Bayi atau anak yang masih kecil menghisap jari adalah perkara normal menurut Dr Iqbal Rosali. Tapi bila dah sampai tahap umur antara 2 hingga 4 tahun, tabiat ini perlu dihentikan. Lagi awal dapat buang tabiat anak menghisap jari ini lagi bagus untuk kesihatan gigi dan mulut anak-anak.
Menurutnya anak yang mempunyai tabiat menghisap jari sehingga besar bukan sahaja cenderung untuk mempunyai masalah susunan gigi malah ada juga masalah lain yang bakal timbul.
Ikuti perkongsian beliau:
Nak ajar anak kecil tak bagi hisap ibu jari, ini alat dia. Bila jari dimasukkan ke dalam mulut, jari akan terkena pada dawai. Sakit, tak best dan tak mahu hisap lagi lepas tu.
Yang dalam gambar ni, rahang sudah mengecil akibat tabiat hisap jari. Kena pasang alat tambahan di lelangit untuk kembangkan semula bentuk rahang.
Menghisap jari pada usia masih bayi macam 5-6 bulan adalah normal. Anak sudah tahu dengan cara itu boleh menenangkannya dan membuatnya tertidur semula apabila terjaga. Waktu ini, tiada apa yang nak dirisaukan.
Biasanya dalam lingkungan umur 2-4 tahun, anak dah boleh tidak menghisap lagi.Tapi boleh jadi semula bila anak dihantar ke pusat asuhan dan taska. Disebabkan suasana yang berbeza dan tidak biasa dengan persekitaran baru.
Bila anak sudah tumbuh banyak gigi, sudah boleh ajar dia kurangkan menghisap jari atau ibu jari. Wajib berhenti hisap jari bila nak masuk 5-6 tahun sebab masa ini gigi kekal nak tumbuh keluar. Kalau tabiat ini tak dibuang lagi, susunan gigi depan akan jadi jongang. Sebab itu, tabiat ini kena berhenti awal-awal lagi.
Nak ajar anak berhenti hisap ibu jari, BUKAN dengan tukar kepada puting. Ia dua benda yang SAMA.
Masa kecil ni, tabiat hisap jari memang normal. Yang tak normalnya bila dah besar pun nak hisap lagi. Jadi bila nak berhenti? Seawal yang mungkin. Umur 2-4 tahun dah boleh berhenti.
Ada orang guna petua letak sesuatu yang pahit di ibu jari supaya bila masukkan jari ke dalam mulut, rasa tak sedap. Di klinik gigi, macam dalam gambar tu.
Keep in mind, tak semua tabiat menghisap jari akan memberi kesan kepada susunan gigi. Setakat masukkan ke dalam mulut dan tak hisap (pasif) tidak menjadi masalah besar jika nak dibandingkan dengan menghisap dengan sangat kuat.
Apa kesan menghisap ibu jari atau puting untuk tempoh yang lama?
Bila menghisap jari, jari akan diletakkan pada lelangit. Gigi kekal terutamanya, susah nak tumbuh keluar kerana dihalang jari. Ini menyebabkan gigitan terbuka (gigi atas tidak bersentuh gigi bawah).
Jika tumbuh sekalipun, gigi atas akan menjadi jongang.
Selain itu, semasa menghisap jari, pipi akan menekan pada bahagian gigi geraham menyebabkan rahang atas menjadi lebih sempit.
Oleh itu, sila sentiasa pantau tabiat menghisap jari anak-anak anda. Jangan lupa, bawalah pemeriksaan gigi seawal usia mereka 6 bulan.
Semoga bermanfaat untuk semua.
Sumber: Iqbal Rosali
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)