Jika anak sedang batuk berkahak, salah satu bahan makanan semulajadi yang bagus ialah
biji kembang semangkuk. Air rendaman biji semangkuk, bagus untuk keluarkan kahak dan hingus anak yang selesema dan batuk.
Biji Kembang Semangkuk (Malva Nut/Taiwan Sweet Gum)
Ia berupaya bukan sahaja menyejukkan badan, tetapi juga membuang kahak.
Cara-caranya:
Rendam 2 biji kembang semangkuk ke dalam air.
Selepas setengah jam, tapis. Ambil airnya.
Airnya dicampur sedikit madu. Minum 3 kali sehari.
Ads
Juga boleh dijadikan pengganti air kosong, simpan dalam botol, minum sekerap mungkin.
Biasanya setelah minum, mungkin akan muntah beberapa kali untuk keluarkan kahak.
Selepas itu, akan lebih ok, Bi idznillah.
Untuk bayi bawah 1 tahun dan menyusu badan, ibu yang kerapkan minum. Sesuai untuk 1 tahun ke atas.
*** ELAKKANLAH MAKANAN/MINUMAN INI KETIKA BERKAHAK:
Makanan yang menghasilkan kahak – gula, junkfood, fastfood, cikedis, coklat, aiskrim, kek, biskut, susu tepung, susu (walau organik sekalipun), air bergas, air kotak, semua makanan berasaskan tepung gandum, barli, rye.
Ads
Tidak guna amalkan itu ini tetapi sumber utama penyumbang kahak kita tidak tinggalkan.
Di mana nak dapatkan biji Kembang Semangkuk?
Pasar harian, pasaraya bahagian rempah/barangan kering timbang, contohnya bahagian sagu, kacang hijau, kacang merah dan lain-lain.
Ads
Juga ada yang telah dipekkan. Harganya dalam 3-4 ringgit saja, lebih kurang 10 biji.
Sebagai ibu ayah sudah tentu kita mahu buat yang terbaik untuk anak-anak. Kita juga mahu anak mendapat kasih sayang yang secukupnya supaya mereka tahu, kita sebagai ibu ayah sentiasa ada dengan mereka. Untuk menunjukkan rasa kasih pada anak-anak, ibu ayah sanggup berbuat apa sahaja!
Salah satu cara adalah dengan memenuhi kehendak anak. Kadang-kadang anak tak minta pun, kita yang akan beli. Contohnya mainan. Sampai penuh bakul kita belikan untuk mereka. Sebenarnya, mainan yang banyak bukan saja akan menyebabkan rumah bersepah, tetapi daya fokus anak juga terganggu.
Memetik perkongsian Maryam Jamadi, seorang Occupational Therapist melalui laman Facebooknya, membelikan mainan yang banyak atau berjenama untuk anak bukanlah cara menunjukkan kasih sayang kepada mereka. Ikuti penerangan beliau ini:
Cara nak tunjuk kasih sayang kita pada anak bawah 2 tahun, bukan dengan membeli mainan berbakul-bakul atau membeli barangan bayi berjenama. Sebab anak tak tahu pun harga atau jenama yang kita beli untuk mereka. Kita cakap “I love you” pun masa ini anak tak faham pun maknanya. Jadi macam mana nak “beritahu” anak yang kita sayang mereka? ❤
Tak susah pun, mudah sahaja nak menambat hati anak bawah 2 tahun disebabkan perkembangan berfikir mereka bergantung kepada rangsangan deria dan mereka masih belum pandai manipulate dan faham maksud “I love You”, kita baca puisi membebel panjang yang kita sayang anak pun mereka tak faham.
Masa dimana tumpuan 100% pada anak, tanpa sambil berbalas whatsapp atau comment di Facebook. Layankan mereka bermain, anak yang dalam fasa meniarap mak ayah pun join meniarap macam komando. Anak yang dalam fasa merangkak, mak ayah pun main kejar kejar sambil merangkak. Tak jatuh pun maruah kan? Hehe 😅
Kalau mak ayah yang bekerja, mainlah bersama anak sekurang-kurangnya 1 jam. Tutup tv, biarkan hanya suara kita dan suara anak sahaja ada. Dapatkan “trust” suara kita dalam perkembangan emosi anak bawah 18 bulan. Pastikan suara kita nombor 1, macam mana nak test? Kita bisik atau dari jauh anak dah kenal suara mak ayah ataupun dalam keadaan bising pun anak boleh kenal suara kita.
Kalau kenal, tahniah! Encik puan dah memang tempat pertama “Carta Suara” dalam hati anak 👏
Perkembangan emosi anak akan berkembang dengan pesat dan stabil jika kita selalu memeluk anak terutamanya semasa umur bawah 2 tahun. Pelukan umpama “makanan” minda anak, terlalu banyak kebaikan pelukan dalam perkembangan otak yang sihat.
Peluk, belai kepala anak seterusnya cium dahi anak. Alangkan kucing yang garang pun jadi jinak dan manja bila kita usap kepala mereka, apatah lagi anak. 😘
Badan anak dari selepas lahir ini umpama orang bina badan terutamanya semasa bawah 1 tahun, dari tak ada otot lembik sahaja selepas lahir. Mereka setiap hari “bina badan” untuk ke posisi meniarap, merangkak, dan berjalan. Jadi, urutan memang diperlukan untuk melegakan otot-otot halus mereka yang tegang terutamanya di kawasan betis disamping memberi rangsangan deria sentuhan pada anak.
Kalau nak anak merangkak cepat atau jalan cepat, caranya bukan beri walker ya. Tetapi salah satu cara yang berkesan adalah dengan urutan 😉
Berapa kali sehari? Pendapat saya, sekurang-kurangnya 2 kali sehari dan waktu yang paling sesuai adalah selepas mandi. Penting sangat urutan bagi anak bawah 1 tahun. Jangan abaikan part ini!
Ada kajian tentang kesan urutan untuk anak pramatang selepas lahir, terbukti bayi yang kerap diurut akan keluar hospital cepat berbanding bayi yang tidak diurut. Kalau nak anak sayang kita lebih, urutlah anak selalu 😍
Ada 1 kajian lain tentang kasih sayang dan perkembangan otak anak berumur 2 tahun. Terbukti perkembangan otak anak yang cukup kasih sayang mempunyai struktur yang berbeza dengan otak anak yang kekurangan kasih sayang semasa umur bawah 2 tahun.
Fakta: 80% perkembangan otak adalah bergantung kepada rangsangan persekitaran semasa bawah 2 tahun. 👶
Takut kan? Besar sangat amanah mak ayah yang ada anak bawah 2 tahun untuk memastikan berkembangan yang baik dari segala aspek.
Selamat “menunjukkan” kasih sayang! ❤❤❤
Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi sedikit penjelasan kepada ibu ayah yang mempunyai anak di bawah usia dua tahun tentang bagaimana caranya menunjukkan kasih sayang kepada mereka tanpa memanjakan dengan mainan atau kemewahan yang lain. Hanya keberadaan ibu ayah di sisi anak-anak sambil melakukan aktiviti berkualiti bersama sudah cukup untuk merangsang tumbesaran mereka secara sihat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehilangan anak pertama memang sesuatu yang sukar diucapkan. Lagi-lagi anak tidak dapat merasai susu ibu sepenuhnya.
Namun kisah dari Nad Masrom yang juga Kaunselor Penyusuan ini dapat menguatkan semangat ibu-ibu dalam memperjuangkan hak anak mendapat susu ibu.
Semoga kisah kegagalan yang membawa kepada kehilangan anak pertamanya akan menjadi iktibar bersama untuk terus bertahan dalam dunia penyusuan susu ibu. Ikuti luahannya..
Pengalaman penyusuan anak kedua saya, Nur Khadijah alhamdulillah begitu indah dan diizinkan Allah sehingga cukup tempoh 2 tahun. Saya dapat menyusukan Khadijah dalam 30 minit selepas kelahiran. Alhamdulillah, saya dapat melalui setiap fasa penyusuan selama 2 tahun ini dengan baik. Dan Allah sentiasa beri saya peluang untuk terus menimba ilmu penyusuan serta membantu ibu-ibu lain dengan mengizinkan saya untuk menjadi seorang breastfeeding peer counselor.
Semangat juang saya untuk meneruskan penyusuan susu ibu buat Nur Khadijah dan membantu ibu-ibu lain yang mempunyai masalah dalam penyusuan dikuatkan oleh rasa serba salah saya terhadap anak pertama saya, Najla Batrisya. Saya telah merasakan diri saya gagal untuk menyempurnakan penyusuan susu ibu buatnya. ‘Kegagalan’ saya bukanlah kegagalan biasa yang tidak perlu dikesali. Kegagalan kali pertama itu mungkin adalah suratan takdir namun telah memberi kesan kepada siapa saya selepas kejadian itu.
———————————————————————-
3.8.2011 – Tepat jam 1.02 pagi, saya telah selamat melahirkan puteri pertama, Najla Batrisya secara normal dikala usia kandungan baru berusia 30 minggu. Anak pertama saya dilahirkan pramatang kerana PPROM (Preterm Premature Rupture of Membrane – Pecah Ketuban Pramatang). Saya ditahan di wad selama 3 hari dan diberikan rawatan sewajarnya oleh pakar dan para doktor serta jururawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum melahirkan puteri sulung saya itu.
Tangisan kuat dari seorang bayi yang mempunyai saiz fizikal yang kecil dengan berat hanya 1.5 kg memecahkan suasana pagi 3 Ogos 2011. Selepas bersalin, bermulalah detik-detik penuh liku dalam hidup saya sebagai seorang ibu. Tidak seperti bayi full term, saya hanya sempat menatap wajah Najla beberapa minit sebelum Najla dibawa ke NICU untuk rawatan lanjut.
Tiada Ilmu Penyusuan
Sejujurnya, saya TIADA ILMU tentang penyusuan susu ibu waktu tu. Saya fikir, proses penyusuan itu adalah suatu proses semulajadi yang mudah. Bila-bila bayi nak menyusu, saya hanya perlu beri dan susu akan keluar mencurah-curah. Saya langsung tak terfikir untuk marmet dan bekalkan susu awal kepadanya. Istilah ‘marmet’ ketika itu juga suatu yang janggal bagi saya. Saya cuma fikir rasa penat dan sakit sahaja lepas bersalin.
Saya masih bingung dengan status saya sebagai seorang ibu ‘baru’ waktu itu. Saya cuma lihat Najla dalam incubator dan sedang diberi susu formula khas untuk bayi pramatang oleh nurse dengan menggunakan picagari dan tube. Langsung saya tak bertindak untuk cuba perah susu waktu tu atau minta keizinan doktor untuk saya susukan Najla.
Petang tu saya dibenarkan pulang tapi Najla perlu ditahan di wad. Sebelum discharged, ada seorang staff nurse mengajar saya cara marmet dan nasihatkan saya untuk bekalkan susu awal yang mengandungi kolostrum untuk bayi pramatang saya. Pesannya, bayi saya sangat perlukan susu ibu kerana ususnya belum matang dan adalah lebih mudah untuk cernakan susu ibu berbanding susu formula.
Maka balik sahaja dari hospital, suami terus belikan breastpump. Berusaha keraslah saya mengepam. Lebih 30 minit mengepam, yang keluar hanya beberapa titik susu sahaja, kalau dikira mungkin ada dalam 5ml. Saya panik dan terus menganggap yang SUSU SAYA TIADA!
Langsung saya tidak tahu tentang sifat semulajadi kolostrum yang memang sedikit dan tak akan jadi sampai 5oz bila diperah. Saya terus mengalah dan biarkan sahaja Najla diberikan susu formula bila saya tiada di sisinya.
Sekali sekala, saya cuba juga untuk perah sikit demi sedikit dan kumpulkan semua susu saya itu. Kemudian saya hantar ke hospital walaupun beberapa ml yang saya dapat. Gembira sangat hati bila Najla mula diberikan susu ibu.
Hari ke-5, Najla dikeluarkan dari incubator. Saya diberi peluang untuk menyusukan Najla secara direct. Lama saya duduk di bilik menyusu. Saya tak tahu langsung cara pegangan bayi pramatang yang betul. Terkial-kial saya di bilik menyusu seorang diri. Dan selama hampir 30 minit, barulah saya sedar hisapan Najla tidak kuat, dan acapkali hisapannya terlepas dan Najla akan terus tertidur.
Sekali lagi saya buntu dan terus mengalah. Saya betul-betul tak faham kenapa penyusuan susu ibu TIDAK SEMUDAH YANG DISANGKA.
Setiap hari saya cuba menyusukan direct Najla tapi tidak pernah berjaya. Akhirnya saya mengepam sahaja dan bagi Najla minum menggunakan syringe @ cup dan sudu. Masa tu saya cuma mengepam waktu breast penuh sahaja. Langsung saya tak tahu yang mengepam pun ada waktunya, bukan tunggu breast penuh.
Saya mula kumpulkan stok setiap hari. Tapi sejujurnya, saya langsung tidak tahu cara pengendalian EBM dan tempoh EBM yang boleh digunakan selepas pemanasan. Saya main buat sahaja. Dan setiap hari saya akan berikan anak saya EBM itu.
Malangnya, setiap kali anak saya perlu ditimbang, beratnya tak pernah naik. Dan ada waktunya, berat anak saya turun pula.
Buat Keputusan Silap
Saya jadi STRES. Doktor kata selagi berat tak melepasi tahap minimum, anak saya tak boleh keluar. Dan saya yang tertekan waktu itu terus menganggap susu ibu tiada khasiat dan tak boleh naikkan berat Najla.
Maka saya ambil keputusan untuk berikan anak saya susu formula khas untuk bayi pramatang diselang-selikan dengan susu ibu. Setiap hari pasti ada sesi anak saya akan minum susu formula. Waktu itu, dalam fikiran saya hanya inginkan yang terbaik untuknya dan ingin dia naik berat dengan cepat.
Namun semua impian tu tiba-tiba berubah jadi satu peristiwa yang saya tak boleh lupakan sampai bila-bila. Pada hari ke-18, muka Najla beberapa kali bertukar biru untuk seketika. Susu yang diminum muntah beberapa kali. Saya rujuk pada MO yang ada dan doktor kata kemungkinan anak saya tersedak susu. Namun semua tu jadi lebih dari apa yang disangka.
Najla dimasukkan ke wad NICU A4 selama 6 hari kerana jangkitan kuman. Pada hari ke-23, keadaan Najla bertambah baik. Namun semua itu tidak lama. Lebih kurang pukul 6.30petang, 23/8/2011, Najla lihat saya dan menangis sekuat hati. Saya rasa tak sedap hati. Saya nampak di kerongkong Najla penuh susu. Najla muntah lagi!
Selepas susu disedut keluar, saya tak tinggalkan Najla. Saya tak sedap hati. Betul telahan saya. 5minit selepas itu bacaan oksigen Najla drop dari 96% ke 17%!. Keadaan jadi kelam kabut. Najla segera dibantu dengan ventilator. Mesin yang begitu canggih itu tidak dapat membantu pernafasan Najla ketika itu.
Keadaan Makin Teruk
Lebih kurang pukul 7.45 malam, MO datang diikuti doktor pakar. Saya dapat lihat doktor melakukan CPR dan bantuan untuk jantung Najla berdegup sebab saya dapat dengar dan lihat bacaan jantung Najla di mesin, drop hingga bawah 20 dengan bunyi amaran begitu kuat. Bantuan yang diberikan oleh doktor berlarutan sehingga 3 jam lamanya.
Hancur luluh hati saya bila melihat Najla dicucuk-cucuk hingga lebam setiap penjuru tubuh kecil itu. Tilam Najla penuh dengan darah kesan tusukan jarum untuk memasukkan pelbagai ubat dengan dos maksimum. Hinggakan suatu ketika yg amat kritikal, salur darah Najla sukar untuk ditemui, doktor terpaksa mencari salur darah di kepala Najla. Najla terus bertarung nyawa. Pukul 10.30 malam, keadaan Najla kembali stabil dan Najla kembali aktif.
Saya terus merujuk kepada doktor pakar tentang keadaan Najla. Menurut doktor, keadaan Najla sangat-sangat tidak stabil kerana daripada sample darah yg diambil didapati terdapat kandungan garam (kalau tak silap saya) yang sangat tinggi apabila antibiotik dimasukkan untuk melawan serangan kuman menyebabkan jantung Najla terhenti dan Najla berhenti bernafas. Keadaan Najla sangat tidak diduga sebegitu rupa kerana Najla dijangka akan sembuh dan keadaannya jauh lebih baik sebelum ini berbanding bayi lain yang sedang kritikal. Namun melihat keadaannya yang aktif kembali, doktor tetap suruh saya berdoa kerana bila-bila masa sahaja apabila ubat yg dimasukkan telah habis digunakan, Najla akan kembali tidak stabil.
Lebih kurang pukul 3 pagi, di luar tingkap wad terdengar bunyi mesin oksigen Najla. Bunyi itu begitu kuat dan saya faham dengan maksud bunyi itu! Najla berhenti bernafas! Sekali lagi Najla cuba dibantu oleh beberapa staff nurse dan doktor. Pelbagai bantuan dibuat tapi akhirnya Najla tidak memberi sebarang respon. Bacaan jantung dan oksigen Najla tidak dapat dikesan. Doktor suruh saya memanggil suami dan menyatakan keadaan Najla sudah tiada harapan.
Saya dan suami memegang tangan Najla kanan dan kiri. Kami bisikkan kalimah Allah dan syahadah..Tiba-tiba Najla memegang erat tangan kami. Begitu erat seperti genggaman tangan org dewasa. Dan tiba-tiba juga bacaan oksigen Najla meningkat kepada 100% dan bacaan jantung Najla meningkat kepada 166. Saya tergamam. Doktor juga bingung. Namun saya tahu, Najla masih ada kerana ingin menguatkan hati kami supaya redha dengan pemergiannya nanti. Saya tahu Najla tidak mahu kami ralat dan ingin bersama kami untuk suatu ketika yang lebih lama. Gerak hati saya begitu kuat sebagai seorang ibu. Saya bisikkan pada suami, “Kita jangan seksa dia lagi ye..”.
Pukul 5.30 pagi saya pujuk suami untuk maklumkan pada semua ahli keluarga. Suami akur. Saya terus menghubungi ahli keluarga dan rakan-rakan. Semua ahli keluarga yang hadir akhirnya buat pertama kali dan terakhir dapat memegang Najla sejak 22 hari yang lalu.
Kembali Pada Pencipta-Nya
Pukul 8 pagi, doktor pakar hadir, pemeriksaan dilakukan dan memaklumkan kpd kami, Najla sudah tiada harapan lagi. Doktor pakar menunaikan impian terakhir kami untuk memeluk dan memangku Najla. Segala wayar dan tiub yg berselirat pada tubuh kecil Najla dicabut.
Tepat 8.20pagi, mata Najla yang sejak tadi terbuka tertutup sendiri. Genggaman yang begitu kuat dilepaskan. Najla tersenyum.Ya, Najla sudah tiada lagi.
Dan kerana itu, TIADA ALASAN untuk saya tidak boleh menyusukan Nur Khadijah sehingga 2 tahun walaupun banyak cabaran yang perlu dilalui. TRAUMA yang saya lalui dengan kehilangan anak pertama saya adalah lebih hebat berbanding cabaran penyusuan yang perlu dilalui dalam tempoh 2 tahun ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahukah anda – gaya keibubapaan atau gaya asuhan yang anda amalkan boleh memberi impak kepada kesihatan mental, keyakinan diri, malah perkembangan personaliti anak anda sepanjang proses tumbesaran mereka?
Antara beberapa faktor bagaimana gaya keibubapaan anda boleh menjejaskan hubungan antara ibu bapa dan anak termasuklah dari cara berinteraksi, bimbingan dan kaedah disiplin yang diamalkan anda. Jika ketiga-tiga faktor ini dipertimbang ibu bapa, perkembangan anak akan jadi lebih positif apabila dewasa.
Sebenarnya, hubungan antara gaya keibubapaan dan tingkah laku anak telah dikenal pasti oleh Diana Baumrind, pakar psikologi perkembangan dari University of California, Berkeley sejak tahun 1960-an lagi.
Namun, beberapa kajian serupa mendakwa sebenarnya gaya keibubapaan dan tingkah laku anak tiada kaitan pun, dan ia bukanlah bersifat menyeluruh dalam menentukan bagaimana sikap anak kelak.
Berdasarkan kajian, berikut kami kongsikan contoh gaya keibubapaan dan kesannya dalam menyokong perkembangan kanak-kanak.
4 gaya keibubapaan yang semua ibu ayah perlu diketahui
Berdasarkan kajian, berikut kami kongsikan contoh gaya keibubapaan dan kesannya dalam menyokong perkembangan kanak-kanak.
#1. Authoritarian Tiger – Dengar Cakap Ibu Ayah, Jangan Membantah!
gaya keibubapaan
Salah satu gaya asuhan yang paling terkenal adalah “authoritarian” atau “authoritarian tiger”. Antara ciri-ciri gaya asuhan ini adalah anak-anak harus mendengar perintah dan peraturan yang ditetapkan ibu bapa.
Selalunya dalam gaya asuhan ini, rundingan dan tolak ansur tidaklah selalunya wujud. Di samping itu, ibu bapa dengan gaya keibubapaan authoritarian juga kurang melibatkan anak-anak mereka dalam proses penyelesaian masalah. Sebaliknya, anak-anak ini akan diberi peraturan sebagai panduan.
Kajian mendapati, kanak-kanak yang dibesarkan dengan gaya asuhan “Authoritarian Tiger” boleh berdepan dengan isu keyakinan diri. Walau bagaimanapun, gaya asuhan ini mungkin berkesan untuk kanak-kanak yang memerlukan bimbingan ketat dan tegas.
#2. Authoritative Dolphin – Belajar Dari Kesilapan Dan Perbaikinya
Satu lagi gaya asuhan yang biasa diamalkan di kalangan ibu bapa adalah gaya “authoritative dolphin”. Sama seperti namanya yang merujuk kepada badan ikan lumba-lumba, gaya asuhan ini melibatkan sikap tegas ibu bapa, tapi masih fleksibel.
Dalam gaya asuhan ini, masih wujud peraturan dan hukuman tertentu yang ditetapkan untuk anak. Tetapi dalam masa yang sama, ibu bapa turut membenarkan anak menyatakan pandangan mereka mengenai perkara tertentu.
Akan tetapi, tidak semua pandangan yang diberi akan diterima. Sebaliknya, ibu bapa dengan gaya keibubapaan ini akan menggalakkan anak belajar melalui pemahaman seperti dari perbincangan dan role modeling.
gaya asuhan
Ibu bapa dengan gaya asuhan ini turut ‘melaburkan’ masa dan tenaga untuk memantau perkembangan tingkah laku anak sebelum sebarang masalah terjadi. Ia dilakukan secara halus melalui teknik disiplin positif seperti memberi pujian mahupun hadiah pada anak.
Atas asuhan tersebut, anak-anak yang membesar dengan gaya keibubapaan ini akan menjadi lebih bertanggungjawab dan tahu menilai sebarang risiko sebelum melakukan sebarang keputusan.
#3. Permissive Kangaroo – Peraturan Itu Ada, Tapi Ia Boleh Dilanggar Sekali-Sekala
Satu lagi gaya asuhan ibu bapa yang terkenal adalah gaya permisif, atau lebih dikenali sebagai “Permissive Kangaroo”. Selalunya, ibu bapa dengan gaya keibubapaan ini bersifat lebih santai dan hanya akan bertindak jika timbul sebarang masalah serius.
Oleh sebab sifat mereka yang sedemikian, ibu bapa “permissive kangaroo” tidaklah terlalu tegas, mudah memaafkan, dan memilih untuk memberi anak-anak peluang kerana mereka masih “kecil”.
Di bawah gaya asuhan permisif, ibu bapa masih memberi hukuman, namun bentuk hukuman tersebut mungkin tidak konsisten dan fleksibel. Contohnya jika mereka “menghukum” dengan menarik sesuatu milik anak, mereka mungkin boleh “berlembut hati” hanya apabila anak mula mengamuk.
Kanak-kanak yang dibesarkan di bawah gaya asuhan ini digalakkan meluahkan perasaan mereka. Tetapi malangnya, apa yang diluahkan itu mungkin tidak akan mendapat bimbingan sewajarnya dari ibu bapa. Dek kerana itu, mereka cenderung mengalami gangguan personaliti seperti memberontak, agresif dan suka mendominasi.
#4. Negligent Panda – Bebas Berdikari Untuk Melakukan Apa Sahaja
sifat keibubapaan
“Negligent panda” adalah ibu bapa yang memberi bimbingan dan didikan yang terlatih. Bagi ibu bapa dengan gaya asuhan ini, fleksibiliti penting buat anak-anak untuk membuat pilihan, berbanding diikat dengan peraturan ketat.
Dan sebenarnya dalam sesetengah kes, walaupun kanak-kanak tersebut diberi kebebasan membuat pilihan, namun hasilnya sangat holistik dan sihat!
Contohnya seperti dalam Kaedah Pembelajaran Montessori – di mana kanak-kanak mengamalkan aktiviti kendiri, pembelajaran secara langsung dan kreatif untuk memperkasakan pemikiran kritis.
Kesimpulannya, kanak-kanak yang diberi pilihan berpotensi memiliki keyakinan diri yang lebih tinggi, berbanding mereka yang selalu dimarahi. Akan tetapi, gaya asuhan ini juga masih memiliki kekurangannya yang tersendiri.
Terdapat kanak-kanak yang yang menjadi terlalu bergantung kepada ibu bapa dan tidak dapat menyelesaikan masalah sendiri dek gaya asuhan ini!
Jadilah ibu bapa yang terbaik dengan gaya keibubapaan paling tepat
Untuk membesarkan anak dengan keyakinan diri yang tinggi, bijak berdikari dan mampu membuat keputusan bergantung kepada cara didikan ibu bapa itu sendiri.
Tapi jangan risau, ada pelbagai cara bagaimana anda boleh menjadi ibu bapa yang terbaik buat si manja! Antaranya seperti menggalakkan anak berkongsi masalah yang mereka hadapi di sekolah, dan tanya mereka bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah itu.
Dalam masa yang sama, ibu bapa juga boleh berkongsi pengalaman peribadi dan cara penyelesaian yang boleh dilakukan.
Satu lagi cara untuk membina asas psikologi yang baik dalam diri anak anda adalah dengan menjelaskan kepada mereka bahawa melakukan kesilapan itu adalah tidak salah. Ia memberikan mereka peluang untuk belajar dan berkembang.
Sebagai ibu bapa, anda juga boleh membantu anak mengenal pasti hobi dan mengaplikasikan kaedah pembelajaran yang dipelajari untuk menggalakkan aspek perkembangan mental mereka.
Walau apapun, wahai ibu bapa sekalian, adalah normal jika anda tidak “masuk” atau dengan mana-mana gaya keibubapaan seperti yang dibincangkan di atas ini. Anda mungkin menggabungkan keempat-empat gaya asuhan dan itu adalah perkara biasa.
Perkara yang paling penting adalah untuk mengekalkan hubungan positif dengan anak-anak dan menjalankan tanggungjawab serta peranan mengikut kesesuaian keadaan.
Sumber:Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!