Anak masih belum tunjuk tanda-tanda bercakap memang merisaukan ibu ayah. Kadang-kadang anak dah berusia 5 tahun barulah ibu ayah sedar bahawa anak mereka lambat bertutur disebabkan kurang tahu tentang ‘red flag’ lewat pertuturan.
aya : Puan ada apa-apa soalan lagi sebelum kita tamatkan sesi?
Ibu : (senyap, berfikir barangkali)
Saya : Puan faham ke aktiviti kita hari ni?
Ibu : Faham puan. Saya ada soalan puan. Seawal usia berapa kita boleh tahu anak tu lambat cakap? Sebab tadi kan puan tanya saya, anak saya ni boleh membebel tak pada usia dia 6 – 10 bulan.
Semasa mengambil sejarah kes untuk pesakit baru, saya suka bertanya soalan,
✅ Anak membebel tak pada usia 6 – 10 bulan? Jika jawapannya adalah ya, soalan seterusnya,
✅ Bagaimanakah jenis kombinasi Konsonan Vowel (KV) yang anak bebelkan itu.
Adakah mempunyai kepelbagaian kombinasi KV seperti ‘mapakamamakamapaba’ atau hanya kombinasi KV yang sama seperti ‘mamama, papapa’, dan sebagainya.
…
Bayi yang sangat kurang atau tidak membebel sebenarnya merupakan Red Flag pertama bayi ini akan berkemungkinan lambat cakap.
Ini adalah kerana keupayaan kita membebel pada julat usia 6-10 bulan itu merupakan satu kemahiran semulajadi yang akan berkembang ke kemahiran bercakap seiring dengan peningkatan usia.
Red Flag kedua boleh dilihat pada usia 1 tahun 6 bulan.
Ads
Red Flag ketiga pada usia 2 tahun 6 bulan dan seterusnya pada usia 3 tahun 6 bulan.
Sela masa diberikan selama 6 bulan untuk setiap peringkat usia kerana anak tidak semestinya wajib bercakap 1 patah perkataan sebaik sahaja memasuki usia 1, 2 atau 3 tahun tepat mengikut kiraan tarikh lahir.
Sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak melakukan pemantauan kendiri Red Flag pertama, segera lah bertindak pada Red Flag kedua.
Red Flag ini lebih mudah dipantau pada kemahiran penghasilan bahasa atau kemahiran bercakap berbanding dengan kemahiran pemahaman bahasa.
Ini disahkan lagi dengan komen ibu bapa pesakit iaitu anak saya faham tapi lambat cakap / tak boleh cakap / cakap sepatah – sepatah / tak boleh buat ayat lagi.
Ads
Daripada pengalaman, pesakit yang mempunyai sejarah kurang atau tidak membebel sedikit sukar untuk dibantu terutamanya jika pesakit itu datang mendapatkan terapi pertuturan-bahasa selepas berusia 3 tahun.
…
Mengapa ada bayi yang tidak membebel?
Kemahiran membebel ini ada pada semua bayi termasuk bayi yang mempunyai masalah pendengaran. Bayi bermasalah pendengaran tidak dapat mendengar suaranya sendiri, ibu bapa, orang dan bunyi sekeliling.
Lama-kelamaan kemahiran membebel itu hilang kerana bayi merasakan dunianya sunyi sepi kerana otak tidak menerima sebarang input bunyi untuk ditafsirkan.
Tetapi dalam kes bayi yang mempunyai pendengaran normal, saya tidak pasti. Saya masih mencari jawapan.
…
Ads
Komen ibu, “anak saya tak membebel, elok je cakap”
Komen ini pun benar kerana kita dicipta dengan kelebihan dan keunikan yang tersendiri.
Seperti keunikan cap jari, setiap anak tidak sama perkembangannya. Boleh jadi anak A tidak ada masalah, tetapi bukan anak B walaupun kedua-duanya tidak membebel semasa bayi.
…
Kita boleh bandingkan perkembangan anak kita dengan anak dia tetapi jangan pukul rata anak kita mesti berkembang seperti anak dia.
Asalkan perkembangan anak masih dalam julat kemahiran tipikal, itu sudah memadai untuk kita katakan anak kita berkembang secara normal, tidak lambat dan tidak terlalu pantas
Bergaduh adik beradik memang menjadi kebiasaan. Kalau dalam tempoh masa sehari tidak bergaduh sesama mereka, memang tak sah! Ada- ada yang tidak kena.
Kaunselor ini kongsi peranan ibu hadapi pergaduhan anak-anak, bukan menjadi hakim tentukan siapa yang salah.
Menurut Puan Farhan Salleh, seorang kaunselor dan juga ibu kepada dua anak, pergaduhan antara anak hanyalah gaduh-gaduh sayang. Berikut ialah perkongsian beliau;
GADUH GADUH SAYANG
Ada orang kata semakin lama kita menjadi ibu atau ayah, kita akan jadi semakin matang. Semakin bertambah anak semakin kita tahu bagaimana mengurus anak anak. Namun hakikanya bertambahnya bilangan anak anak di dalam rumah akan menyebabkan bertambahnya cabaran.
Saya teringat dahulu ketika anak hanya seorang saya hanya berdepan dengan kerenah Aufa sahaja, namun bila dia dah ada adik semakin banyak kerenah yang saya perlu tempuhi dan hadapi.
TERIMA ADUAN
Bukanlah namanya adik beradik kalau tidak bergaduh dalam sehari. Kita dahulu pun sama kan? Ada sahaja perasan tak puas hati sesama adik beradik.Pengalaman saya sendiri, dalam sehari tidak sah sekiranya tidak ada bunyi ini.
“Ibu!!! Tengok adik ni”
“Ibu, adik kacau kakak menulis”
“Ibu…adik gigit kakak”
Adakalanya Si adik datang pada saya dengan bekas gigitan di tangan dan menangis tersedu sedu tanda mengadu. Si kakak pula menjeling tajam
“Bukan kakak buat, adik dulu koyak kertas kakak”
Phewww. Berpeluh kita menerima aduan setiap hari. Kalau boleh dicatat berjela jela aduan dalam sehari. Itulah lumrah adik beradik kan. Bagaimanapun, kita sebagai ibu bapa haruslah bijak menghadapi situasi seperti ini.
TINDAKAN
Dalam situasi yang saya ceritakan di atas, biasanya apa tindakan yang kita buat?
Mungkin ada yang terus marah pada anak yang lebih besar
Mungkin ada yang bagi sepit ketam aka cubit kepada kedua dua anak yang terlibat
Mungkin juga ada tidak memberi apa apa respon dan membiarkan sahaja segalanya selesai sendiri.
Sejak kedua dua anak saya membesar, saya belajar cara yang lebih bijak untuk membantu mereka apabila mereka bergaduh. Sebenarnya, bila anak anak bergaduh dan kita mahu menyelesaikan isu pergaduhan itu, jangan hanya fokuskan kepada misi menghentikan pergaduhan.
Sebaliknya, dalam masa yang sama kita harus memastikan anak anak kita dapat menjaga hubungan sesama mereka.
Kuncinya:
Solving issue and at the same time maintaining relationship
JADI ORANG TENGAH, BUKAN SEBAGAI HAKIM
Biasanya bila Aufa dan adiknya bergaduh, saya akan datang sebagai orang tengah atau mediator. Bukan sebagai hakim untuk menentukan siapakah yang betul atau salah. Apabila saya jadi orang tengah, saya tidak akan memihak kepada sesiapa.
Sebaliknya saya akan pegang kedua kedua tangan anak saya dan seorang akan berada di sebelah kiri dan seorang akan berada di sebelah kanan.
Ketika itu, sebenarnya masih sempat lagi mereka menyambung bergaduhan mereka.
Tetapi, sebagai orang tengah saya haruslah SABAR dan TIDAK MENGHUKUM sesiapa pun.
BERI MASA BERTENANG
Sebelum memulakan proses menyelesaikan masalah, saya beri mereka masa untuk bertenang dalam 5 minit.Setelah kedua-dua sudah agak reda dan tidak lagi naik kaki dan tangan, saya mula memainkan peranan saya.
Memandangkan hanya si kakak yang boleh bercerita, saya mula mendengar cerita dari pihak kakak.
“Ibu, bukan salah kakak, adik yang buat kakak dulu. Kakak tengah buat kerja, lepas tu dia datang tarik buku kakak”
Panjang lebar aduan kakak
“Ok, lepas adik tarik buku kakak, apa jadi selepas itu?”
“Kakak tolak lah dia, dia pun jatuhlah. Tapi bukan salah kakak!”
(Masih lagi mahu menang)
“Ok, faham, maknanya adik kacau kakak, lepas tu kakak tolak dia sebab marah?”
“Yelah, adik buat kakak dulu, bukan kakak, kakak tak kacau pun dia”
“Ok, kakak, ibu tahu kakak tak suka adik kacau, tapi kakak tolak dia sampai jatuh tu bagus tak?”
“Tak…”
Balas Aufa perlahan
PELUK ANAK, PASTIKAN MINTA MAAF & SALING BERPELUKAN
Biasanya ketika ini, saya akan peluk kedua dua mereka. Saat ini biasanya kedua duanya sudah semakin tenang.
Langkah seterusnya yang saya ambil adalah, memastikan kedua duanya meminta maaf dengan penuh perasaan dan kesedaran. Bukan memaksa mereka untuk meminta maaf, tetapi saya ajar mereka.
“Ok adik, sekarang minta maaf kakak. Adik ambil tangan kakak. Aminnn kakak”
“Ok, kakak pula minta maaf pada adik”
Oleh kerana kakak sudah besar, saya biasanya akan ajar dia meminta maaf dengan cara yang lebih berkesan. Biasanya ayat yang saya ajarkan kepada Aufa begini
“Adik, kakak minta maaf sebab……(tolak adik)”
“Lain kali kakak tak nak buat dah”
“Sayang adik”
Selepas si adik bersalam, saya akan menyuruh kedua kedua peluk antara satu sama lain.
Maka selesai lah 1 babak drama dalam rumah saya.
PISAHKAN SEKETIKA KALAU TIDAK MAHU MENGALAH
Harus saya ingatkan proses di atas bukanlah 1 penyelsaian magic. Adakalanya anak tetap akan keras dan tidak mahu mengalah. Kalau saya, biasanya saya akan pisahkan mereka seketika apabila kedua keduanya tidak mahu beralah. Biasanya saya akan dukung si adik bawa dia ke tempat lain sementara kedua duanya bertenang. Tetapi, pada kebiasaanya saya akan gunakan jalan penyelesaian seperti dibawah.
Kalau perhatikan cara saya di atas itu banyak melibatkan si kakak kerana anak saya yang sulung berumur 5 tahun dan adiknya baru sahaja setahun setengah. Jadi, sekiranya anak tuan dan puan sekalian kedua duanya berumur 3 tahun lebih dan ke atas kedua duanya harus dilibatkan dalam setiap langkah yang saya ceritakan.
Contohnya, dalam proses bercerita tentang apa yang terjadi, sekiranya kedua dua sudah mencecah usia 3 tahun lebih dan sudah pandai bercerita. Maka dengarlah cerita dari kedua dua belah pihak.
Ketika anak anak anak bercerita tentang apa sebenarnya yang berlaku jangan menyampuk atau mencelah. Dengar sahaja dengan penuh minat.
Ibu dan ayah jangan sesekali menyebelahi atau menyalahkan mana mana pihak yang terlibat.
Cuba untuk memahami perasaan anak anak kita dan jangan merendah rendahkan mana mana pihak.
Elakkan kekerasan ketika menyelesaikan masalah pergaduhan anak anak kerana cara kita itu akan digunakan semula apabila mereka bergaduh.
RINGKASAN
Harus ingat dalam menyelesaikan pergaduhan anak anak jangan lupa, dalam masa yang sama kita harus maintain hubungan mereka.
Ibu dan ayah bukan hakim untuk tentukan siapa bersalah tetapi jadi lah orang tengah yang tidak menyebelahi mana mana pihak
Orang tengah itu harus sabar dan tenang. Bukan menghukum
Adakan tempoh bertenang sebelum mula menyelesaikan masalah anak bergaduh
Dengar dengan penuh perhatian cerita dari mulut anak anak
Rasionalkan pemikiran mereka tanpa menyalah kan mana mana pihak. (Betul tak tindakan kakak tolak adik tadi?)
Ajar anak anak meminta maaf dari hati dan tanpa paksaan
Peluk
Apa yang penting, mereka harus faham bahawa kedua dua nya menyumbang kepada pergaduhan itu.Walaupun ada 1 pihak yang memulakan, tetapi kedua duanya tetap menyumbang kepada pergaduhan itu. Jadi kedua keduanya perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan pergaduhan antara mereka.
Pergaduhan adik beradik itu lumrah yang kita sebagai ibu ayah perlu hadapi setiap hari. Cuma akhirnya terpulang bagaimana kita melatih anak dalam menghadapi setiap masalah itu agar mereka membesar menjadi insan yang tahu untuk menyelesaikan masalah dengan baik tanpa perlu menggunakan kekerasan dan kekasaran.
Anak anak kita, gaduh gaduh pun mereka tetap sayang antara satu sama lain. Kadang kadang saya terharu juga melihat anak anak sendiri. Siang bergaduh, tetapi bila malam sebelum tidur masing masing bergurau manja seolah olah tidak pernah bergaduh. Bila tiada pula masing masing rindu menyebut di mulut. Itulah gaduh gaduh sayang. Bila tiada terbayang-bayang.
“Adam!!! Pergi buat kerja sekolah. Asyik hadap ‘games’ aje, kerja sekolah tak jalan,” jerit Aida kepada anaknya yang sedang leka bermain ‘video games’. Adoiii…pening kepala mak-mak kaaan? Itu pastinya merupakan antara situasi yang kerap dihadapi oleh kaum ibu, terutamanya apabila cuti sekolah.
Nada suara
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh penyelidik daripada Cardiff University mencadangkan bahawa remaja cenderung untuk tidak melakukan kerja rumah jika ibu mereka menggunakan nada suara yang tinggi dan berunsur arahan.
Penyelidikan dilakukan ke atas 1000 individu remaja menunjukkan bahawa mereka akan memberikan tindak balas dengan cara berbeza berdasarkan nada yang berbeza. Ini kerana mereka menganggap nada yang lebih terarah kepada ‘galakkan’, membuatkan mereka merasakan seperti diberi pilihan walaupun diminta melakukan sesuatu.
Menurut penulis utama penyelidikan ini, Dr Netta Weinstein, “Jika ibu bapa mahukan komunikasi dengan anak remaja menjadi lebih bermanfaat dan bermakna, adalah penting untuk menggunakan nada suara yang berunsur memberi galakkan berbanding arahan.”
Mesej arahan
Kajian melibatkan 486 individu remaja lelaki dan 514 individu remaja perempuan yang berusia antara 14 dan 15 tahun ini diterbitkan dalam jurnal Developmental Psychology. Dalam kajian ini, peserta dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan untuk mendengar mesej arahan yang diberikan oleh seorang individu wanita.
Antara 30 mesej suara yang didengari adalah termasuk, “Sudah tiba masanya untuk pergi ke sekolah”, “Anda akan membaca buku ini malam ini” dan “Anda sudah melakukannya dengan baik dalam tugasan ini”. Mesej-mesej tersebut menggunakan nada mengawal (arahan), galakkan atau neutral.
Hasil kajian menunjukkan, mesej suara yang berunsur galakkan seakan memberi atau mencadangkan pilihan membuatkan peserta lebih mendengar dan mengikutinya. Walaupun pada hakikatnya merupakan satu arahan untuk melakukan sesuatu.
Kepentingan pemilihan nada
“Keputusan kajian ini menggambarkan betapa besarnya impak nada suara yang digunakan dan kepentingan memilih nada yang betul untuk berkomunikasi dalam setiap perbualan harian,” jelas Dr Weinstein.
Untuk jangka masa panjang, para penyelidik merancang untuk melakukan kajian terhadap penggunaan nada dalam mempengaruhi fisiologi, seperti denyutan jantung dan tempoh kesannya terhadap seseorang individu.
Kesedaran ibu bapa
Sebagai ibu bapa, anda sering kali terlupa tentang perasaan anak-anak anda apabila anda berasa letih atau mengalami tekanan. Secara tidak langsung ia memberikan impak kepada nada yang anda gunakan kepada anak-anak.
Individu remaja cenderung untuk berasa diberikan perhatian dan bahagia apabila nada bersifat memberi galakan digunakan dan bukannya nada suara berunsur arahan. Ini sekali gus membuatkan mereka lebih berusaha keras di sekolah, di rumah atau di mana sahaja apabila ibu bapa dan guru menggunakan nada yang betul.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semua ibu bapa pasti mengimpikan anak-anak membesar dengan bijak. Tapi tahukah di sebalik nak lahirkan seorang anak yang bijak, hubungan ayah dengan anak sangat penting untuk membentuk IQ yang tinggi.
Selain ibu yang menjadi insan pertama dalam hidup anak, ayah kena tahu memainkan peranan dan tak boleh nak lepas tangan begitu sahaja dalam soal mendidik anak.
Menurut Dr. Kyle Pruett, bimbingan secara langsung dari bapa dalam proses pembelajaran boleh memberi kesan positif terhadap pembangunan fizikal, kognitif, emosi, dan sikap anak-anak. Kanak-kanak mencari keselesaan daripada seorang ibu, tetapi dia masih memerlukan interaksi intensif dengan ayahnya.
Malah menurut satu kajian oleh Oxford University,kejayaan anak dalam bidang akademik juga kerana hubungan yang erat antara ayah dengan anak.
Jadi semua bapa digalakkan tidak melepaskan momen ini dalam membesarkan anak-anak supaya anak anda sentiasa menjadikan ayahnya sebagai idola dalam hidup.
Berikut adalah beberapa cara yang boleh dilakukan bagi memastikan hubungan anak dengan ayah terjalin erat sejak kecil:
1. Menukar lampin
Ini adalah perkara asas yang perlu dimiliki bapa. Anda harus tahu bila dan bagaimana menukar lampin bayi. Buang alasan tak tahu atau geli. Melalui cara ini anak jadi lebih mesra kerana ayah turut menguruskan hal anak.
2. Berjaga waktu malam
Kesibukan bapa sepanjang hari dengan tuntutan tugas mungkin membuatkan masa dengan anak agak terhad pada waktu siang. Jadi apa kata anda boleh membantu isteri menguruskan anak seperti melayan anak bermain atau menidurkan anak.
Bukan itu sahaja, ayah juga boleh bergilir bangun pada waktu tengah malam untuk menukarkan lampin anak atau buatkan juga susu.
Waktu ini amat penting kerana melalui interaksi tersebut anak yang diperingkat bayi tahu dan belajar mengenali suara bapanya.
3. Peluk anak
Pelukan ayah akan melahirkan satu emosi yang positif dalam diri anak.Inilah yang berlaku apabila anak berada dalam pelukan ibu. Sebagai contoh, apabila anak mengamuk,ayah perlu elak meninggikan suara tetapi guna kaedah pelukan untuk menenangkan anak.
4. Menyuap anak makan
Ini boleh jadi satu tugas yang paling menakutkan bagi bapa. Sudah tentu, apabila memberi bayi anda makan, ia memerlukan kesabaran dan toleransi pada kanak-kanak. Nak mudah bagi anak makan, ayah boleh melayan anak bermain sambil menyuap atau pun bercerita semasa makan.
5. Layan anak bermain
Bermain dengan anak-anak boleh membantu membina ikatan kasih sayang antara ayah dan anak. Layanlah anak bermain dan jangan terlalu sibuk dengan urusan sendiri.
Percayalah cara ini membuatkan anak rasa seronok walaupun kadang-kadang ayah terpaksa jadi pelbagai watak.
6. Memberi nasihat dan bercakap
Peranan ayah dalam memberi nasihat kepada anak sangat penting.Walaupun anak belum boleh bercakap, tapi apa yang ayah cakap anak boleh faham.
7. Idola anak
Anak-anak memang menjadikan ibu bapanya sebagai contoh. Jagalah tutur kata, tingkah laku di hadapan anak-anak kerana mereka membesar melalui didikan yang diperoleh.
8. Berikan sokongan
Apa sahaja yang anak lakukan selagi tidak memberi kesan negatif seharusnya ayah menyokong. Tak salah jika anda menjadi bapa demokratik untuk anak. Jangan sesekali memaksa kerana tidak ada kekuatan yang lebih besar untuk anak-anak daripada sokongan bapanya.
Contoh jika anak minat dalam bahasa, boleh hantar anak ke kelas bahasa atau pun jika anak suka muzik apa salahnya hantar anak belajar kelas muzik untuk asah kemahiran.
9. Beri perhatian jika anak sakit
Apabila rasa sakit seseorang akan lebih sensitif, begitu juga dengan anak-anak. Mereka akan lebih selesa jika ibu ayah sama-sama beri perhatian. Masa inilah anak nak manja lebih. Jangan biarkan ibu sahaja yang lakukan semua perkara.
Mulai hari ini, ayah kena manfaatkan masa dengan anak dan tak boleh nak serahkan sepenuhnya pada isteri. Sama-sama membantu untuk melahirkan anak yang bijak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!