Bila berhadapan dengan anak yang kaki memberontak, ibu bapa perlu belajar bertenang dahulu dan belajar untuk lebih terbuka sebelum tanganinya. Anak-anak sikapnya berbeza. Ada yang mudah untuk mendengar kata dan ada yang agak susah sedikit. Namun apa pun kekurangannya pasti ada cara untuk mengatasinya.
Saya ibu kepada empat orang anak. Tiga perempuan dan seorang lelaki. Menjadi kelaziman setiap anak mempunyai perangai masing-masing namun apa yang memeningkan kepala adalah, anak perempuan kedua sering memberontak dan melawan cakap saya berbanding anak-anak yang lain. Anak-anak yang lain terpaksa mengalah jika dia mengamuk. Hampir semua perkara sudah saya lakukan untuk disiplinkannya tetapi tidak berjaya.
Julia – Keramat, Kuala Lumpur
Semua orang mempunyai karakter dan personaliti yang berbeza walaupun dilahirkan oleh ibu yang sama dan mempunyai bapa yang sama. Kadang kala personaliti itu jauh berbeza dengan ibu bapanya. Apatah lagi di kalangan adik-beradik. Mungkin ada sedikit persamaan antara satu sama lain. Namun, ia masih berbeza.
Ada karakter yang sangat kontra dengan adik-beradik yang lain. Anak perempuan puan yang kedua ini mempunyai personaliti yang sangat berbeza dengan adik-beradiknya yang lain. Sekiranya adik-beradik yang lain terpaksa mengalah, bermakna mereka mempunyai karakter yang hampir sama. Ini menunjukkan yang lain sudah dapat melihat perbezaan karakter adik-beradiknya. Justeru, puan perlu menekankan aspek memahami dan menerima perbezaan orang lain.
Bagi mengurangkan sikap anak suka memberontak, puan perlu terima kenyataan jika salah seorang anak anda ada yang panas baran (istilah untuk orang dewasa). Dengan cara ini, anda akan lebih terbuka dan kurang tertekan. Apabila kurang tekanan, maka anda dapat menangani masalah ini dengan berhikmah.
Jangan membanding-bandingkan anak-anak terutama di hadapan mereka. Ia boleh menyebabkan dia rendah diri, cemburu atau berdendam dengan adik-beradik yang menerima pujian. Perbandingan akan menjadikan dia lebih memberontak dan kuat melawan.
Sebagai ibu bapa, jadikanlah contoh terbaik. Kadang kala karakter memberontak itu dipelajari daripada kita. Mungkin anda tidak sedar ia berlaku ketika tidak sependapat dengan pasangan. Jadi, anda harus mengawal rasa amarah. Janganlah bergaduh dan bermasam muka di depan anak-anak.