Bila ibu ayah balik dari kerja, anak-anak sibuk berlari dan berkejar ingin peluk dan berkongsi cerita lepas seharian tak jumpa.
Masa ini lupakan seketika kepenatan anda, kerana rugilah kalau dibiarkan saat berharga ini. Jangan terlalu ego dan pentingkan diri sendiri. Cuba kita selami apa sebenarnya yang ada dalam hati anak-anak kita yang masih kecil ini.
Bila ibu dan ayah pulang mereka benar-benar ingin merasai kehadiran kita. Ingin dipeluk dan berkongsi cerita.
EGONYA KITA DENGAN ANAK !
Sebelum kita keluar ke pejabat kita membebel pada anak kerana lambat bersiap.Sampai di sekolah anak maklumkan ada surat yang dia lupa berikan semalam. Lagi sekali anak dileteri.
Anak melambai sambil masuk ke sekolah dengan keadaan emosi yang terguris. Dah dua tiga kali kena marah di awal hari.
Kalau tak beritahu pasal surat itu pun takpa fikirnya. Buat kena marah je…
Seharian dia di sekolah bersama kawan-kawan dan guru. Bila habis sekolah, dia dihantar oleh van ke daycare. Makan seorang dalam diri sambil merenung. Selera sekadar alas perut. Membuat kerja rumah dari sekolah tanpa bimbingan, takut bertanya dengan ibu bapa yang akan marah pasal tak buat di taska.. Matahari terbenam, anak merenung pintu menunggu ibu dan ayah balik..
Bila malam menjelma, barulah ibu dan ayah pun menjelma.
IKLAN
Dah 8 jam tak jumpa ibu ayahnya.
Banyak perkara di lubuk hati yang dia nak kongsikan. Waktu ibu dan ayahnya sedang bercakap, waktu itu juga mereka teruja nak cerita dan bertanya itu dan ini.
Nak bagitahu cikgu puji dia pandai,
nak bagitahu kawan puji kotak pensil yang ibu baru belikan
Nak bagitau yang dipilih untuk pertandingan…Pelbagai perkara masih tersekat di lidahnya….
Pilunya Hati Kecil Si Anak
Tapi dimarahi lagi kerana dikatakan menyibuk waktu orang tua sedang bercakap…No manner kata mereka.. Please don’t disturb now.
Anak menunduk dan masuk ke bilik.
Bergurau pula dengan adik-adiknya sambil ketawa keriangan. Kecoh bunyinya. Tetiba wajah si ayah tersembul di muka pintu. Kena marah lagi sebab bising waktu ayah nak tengok berita atau check komputer. Ayah suruh baca buku.
Tengah-tengah belek buku, teringat lukisan cantik tadi. Berlari nak tunjuk kat ibu di dapur. Tetiba terlanggar pulak bucu meja. Jatuh dan pecah berderai gelas atas meja. Sekali lagi anak ini dimarahi dan dileteri.
Dan anak ini akhirnya tidur dalam keadaan dia tertanya-tanya adakah ibu dan ayahnya menyayanginya atau tidak. Tiap hari, pasti ada saja salah dan silap mereka. Pasti ada yang tidak kena.
IKLAN
Itu senario yang selalu kita hadapi. Malahan saya sendiri mengalaminya. Sungguh tinggi ego kita. Sungguh kita sangat mementingkan diri.
Kasihan Anak Kita…
Anak ini belum matang. Belum tahu berfikir seperti orang dewasa. Bila ibu dan ayah pulang mereka benar-benar ingin merasai kehadiran kita. Ingin dipeluk dan berkongsi cerita. Tapi apa yang mereka dapat???
Bila mereka besar dan lebih selesa berkongsi cerita dengan teman-teman, jangan kita persoalkan kenapa. Kerana waktu mereka ingin benar-benar berkongsi dengan kita, kita menafikan hak mereka.
Keegoan itu langsung tak menjadikan kita ibu bapa yang hebat.
IKLAN
Emosi dan amarah hanya mengundang salah tafsir si anak mentah…
Jika kita berasa penat dengan urusan kerja seharian, bagaimana pula dengan anak-anak? Jam 7.00 dah terpacak di sekolah. Pagi sekolah dan petangnya di day care atau tuisyen. Hujung minggu macam-macam kelas lain pula untuk status ibubapa dan bukan minat anak!
Tidak penatkah mereka?
Kita keluar bekerja tanpa membawa beban berkilo. Tapi mereka bagaimana? Berat beg sekolah saja sudah 5 kilo.
Ingatlah, anak itu satu anugerah. Bukan tempat melempias lelah dan tension.
Masa berlalu pantas,
Masa kecil mereka dahagakan kita,
Kita dahagakan wang dan pangkat, kononnya untuk masa depan anak.
Tapi masa kini anak diabaikan kasih sayang. Anak membesar dan menaruh kasih di luar rumah..
Nak salahkan anak lagi pasal wrong friends, atau kita pasal gagal jadi first best friend…??
Adakah anak saya speech delay? Soalan ini kerap ditanya dan cukup merisaukan ibu bapa yang ada anak sekitar usia setahun ke atas. Apa yang membuatkan ibu bapa bimbang susah nak dengar perkataan yang keluar dari mulut anak selain kalau nak sesuatu anak akan tunjuk atau menangis saja.
Perkongsian dari Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi mungkin boleh membantu ibu bapa bagaimana nak tahu anak ada masalah lewat pertuturan.
Dibawah ini adalah tanda-tanda masalah pertuturan yang boleh dikesan dari anak 12 bulan hingga 3 tahun:
12 BULAN:
❌ Anak tidak mengenal nama mereka sendiri.
❌ Anak tidak boleh menyebut 1 atau 2 perkataan bermakna.
15 BULAN:
❌ Anak tidak reti menunjuk pada objek apabila penjaga menyebut nama objek.
❌ Masih tidak menyebut perkataan memerlukan sesuatu, contohnya “Nak”.
18 BULAN:
❌ Anak masih tidak reti mengikut arahan mudah seperti “Ambil botol susu”.
❌ Anak tidak menyebut perkataan “Mama”/”Papa” atau perkataan panggilan yang lain.
2 TAHUN:
❌ Anak masih tidak menunjukkan anggota badan apabila disebut.
❌ Anak tidak menggunakan sekurang-kurangnya 25 perkataan bermakna.
2 TAHUN 6 BULAN:
❌ Anak tidak mengangguk ataupun bersuara apabila ditanya pertanyaan mudah seperti, “Nak susu?”
❌ Anak tidak menggunakan 2 patah perkataan dalam satu ayat seperti, “Nak mandi” walaupun pelat.
3 TAHUN:
❌ Anak tidak menggunakan sekurang-kurangnya 200 perkataan atau membuat ayat menggunakan 3 patah perkataan dalam satu ayat.
Ada satu kajian yang dijalankan selama 29 tahun tentang masalah lewat bahasa reseptif (yang difahami) semasa zaman kanak-kanak menyebabkan risiko masalah emosi, tingkah laku dan sosial apabila dewasa. Kajian ini dilakukan terhadap 6,941 kanak-kanak berumur 5 tahun yang mempunyai masalah bahasa reseptif, kajian susulan dilakukan selepas 29 tahun.
Hasilnya terbukti kanak-kanak yang mempunyai masalah bahasa reseptif mempunyai risiko lebih tinggi bagi masalah mental apabila mereka berumur 34 tahun berbanding kanak-kanak lain yang tidak mempunyai masalah terlewat. Kanak-kanak lelaki lebih berisiko berbanding perempuan.
Kebanyakan kes yang saya terima tentang kes lewat bercakap, perkara pertama yang saya akan lakukan adalah penilaian perkembangan. Apa yang mak ayah selalu risau ialah anak lambat cakap, tapi bila lakukan penilaian barulah kebanyakan mak ayah tahu yang anak juga ada terlewat perkembangan lain juga seperti Skil Urus Diri, Skil Motor Halus, Skil Motor Kasar atau Skil Sosial.
Sebab itulah penilaian awal sangatlah penting kerana ada banyak sangat faktor yang perlu dikenalpasti dan diselesaikan sebelum terapis fokus kepada skil pertuturan seperti Reflex, Sensori (memilih makan, gayat, tak fokus, penggeli, terlampau aktif dan sebagainya), Faktor Persekitaran (kurang rangsangan, “overprotective”, tv, gadget dan sebagainya) ataupun faktor masalah perkembangan yang lain.
Maka, untuk menjayakan kes lewat bercakap ada 1001 cara bergantung kepada setiap kes.
Jika mak ayah dapati anak mempunyai tanda-tanda berikut, sila dapatkan bantuan awal supaya intervensi awal dapat dilakukan. Semakin lambat lakukan sesuatu, semakin jauh perkembangan anak.
Letakkan target untuk selesaikan masalah perkembangan anak sebelum anak berumur 5 tahun untuk mengelakkan masalah psikososial apabila dewasa kelak.
Bagi mak ayah yang sedang berjuang untuk anak, semoga dipermudahkan segala urusan.
Perasan tak kadangkala tingkah laku anak nampak ‘annoying’ tetapi sebenarnya jika diperhatikan ia nampak bijak dan kreatif.
Pernah tak anda memerhatikan tingkah laku anak yang berusia dua hingga enam tahun? Walaupun anda sibuk dengan bermacam urusan, cuba ambil masa untuk memerhati dan mengenali kelakuan anak anda. Ia penting untuk anda membantu mereka supaya membesar sebagai anak yang lebih cemerlang di masa depan.
Berikut adalah beberapa tingkah laku biasa yang dimiliki oleh kanak-kanak lingkungan usia tersebut. Cuba perhatikan, adakah sama dengan anak anda?
1. Suka tanya banyak soalan
Jangan cepat marah, itu tandanya otak anak anda sedang ligat berfikir. Banyak bertanya soalan bermaksud mereka sedang belajar banyak perkara.
2. Suka berlari dan melompat
Itu maksudnya anak anda seorang yang aktif dan ceria. Ada banyak perkara di sekelilingnya yang hendak diterokai. Bawalah anak buat aktiviti di padang yang luas supaya dia bebas meneroka dengan berlari dan melompat dalam persekitaran yang selamat.
3. Suka menyepahkan rumah
Tingkah laku menyepah bukan terhad kepada permainannya sendiri tetapi juga barang-barang rumah seperti mangkuk, sudu, cawan plastik di dapur, tudung ibu, sapu tangan atau pakaiannya sendiri dan bermacam lagi. Itu sebenarnya petunjuk yang anak anda seorang yang kreatif ketika bermain. Otaknya kreatif berfikir di luar kotak. Mungkin dia bosan dengan mainan yang sama, jadi dia membuat mainan sendiri menggunakan barangan di persekitarannya.
4. Suka bercakap sendiri
Jangan cepat panik dan anggap anak anda bercakap dengan makhluk halus. Sebenarnya itu adalah tingkah laku kanak-kanak normal. Mereka sedang berimaginasi dalam dunia sendiri. Imaginasi membantu kanak-kanak menjadi seorang yang kreatif dan inovatif.
5. Tak boleh duduk diam
Mungkin anda boleh bagi dia buat aktiviti seperti melukis, mewarna, bermain lego untuk membolehkan dia duduk diam seketika.
6. Kuat menangis
Adakah anak anda jenis macam itu? Mungkin dia jenis anak yang suka diberikan perhatian. Cuba luangkan lebih masa dengan anak dan layan segala kemahuannya bermain bersama. Dalam masa yang sama pujuk dan beritahu anak supaya jangan suka menangis kerana ibu/ayah sentiasa ada bersamanya.
7. Bercakap pelat
Jangan ketawakan anak yang bercakap pelat nanti dia ingatkan itu perkara yang lucu. Layan percakapannya tetapi dalam masa yang sama betulkan kesilapan perkataan pelat yang diucapkan.
8. Tak boleh berenggang
Mungkin dia pernah melalui pengalaman ditinggalkan oleh anda (pergi kerja) tanpa memberitahunya. Jadi, anak takut akan ditinggalkan lagi membuatkan dia tak mahu berenggang dengan anda. Cuba tenangkan anak dan selalu beritahunya ke mana anda pergi. Lama-kelamaan dia akan faham dan tidaklah asyik hendak ‘melekat’ sahaja.
9. Suka main lawan-lawan
Biasanya ini berlaku di kalangan anak lelaki. Tingkah laku ini dipengaruhi oleh hasil kekerapan mereka menonton rancangan kartun yang banyak aksi berlawan dan bergaduh. Cuba pantau apa yang mereka tonton dan mungkin perlu kurangkan kekerapannya. Sebaliknya salurkan keaktifan dan minat mereka berlawan dengan menyertai aktiviti taekwando dan sebagainya.
10.Menconteng dinding rumah
Puas membebel dan melarang tetapi anak tetap suka membuat hasil karyanya di dinding rumah. Siapa tak angin tapi jangan larang minat dan kreativitinya. Sebaliknya korbankan sedikit ruang dinding rumah anda sebagai tempat khas untuk anak menconteng apa sahaja. Anda boleh menjadi kreatif dalam soal mengubahsuai dekorasi kediaman.
Sebenarnya terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkan anak masing-masing. Walaupun mereka nampak ‘nakal’ dan sukar dikawal tetapi kadangkala kreativiti anda dalam mendidik boleh menjadikan mereka anak yang bijak dan pintar di masa hadapan. Yang penting salurkan tingkah laku yang ‘annoying’ tersebut ke arah yang betul.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Muzik terhasil daripada bunyi yang wujud di sekeliling kita. Kepelbagaian bunyi dari kicauan burung, gelombang ombak hinggalah ke bunyi bising dari kenderaan di jalan raya, jika diatur dan disusun dengan cara tertentu, ia boleh mewujudkan alunan bunyi yang tertentu.
Ia merupakan antara salah satu perkara penting dalam kehidupan kita. Ia adalah lebih daripada sekadar hiburan semata-mata. Bagi kebanyakan individu, tidak mengira usia; dewasa mahupun kanak-kanak, ia boleh membawakan kegembiraan dan memotivasikan diri, menjadi peneman ketika menghadapi kesukaran dan dapat mengurangkan rasa bimbang dan kegelisahan.
Apa itu muzik?
Muzik merupakan satu koleksi bunyi atau bunyi yang diselaraskan. Penghasilannya merupakan satu proses untuk meletakkan bunyi dan nada dalam urutan yang tertentu, dan menggabungkan untuk menghasilkan komposisi bunyi yang bersatu. Ia boleh terhasil daripada bunyi, getaran dan suasana yang sunyi, malahan penghasilannya tidak semestinya merupakan satu yang menyenangkan atau cantik. Ia boleh digunakan untuk menyampaikan pelbagai pengalaman, persekitaran mahupun emosi.
Ia mewujudkan perbezaan kepada perasaan dan emosi, contohnya bagi kanak-kanak yang sedang bersedih, mungkin akan menjadi gembira apabila mendengar lagu kegemarannya berkumandang. Ia mempunyai cara tersendiri untuk membuka minda, hati dan perasaan untuk berhubung dengan diri sendiri, individu di sekeliling dan juga persekitaran. Namun, bagaimana dengan terapi muzik untuk kanak-kanak? Apakah manfaatnya?
Apa itu terapi?
Sebelum berbicara lebih lanjut mengenai terapi muzik, apa kata kita fahami dulu mengenai terapi itu sendiri. Terapi, atau turut dikenali sebagai psikoterapi atau kaunseling, merupakan proses pertemuan bagi seseorang individu dengan ahli terapi untuk menyelesaikan isu berkaitan tingkah laku, kepercayaan, perasaan, masalah dalam perhubungan dan / atau tindak balas somatik (somatic responses) yang bermasalah. Terapi merupakan satu langkah permulaan ke arah menjadikan kehidupan, kesihatan yang lebih baik – walau apa pun cabaran yang mungkin anda hadapi. Melalui terapi, anda boleh mengubah tingkah laku, dan tabiat yang merosakkan atau memudaratkan diri, menyelesaikan perasaan atau emosi yang menyakitkan, memperbaiki hubungan dan banyak lagi.
Apakah terapi muzik?
Terapi muzik adalah perkara yang melibatkan profesional terapi yang terlatih dan bertauliah bagi menggunakan muzik secara klinikal dan berasaskan bukti untuk mencapai objektif bagi setiap individu yang berbeza. Ia digunakan untuk mengurangkan kesakitan kepada pesakit, menawarkan keupayaan untuk mengekspresikan diri mereka tanpa menggunakan kata-kata dan memudahkan proses untuk menenangkan diri melalui nyanyian, bermain instrumen, menulis lagu atau sekadar mendengarnya.
Muzik dipercayai boleh membantu individu, terutamanya kanak-kanak yang sedang mengalami tekanan dan kegelisahan yang disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi. Terapi ini pada asasnya adalah mekanisme penyembuhan yang digunakan ahli terapi. Melalui kemahiran menggunakannya, ia dapat meningkatkan, memulihkan dan mengekalkan aspek kesihatan pesakit. Ini melibatkan fizikal, emosi, psikologi, perasaan dan juga rohani.
Ia dipercayai dapat mempengaruhi emosi dan mampu meningkatkan neurokimia dalam badan termasuk endorfin baik. Terapi ini juga dikenali sebagai terapi muzik aktif atau terapi muzik pasif, menunjukkan keupayaan untuk memperbaiki kawalan motor dan fungsi emosi kepada pesakit yang mempunyai pelbagai penyakit atau ketidakupayaan. Dari kes skizofrenia sehingga kepada penyakit Parkinson, penggunaannya seperti membantu mengurangkan simptom semula jadi bagi masalah kesihatan seperti kemurungan, atau kegelisahan, membantu menaikkan kreativiti, dan mempertingkatkan komunikasi antara pesakit dengan penjaga dan pelbagai manfaat lain.
Persatuan Terapi Muzik Amerika (The American Music Therapy Association, AMTA) mengatakan bentuk rawatan ini boleh membantu menggalakkan peningkatan kesejahteraan, menguruskan tekanan, mengurangkan kesakitan, mengekspresikan perasaan, meningkatkan memori, meningkatkan komunikasi dan mempromosikan pemulihan fizikal. Kebanyakan masa, ia secara langsung langsung digunakan kerana ia lebih fleksibel dan menawarkan peluang yang lebih besar untuk interaksi antara ahli terapi dan pesakit.
Terapi ini adalah berbeza dengan proses penghasilan muzik atau sebarang pengajaran lain kerana ia bukan sesuatu yang berasaskan pendidikan. Sebagai contoh, hasil daripada terapi ini bukanlah mengenai untuk mengajar pesakit cara atau kaedah memainkan instrumen atau membaca not muzik. Sebaliknya, tumpuan terapi ini adalah lebih kepada untuk memfokuskan pesakit untuk bergerak ke arah mencapai potensi mereka. Untuk mendapatkan khidmat ahli terapi ini, tiada sebarang syarat bahawa kanak-kanak, remaja mahupun individu dewasa untuk mempunyai kemahiran dan bakat dalam bidang ini.
Wujudkah persatuan khas di Malaysia?
Jangan tidak tahu, di Malaysia juga sebenarnya wujud persatuan yang merupakan sumber rasmi dan badan utama yang mengawal semua perkara berkaitan dengan terapi muzik di negara ini, iaitu Persatuan Terapi Muzik Malaysia (MMTA). Mengikut sejarah, pada tahun 1990-an, sekumpulan individu telah kembali ke Malaysia setelah ditauliahkan sebagai ahli terapi muzik yang berkelayakan dan mewujudkan persatuan ini yang menerapkan pelbagai kaedah terapi berasaskan muzik. Ini termasuk meningkatkan kesedaran mengenai terapi ini, meningkatkan profil terapi, menafsir dan menganjurkan perkhidmatan profesion kepada disiplin profesional lain, dan berkhidmat sebagai badan pengawal untuk terapi muzik di Malaysia termasuk hak, kelayakan, pensijilan dan pembangunan profesional ahli terapi yang lain. Tidak sangka bukan, bahawa di negara kita juga sebenarnya wujud terapi sebegini. Mungkin kerana masyarakat kita kurang terdedah atau sebenarnya, masyarakat kita malu untuk mengikuti terapi kerana beranggap terapi atau sebarang program kaunseling, adalah petunjuk kelemahan diri.
Salah faham tentang terapi muzik
Perubatan muzik, yang membawa kesan langsung kepada sistem dan fungsi badan pesakit dengan mendengarnya sama ada secara langsung atau rakaman, bukanlah satu terapi muzik
Ia tidak memenuhi syarat sebagai pendidikan muzik khas, yang mengajar pelajar khas mengenai muzik
Terapi muzik bukanlah salah satu subjek pelajaran yang membantu meningkatkan kemahiran prestasi seseorang individu dengan instrumen atau vokal
Muzik rekreasi yang bertujuan untuk melibatkan seseorang individu dalam aktiviti muzik secara santai bukanlah terapi muzik
Terapi muzik juga bukanlah satu hiburan yang melibatkan persembahan muzik secara langsung atau dirakam untuk individu yang terlibat secara pasif
Bagaimana ia berfungsi?
Kaedah dan bentuk terapi ini adalah berbeza mengikut individu. Setiap individu mendapat bantuan yang mereka perlukan berdasarkan keutamaan dan kebolehan mereka. Bagi sesetengah individu, ia bermakna memainkan instrumen, sementara yang lain mungkin lebih banyak untuk menyanyi. Sekiranya seseorang individu bergelut membuat muzik itu sendiri, saluran mereka boleh terdiri daripada penulisan lagu.
Walau apa pun kaedah dan bentuk yang digunakan, tidak dapat dinafikan bahawa terapi ini boleh menjejaskan kadar jantung dan pernafasan pesakit, terutamanya apabila ia melibatkan irama kuat. Terapi ini menggalakkan pembebasan neurotransmitter, yang dipanggil endorfin, yang mencetuskan perasaan positif dalam badan dan bertindak sebagai ubat penghilang rasa sakit semula jadi, mengurangkan ketegangan otot dan menggalakkan kelonggaran. Terdapat juga bukti bahawa ia membantu melepaskan kenangan, emosi negatif atau perasaan tertindas. Ini penting dalam proses penyembuhan pesakit kerana ia boleh membawa perubahan positif dalam pemikiran, tingkah laku dan sikap mereka.
Faedah terapi
Terapi ini boleh membantu seseorang individu, sama ada kanak-kanak, remaja mahupun individu dewasa secara keseluruhan daripada aspek badan, fikiran dan semangat. Melalui proses penghasilan dan bertindak balas kepada muzik, antara faedah yang boleh diperolehi adalah melibatkan:
Kebolehan untuk mengekspresikan emosi
Kebolehan untuk mengekspresikan kreativiti
Mengurangkan kesakitan dan kegelisahan
Membantu menjadikan seseorang individu lebih bertenang dan mendapat tidur lebih berkualiti
Menjadikan pengalaman tinggal di hospital lebih positif
Apa yang berlaku semasa terapi dijalankan?
Seseorang ahli terapi bertauliah akan menggunakan pelbagai kaedah dan cara untuk berhubung dengan seseorang individu kanak-kanak. Sesi ini akan memberikan tumpuan kepada kekuatan dan bidang yang diminati oleh kanak-kanak. Intervensi terapi ini mungkin termasuk:
Menyanyi sama ada dengan iringan instrumen secara langsung atau rakaman
Penulisan lirik lagu
Memainkan instrumen seperti hand percussion
Bercerita
Improvising (menghasilkan muzik)
Mendengar muzik secara langsung atau rakaman
Melukis atau bergerak mengikut alunan muzik
Mempelajari teknik ketenangan (relaxation) yang dibantu muzik, seperti ketenangan otot progresif atau pernafasan yang mendalam
Mengetuk dram
Menambah muzik pada instrumen suara
Menari atau bergerak dengan iringan muzik sama ada secara langsung atau rakaman
Terdapat sesetengah ibu bapa juga berminat untuk melihat atau mengambil bahagian dalam sesi terapi ini.
Apakah kesannya?
Kesan kepada fizikal
Bagi kanak-kanak dan individu remaja yang mengalami kanser atau penyakit lain, kesakitan adalah sesuatu perkara yang sukar untuk dibayangkan dan ditanggung – walau berapa banyak ubatan yang diberikan, malahan ada masa, ubatan yang diberikan mungkin tidak mencukupi untuk menutup kesakitan yang dirasai. Dengan mendengar dan bermain instrumen termasuk menulis lagu dan menyanyi, kesakitan mungkin dapat dikurangkan. Terapi ini dapat melegakan kesakitan dan mengurangkan tekanan serta kegelisahan kepada pesakit, yang membawa kepada perubahan fisiologi, seperti:
Memperbaiki pernafasan
Menjadi tekanan darah lebih rendah
Memperbaiki fungsi jantung
Memperbaiki kadar denyutan jantung
Memberikan kelegaan kepada otot yang tegang
Terapi ini dipercayai memberikan kesan signifikan terdapat keberkesanan rawatan pesakit, termasuk mengurangkan kesakitan, memberi ketenangan, memperbaiki kadar penafasan, dan menjadikan tahap kegelisahan pada tahap yang lebih rendah.
Kesan kepada mental
Berada di hospital, khususnya kepada kanak-kanak, boleh memberikan pengalaman yang menakutkan dan mengerikan, lebih-lebih lagi melibatkan masalah kesihatan berkaitan kanser atau penyakit lain yang serius. Salah satu impak berada di hospital adalah tekanan, yang dengan sendiri boleh mewujudkan masalah kesihatan.
Antara simptom tekanan yang biasa adalah:
Sakit kepala
Kesakitan atau ketegangan otot
Sakit dada
Kelesuan
Gangguan pada perut
Masalah tidur
Antara kesan tekanan kepada emosi:
Kegelisahan
Kurang rehat
Kurang motivasi untuk fokus
Perasaan bercampur baur
Kemarahan
Kemurungan atau kesedihan
Antara kesan tekanan kepada tingkah laku:
Bereaksi secara berlebihan atau sebaliknya
Kemarahan yang melampau
Mengasingkan diri dari sosial
Adakah ia berkesan?
Seperti seorang anak kecil atau bayi yang akan mula menari apabila mendengar lagu, setiap individu sama ada remaja, mahupun dewasa, akan mempunyai respons semula jadi kepada muzik. Perkara yang sama turut berlaku kepada individu yang mengalami masalah kesihatan seperti gangguan mental atau fizikal. Muzik mempunyai ‘kuasa ajaib’ untuk menghubungkan dan menjadikan setiap individu untuk memberikan tumpuannya. Dengan bimbingan ahli terapi yang bertauliah, ‘kuasa ajaib’ ini boleh digunakan untuk menghiburkan, meningkatkan, membuka minda dan membangkitkan deria untuk memenuhi pelbagai tujuan dan manfaat terapeutik.
Apakah manfaatnya?
Mengurangkan kegelisahan, tekanan
Walaupun mungkin terdapat pelbagai variasi pilihan muzik, tetapi secara amnya, ia memberikan kesan fisiologi langsung melalui sistem saraf autonomi. Ia berkeupayaan untuk mewujudkan respons motor dan emosi secara langsung, terutama apabila digabungkan dengan pergerakan dan rangsangan laluan deria yang berbeza.
Memperbaiki simptom autisme
Minat yang ditunjukkan oleh kebanyakan individu yang mengalami autisme terhadap muzik, memperlihatkan perubahan dalam komunikasi nonverbal dan lisan melalui terapi ini – yang kini dipercayai antara satu rawatan alternatif untuk merawat autisme. Kajian menunjukkan terapi ini dapat memperbaiki tingkah laku sosial, tumpuan, perhatian, komunikasi, kegelisahan dan tahap kewaspadaan diri pesakit autisme.
Memperbaiki kemurungan
Terapi ini adalah antara cara untuk merawat masalah kemurungan. Ia bukan sekadar membantu memperbaiki emosi, tetapi dapat memperbaiki kadar denyutan, pernafasan dan tekanan darah.
Mengatasi masalah penyakit Alzheimer dan Parkinson
Kajian menunjukkan terapi ini dapat meningkatkan fungsi kognitif dan kualiti hidup pesakit yang mengalami masalah kognitif, termasuk Parkinson dan Alzheimer. Muzik dipercayai dapat memberikan satu bentuk terapi yang menggalakkan pesakit-pesakit ini untuk membantu mereka mengatasi simptom dan menawarkan rangsang kepada deria mereka bersama sokongan sosial untuk sesi yang dijalankan secara berkumpulan.
Meningkatkan perkembangan janin
Ibu hamil yang sering mendedahkan muzik kepada bayi dalam kandungan menunjukkan bayi akan lebih bertindak balas terhadapnya selepas dilahirkan. Malah muzik juga dapat mempengaruhi tingkah laku positif neonatal.
Mengurangkan kesakitan
Terapi ini dapat merubah anggapan tentang kesakitan individu. Kajian menunjukkan, pesakit pediatrik yang telah menjalani pembedahan, pesakit yang mengidap penyakit kronik berkaitan masalah belakang, pesakit kanser – sebagai contoh – apabila dilakukan terapi ini, dapat mengurangkan tahap kesakitan pesakit.
Meningkatkan deria
Terapi ini akan mengguna pitch, irama dan perkataan, di mana semua itu adalah sebahagian daripada ucapan dan bahasa. Belajar bermain instrumen dapat membantu meningkatkan harga diri dan membantu pesakit untuk mengembangkan koordinasi gerakan jari dan tangan. Mendengarkan jenis muzik tertentu juga akan dapat membantu otak yang sedang berkembang. Terdapat penyelidikan yang menunjukkan bahawa terapi ini dapat menggalakkan pembelajaran yang membantu pertumbuhan pada bahagian pendengaran dan motor dalam otak.
Kemahiran menguruskan
Matlamat terapi ini adalah untuk membuat pesakit berasa lebih selesa dan membantu mereka untuk mengatasi pengalaman traumatik. Seperti yang dinyatakan Persatuan Terapi Muzik Amerika, “seorang ahli terapi mungkin boleh bercakap dengan pesakitnya, tetapi ahli terapi muzik yang bertauliah akan dapat menggunakan muzik menghubungkan pesakit secara aktif dengan keadaan psiko-emosi mereka pada kadar yang cepat.
Dengan kaedah yang tertentu, ahli terapi bertauliah ini akan dapat membantu pesakit memperbaiki keseimbangan emosi, mengurangkan kebimbangan dan kemurungan. Terapi ini akan dapat membantu kanak-kanak yang berdepan dengan kehilangan dan kesedihan serta membantu mempertingkatkan tahap komunikasi dan kemahiran sosial mereka.
Secara kesimpulannya, terapi muzik ini akan dapat membantu meningkatkan kebolehan dan kemahiran mengendalikan dan menguruskan kesakitan serta membantu mengurangkan sebarang tekanan berkaitan yang timbul kerana keperluan yang wujud untuk berada di hospital disebabkan faktor kesihatan.