kecil kontemporari. Apabila mencecah usia 2 tahun dan ke atas, bayi tadi kini semakin cekap memanipulasi objek di sekelilingnya misalnya apabila dia bermain dengan blok mainan.
Lebih menarik lagi, aktiviti bermain dengan objek kadangkala melibatkan aktiviti bermain berimaginasi juga. Sebagai contoh, blok mainan itu dibina menjadi sebuah ‘rumah’ dan di dalam rumah berkenaan ada pula penghuni olok-oloknya. Semakin meningkat umur si kecil, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi semakin kompleks. Ini disebabkan dia sudah semakin cekap dan semakin cepat memanipulasi objek-objek yang ada di sekeliling.
Ads
Malah jika diberi peluang dan ruang secukupnya, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi asas pembinaan konsep dan pemikiran saintifik si kecil di samping membantunya mempelajari asas kemahiran penyelesaian masalah dan penaakulan deduktif (deductive reasoning). Walau bagaimanapun, perlu saya tekankan di sini bahawa manfaat aktiviti bermain dengan objek perlu diseimbangkan dengan arahan dan sedikit bantuan daripada orang dewasa, lebih-lebih lagi pada peringkat usia 0-3 tahun.
Aktiviti Keempat: Aktiviti bermain dengan bahasa
Aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa adalah antara pencapaian yang paling hebat dalam kehidupan kanak-kanak 0-6 tahun! Aktiviti ini bermula lazimnya apabila mereka menjangkau usia dua tahun. Jika si kecil anda berada dalam lingkungan usia ini, anda boleh memerhatikan permulaan aktiviti bermain yang menarik (lagi melucukan) ini. Sebaik sahaja si kecil menguasai asas-asas berbahasa dan mula bertutur dengan pelatnya, dia akan mula ‘bercakap’ dengan dirinya misalnya sebelum tidur atau apabila dia bangun pagi. Kita yang memerhati sukar untuk faham tutur kata si kecil, namun aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa penuh dengan ulangan bunyi atau perkataan ‘orang dewasa’. Aktiviti ini juga diselang-selikan dengan gelak ketawa si kecil walau hakikatnya dia sedang bercakap dengan diri sendiri (mungkin ini asalnya frasa “mudah terhibur”)! Seperti yang boleh dijangka, semakin usia kanak-kanak meningkat semakin kebolehan berbahasa mereka menjadi kompleks. Dalam lingkungan usia 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa juga semakin kompleks apabila si kecil kini mampu menyanyi dengan lebih teratur serta menggunakan bahasa secara lebih kreatif berbanding sebelumnya.
Ini sebabnya pada lingkungan usia sedemikian, si kecil amat suka mendengar cerita atau mahu dibacakan cerita oleh papa, mama atau cikgu prasekolahnya. Dia juga amat suka permainan bahasa seperti teka-teki, lagu-lagu kanak-kanak yang agak lucu dan sebagainya. Ciri humor yang semakin kompleks ini sudah pasti berkait rapat dengan aktiviti bermain dengan bahasa.
Aktiviti Kelima: Aktiviti bermain berimaginasi
Perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat disepadukan melalui aktiviti bermain berimaginasi. Dalam erti kata lain, aktiviti ini adalah aktiviti bermain yang dapat memberi paling banyak manfaat dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia praformal! Aktiviti bermain berimaginasi mula berlaku sekitar usia setahun hingga setahun tiga bulan apabila si kecil semakin pandai mengajuk atau meniru perbuatan orang lain.
Aktiviti yang penuh dengan imaginasi memerlukan si pelaku (kanak-kanak) dan juga si penonton (orang dewasa) untuk berpura-pura bahawa sesuatu objek atau perbuatan sedang melambangkan objek atau perbuatan berbeza. Misalnya pisang yang dipegang oleh si kecil anda itu adalah telefon bimbit dan dia sedang menggunakan ‘telefon bimbit’ itu untuk menelefon anda.
Pada mulanya aktiviti bermain berimaginasi tidak terlalu kompleks, tetapi akan menjadi lebih rumit sejajar dengan usia dan pengalaman hidup kanak-kanak. Aktiviti yang pada mulanya hanya berpura-pura akan berubah menjadi main peranan (role play). Dari hanya satu babak pendek seperti si kecil menidurkan anak patung atau beruang teddy, aktiviti bermain ini akan menjadi babak yang panjang dan memerlukan penggunaan imaginasi yang lebih kreatif.
Yang pasti, melalui aktiviti bermain berimaginasi, si kecil 0-6 tahun dapat mula belajar nilai empati dan simpati dengan memahami perasaan orang lain. Melalui aktiviti bermain ini juga mereka akan mula memantapkan kebolehan berbahasa sesuai dengan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Penyelidikan menunjukkan bahawa aktiviti bermain seperti ini membantu si kecil belajar berunding dengan kanak-kanak lain dan memahami asas-asas peraturan dan undang-undang dalam kehidupan sehari-hari.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam membesarkan anak-anak memang banyak dugaan dan cabaran yang perlu mak ayah tempuhi. Nak tunggu semua besar macam-macam karenah dan perangai nak kena hadap. Namun itu semualah yang mematangkan dan memberi pengalaman untuk kaedah yang lebih baik dalam mendidik anak-anak. Orang kata belajar dari pengalaman.
Dalam menguruskan anak yang masih kecil, pengurusan emosi paling penting untuk dititik beratkan oleh setiap ibu bapa. Gagal menguruskan emosi diri sendiri bimbang akan turut memberi kesan kepada emosi anak-anak.
Seperti perkongsian yang dibuat oleh Siti ‘Aisyah Rozalli dalam menangani ‘krisis’ bersama si kecil yang tiba-tiba muntah ketika dalam perjalanan. Pastinya rasa panik datang menempa dan membuatkan emosi sedikit terganggu. Bagaimana cara untuk menjadikan sesebuah situasi yang tegang menjadi tenang, ikut perkongsian ibu ini:
5 TIP KAWAL EMOSI KITA, MASA URUS EMOSI ANAK.
Dalam Perjalanan anak tiba-tiba muntah
(banyak nau perkataan emosi kat situ kan)
Tu dalam gambar tu kat R&R. Betul-betul tepi curb jalan tu saya duduk😅😅😅
Habis program di Putrajaya pagi tadi, kami terus pulang ke Melaka bersama anak-anak.
Haaaa…..
Tengah borak-borak loving-loving kat depan dengan ayah diorang (sila kawal muntah anda)
Tiba-tiba…
“Aaaaaaaaaaaa!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”
Si Husam jerit high-pitched punya!
Anak kami yang 4 tahun tu, tengah fasa “terus jadi mangsa” walaupun dia yang kacau abang dia dulu
Maka, dia jerit macam ada orang gigit hidung dia serta merta
Mak ayah diorang yang dikejutkan dari lamunan kat depan ni pun apa lagi?
Terrrrrrjerit nak overcome suara si anak.
“APASAL TU?????!!!!!”
Ofkos mula-mula takut ada emergency kan.
Pusing belakang, tengok abang dah bergenang air mata.
“Husam ketuk kepala Thufayl tiba-tiba je. Thufayl ambillah mainan dia!”
5 tip yang dibuat bila situasi menjadi agak tegang
Kira dalam hati sampai 10 supaya mak ayah kembali tenang dan boleh berfikir dengan baik.
2. Bagitahu abang-abang, tak perlu cakap dengan Husam. Pandang depan, biar Husam siap menangis menjerit dulu. (Kita tak mahu marathon kecederaan dan tangisan bersilih ganti ya)
3. Cari R&R, untuk parking tepi dengan tenang. Tanpa cakap apa-apa lagi dengan Husam. Just tengok cermin pandang belakang pastikan semua orang di belakang selamat.
(Anak tengah mengamuk, kita tegur dan pujuk masa tengah syok mengamuk, memang tak masuk pun apa kita cakap. Bagi dia masa sekejap, dan hanya pastikan sekitar dia selamat)
4. Parking tepi. Mama turun kereta, buka pintu, pusingkan anak dan DUDUK SEPARAS MATA ANAK.
Kenapa separas mata?
Supaya anak alert yang kita dah sampai depan mata dia. Sentuh bahu anak dengan sedikit pressure, dan peluk anak.
5. Bila anak dah diam, baru bincang apa yang berlaku. Masa ni, barulah keluarkan semula segala SOCIAL STORY, NASIHAT, yang kita pernah beri sebelum ni.
SOCIAL STORY penting. Sebab anak-anak kecil ni, kalau kita cakap je dia tak dapat faham sangat. Kena tunjuk gambar-gambar.
Social story : “Pukul orang tak bagus”, “Adik-beradik kena saling menyayangi”, “Anak soleh sayang keluarga”.
Apa-apalah. Social story berkaitan dengan apa yang diperlukan anak kita.
Begitulah.
Salah satu tips emergency namanya.
Yang paling penting kat situ?
MAK AYAH KENA TENANG & SEHATI SEJIWA BERUSAHA UNTUK SALING MENENANGKAN.
Gambar ayah dia takde kan dalam tu?
Sebab ayah dia sibuk uruskan anak yang selebihnya tu supaya maknya ni, boleh settlekan si anak yang sedang mengamuk.
Nampak tak kerjasama tu penting?😉😉😉
Saya doakan KITA SEMUA BEROLEH KETENANGAN DAN ILHAM TERBAIK dalam menguruskan anak-anak kita ❤❤❤
Semoga perkongsian ini bermanfaat 😁
Boleh share kat ruang komen TIPS ANDA PULA.
Kita kongsi sama-sama ya ❤
Ada sebab kenapa bayi menanis. Bukan hanya kerana lapar, boleh jadi juga dia tak selesa dengan lampin yang basah ataupun perut kembung. Memandangkan bayi ni tak boleh bercakap, jadi mereka gunakan tangisan sebagai isyarat unuk menyampaikan sesuatu pesanan kepada mama papa. Namun kalau asyik menangis, buntu juga kita nak tahu apa masalahnya kan?
Sekiranya anda sudah biasa mengendalikan anak sendiri, anda akan tahu apa yang mereka mahukan apabila menangis. Sebagai langkah pertama sebelum anda memeriksa dengan lebih lanjut, anda boleh lakukan lima perkara ini dahulu:
Tukar lampin. Kemungkinan lampin basah menyebabkannya dia tidak selesa.
Berinya susu atau makanan. Mungkin dia kelaparan atau haus.
Periksa perut bayi jika dia alami kembung perut. Sapu minyak angin pada perutnya.
Cuba tidurkan bayi. Dia mungkin mengamuk kerana mengantuk.
Periksa pakaian yang dipakainya sama ada terlalu ketat atau tebal yang menyebabkannya tidak selesa. Tukar jika perlu.
Jika bayi masih menangis selepas anda buat lima perkara ini, mungkin anda boleh meredakan tangisan si manja dengan beberapa cara yang lain. Usah risau, ia tidak susah dibuat dan biasanya berkesan untuk menenangkan mereka.
1.BAWA BAYI KE TEMPAT YANG TENANG
Bayi boleh menjadi lebih mudah dirangsang apabila berada di ruang yang tenang dari kebisingan dan suasana nyaman. Kadang kala dengan pencahayaan, bunyi dan persekitaran mudah untuk bayi bergerak akan bayi menjadi cerewet. Cuba alihkan bayi ke lokasi yang tenang dan tempat yang biasa dengannya untuk si manja berada dalam keadaan tenang. Pencahayaan bilik yang dimalapkan sedikit juga boleh meredakan tangisan mereka.
2.BEDUNG BAYI
Kebanyakan bayi suka dirinya dibedung kerana ia membuatkan dirinya berasa selamat seperti di dalam rahim ibu. Apabila si manja di bedung, ia dapat membantu mengawal pergerakan (refleks Moro) bayi anda dan membantu si manja tidur nyenyak.
3.BUAIKAN
Perlahan-lahan buaikan bayi anda dalam gerakan berirama yang boleh membantu mengatasi masalah bayi yang cerewet. Gerakan berirama mengingatkan bayi anda berada di dalam rahim. Anda juga boleh dodoinya sambil berjalan atau meletakkan di pangkuan sambil anda duduk di kerusi goyang.
Membuaikan si manja dalam dukungan seperti ini boleh meredakan tangisannya.
4.MENYANYI
Mengulangi bunyi seperti “Shhh, shhh, shhh” atau “ahhh, ahh” dalam corak irama pada nada yang sama boleh membantu menenangkan bayi anda. Tidak mengapa jika suara tidak merdu, asalkan bunyi suara anda adalah biasa dan selesa untuk bayi anda. Bagi Muslim, boleh mengalunkan zikir dalam nada yang sama untuk menenangkan si manja.
5.UBAH KEDUDUKAN
Kadang-kala memegang bayi dengan cara berbeza boleh membantu memberikan keselesaan pada si manja yang cerewet. Jika bayi anda mempunyai masalah kolik atau kembung perut, anda boleh memegang bayi dengan kedudukannya menghadap anda. Posisi dukung cara ini memberi tekanan pada bahagian perut kecilnya yang boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan si manja.
6.MASA UNTUK SENDIRIAN
Jika anda masih tidak dapat menenangkan bayi anda yang cerewet ini, cuba letakkan si manja di tempat tidur bayi untuk beberapa minit. Kadang-kala seperti orang dewasa, bayi hanya mahu sendirian untuk dirinya berehat tanpa diganggu.
Jika anda telah mencuba pelbagai keperluan bayi anda dan mencuba panduan yang diberi ini, namun masih gagal menenangkan bayi, cuba dapatkan rawatan pakar kanak-kanak untuk mendapatkan nasihat serta melakukan pemeriksaan kesihatan bayi.
Info Mengenai Kembung Perut/Kolik
Tangisan bayi selalunya akan lebih kerap di antara usia enam hingga lapan minggu dan akan berkurangan apabila bayi berusia tiga bulan. Jika bayi anda baru lahir sihat tetapi menghidapi kolik, akan membuatkan bayi anda menangis kerana tidak selesa.
Tangisan akibat kolik berbeza daripada tangisan yang normal kerana lebih kuat dan bernada lebih tinggi.Tangisan bayi yang kolik kedengaran seolah-olah dia dalam kesakitan atau berteriak. Bayi yang menangis kerana kolik lebih sukar ditenangkan dan tangisan mungkin akan berakhir selepas dia mengeluarkan angin atau membuang air besar.
Jangan susah hati okay mama papa, periksa betul-betul dan ambil tahu kenapa si manja anda menangis!
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sukar nak faham perangai anak umur 2 tahun terutama bila mereka tantrum. Tapi ayah terutamanya jangan cepat marah sebaliknya kena sabar dan pujuk si kecil.
“Kenapa tak dengar cakap papa ni. Kan papa suruh diam. Jangan nangis lagi. Degil ya!” marah si ayah pada anaknya berusia 2 tahun yang buat perangai lepas tu sengaja menangis kuat-kuat.
Mesti ramai ayah yang bersikap begini kan? Menggunakan kuasa veto seorang ayah untuk mengawal si anak yang baru berusia tak lebih 3 tahun daripada berbuat nakal. Kekerapan si kecil buat perangai dan kuat mengamuk, benar-benar menguji kesabaran ayah. Tapi puas dimarah dan dipukul, anak tetap tak makan saman. Betulkah cara didikan tersebut?
Pada yang bergelar ayah bolehlah baca perkongsian ilmu daripada Ibu Rose, seorang Family & Love Guru yang telah berkecimpung di dalam bidang pembangunan modal insan dan pendidikan melebihi 27 tahun ini. Semoga bermanfaat dalam mendidik anak menjadi insan yang cemerlang dunia akhirat.
Semasa bersembang dengan beberapa ayah muda tempuh hari, seorang itu amat terkejut bila Ibu mengatakan anak-anak berusia 2 tahun memang akan tidak mendengar cakap. Malah sering mengatakan NO, atau yang sewaktu dengannya.
Dia agak terkejut kerana selama hari ini dia menyangkakan anaknya yang dulu baik dan mendengar kata, sudah mula degil dan macam biadap pun ada katanya.
Ibu katakan kepadanya, “Tak, itu bukan degil ke biadap dan buruk akhlak. Anak itu sedang melalui fasa Individuating iaitu fasa yang menegapkan kewujudannya. Fasa di mana dia mahu menyatakan dia juga punyai hak memilih. Fasa ini perlu dikendalikan dengan baik, jika tidak ianya akan memberi kesan buruk bila anak itu besar nanti”
Nampak bulat mata si ayah-ayah tu. Soalannya yang seterusnya pula; “sampai bila fasa ni Ibu?” Ibu menerangkan bahawa fasa ini boleh jadi sekejap jer iaitu hingga anak 3 tahun jika ibu bapa dan orang yang mendidiknya bijak mengendalikan fasa ini dengan baik.
Jangan cepat melabel anak itu dengan label yang buruk sebab itu akan membawa kepada identiti diri anak itu dan pada usia 3 tahun, anak itu akan mengambil identiti yang sering diulang terhadap dirinya. Contoh, ‘budak degil, hiperaktif, jahat, nakal dan segala yang sewaktu dengan itu!
“Tak boleh marah ke Ibu?” tanyanya lagi…” marah berpatutanlah jika perlu sangat api perlu faham anak pada usia ini belum faham pun.
Jika ada benda bahaya ambil sahaja dia dari situ dan tunjukkan benda yang selamat. Jika dia meronta, pegang jer dan sooth him, jangan kita pulak sama nak naik berang. Memang anak pada usia ini akan menangis bila disekat anginnya. So, just expect that without thinking anak itu degil atau anda ayah atau ibu yang bodoh.
It is just a phase so chill a little bit.
“Zaman dulu mak ayah tak pun sibuk akan fasa ni? Ada juga yang berkata begitu.” sambungnya lagi. Jawapan Ibu, “siapa kata?”
“Sayang ingat ke macamana sabar emak ayah kamu mendidik? Mungkin ingat sikit-sikit ayah dukung atas bahu bawak pergi tengok burung, buah etc. Itu bukankah cara si ayah mengalihkan pandangan supaya sayang tak menunjukkan tantrum. Emak ayah dulu pun tahu dan ramai di antara mereka sangat sabar. Mereka sering berkata…ala budak…kan? ada jugalah yang tak tahu dan tak sabar. Itulah yang anak-anak mereka kemudiannya ada masalah emosi sikit dan mungkin banyak. Nak pilih contoh yang mana?” tanya Ibu kepada yang bertanya tadi.
Termenung jugalah para ayah muda yang prihatin tu. Kata-kata akhir seorang tu… “Eh, banyak kena tahu ni….besar tanggung-jawab ni.” Nanti Ibu cerita lagi boleh?” Ibu mengangguk bersyukur.
Ibu senyum bersyukur dalam hati Ibu mendoakan mereka. Inilah contoh para ayah yang sentiasa mahu memperbaiki diri demi kesejahteraan anak-anak dan isteri dan mereka ini tahu peranan besar mereka mendidik dan membentuk Ummah.
Faham fasa anak kecil
Pada usia dua tahun atau lebih atau kurang sikit, merupakan masa yang paling mencabar ibu bapa. Seperti yang Ibu selalu katakan sebelum ini. Jika bijak ibu bapa kendalikan perangai anak-anak kecil itu semasa ini, InsyaAllah, akan lebih mudah menguruskan mereka bila sudah remaja nanti.
Tantrum yang sering ditunjukkan anak-anak kecil masa ini adalah cetusan-cetusan perasaan, rasa tidak selesa atau tak puas hati. Kadang-kadang tu, hanya sebab tak pandai makan dengan sudu pun dah boleh menyebabkan mereka mengamuk.
Kenapa?
Sebab pada usia ini dia nak buat macam orang dewasa tapi motor skil belum mahir. Itulah yang menyebabkan dia kecewa. Malah dia ingat dia dah dewasa pun.
Relaks, jangan cepat nak melenting bila dia jatuhkan sudu ke, apa ke. Kita pun jatuhkan sudu dan buat macam tak pandai makan dengan sudu juga…pasti dia terheran and tantrum terhenti.
Pada usia ini anak-anak hanya ada Attention dia belum ada Intention (niat).
Pada usia ini anak-anak tidak ada niat buat sesuatu kerana sesuatu. Contohnya, dia tidak menangis sebab nak beri ayah-mama pening! Dia tiada niat begitu pun!
Bila kita faham akan perkara ini, maka untuk menghalang anak-anak dari terus mengamuk kerana hendakkan barang atau nak menghalang anak dari pergi ke tempat yang bahaya. Wujudkan sesuatu yang akan menarik perhatiannya dengan LEBIH lagi.
Mengapa tak elok kita marah terlebih pada mereka bila mereka show tantrum?
Sebab anak-anak kecil ni memang tak faham lagi dan bila kita marah terlebih, yang akan jadi adalah mereka menjadi lebih degil atau takut macam kura-kura masukkan kepalanya. Oleh itu bila dia dah usia besar sikit, maka kedegilan yang ketara akan menjadi-jadi atau penakut dan tak confident yang teruk akan melanda anak itu. Penat nak tarik dia nak belajar ke, nak buat apa-apa ke.
Jangan risau bila kita layan dengan baik anak itu tetap tantrum. Bila dia nak menangis dan tantrum, kita beri dia peluang asal jangan membahayakan diri. Kita boleh duduk dekat dengannya, atau bawa dia ke tempat lain dan basahkan mukanya sambil sebut “Ayah faham sayang letih…ni ayah dukung and peluk!”
Wahai ayah-ayah semua, gentlemen dan amazingnya anda jika anda bersabar begini. You show a higher level of leadership dan anak itu akan belajar akhlakmu.
Orang akan kata kita manjakan anak. Itu orang yang tak faham mengenai perkembangan kanak-kanak! Kita tak perlu ikut kata-kata mereka. Bayangkan anak tu baru 2 tahun, kecil tu, dah nak ditengking dan dipukul bagai hanya kerana dia menangis kerana letih atau kecewa toys kena rampas ke. Sepatutnya, kita bimbing dia macamana nak kendalikan frustration dia dan bukan kita pulak yang frustrated dengan anak kita yang comel tu.
Ibu mendoakan agar sayang semua akan bertambah bijak dan sabar mendidik anak-anak.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!