Setiap anak dilahirkan dengan memiliki sifat-sifat yang unik pada diri anak tersebut sahaja. Tidak ada dua anak yang sama dan serupa 100% walaupun seibu dan sebapa. Walau anak kembar seiras sekalipun, mereka memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat yang berbeza.
Bagi ibubapa yang mempunyai anak remaja ataupun sudah dewasa, tentu anda perasan ada sifat anak yang dibawa dari bayi sehingga ke remaja ataupun dewasa. Sifat ini bukanlah sifat yang tidak elok tetapi ibubapa perlu memahami sifat tersebut untuk memperelokkan anak dengan sifat semulajadi yang dimilikinya itu.
Ada anak yang ketika kecilnya langsung tidak boleh berenggang dengan ibu. Pantang tidak nampak ibu ataupun tidak bau ibu, maka air mata kasih pun berlinangan kerana mencari-cari si ibu. Apabila tidur, anak ini perlu merasa disentuh dan tersentuh oleh kulit ibu. Emosi anak cepat terganggu jika tiada kelibat ibu ataupun sentuhan ibu. Anak ini bukan mengada, anak ini bukan lembik, anak ini bukannya terlalu bergantung kepada ibu tetapi anak ini lahir sebagai seorang individu yang SANGAT SENSITIF atau ‘highly sensitive child’. Tahun pertama ataupun mungkin hingga tahun kedua usia anak yang ‘highly sensitive’ ini sangat meletihkan bagi si ibu kerana perlu ‘melayan’ anak yang mahu sentiasa didampingi ataupun ‘clingy’.
Sifat sensitif yang tinggi ini tidak semestinya akan menjadi sifat yang negatif dan memudaratkan anak.
Anak-anak yang sangat sensitif ini selalunya adalah anak yang cerdik, ‘articulate’ atau bijak berkata-kata, kreatif, berprinsip, berpendapat, mempunyai kecerdasan emosi dan empati yang tinggi dan suka membantu orang lain yang dalam kesusahan.
Kazimierz Dąbrowski, seorang psikologis pernah mengaitkan kanak-kanak yang pintar cerdas atau ‘gifted’ dengan sifat keterujaan melampau dari segi emosi atau ‘emotional overexcitability.’ Walaupun mereka sangat bijak dari segi intelektual, mereka memerlukan sokongan emosi yang jitu kerana mereka memiliki sifat sangat sensitif.
Semua ini boleh dibentuk sekiranya ibubapa berusaha untuk memahami sifat semulajadi anak, dan tidak membanding-bandingkan anak yang sudah tentunya berbeza-beza.
Ibubapa juga harus tahu bagaimana untuk menyesuaikan gaya keibubapaan dengan sifat yang dimiliki anak, harus tahu butang manakah pada diri anak yang perlu dipetik supaya anak dapat berfungsi dengan baik, harus tahu bagaimanakah caranya untuk berkomunikasi dan berhubung dengan anak yang sensitif ini agar anak rasa selamat, rasa diperlukan dan rasa bernilai.
Walau bagaimana sekalipun sifat anak yang mungkin memberi cabaran kepada kita, lihatlah dari sudut yang positif dan carilah yang positif agar sifat itu dapat disalurkan ke arah yang positif.
Selain menerangkan tentang ciri-ciri anak yang sangat sensitif dan bagaimana ibubapa dapat membantu anak ini, buku ini juga membincangkan tentang anak yang lebih selesa berada dalam dunianya yang tersendiri, anak yang suka melawan, anak yang tidak memberi perhatian dan anak yang aktif agresif. Anak-anak ini boleh dibantu sekiranya ibubapa berusaha untuk memahami dan membimbing dari usia bayi lagi.
Sumber: Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy