Anak yang mempunyai dua pusar sering dikatakan sebagai seorang yang nakal, degil, tidak mendengar kata, keras kepala, menimbulkan masalah, sukar dikawal dan dikaitkan dengan pelbagai lagi label yang negatif.
Benarkah semua mereka begini?
Menurut Puan Noor Afidah Abu Bakar selalunya dari lahir lagi sudah kelihatan pusar anak. Jika anak mempunyai dua pusar, dari lahir lagilah label diberikan kepada anak terutamanya oleh segelintir orang tua-tua. Walaupun kita belum lagi cuba untuk mengenali anak tersebut dan belum cuba lagi mendidik anak tersebut, dia sudah pun dilabel dengan label yang membawa konotasi ‘akan memberi kesukaran’.
Adilkah begitu?
Jika begitu persepsi kita dari awal, maka segala kebaikan anak tidak akan kita nampak kerana yang kelihatan hanyalah tingkah laku yang menguji kesabaran kita.
Mungkin segelintir orang tua-tua ini mempunyai pengalaman dengan beberapa anak yang mempunyai dua pusar pada masa lalu mereka tetapi untuk membuat generalisasi tentang semua adalah salah sama sekali, apatah lagi menyebarkan kepercayaan yang tidak tepat itu.
Menurut National Human Genome Research Institute, iaitu sebuah institut yang banyak menjalankan kajian tentang genetik dan genomic manusia, 5% penduduk dunia mempunyai dua pusar. Pusar ini berkaitan dengan gene manusia.
Kepercayaan tentang anak dua pusar bukan hanya wujud dalam masyarakat Melayu sahaja, malah ia juga dipegang oleh masyarakat Cina, Vietnam, Filipina, Amerika, Portugis dan beberapa kelompok masyarakat lagi. Kemungkinan besar penghijrahan manusia membawa kepercayaan ini berhijrah dari satu tempat ke satu tempat sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Ada kepercayaan kuno yang mengatakan roh akan memasuki tubuh seorang manusia melalui pusarnya sejak dari awal kandungan di dalam perut ibu lagi. Apabila bayi mempunyai dua pusar, dua roh akan memasuki tubuh bayi tersebut dan menyebabkan pertelingkahan antara kedua-dua roh ini. Kedua-dua roh ini akan cuba bersatu menjadi satu roh yang kemudiannya menjadi roh anak tersebut. Kerana pertembungan dua roh inilah, bayi itu membesar menjadi seorang yang keliru, sering memberontak, sukar dikawal, nakal dan degil.
Anda percaya?
Bukankah sebagai seorang Muslim kita percaya bahawa seorang anak dilahirkan seumpama kain putih dan ibubapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya walaupun berapa pusar sekalipun yang dimiliki oleh anak tersebut?
Bukankah seorang anak itu lahir suci bersih tanpa dosa?
Ingatlah, kata-kata adalah satu doa. Kata-kata yang sering anak dengar tentang dirinya terutamanya daripada orang dewasa yang dekat dengan anak akan mewujudkan konsep diri (self concept) anak.
Ads
Anak sering tertanya tentang dirinya.
Siapa saya? Apakah peranan saya? Apakah kebaikan saya? Jika yang sering didengari tentang dirinya adalah label negatif, maka itulah kepercayaan anak tentang dirinya. Berhati-hatilah dalam melabel anak.
Tingkah laku seorang anak tidak bergantung kepada sifat fizikalnya sama ada mata bulat atau sepet, hidung mancung atau pesek, kulit cerah atau gelap, punya cuping telinga atau tidak, boleh gulung lidah ataupun tidak, kaki panjang atau pendek dan sebagainya.
Sifat fizikal tidak menentukan tingkah laku.
Tingkah laku anak bergantung kepada bagaimana ibubapa memahami dan mendidik anak.
Ibubapa perlu faham:
1) Perkembangan kanak-kanak (Child Development).
Semua tingkah laku anak adalah bersesuaian dengan usia dan perkembangannya. Kita tidak boleh mengharapkan anak kecil bersopan seperti orang dewasa kerana dia belum lagi boleh berfikir seperti orang dewasa, apatah lagi jika kita tidak membimbingnya dengan adab yang sepatutnya.
Ads
Kita juga tidak boleh mengharapkan anak A menjadi seperti anak B kerana mungkin perkembangan sosial dan emosi anak A tidak setara dengan anak B. Dia masih perlu dibimbing.
Kita tidak boleh mengharapkan anak berupaya untuk mendengar kata jika perkembangan bahasa dan komunikasinya masih perlu dipupuk supaya dia faham apa yang diberitahu dan diarah kepadanya.
Jika anak mempunyai kelewatan dari segi perkembangannya atau perkembangannya tidak sepadan dengan usia, bawalah anak berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
Mereka dapat membantu dengan terapi yang sepatutnya. Usah diberi anak makan macam-macam produk yang mungkin hanya memudaratkan anak lagi. Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan anak menjadi lebih sukar dikawal, begitu juga dengan bahan pengawet dan pewarna.
2) Pembawaan kanak-kanak (Temperament).
Setiap seorang daripada kita dilahirkan dengan sifat semulajadi atau pembawaan yang berbeza-beza. Ada yang mudah diuruskan,tidak cerewet, ada yang lebih aktif dan perlukan lebih pemahaman dan pemantauan, ada yang pendiam dan pemalu yang memerlukan lebih galakan.
Sebagai ibubapa kita perlu mengetahui anak kita berada dalam kategori pembawaan yang bagaimana kerana cara kita menguruskan anak bergantung kepada pembawaan mereka. Kita tidak boleh menggunakan satu kaedah saja untuk mendidik pembawaan yang berbeza-beza.
Ads
Oleh itu kenalilah anak anda. Luangkan masa bersama-sama anak untuk lebih mengenali dan memahami pembawaannya.
3) Fahami juga kecenderungan anak.
Kecenderungan anak kecil adalah bermain dan meneroka. Jika anak itu suka meneroka, sering ke sana kemari, mencuba itu ini, memegang itu ini, itu adalah sifat yang normal pada kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui meneroka dan bermain. Usah di halang.
Apa yang perlu dilakukan oleh ibubapa adalah mewujudkan persekitaran yang selamat supaya penerokaan anak tidak memudaratkan keselamatan anak.
Peraturan juga perlu ditetapkan oleh ibubapa supaya penerokaan si anak tidak mengganggu orang lain atau pun merosakkan harta benda orang lain.
4) Selain itu ibubapa juga perlu sepakat dalam proses mendidik dan membesarkan anak. Ibubapa perlu sepakat tentang kaedah dan peraturan yang hendak ditetapkan dalam rumah supaya anak lebih mudah dikawal.
Jika ayah berkata “Ya” dan ibu berkata “Tidak”, anak akan keliru dan itulah yang menjadi punca utama anak degil dan tidak mendengar kata. Apabila dia keliru cakap siapa yang perlu diikut, dia akan mengikut kata hati dia sendiri yang sering kali menimbulkan lebih banyak masalah kerana dia belum berpengalaman untuk membuat keputusan.
5) Ibubapa adalah guru dan role model terbaik anak. Anak adalah cerminan diri kita sendiri. Adakah kita memberikan teladan tingkah laku yang baik buat anak-anak kita?
Ingatlah banyak faktor yang akan membentuk dan menentukan tingkah laku anak. Di antaranya adalah bimbingan daripada ibubapa, persekitaran anak, rakan-rakan anak, apa yang ditonton dan didengar, keyakinan diri dan jati diri anak, emosi anak, sosio ekonomi keluarga dan juga pegangan agama dalam keluarga yang akhirnya akan menentukan nilai dan akhlak secara keseluruhannya.
Jangan jadikan dua pusar sebagai ‘escapism’ atau jalan keluar untuk kita berputus asa dengan anak. Sentiasalah berdoa supaya anak-anak kita menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada masyarakat.
Oh ya, anak saya sendiri mempunyai dua pusar kepala.
Anak-anak yang masih bayi dan sedang membesar memang selalunya aktif dan lasak. Kalau tidur atas katil habis bantal dibuat benteng risau anak-anak bergolek jatuh masa tidur. Ada yang lari-lari tetiba kepala terhantuk. Itu semua perkara biasa yang berlaku untuk anak-anak yang semakin membesar.
Dalam perkongsian yang dibuat oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad, menjawab persoalan yang diajukan tentang kesan bayi dan kanak-kanak jatuh dan terhentak kepala. Sarannya walau apa sahaja keadaan anak tersebut selepas terhantuk atau terhentak kepala, sebaiknya dilakukan pemeriksaan menyeluruh untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.
KESAN BAYI DAN KANAK-KANAK JATUH DAN TERHENTAK KEPALA
“Salam doktor. Saya ingin bertanya, Bayi atau kanak-kanak sering terjatuh dan kerap terhentak kepala. Adakah perkara ini memberikan kesan tidak baik kepada mereka? Apakah tanda bahaya pada kanak-kanak ini? Perlukah dibawa segera berjumpa doktor? Apakah apakah kesannya sama ada jangka masa pendek dan panjang. Mohon pencerahan, terima kasih”
Buat Pemeriksaan Menyeluruh
Wa alaikum mus salam. Setiap kali bayi atau anak kecil kita jatuh dari sofa atau katil, kita berasa runsing jika mereka mengalami kecederaan terutamanya kecederaan kepala. Bagi kanak-kanak yang masih kecil dan masih tidak stabil berjalan, kemalangan lebih kerap berlaku di dalam rumah.
Walaupun sofa dan katil itu tidak tinggi, mungkin setakat ketinggian lutut kita, tetapi secara relatif berbanding dengan saiz bayi, ketinggian sebegitu boleh disamakan dengan ketinggian aras kepala kita. Bayangkan kita jatuh dari tingkat pertama rumah, begitulah dibandingkan kesannya bayi kita yang jatuh dari sofa atau katil.
Oleh itu kita perlu melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap kecederaan yang mungkin dialami oleh bayi kita, terutamanya jika dia jatuh pada kepalanya, sama ke depan atau ke belakang. Bayi yang jatuh mungkin tidak mengalami kecederaan yang serius, kerana mereka mempunyai tulang yang lembut dan tidak mudah patah seperti orang dewasa atau kanak-kanak yang lebih besar.
Elak kesan jangka Panjang
Apabila berlaku kemalangan, pemeriksaan harus dilakukan bagi memastikan bahawa bayi tidak mengalami luka yang serius, atau patah tulang, kecederaan organ dalaman, atau kecederaan kepala yang serius. Jika bayi kelihatan baik dan bayi berkelakuan seperti biasa, berkemungkinan bayi tidak menyebabkan kecederaan serius. Namun begitu, pemerhatian harus dilakukan dalam tempoh 24 jam. Sebarang kelakuan yang tidak normal, terutama apabila bayi jatuh pada bahagian kepala, bawalah bayi berjumpa doktor untuk diperiksa.
Bayi yang beberapa kali jatuh dari katil, sofa atau di lantai juga merunsingkan fikiran ibu bapa. Adakah mereka akan mengalami kesan jangka panjang apabila besar kelak?
Sebarang kecederaan kepala yang hanya melibatkan kulit kepala tidak mendatang sebarang kesan jangka panjang. Kecederaan pada kulit kepala biasanya dalam bentuk luka, lebam dan bengkak atau benjolan. Jadi bayi yang beberapa kali jatuh dan tidak mengalami kecederaan atau hanya mengalami kecederaan kulit kepala, tidak perlu dirisaukan.
Bayi alami gegaran otak tak boleh dikesan melalui X-ray
Namun jika bayi mengalami kecederaan gegaran otak (concussion), ia lebih membimbangkan apatah lagi jika mereka setiap kali jatuh beberapa kali dan mengalami gegaran. Gegaran otak adalah kecederaan pada fungsi otak, bukan pada struktur anatomi otak.
Oleh itu bayi yang mengalami gegaran otak, tidak dapat dikesan melalui pemeriksaan xray atau CT scan, tetapi individu tersebut mungkin mengalami rasa sakit pening, tidak memberikan tumpuan pada permainan mereka, mudah lupa, tidak dapat berjalan dengan betul dan seperti hendak jatuh bila berjalan atau bangun.
Pada asasnya agak sukar untuk mengesan gegaran otak pada bayi, berbanding dengan orang dewasa kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dan memberitahu apa yang mereka rasakan. Tetapi jika kita lihat bayi tidak ceria atau tidak aktif, berkemungkinan besar, bayi itu mengalami gegaran otak atau kecederaan otak yang lebih serius.
Walau bagaimana pun, gegaran otak biasanya pada kemalangan yang lebih serius, seperti satu hentakan pada kepala, atau apabila badan mereka digoncang dengan lebih kuat. Gegaran otak akan memberikan kesan pada fungsi otak bergantung pada tahap kecederaan yang dialami. Kecederaan ini memerlukan masa untuk sembuh dengan sempurna dan adakalanya memberikan kesan apabila bayi itu semakin besar.
Wallahu a’lam.
Mak ayah kalau anak terhantuk atau terjatuh kepalanya, walaupun tak ada apa-apa sebaiknya buatlah pemeriksaan, bimbang akan beri kesan jangka Panjang. Mencegah kan lebih baik dari merawat
Tabiat mengonggong botol susu dan puting bukanlah asing bagi kanak-kanak. Memang itu merupakan kepuasan dan keseronokan bagi mereka. Namun begitu, kita tidak boleh menganggap tabiat tersebut boleh berterusan sampai bila-bila. Kita juga faham bahawa sesuatu tabiat itu jika dilakukan secara keterlaluan akan sedikit sebanyak memberikan kesan samaada positif atau negatif.
Sebenarnya, tiada jawapan yang jelas mengenai permasalahan ini. Tapi secara asasnya, pembelajaran bahasa terjadi melalui pemerhatian dan pembelajaran kanak-kanak dari sekeliling. Dan seterusnya mereka akan belajar untuk menggunakan organ-organ mulut untuk belajar menyebut bunyi-bunyi pertuturan. Kesemua pembelajaran tersebut memerlukan latihan untuk membolehkan kanak-kanak boleh melakukannya dengan baik.
Menggonggong botol susu dan puting secara berterusan biasanya dikaitkan dengan masalah:
Masalah jangkitan pada telinga
Kajian menunjukkan kanak-kanak yang setiap masa dengan botol susu / puting mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat masalah jangkitan pada telinga. Seperti yang kita tahu, mendengar adalah sangat penting untuk membolehkan kanak-kanak bercakap dengan baik. Sekiranya terdapat gangguan pada pendengaran kanak-kanak, sudah semestinya, perkembangan bahasa juga akan terganggu
Masalah pada struktur rahang dan gigi kanak-kanak seperti ‘open bite’ dan kerosakan gigi
Proses bercakap perlu dipelajari. Ia melibatkan banyak aspek. Tapi secara asasnya untuk bercakap kanak-kanak perlu memahami bahasa terlebih dahulu yang mana proses ini berlaku di otak hasil dari apa yang mereka dengar dan lihat. Seterusnya untuk menyebut pula mereka perlukan struktur dan fungsi yang baik bagi organ pertuturan. Sekiranya salah satu terganggu semasa proses berlaku, akan wujudlah gangguan pada pembelajaran untuk kanak-kanak bercakap
Jika kita lihat pada kedua masalah tersebut, memang ada faktor penyumbang yang membawa kepada masalah kelewatan bahasa & pertuturan. Masalah jangkitan pada telinga boleh menyebabkan kanak-kanak mendapat masalah pendengaran yang mana ia akan memberi kesan kepada pembelajaran bahasa mereka. Jika mereka tidak mendengar dengan baik, bagaimana mereka boleh memahami perkataan dan menyebut dengan baik kerana asas untuk belajar bercakap adalah faham dan tiru sebutan orang dewasa terlebih dahulu.
Seterusnya adalah masalah pada struktur mulut, rahang dan gigi juga boleh memberi kesan pada sebutan kanak-kanak yang mana ianya boleh membawa kepada masalah pelat. Untuk bercakap dan menyebut bunyi, setiap organ pertuturan perlu diletakkan pada kedudukan yang betul. Kedudukan yang salah akan menyebabkan bunyi yang salah juga dihasilkan. Untuk menghasilkan bunyi yang betul, kanak-kanak perlu berlatih menggunakannya secara berterusan semasa usia 6 bulan lagi.
Walaupun ada kajian-kajian yang dilakukan, tetapi tiada keputusan yang mengatakan dan mengaitkan secara terus bahawa tabiat menggonggong botol susu dan putting secara berterusan boleh menyebabkan kanak-kanak lambat bercakap. Terapis Pertuturan menyarankan supaya kanak-kanak berhenti atau mengurangkan penggunaan botol dan puting pada usia 18 bulan ke usia 2 tahun kerana pada usia ini pembelajaran bahasa dan perkembangan struktur mulut berkembang dengan sangat pesat. Pada usia 18 bulan kanak-kanak sudah boleh diajar menggunakan cawan ataupun straw untuk minum.
Jadi apa yang boleh saya simpulkan di sini adalah, tak semua kanak-kanak yang ada tabiat ini akan lambat bercakap. Tapi risiko mereka untuk mendapat masalah lambat bercakap adalah lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang tiada tabiat ini.
Mencegah lebih baik dari merawat. Betul tak?
Kredit: Aishah Kassim Akademi
Speech & Language Pathologists
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!