Keibubapaan

Anak Jenis Sensitif, Selalu Jadi Mangsa Buli Di Sekolah, Mak Ayah Bantu Anak Bina Keyakinan Diri!

Share

Masalah anak kecil yang baru melangkah ke sekolah bukan isu yang baru. Ada sahaja halnya, ada kawan yang mengambil duit poket, ambil alat tulis dan bermacam lagi kisahnya yang membuatkan kita sebagai mak ayah rasa sakit hati.

Hal semacam ini tidak pernah berhenti biarpun pelbagai cara dilakukan. Jika ia berlaku pada anak kita, lebih-lebih lagi pada anak yang sensitif, Pn Maryam Jamadi , Pediatric Occupational Therapist dari BEYOND Home Therapy kongsikan informasi buat mak ayah.

Bantu beri sokongan pada anak kita tapi jangan sekali menyalahkan diri mereka.

ANAK JENIS SENSITIF MANGSA BULI
Bila ada kes buli londehkan seluar kawan baru-baru ini, Eva pun pernah kena buli juga dekat sekolah.

✅️ Duit kena ambil
✅️ Bekas pensil disorok sampai Eva menangis dalam kelas
✅️ Botol air pecah
✅️ Alat tulis lesap
✅️ Buku kena conteng

Dan paling ekstrim baru-baru ini, ada kawan Eva cucuk betul-betul tepi mata Eva guna pensil. Sikit lagi nak kena mata.
Memang buat saya naik darah, rasa nak pergi jumpa sahaja di pelaku itu. Tapi disebabkan cikgu dah ambil tindakan marah si pelaku dan dia pun menangis juga sambil minta maaf pada Eva.

Syukur sangat ada kawan-kawan lain yang tolong report cikgu. Jadi, saya kira selesai. Tak mahu lanjutkan kes lagi. Lagipun masa minggu pertama sekolah, suami saya pernah hubungi mak ayah kawan yang sama cucuk tepi mata Eva untuk kes ambil duit.

Yang tentang kes ambil duit pun memang saya menyirap juga, 3 hari berturut duit Eva kena ambil. Alhamdulillah dapat kerjasama mak ayah kawan Eva untuk tegur anaknya.

Eva memang jenis lembut, tak pandai marah dan berkasar. Puas dah suruh dia marah kawan yang buat & jadi garang sikit supaya orang lain tak ambil kesempatan.

Tapi itulah, nak cakap lebih pun mak dia pun sama macam itu juga. Dulu masa sekolah rendah pun bila ada kawan buat pun, saya jenis tak melawan cuma menangis sahaja.

Tapi memang bye-byelah orang itu, saya block terus tak mahu kawan lagi. Jangan main-main dengan orang jenis sensitif, ingatan kuat. Sekali buat hal, memang ingat sampai ke besar.

Mak ayah saya selalu cakap saya “gembeng” masa kecil (ke sampai besar eh?). Pengalaman saya berkerja dengan bermacam-macam personaliti anak, saya boleh simpulkan yang:

1. High need baby = Sensitive child
Bayi jenis “high need” akan membesar menjadi anak jenis sensitif.

2. Masalah anak jenis “high need” adalah mereka terlampau sensitif dengan persekitaran. Sentiasa perlukan perhatian, sentuhan dan kasih sayang dari mak atau ayah. Terlampau peka dengan perubahan. Contohnya anak yang melekat 24 jam dengan mak, bila ayahnya peluk waktu dia tidur pun dia boleh tahu.

3. Bila anak masuk fasa “toddler”, mereka peka dengan perubahan muka orang, emosi orang lain dan tanggapan orang terhadapnya.
Disebabkan mereka terlampau sensitif dan empati dengan perasaan orang lain. Mereka mudah bertolak ansur dengan kawan dan orang lain.

4. Bila di tadika atau sekolah, jika salah pilih kawan memang boleh jadi target buli. Sebab anak jenis ini tak suka ada konflik, kalau boleh nak semua orang sayang dia.

5. Bagi anak jenis sensitif, tak apalah diri berkorban untuk orang yang dia sayang.

6. Baik dan bertolak ansur sangat sampai orang senang ambil kesempatan.
Begitulah, saya cerita ini bukan berdasarkan kes Eva sahaja ya. Tetapi berdasarkan ratusan kes anak jenis sensitif yang saya pernah jumpa.

Sebagai “ex-sensitive child”, pengalaman saya membesar memang masa sekolah rendah selalu sangat menangis lagilah ada abang & kakak. Saya jenis sensitif hati tisu, kakak saya pula karakter “strong willed” memang kena buli ajelah.

Memang masa anak kecil, kita nampak anak jenis banyak menangis dan “gembeng” ini nampak lemah, nampak mudah dibuli-bulikan sahaja.

Tetapi percayalah, ia bukanlah menandakan anak kita lemah atau mudah putus asa. Tetapi ia menunjukkan anak pandai “buang” perasaan negatifnya.

Bila dah “buang”, baru rasa lega dan boleh teruskan hidup seperti tak ada apa yang berlaku. Tak kiralah anak perempuan atau lelaki. Sentiasa percaya yang setiap orang ada kelebihannya tersendiri.

Anggaplah sikap “gembeng” itu satu kelebihan yang Allah beri, berbanding kelemahan. Nasihat saya buat mak ayah lain yang ada anak jenis sensitif:

1. Percaya kebolehan anak.
2. Beri ruang dan masa untuk anak menangis, jangan marah anak menangis tak kiralah anak perempuan atau lelaki.
3. Sentiasa “highlight” kebolehan anak supaya keyakinan diri mereka meningkat.
4. Adil jika ada adik beradik lain, janganlah disebab anak jenis sensitif senang bertolak ansur kita sentiasa menangkan anak yang susah bertolak ansur.
5. Ajar anak cara selesaikan masalah dan konfik mengikut situasi.
6. Tolong jangan “victim blaming”, sentiasa tekankan yang orang lain yang salah sebab membuli dan bukannya anak salah menyebabkan diri dibuli.
7. “Backup” anak jika memang anak berada di pihak yang betul, jangan biarkan ada campur tangan ahli keluarga lain.
8. Sentiasa ambil tahu tentang perihal di sekolah dan kawan-kawan.

Saya rasa kalau cerita tentang ini memang boleh jadi satu buku sebab nak cerita tentang pengalaman sebagai anak jenis sensitif dalam masa yang sama ada anak jenis sensitif juga. Kerja dengan anak orang lain yang jenis sensitif juga.

Fuhh berapa banyak perkataan sensitif Ada mak ayah yang sekapal dengan saya?

Menarik: “Kita Dah La Cepat Nervous” Wany Hasrita Dedah Wajah Anak, Kongsi Pengalaman Pertama Kali Naik Flight Bawa Aishah

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
SRM