Anak Cepat Dapat Kaki, Lambat Sikit Mulutnya. Usia Kandungan Masa Lahir Main Peranan

Share

Perkembangan anak menjadi fokus utama ibu bapa sejurus selepas lahir. Ia tidak dinafikan sangat mustahak untuk memastikan pencapaian si kecil sentiasa seiring perkembangan usia.

Namun harus diingat, bayi bukanlah individu yang sama, banyak faktor yang menjadikan mereka berbeza. Sama seperti insan dewasa, personaliti juga sudah mula diperlihatkan sejak lahir lagi.

Bayi, lebih variasi perkembangannya kerana terdapat beberapa faktor yang memainkan peranan penting. Antaranya usia sejarah kelahiran, personaliti dan halangan. Bayi bukanlah one size fits all,  setiap daripada mereka variasi.

Ibu ayah jangan terlalu tertekan dengan kelambatan penguasaan bayi dan ambil kira faktor pendedahan yang diperolehi si kecil. Perkongsian daripada Uswatun Hasanah Mohd Habib, Konsultan Tangisan Bayi ini boleh dijadikan panduan.

Ada beberapa kali saya mendapat mesej dari ibu bapa yang ‘cemas’ bila anak mereka lambat dalam sesuatu: lambat merangkak, lambat meniarap, lambat berjalan…

Perkembangan motor bukan bidang saya. Namun, saya ambil peluang ini memberi input dari perspektif perkembangan otak anak kerana ia tetap ada kaitan dengan perkembangan motor anak. Harapnya agar dapat bantu legakan hati ibu ayah di luar sana.

Apa yang membuat anak kita bervariasi?

Sejarah kelahiran
➡ Bayi A yang lahir pada 2 April 2019 pada usia 37 minggu TAK SAMA dengan bayi B yang juga lahir pada 2 April 2019 pada usia 32 minggu juga TAK SAMA dengan bayi C yang juga lahir pada 2 April 2019 pada usia 41 minggu.

Pepatah ‘ age is just a number ‘ or ‘ age does not matter ‘ adalah benar untuk orang dewasa tetapi tak benar untuk bayi. Perbezaan usia hatta beberapa minggu itu besar ‘kesannya’.

Perkembangan otak berkait langsung dengan usia. Usia pula di kira dari tarikh anak mula di kandung (di senyawakan mungkin lebih tepat), dan bukan dari tarikh hari pertama anak melihat dunia (hari lahir).

Otak bayi berkembang di dalam dan luar rahim. Maka tentulah otak bayi yang lahir 3 minggu awal berbeza dengan otak bayi yang lahir cukup bulan, tepat 40 minggu misalnya.

Jadi, sebelum nak banding anak atau gabra periksa carta perkembangan motor anak, periksa usia sebenarnya terlebih dahulu. Anak bukan sedulang biskut raya yang masak pada masa yang sama ketika keluar dari ketuhar.

Personaliti
➡Anak bukan sedulang biskut raya yang serupa bentuk dan rasa dengan tujuan semata-mata untuk di ‘ngap’ oleh mulut manusia.

Anak lahir dengan rupa dan perwatakan yang tersendiri dengan tujuan mengurus dunia sebagai ahli politik, doktor, guru dan ahli perniagaan misalnya.

Sejak hari pertama dilahirkan, anak akan menunjuk minat atau kecenderungan yang sesuai dengan personalitinya. Dia akan menghabiskan banyak masa berlatih bakat dan meneroka bidang minatnya.

HANYA SETELAH DIA PUAS DAN MENGUASAI MINATNYA, BARULAH ANAK AKAN BERALIH MENGUASAI BIDANG YANG DIA KURANG MINAT PULA.

Tak faham? Baik. Sebagai contoh, pada usia 8 minggu (+/- dah tentu!), semua anak akan mengalami 1 perkembangan otak yang membolehkan dia memasuki dunia corak (pattern). Iaitu anak akan MULA MENEROKA corak, bentuk, warna dan tekstur. Penerokaan ini bukan hanya secara visual (mata) tetapi menggunakan kesemua derianya. Anak bukan hanya meneroka dunia corak di sekelilingnya tetapi juga yang didalam badan atau sistemnya.

Maka, anak dengan personaliti ‘athletic’ (cenderung guna fizikal), akan menghabiskan banyak masa mengkaji tangannya misalnya. Bukankah tangan kita semua ada bentuk khusus? Maka, anak akan banyak merenung tangannya, cuba menggerakkan jari-jarinya atau lengannya dan akan mula masukkan jari ke dalam mulutnya. Ini semua bagi tujuan mengenal pasti ‘apa itu tangan dan apa yang tangan boleh buat’.

Anak yang lebih ‘chill’ pula akan seperti banyak termenung. Sebenarnya, dia menikmati dunia corak di sekelilingnya. Misalnya dia nampak ‘layan’ melihat sinar cahaya matahari yang menembusi biliknya, atau kusyuk menatap kertas dinding berwarna-warni rumahnya.

Anak minat bersosial pula akan mula banyak bunyi. Contohnya anak gemar buat bunyi pendek-pendek seperti ‘uh..uh..uh’ bila dia teruja melihat susunan tin berwarna-warna di rak kedai atau bila lihat kelibat ibunya. ‘Uh..uh..uh’ juga adalah sejenis corak iaitu corak bunyi yang boleh di hasilkan oleh peti suara manusia. Bayi juga akan suka menoleh dan mencari sumber bunyi sekeliling.

Nah! Perkembangan otak yang sama, namun sudutnya saja yang berbeza. Adakah anak yang ‘chill’ dan suka termenung menghayati alam itu akan akhirnya jadi tak mampu dan tak pandai meniarap, merangkak atau berjalan ? TIDAK, cuma mungkin lewat sedikit saja dia menguasainya berbanding rakannya yang bersikap ‘athletic’.

Bayi TIDAK BOLEH menguasai banyak perkara berbeza dalam sesuatu masa. Maka, ada benarnya kata orang tua-tua; ‘anak yang cepat kaki, lambat sikit mulutnya’.

‘Halangan’ situasi tertentu
➡Pada usia +/- 26 minggu (6 bulan), anak mengalami 1 perkembangan mental yang membolehkannya masuk dunia hubungan.

Bermula usia ini, anak lebih ‘mobil’ (banyak pergerakan) kerana bukan sahaja anak telah faham ‘corak’ tangan dan bahagian badannya yang lain seperti yang dia telah pelajari dalam dunia corak pada sekitar usia 8 minggu dahulu, tetapi kini dalam dunia hubungan, anak telah pandai menyelaraskan pergerakkan kesemua anggota badannya dan hasilnya ↪ramai bayi mula merangkak /mengengsot bermula usia ini.

Namun, kemampuan otak bayi memahami dunia hubungan ini saja tak cukup. Bayi yang ‘tembam’ misalnya mungkin jadi kurang minat dan kurang selesa nak merangkak kerana beban berat walaupun dia sebenarnya tahu , minat dan boleh merangkak.

Sekali lagi, anak bukan kuih raya yang kalau terhangus atau tak jadi seperti yang di harapkan, boleh di bakul sampahkan bila muncul sesuatu halangan. Ibu ayah empatilah dengan kesukaran semasa yang di hadapi anak.

Faktor-faktor tambahan lain
➡Manusia itu cemerlang dengan dorongan. Namun dorongan mesti betul, iaitu yang mengambil kira diri bayi seadanya dia.

Anak yang ‘athletic’ mungkin tak kisah berlatih meniarap (tummy time) dengan kerap dan agak lama sejak hari pertama. Maka, jika anak ini memiliki pula ibu ayah yang rajin ‘melayan’ buat ‘tummy time’ dengannya, tak hairan lah dia cepat menguasai meniarap misalnya.

Namun, anak yang bukan berpersonaliti ‘athletic’ dan di paksa-paksa lebih dari hadnya untuk dia berlatih ‘tummy time’, mungkin akan mula takut untuk mencuba kerana mengaitkan aktiviti meniarap itu sebagai pengalaman buruk.

Contoh lain, jika seorang anak itu memiliki ibubapa yang bersikap ‘intuitive’ :pandai ‘membaca’ kemahuan dan keperluan anak sebelum atau tanpa perlu di minta, maka anak merasa ‘tiada keperluan’ untuk dia banyak buka mulut. Maka, anak mungkin kelihatan ‘berat mulut’ untuk berlatih cakap, namun, tau-tau saja anak sudah terus pandai buat ayat penuh pada usia 16 bulan misalnya!.

JANGAN OBSES MEMBANDING

*** Pokoknya, usahlah ibu bapa terlalu obses membanding perkembangan anak secara melulu. Anak yang pandai berjalan pada usia 10 bulan itu tak ada beza kualiti jalannya dengan anak yang pandai berjalan pada usia 16 bulan ketika kedua-duanya berusia 3 tahun. Tiada siapa yang boleh beza ‘siapa pandai jalan terlebih dahulu’ kecuali bila ibu yang bercerita.

Anak itu bervariasi. ‘Bervariasi’ dan ‘berbeza’ itu lain maksudnya. Jika ibu rasa anaknya ‘berbeza’ (tak macam anak lain) dan ibu risau tentang hal ini, rujuklah doktor anak anda untuk pengesahan.

Sumber: Baby Language

Published by
Azma ML