Sebaik dilahirkan bila doktor sahkan anak ada G6PD ibu jangan cepat down. Ia bukan penyakit atau kecacatan. Lazimnya, G6PD tidak berbahaya sekiranya kita mengenali tentang cara menguruskannya.
G6PD ialah Glokosa-6-Fosfat Dehidrogenase yang merupakan sejenis enzim keturunan yang terdapat di dalam sel darah merah manusia. Kekurangan enzim ini boleh memusnahkan sel darah merah apabila terdedah kepada jangkitan, ubatan tertentu atau makanan. Sebenarnya G6PD bukan penyakit tetapi berkaitan dengan genetik atau keturunan
Seterusnya apabila sel darah merah tidak lagi mampu mengangkut oksigen dengan berkesan ke seluruh tubuh, akan berlaku keadaan dikenali sebagai anemia hemolitik. Anemia hemolitik adalah penyakit anemia yang terjadi ketika sel-sel darah merah mati lebih cepat daripada kecepatan sumsum tulang menghasilkan sel darah merah.
Paling ditakuti bayi baru! G6PD akan menyebabkan jaundis (demam kuning). Oleh kerana kekurangan enzim G6PD, sel darah merah bayi mudah pecah dan menghasilkan kandungan bilirubin yang tinggi. Kandungan bilirubin yang tinggi akan menjadi toksik kepada otak dan menyebabkan kecacatan kepada bayi. Apabila ini berlaku, pemindahan darah perlu dilakukan dengan segera.
Namun anda tidak perlu risau jika anak mengalami kekurangan G6PD ini kerana pada dasarnya ia tidak berbahaya. Komplikasi hanya akan terjadi jika mereka terdedah kepada ubat-ubatan, makanan atau bahan kimia tertentu yang boleh menghasilkan proses homolisis di dalam darah. Dari segi yang lain, G6PD boleh menjadikan penghidap mempunyai daya ketahanan melawan penyakit Malaria.
Apa yang pastinya, kena jaga pantang larangnya. Jika langgar kemungkinan akan wujud permasalahan antaranya sel darah merah mati, sel darah merah pecah, kerosakan hati dan terdapat juga sesetengah kes yang menyebabkan kematian!
Berikut adalah antara pantang larang iaitu
Ads
Pemakanan:
1.Kacang parang (fava beans)
2.Asid askorbik tiruan yang terdapat dalam vitamin C
3.Gula-gula dan makanan berperisa menthol
4.Makanan yang mengandungi sulfida kacang soya atau produk soya.
Ads
5.Sesetengah produk bebas gluten seperti tepung semua jenis kacang atau produk kacang
6.Makanan yang mengandungi pewarna tiruan methylene dan toluidine blue
Persekitaran:
7.Ubat nyamuk (mengandungi pyrethium)
8.Ubat-ubatan herba atau jamu
Ads
9.Ubat anti-malaria
10.Ubat sakit kepala seperti paracetamol (mengandungi thylenol)
11.Ubat gegat (mengandungi napthalene)
12.Ubat-ubatan cina (senseh)
NOTA PENTING:
Maklumkan pada doktor atau pakar perubatan bahawa anak anda penghidap G6PD. Ia untuk mengelakkan kemungkinan tindak balas yang berbahaya daripada rawatan yang diterima.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa sangka anak yang dilahirkan cukup sempurna, secara tiba-tiba disahkan menghidap hydrocephalus with dandy walker malformation atau bahasa mudahnya memiliki saiz kepala besar. Tidak dinafikan sepanjang mengandungkan buah hatinya, Nor Fatihah Najiha Mohd Isa, lima tahun, dirinya mengalami alahan teruk dan kerap kali keluar masuk hospital untuk menambah kandungan cecair di dalam badan.
Sejak di trimester pertama hingga kandungan mencecah umur tujuh bulan, barulah alahan Nurul Wahida Hasbullah, 26 tahun, beransur baik. Itu pun setelah melalui proses pemindahan darah. Selepas itu, dia mula berselera makan dan bertenaga seperti biasa. Namun, perkara tersebut bukanlah punca kepada penyakit anaknya kerana Nor Fatihah Najiha atau panggilan manjanya Najiha dilahirkan sihat dan normal.
“Mula-mula neneknya tegur, kenapa kepala Najiha nampak besar ketika usianya dua bulan. Mungkin disebabkan saya melihat dia setiap hari. Jadi, tak sedar dengan perubahan tersebut. Kebetulan, selepas teguran itu, Naiha ada temujanji di klinik berdekatan untuk mengambil suntikan imunisasi.
Selepas menimbang berat, jururawat yang bertugas turut mengambil panjang bayi dan ukur lilit kepala. Ketika mengukur kepala, muka jururawat tiba-tiba berubah. Dia beritahu kepala anak saya besar dan ukur lilitnya naik mendadak berbanding bulan lalu. Jadi, dia minta saya untuk bawa anak ke hospital.
Melalui CT scan yang dijalankan di Hospital Seremban, doktor dapati memang ada lebihan cecair di otaknya dan sahkan Najiha menghidap hydrocephalus. Kami dinasihatkan untuk bawa Najiha ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut kerana di sana ada pakar dan pelbagai kemudahan khas untuk kes anak saya. Di sanalah, baru saya jelas dengan penyakit ini dan bermulalah episod Najiha berulang-alik ke hospital,” jelas Nurul Wahida.
Jika mengikut cadangan, Najiha perlu dibedah segera tetapi naluri keibuan Nurul Wahida memberontak untuk tidak izinkannya memandangkan anak kecilnya baru berusia dua bulan. Dengan berat hati, Nurul Wahida mengambil keputusan untuk membawa anaknya pulang untuk berfikir dan berikhtiar cara lain.
Berserah
Si ibu mengambil jalan tengah dengan membawa anak sulungnya berubat kampung. Barangkali serasi dengan cara alternatif ini, kesihatan Najiha yang konsisten biarpun saiz kepalanya makin membesar.
Namun, kegembiraan itu tidak lama apabila dia mengalami demam ketika gigi mahu tumbuh dan diserang sawan. Bimbang dengan sesuatu yang di luar jangkaan, Nurul Wahida membawa anaknya ke Hospital Kuala Pilah. Di sana, keadaan anaknya baik dan tiada serangan sawan. Jadi mereka dibenarkan pulang pada keesokan hari. Tetapi belum panas punggung, tiba-tiba sekali lagi sawan meyerang Najiha dan lebih teruk hingga mata hitamnya nampak hanya sedikit.
Langsung, ibu dan bapanya ke HKL. Kali ini Nurul Wahida menyerah kalah. Dia membenarkan doktor jalankan pembedahan segera untuk memasukkan shunt iaitu tiub silikon untuk mengimbangi dan mengeluarkan air dari kepala anaknya.
Hanya tawakal dan doa mengiringi Najiha yang berada di bilik pembedahan. Ternyata keputusan membawa Najiha ke HKL dengan segera adalah pilihan terbaik kerana jika lambat mungkin Najiha sudah tiada.
Dibedah berkali-kali
“Sebelum pembedahan itu, saya memang tidak tanya apa-apa kepada doktor kerana cemas dengan apa yang berlaku kepada Najiha. Mulanya, saya ingat pembedahan adalah satu-satunya cara untuk pulihkan anak saya, rupa-rupanya tidak. Selesai pembedahan, doktor terangkan satu-satu, barulah saya tahu situasi sebenar.
Selepas dua bulan, tiba-tiba tiub yang dipasang tersebut terkeluar di bahagian lubang punggung Najiha. Terkejut dengan perkara tersebut, saya dan suami terus bawa Najiha ke hospital. Sepanjang perjalanan dari Felda Lui Timur hingga HKL, Najiha muntah. Setelah menjalani pemeriksaan rupanya berlaku jangkitan dan Najiha perlu dibedah untuk menukar tiub.
Tidak lama kemudian ketika umurnya satu tahun enam bulan, sekali lagi berlaku jangkitan dan rutin yang sama perlu dilalui Najiha. Perlu dibedah dan tukar shunt. Perkara ini berulang-ulang dan dalam tempoh dua tahun, 12 kali Najiha tukar shunt,” luahnya sebak.
Cari alternatif
Melihat keadaan Najiha yang sebegitu, doktor mengambil keputusan untuk mencuba alternatif baru iaitu menggantikan shunt sedia ada dengan silver coated programmable shunt. Saat itu doktor mengandaikan Najiha alah kepada material shunt yang sedia ada. Tetapi kosnya perlu ditanggung oleh keluarga pesakit kerana barang tersebut tidak disediakan di hospital.
Khuatir dengan kesihatan anak yang makin meruncing, Nurul Wahida dan suaminya, Mohd Isa Zainal Abidin, yang bekerja sebagai pemandu lori berusaha mencari bantuan untuk anak tercinta. Kos yang diperlukan iaitu RM6500 merupakan jumlah yang besar buat keluarga kecil ini.
Entah bagaimana, terlintas di fikiran Nurul Wahida untuk berkongsi kisah anaknya di akaun media sosial milik suaminya bagi mengumpul dana. Tidak sangka perkongsian di Facebook mendapat perhatian sebuah organisasi bukan kerajaan, Telekung Project. Dalam masa 24 jam, dana yang dicari mencukupi.
Hanya Allah tahu perasaan kami kala itu. Tidak sangka secepat itu Allah memudahkan urusan. Nurul Wahida amat berterima kasih pada pihak Telekung Project. Usai pembedahan tersebut tiada lagi episod duka Najiha.
Alhamdulilah sejak pasang silver coated programmable shunt, tiada lagi jangkitan kuman. Saya bersyukur kerana Najiha tidak perlu dibedah lagi buat masa ini. Sekarang sudah dua tahun lebih dia pakai shunt baru dan nampaknya Najiha serasi. Cuma enam bulan sekali, kami akan bawa Najih untul follow up kesihatan dia,” ungkapnya syukur.
Sudah mampu berjalan
Pernah Nurul Wahida bertanyakan pendapat doktor, adakah Najiha mampu berjalan memandangkan dia memiliki sepasang kaki yang kecil tetapi beban kepalanya berat. Doktor tidak memberi sebarang jaminan kerana agak sukar kanak-kanak sepertinya berjalan.
Namun Nurul Wahida tidak pernah berputus asa dan sentiasa mendoakan keajaiban untuk anaknya. Dari kecil, dia mengajar Najiha untuk duduk sendiri. Tidaklah memaksa tetapi mengikut kemampuan dirinya. Kini, dia mampu berbangga kerana anaknya sudah mampu berjalan.
Dari kecil lagi saya biasakan Najiha untuk duduk, saya sendalkan bantal untuk dia duduk dengan baik. Untuk berjalan pula, saya pimpin dia berjalan. Saya tak pernah putus asa untuk lihat Najiha berjalan. Saya bawa dia pergi berurut setiap kali pulang ke kampung ibu saya. Lagi pun Najiha seorang yang aktif. Selama ini, biarpun tidak mampu berjalan, dia akan mengesot ke dapur.
Najiha makin bersemangat untuk berjalan apabila saya letakkan syarat jika dia mahukan adik, dia mesti boleh berjalan. Dengan semangat yang kuat di usianya empat tahun lebih, dia boleh berjalan. Hanya Allah sahaja tahu betapa gembiranya hati saya. Allah makbulkan doa saya untuk lihat Najiha berjalan dan dalam masa yang sama Najiha dapat adik yang dia inginkan selama ini,” ungkapnya sebak.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah menyalurkan sumbangan anda ke akuan, 7612355706 (CIMB) atas nama Nurul Wahida Hasbulah.
Kredit: Nur Syazwani Mehat, Mingguan Wanita
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masalah sembelit dalam kalangan wanita adalah perkara biasa. Kurang pengambilan air dan makanan berserat menyebabkan seseorang wanita itu mengalami masalah usus. Selain pengambilan ubat, masalah sembelit boleh diatasi dengan cara semula jadi. Menurut pengguna laman Facebook, Suzy Honey, dia berkongsi petua lama untuk membantu mengatasi masalah sembelit.
Hanya memerlukan dua jenis sayuran ulam iaitu daun pegaga dan kucai yang dikisar bersama air dan ditapis sebelum diminum. Ambil beberapa hari sehingga rasa sakit berkurangan.
Kebiasaan saya suka jelajah keluar masuk kampung mencari mak bidan lama. Pengalaman berjumpa dengan seorang mak bidan lama yang di panggil Tok di Kampung Minda, Hulu Dungun yang berusia lebih kurang 80an dan diberikan petua olehnya tidak saya lupakan.
Tok ini memang sudah tidak mengurut orang lagi kerana sudah tidak larat di sebabkan usianya. Secara kebetulan saya membawa adik ipar untuk di urut, disebabkan kami datang dari jauh dan kebetulan Tok kenal keluarga suami saya maka dia sudi untuk menolong urut adik ipar saya. Itupun cuma di urut di bahagian perut sahaja.
Walaupun sudah berusia cara urut dan pegangan tangan Tok masih lagi berbisa. Sambil mengurut Tok memberitahu kepada kami kerana kebetulan adik ipar memang jenis sembelit dan ada masalah pada ususnya.
” Nanti ambik pegaga 1 genggam dan daun kucai 1 genggam. Air 1 cawan. Orang dulu tumbuk kesemua ini. Laa ni, blender ajelah. Kemudian tapis. Minum airnya beberapa hari hingga hilang rasa sakit. Ini cara nak bersihkan usus”
Kebiasaanya usus kotor boleh menyebabkan boleh jadi sembelit, kerap rasa lapar kerana ketidak seimbangan keadaan usus, mudah masuk angin , keletihan dan sering sakit kepala. Hingga kadang kala boleh menyebabkan sakit perut.
Berikut resepi yang Tok berikan :
1. 1 genggam pegaga segar dan kucai segar
2. Dibasuh dan di campurkan dengan 1 cawan air
3. Diblender dan ditapis airnya minum
4. Lakukan setiap hari hingga sembuh
Resepi ini juga sesuai untuk menjaga kesihatan usus.Menurut kajian yang dilaporkan oleh Journal of the National Cancer Institute pada tahun 2002 memang kandungan di pegaga dan daun kucai mengandungi sejenis bahan yang boleh mengelakkan terjadi cancer perut atau usus.
Rasa ramuan ini memang sedap. Jika ada kelapangan memang saya akan amalkan minuman ini.
SuzyHoney, Cegah sebelum parah dengan kaedah alami lebih baik.
Semoga perkongsian ini dapat membantu sekiranya anda mengalami masalah sembelit. Memang seksa sembelit ni, duduk di tandas berjam-jam tapi tak boleh juga keluar. Kalau makin teruk, sampai luka. Bolehlah cuba petua ini, mana tahu berkesan dengan anda kan. Selamat mencuba!
Hati mana yang tegar apabila mendengar perkhabaran cahaya mata yang disayangi sepenuh jiwa dan raga tiba-tiba disahkan menghidap penyakit serius yang sering menjadi igauan ngeri setiap orang. Tambah pilu ia adalah penyakit yang boleh membawa maut.
Tapi siapalah kita untuk mempersoalkan semua itu. Meskipun berat hati untuk rasa reda dengan apa yang berlaku, tapi itulah yang perlu dilalui kerana pasti ada hikmah disebalik setiap dugaan yang mendatang.
Dalam sebuah laporan akhbar Berita Harian, dua orang ibu yang ditemui di Wad Kanser Pediatrik Hospital Wanita dan Kanak-kanak, HKL dalam satu sesi ziarah dan penyampaian sumbangan daripada Hong Leong MSIG Takaful, keduanya sentiasa berfikiran positif kerana ramai ibu bapa dan kanak-kanak lain yang telah sekian lama berjuang melawan kanser. Namun mereka langsung tidak pernah mengalah kerana percaya akan Kebesaran Sang Pencipta yang Maha Mengetahui Segalanya.
Bagi ibu empat cahaya mata dari Seremban, Nur Izrah Abu, 32, antara insan yang melalui senario itu, namun perlu tabah apabila anak bongsunya, Nur Sakinah Khaira Mohd Fairil, 20 bulan, disahkan mengidap kanser saraf tahap empat, kira-kira empat bulan lalu.
“Pada usia setahun lebih, Sakinah sudah boleh berjalan tetapi secara tiba-tiba kesihatannya merosot hanya terbaring tidak berdaya berdiri memperlihatkan sesuatu yang luar biasa.
“Pelbagai ujian dan pemeriksaan dijalankan dan akhirnya kesnya dirujuk di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sejak daripada itu sudah lapan kali menjalani rawatan kemoterapi.
“Saya sering keluar masuk hospital, namun di sebalik saya bersyukur keadaan terkininya semakin beransur baik,” katanya.
Nur Izrah yang juga suri rumah berkata, beliau berfikiran positif apabila menemui ramai ibu bapa dan kanak-kanak lain yang sekian lama berjuang melawan kanser tetapi mereka langsung tidak pernah mengalah kerana percaya Allah sebaik-baik tempat memohon pertolongan.
“Berikutan keperluan Sakinah yang sering berulang-alik ke hospital ini, saya dan suami menghantar dua anak kami ke kampung untuk dijaga keluarga termasuk memindahkan persekolahan mereka di Chini, Pahang untuk memberikan sepenuh tumpuan penyembuhan si adik manakala seorang lain dijaga suami.
“Harapan kami adalah mengembalikan kehidupan biasanya dan berharap tidak akan berhenti berikhtiar kerana yakin dia akan kembali pulih, membesar dengan kakak dan abangnya,” katanya.
Bagi seorang lagi ibu, Nor Ikma Shida Wahidon, 35, yang setia menemani anaknya, Muhammad Ikhwan Hafiq Abdul Rasyid, 7, reda dengan ketentuan takdir selepas mengetahui anaknya menderita kanser limfoma, awal tahun ini.
“Saya bersyukur di sebalik dugaan ini, suami, keluarga tidak putus-putus memberikan semangat, sokongan supaya tidak lemah ditenggelami beban emosi kerana saya perlu kuat untuk menjaga anak ini.
“Sejujurnya sebagai ibu yang melihatnya membesar dengan sihat, bagaimanapun akur dengan ketentuan Allah SWT yang tidak akan menguji hamba-nya di luar kemampuan,” katanya.
Setiap ujian dan dugaan pasti ada hikmahnya. Sebagai hamba kita perlu reda dan sabar dalam menghadapi semua ini. Terus berdoa dan berserahlah PadaNYA kerana pasti akan ada hikmah atau Keajaiban dari Sang Pencipta. Moga anak-anak ini dipermudahkan rawatan dan diberi kesembuhan. Buat ibu dan bapa mereka, semoga kalian semua terus tabah dan kuat menghadapi ujian ini!