Anak Introvert?  10 Info Mama Papa Perlu Tahu

Share

Anak pendiam dan kurang bergaul atau lebih tepat ialah introvert seringkali membuatkan mama dan papa risau. Lebih-lebih lagi bila sesi persekolahan tadika bakal bermula dalam tempoh kurang dari sebulan, bolehkah dia mendapat kawan?

 

Mama dan papa sudah tentu kita resah apabila anak kita dikategorikan ‘tidak pandai berkawan’. Mereka kelihatan seperti mahu menyertai rakan-rakan lain bermain tetapi seperti ada ‘sesuatu’ yang menghalang mereka berbuat demikian dan selesa bermain bersendirian atau dalam kumpulan kecil. Mari kita fahami situasi ini dan apa yang boleh dilakukan bagi membantu anak-anak ini lebih yakin dan ceria.

Kanak-kanak dalam kategori introvert ini lebih selesa berada dalam sebuah kumpulan yang kecil. Ini tidak bermakna mereka tidak pandai bergaul, sebaliknya mereka boleh berkawan seperti kanak-kanak lain. Cuma kanak-kanak introvert memerlukan lebih banyak masa untuk mendekati dan menyesuaikan dirinya dalam kelompok rakan-rakan barunya itu. Jadi mama dan papa perlu bersabar menghadapi minggu pertama persekolahannya nanti.

skil pergaulan Kanak-kanak berkembang pada pada usia tiga tahun di mana mereka sudah mula yakin dalam pergaulan dengan rakan sebaya dan orang dewasa.

KENALI SIFAT KANAK+KANAK INTROVERT

  • Kanak-kanak introvert selalu dilabekkan sebagai individu yang kurang memiliki kemahiran sosial walhal sifat ini wujud secara semula jadi.
  • Si introvert memerlukan masa yang tenang untuk memproses setiap tindakannya menerusi kaedah pemerhatian.
  • Si introvert memerlukan masa untuk sesi memanaskan (warm up).
  • Si introvert lazimnya memiliki tahap kebimbangan yang agak tinggi dalam diri.
  • Mereka juga lebih fokus dengan perasaan dan pemikiran peribadi berbanding interaksi sosial secara langsung.

10 PANDUAN UNTUK MAMA DAN PAPA

  • Jangan panik  dan naik angin bila melayan kerenah si introvert yang seolah-olah sukar untuk bergaul dan fobia bersosial.
  • Kawal reaksi anda kepadanya berkenaan sikap menyendirinya. Hal ini kerana si introvert akan menjadi lebih menyendiri.
  • Apabila mama dan papa menyuruh si manja menjadi individu yang bertentangan dengan keperibadiannya, hal ini secara tidak langsung ia menggambarkan bahawa anda tidak dapat menerima kekurangan diri mereka itu.
  • Mama dan papa kerap mendesak si introvert untuk menjadi individu yang lebih terbuka dengan menyuruh mereka menyertai acara sukan dan sebagainya. Taktik sebegini bukanlah cara yang bijak kerana keadaan bising dengan jeritan kanak-kanak yang seronok bermain itu akan menjadikan si introvert lebih tertekan.
  • Perlu difahami yang anak introvert mungkin lebih cemerlang sekiranya melibatkan diri dalam sukan-sukan bersifat individu seperti berenang atau karate.

  • Hormati pilihan anak misalnya dengan siapa dia berkawan kerana mereka selalunya gemar memilih beberapa orang teman rapat dan tidak gemar berkawan dengan seluruh rakan sekelasnya.
  • Apa yang harus diberi keutamaan oleh ibu bapa ialah memastikan si anak memiliki sebuah hubungan persahabatan yang positif. Itulah asas kepada sesebuah perhubungan yang akrab.
  • Ibu bapa perlu memahami bahawa si introvert memerlukan ruang agar privasinya dihormati. Bagi ibu bapa yang ekstrovert, mereka beranggapan bahawa segala-galanya perlu dilakukan bersama tetapi tidak bagi introvert. Mereka lebih bahagia jika diberi sedikit ruang untuk menyendiri.
  • Kanak-kanak introvert yang memiliki adik-beradik ekstrovert boleh merasai wujudnya ketidakserasian sewaktu berbual. Ibu bapa perlu menyediakan sedikit ruang (one-on-one time) untuk memberikan mereka lebih ketenangan.
  • Di tadika, ibu bapa perlu memaklumkan keadaan introvert si manja kepada guru agar dia boleh memberikan masa untuk si manja menyiapkan diri dengan suasana baharu. Cara ini sangat membantu.

INFO: Tahukan anda individu introvert sangat bijak menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka juga bijak dalam membuat perbandingan atau perbezaan. Selain itu mereka memiliki visual yang kreatif dan sangat ghairah untuk belajar dalam tempoh yang panjang.

 

 

Published by
Azma ML