Anak bukan trofi mak ayah, bukti pencapaian didikan ‘terpaling’ berjaya. Tanpa sedar, ramai ibu bapa masih melihat anak sebagai ‘trofi’ atau bukti kejayaan mereka. Ukuran kejayaan bukan lagi tentang bagaimana anak membesar dengan bahagia dan menjadi individu yang baik, tetapi lebih kepada pencapaian akademik, kerjaya, atau sejauh mana anak itu boleh memenuhi ekspektasi masyarakat.
Anak Bukan Trofi Mak Ayah, Bukti Pencapaian Didikan ‘Terpaling’ Berjaya
Sebenarnya, cara berfikir sebegini boleh memberi tekanan besar kepada anak-anak. Mereka membesar dengan beban untuk menjadi “sempurna” demi memenuhi harapan ibu bapa, bukannya membina jati diri mereka sendiri.
Berikut adalah lima contoh mindset parenting yang masih menjadikan anak sebagai ‘trofi’:
1. Anak yang baik ialah anak yang mudah dengar kata dan ikut apa sahaja yang disuruh
Ramai ibu bapa menganggap anak yang “baik” adalah anak yang sentiasa patuh tanpa soal. Hakikatnya, anak-anak juga manusia yang ada perasaan, pandangan, dan hak untuk bertanya serta memahami sebab sesuatu arahan diberikan.
Jika anak tidak diberi peluang untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri, mereka mungkin membesar dengan mentaliti takut mencuba, takut bersuara, dan tidak yakin dengan diri sendiri. Anak yang baik bukanlah anak yang sentiasa menurut tanpa persoalan, tetapi anak yang tahu menghormati, berani berdikari, dan mampu membuat keputusan dengan baik.
2. Pencapaian akademik, sekolah mana, belajar oversea sebagai bukti kejayaan ibu bapa
Ada ibu bapa yang sangat bangga apabila anak mereka masuk sekolah berprestij, dapat straight A’s, atau berjaya belajar di luar negara. Ya, ini memang sesuatu yang membanggakan, tetapi perlu diingat—ini adalah kejayaan anak, bukan semata-mata kejayaan ibu bapa.
Anak yang tidak mencapai keputusan akademik cemerlang bukan bermakna ibu bapa gagal. Kejayaan bukan hanya diukur melalui akademik semata-mata, tetapi juga bagaimana anak membesar dengan akhlak yang baik, memiliki kebijaksanaan emosi, dan mampu berdepan dengan cabaran hidup.
3. Lebih besar anak, baru parent tu lebih matang berbanding yang baru anak kecil-kecil
Ramai yang anggap ibu bapa dengan anak remaja atau dewasa lebih “berpengalaman” dalam keibubapaan berbanding mereka yang masih ada anak kecil. Hakikatnya, setiap fasa parenting ada cabarannya sendiri.
Tidak kira anak kecil atau sudah dewasa, ibu bapa tetap perlu belajar dan menyesuaikan diri. Parenting bukan tentang siapa lebih lama menjadi ibu bapa, tetapi sejauh mana kita berusaha memahami dan membimbing anak mengikut keperluan mereka pada setiap peringkat umur.
Ads
4. Kejayaan dalam hidup, kerjaya atau bidang anak sebagai satu pencapaian parenting
Ada ibu bapa yang terlalu mengaitkan kejayaan anak dengan kejayaan mereka sebagai ibu bapa. Jika anak berjaya menjadi doktor, jurutera, atau memiliki kehidupan mewah, mereka rasa itulah bukti bahawa mereka telah menjadi ibu bapa yang hebat.
Tetapi bagaimana pula dengan anak yang memilih laluan kerjaya yang lebih sederhana, yang mungkin tidak bergaji besar tetapi tetap bahagia? Adakah mereka kurang berjaya?
Kejayaan sebenar dalam parenting adalah apabila anak membesar menjadi insan yang bertanggungjawab, berakhlak baik, dan boleh berdikari—bukan semata-mata tentang pangkat atau jumlah gaji mereka.
5. Hanya fokus pada result yang anak perlu capai, bukan pada usaha dan ikhtiar
Banyak ibu bapa yang hanya melihat keputusan akhir tanpa menghargai proses yang dilalui oleh anak-anak.
Contohnya, jika anak mendapat markah rendah dalam peperiksaan, mereka dimarahi tanpa melihat sejauh mana anak itu telah berusaha. Begitu juga dalam bidang lain—anak hanya dipuji bila menang, tetapi tidak dihargai jika mereka mencuba sedaya upaya tetapi tidak mendapat tempat pertama.
Ads
Sebenarnya, apa yang lebih penting adalah usaha dan perkembangan anak, bukan sekadar hasil akhirnya. Jika anak terbiasa dihargai hanya untuk pencapaian besar, mereka mungkin akan membesar dengan mindset bahawa nilai diri mereka bergantung kepada kejayaan, bukan kepada usaha dan perkembangan diri.
Parenting bukanlah tentang menjadikan anak sebagai bukti kejayaan diri sendiri. Setiap anak ada jalan hidup mereka sendiri, dan tugas ibu bapa adalah membimbing, menyokong, dan memberi ruang untuk mereka berkembang sebagai individu yang bahagia dan seimbang.
Sebagai ibu bapa, kita perlu lebih fokus kepada membina jati diri anak, bukannya menjadikan mereka sebagai ‘trofi’ untuk dibanggakan semata-mata. Bila kita mula melihat anak sebagai insan yang unik dengan keupayaan mereka sendiri, barulah kita boleh menjadi ibu bapa yang benar-benar memahami dan menghargai mereka.
Kisah hidup sepasang warga emas yang serba daif namun penuh kasih sayang terhadap empat cucu orang kurang upaya (OKU) benar-benar menyentuh hati ramai. Di sebalik kekangan usia dan kudrat, si datuk tetap gigih mencari rezeki halal demi kelangsungan hidup keluarganya.
Berjalan Bertongkat, Namun Tidak Pernah Mengalah
Lebih menyayat hati, lelaki warga emas tersebut sanggup berjalan perlahan sambil bertongkat, semata-mata untuk mencari sesuap nasi buat keluarga tersayang. Beliau tetap tidak menyerah kalah, malah masih menjaja tudung saji dan barang kraf tangan meskipun dalam keadaan fizikal yang semakin uzur.
Rakaman video berdurasi lebih seminit yang dimuat naik di profil TikTok @Mr.Cool – Asnaf Hunter, memaparkan detik-detik lelaki itu baru pulang dari berniaga di sekitar Bandar Tumpat, Kelantan. Dedikasinya mengharukan, lebih-lebih lagi apabila diketahui bahawa di rumah sedang menanti isteri tercinta serta empat cucu OKU yang memerlukan perhatian rapi.
Perkara yang paling menarik perhatian ramai ialah keadaan rumah mereka yang sangat bersih dan kemas, walaupun jelas serba kekurangan. Ramai netizen memuji ketekunan pasangan warga emas ini yang tetap menitikberatkan kebersihan dan adab dalam melayan tetamu.
Antara pujian yang diterima termasuk:
“Rumah dia bersih ja, menandakan dia orang memang rajin. Betul lah mak cakap, kalau rajin semua nampak kemas,” – @Norjannah Tahir
“Terus hidang air untuk tetamu. Tingginya adab budaya Melayu kita,” – @Zarinah Sulaiman
“Kuatnya pak cik, walaupun kudrat terbatas. Moga murah rezeki pak cik sentiasa,” – @MaMaYonG
Kata @Mr.Cool, suasana di rumah itu sangat sederhana dan sukar dilihat dalam masyarakat moden kini. Keikhlasan dan layanan mesra si isteri turut memberi kesan mendalam kepada sesiapa yang melihatnya.
Teladan Buat Kita Semua
Kisah ini bukan sekadar kisah kesusahan. Ia adalah kisah ketabahan, cinta keluarga, dan nilai budaya yang masih utuh diamalkan. Dalam dunia serba moden yang sering mengejar material, pasangan ini mengingatkan kita akan pentingnya kasih sayang, tanggungjawab dan adab.
Semoga kisah warga emas ini menjadi inspirasi kepada kita semua – bahawa kasih sayang dan pengorbanan tidak pernah mengenal usia atau kekurangan.
SUMBER:- KOSMO!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak mendirikan rumah tangga pada Disember 2022, pasangan Fatin Afeefa dan Aliff Awang atau lebih dikenali sebagai Opai terus jadi tumpuan ramai. Sama ada dalam soal kerjaya mahupun kisah cinta mereka, setiap gerak-geri pasangan ini pasti mengundang perhatian.
Terbaharu, Fatin dilihat menerima satu kejutan istimewa yang dihantar ke rumahnya. Kejutan tersebut bukan calang-calang, gabungan jambangan bunga bersaiz besar dan beg tangan mewah jenama Birkin. Hadiah itu dipercayai dihantar oleh Opai sebagai cara untuk memujuk isterinya yang sedang merajuk.
Rabi & Aisyah Wakil Kejutan
Video momen kejutan itu telah dimuat naik oleh usahawan dan influencer terkenal, Mirzan Johor. Namun, penghantaran hadiah bukan dilakukan oleh Mirzan sendiri, sebaliknya oleh dua staf wanita beliau iaitu Rabi dan Aisyah.
Kedua-dua mereka muncul di hadapan pintu rumah Fatin dengan membawa hadiah istimewa tersebut. Fatin yang berada di rumah ketika itu tampak terkejut dan agak terpinga-pinga pada mulanya, namun wajahnya perlahan-lahan berubah ceria sebaik menerima kejutan.
“So kalau dia buat I marah, I dapat beg. Jadi, buatlah lagi.”
Ketika ditanya mengenai hadiah itu, Fatin mengakui yang dirinya memang sedang merajuk dengan suami. Namun, dalam nada berseloroh dan manja, dia berkata,
“So kalau dia buat I marah, I dapat beg. Jadi, buatlah lagi.”
Reaksi Fatin yang kelihatan gembira tetapi masih ‘jual mahal’ itu mengundang senyuman mereka yang berada di lokasi. Jelas terpancar perasaan dihargai walaupun dia tetap dengan pendirian, “Masih merajuk.”
“Tiba-Tiba Bagi Hermes, Tak Cukup! I Need a Rolex.”
Diminta untuk memberi ucapan kepada suaminya, Fatin tanpa ragu-ragu berkata, “Tak ada ucapan.” Jawapan ringkas itu disambut dengan gelak kecil oleh Rabi dan Aisyah, sebelum Fatin menyambung dengan satu lagi kenyataan yang mencuit hati,
“Tiba-tiba bagi Hermes, tak cukup! I need a Rolex.”
Walaupun kedengaran seperti gurauan, cara Fatin menyampaikan ayat itu menunjukkan hubungan mereka yang penuh dengan dinamik tersendiri—ada cinta, ada merajuk, tapi tetap penuh warna dan gaya.
Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2026 dijangka berlangsung dalam tempoh cuti sekolah penggal pertama, sekaligus memberi kelegaan besar kepada ibu bapa, pelajar dan penjawat awam di seluruh negara. Tahun depan nampaknya bakal menjadi antara sambutan Aidilfitri paling tenang dan bermakna kerana ramai dapat meraikannya tanpa perlu memohon cuti tambahan.
Menurut Kalendar Akademik 2026 yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Hari Raya Aidilfitri 2026 dijangka disambut pada 21 dan 22 Mac 2026, iaitu tepat dalam tempoh cuti pertengahan penggal pertama bagi semua sekolah di bawah KPM.
Tarikh Cuti Sekolah Penggal Pertama 2026
🔹 Kumpulan A (Kedah, Kelantan dan Terengganu):
Cuti bermula 20 hingga 28 Mac 2026.
🔹 Kumpulan B (Johor, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya):
Cuti bermula 21 hingga 29 Mac 2026.
Dengan pertembungan ini, ibu ayah pastinya dapat menarik nafas lega. Tiada lagi dilema memohon cuti tambahan untuk balik kampung atau menyiapkan persiapan raya. Malah, ramai yang menyifatkan penyusunan jadual akademik kali ini sebagai ‘rezeki keluarga Malaysia’.
KPM Umum Cuti Tambahan Khas Aidilfitri
Lebih menarik, KPM turut memperuntukkan cuti tambahan khas satu hingga dua hari bagi negeri tertentu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026. Langkah ini membolehkan pelajar, guru dan penjawat awam menikmati cuti yang lebih panjang dan berkualiti bersama keluarga tercinta.
Dengan jumlah keseluruhan cuti melebihi seminggu, ia memberi ruang kepada semua untuk beristirahat, menziarahi sanak saudara dan beribadah dengan lebih tenang tanpa tekanan masa.
Gambar Via Pexels
Rancang Perjalanan Awal, Elak Jalan Sesak
Apabila cuti sekolah dan Hari Raya Aidilfitri 2026 jatuh serentak, sudah tentu ramai akan mengambil peluang untuk pulang ke kampung lebih awal. Perancangan awal amat penting bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya utama.
Ibu ayah juga disarankan menempah tiket perjalanan lebih awal bagi yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas, tren atau kapal terbang. Selain itu, merancang bajet perbelanjaan raya lebih awal juga dapat membantu mengurangkan tekanan kewangan menjelang Aidilfitri nanti.
Lebaran Lebih Bermakna Buat Anak-Anak
Bagi anak-anak pula, inilah masa terbaik untuk menikmati suasana Aidilfitri sebenar bermain bunga api, menziarahi keluarga, dan merasai kemeriahan pulang ke kampung tanpa tergesa-gesa. Ia bukan sekadar cuti, tetapi satu peluang berharga membina kenangan indah bersama keluarga.
Tahun 2026 nampaknya bakal menjadi Aidilfitri paling tenang buat ibu ayah dan anak-anak di Malaysia. Dengan jadual persekolahan yang serasi dengan perayaan, setiap keluarga kini dapat menyambut Syawal dengan hati yang lebih lapang, penuh kasih dan rasa syukur.
Macam mana nak tahu bayi cukup tidur? Ini tanda-tanda penting yang mak ayah kena tahu! Ketahui corak tidur normal ikut umur, simptom bayi tak cukup tidur dan tips bantu bayi tidur lena setiap hari untuk perkembangan sihat.