Anak-anak kalau menangis atau sakit majoritinya akan mencari ibu untuk menenangkan mereka. Namun itu tak bermakna ayah tidak mempunyai kepentingan dalam mendapatkan kasih sayang dan juga menguruskan anak-anak.

Perkongsian yang dibuat oleh Puan Usawatun Hasanah, Konsultan Tangisan & Tidur Bayi Malaysia merungkai kenapa anak-anak lebih selesa dengan ibu berbanding para ayah. Dalam perkongsian tersebut juga Puan Uswatun memberikan tip untuk ayah turut melibatkan diri dalam urusan anak-anak sebagai usaha untuk hubungan yang lebih rapat dengan si kecil tersayang.

Ikuti perkongsian Puan Uswatun:

Persoalan pertama yang perlu di rungkai :
Kenapa majoriti anak lebih suka ibu berbanding ayah?

Anak telah hidup di dalam badan ibu selama 9 bulan. Ibu adalah individu paling anak kenal walau sebelum di lahirkan. Anak seawal 1 hari sudah boleh memaling muka ke arah span yang di rendam dengan susu ibu walau tidak pernah merasai susu ibu. Malah, boleh merangkak mencari kedudukan susu ibu bila di tiarapkan di atas badan ibu.

Hubungan bonding ibu-anak ini di lanjutkan dengan aktiviti breastfeeding. Ramai ibu BF menjadikan dada mereka bukan sahaja sebagai ‘tempat makan’ tetapi juga sebagai 1 stop center: makan, tempat bertenang, tempat tidur. Itulah kelebihan ibu.

Majoriti para ibu adalah pihak utama yang menguruskan kebajikan dan keperluan anak. Mereka menghabiskan lebih banyak masa bersama anak berbanding para bapa yang keluar mencari nafkah.

Kedua-dua sebab di atas bukanlah begitu pelik. Sifir mudahnya: anak lebih terikat dengan individu yang lebih terlibat langsung dalam hidup mereka: pandang, sentuh, bau dan dengar.

Maka, atas sebab yang sama, kita juga boleh melihat senario:
– Anak angkat yang sayangkan ibu angkat walau tidak di kandung dan di lahirkan oleh ibu angkatnya.

-Anak yang lebih rapat dengan nenek yang menjaganya berbanding ibu kandung yang pulang setiap hujung minggu akibat jarak tempat kerja.

-Anak yang terlebih manja dengan bibik.

Berbalik kepada topik asal, walaupun alasan di sebalik isu ini dapat di fahami, ia tetap buat sebahagian ayah rasa sedih, kurang yakin diri malah terpinggir dari anak. Dalam masa yang sama, ia buat si ibu mula stress dan penat bila perlu buat serba-serbi !

Berikut ialah 4 tips mudah untuk atasi hal ini.

IKLAN
  1. Biarkan Ayah Turun Padang

Hanya kerana ibu yang mengandungkan dan melahirkan anak, TIDAK bermakna ibu lebih tahu dan lebih berhak daripada ayah. Kata kuncinya: AYAH BUKAN PEMBANTU IBU. AYAH HARUS BERADA SAMA ARAS DENGAN IBU DALAM BAB PENJAGAAN ANAK.

Misalnya: Ibu susukan anak, ayah pula tenangkan dan tidurkan anak yang dah kenyang.

Ibu siapkan air mandi dan baju anak, ayah pula mandikan dan siapkan anak. Ganti giliran ini dengan adil.

Ibu masak makanan anak, ayah pula suapkan anak. Juga, ganti giliran ini dengan adil.

Ingat: adil BUKAN bermaksud sama bahagi. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Maka susunlah tugasan ikut kesesuaian tuntutan hidup masing-masing asalkan keseimbangan dapat di capai.

Saya pernah menulis artikel berdasarkan dokumentari Netflix mengenai bayi bagi kajian kasih sayang (love) dan pasukan saintis buktikan, anak manusia akan jatuh cinta dengan SESIAPA saja yang sering menyingsing lengan menguruskan hidupnya! ➡ https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3320053918038667&id=126226717421419

Anak kecil tidak ‘bias’ /double standard’ (berat sebelah), anak kecil tidak ‘racist’ dan anak kecil tidak menghukum

2. Ibu Usah Asyik Nak Selamatkan Anak dari Ayah !

Ini pun satu hal juga. Ramai ibu(atau kaum perempuan) sukar menahan diri dari segera ambil anak yang menangis dari si ayah (kaum lelaki). Paling bikin frust, bila si ayah masih kelihatan mahu mencuba mengawal situasi namun anaknya bagai ‘di rampas’ darinya 🤧

Bukankah ayah si bayi itu adalah pasangan hidup kita yang kita letak kepercayaan untuk habiskan hidup bersamanya?

Bukankah ayah si bayi adalah bapa kandung bayi?

Jadi kenapa sebahagian ibu bertindak seolah – olah: ‘awak tak tau cara diamkan dia macam saya’, ‘awak tak faham dia macam saya faham dia’, ‘awak tak pandai layan dia’…?

Seperti yang telah di nyatakan pada awal artikel, majoriti kaum ayah kurang dapat luangkan masa urus anak akibat tanggungjawab mencari nafkah dan ketiadaan payudara wanita sebagai 1 stop center: makan + tenang + tidur.

Maka tak hairan jika sebahagian bapa kurang skil. OLEH ITU, berilah masa untuk si ayah cuba kendalikan situasi dan cuba cari jalan untuk faham anak dan beli hati anak tak kisahlah berapa kuat anak menangis memanggil si ibu. Jika setiap kali anak BARU mula menjerit ibu dah datang selamatkan, bilakah ayah ada peluang untuk kawal anak ?

  1. Jangan Amalkan Kritik Ayah Depan Anak (teraplikasi juga pada kenyataan: Jangan Amalkan Kritik Pasangan Depan Anak)

” Salah ni cara awak ikat rambut anak kita ni..”
” Bukan macam tu la cara bancuh susu dia! Letak la air dulu baru letak susu..”
” Dia tak suka minum terus dari cawan lah. Bagi la straw kat dia macam saya selalu buat..”
” Tu bukan baju untuk pakai kat rumah la. Tu baju pakai kalau nak gi jalan je. Bukak balik ! ”
” Awak tak basuh punggung dia guna air paip ke? Main lap dengan wet wipes je? ”

….dan senarai perbalahan isu remeh temeh berterusan. Hal yang kecil ini jadi besar kerana ia berlaku hampir setiap hari dan anak menyaksikan setiap satu darinya. Ini bukan saja buat anak keliru malah mengukuhkan idea bahawa salah seorang dari ibu/ayahnya memang kurang boleh di harapkan.

Soal ‘who get the job done’ itu lebih utama dari ‘who did a better job’ selama mana ia tiada merisikokan isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan anak.

Parenting yang sempurna ialah bila dua orang manusia yang tidak sempurna berusaha sebagai satu pasukan untuk menjayakannya.

  1. Peruntukan ‘Me Time’ Antara Ayah – Anak

Sibuk bukan alasan. Bagi anak kecil: kualiti itu lebih besar dari kuantiti. Jika ayah hanya ada masa untuk melayan anak di awal pagi sebelum bergerak ke tempat kerja, maka jadikan waktu awal pagi, setiap hari sebagai masa istimewa ayah -anak. Peruntukan masa itu untuk benar- benar fokus dengan anak.

Jika ada mana-mana ibubapa berfikir berada bersama anak dari pagi hingga ke petang itu sudah memenuhi maksud meluangkan masa berkualiti dengan anak, mereka SILAP BESAR.

Berapa ramai dari kita yang benar-benar enjoy menguruskan anak? Yang benar-benar ambil masa: ‘be in the moment’ bila bersama anak?

Misalnya: Adakah kita rasa terpaksa bila kena main bersama anak? Jasad ada di depan anak namun riak muka, bahasa badan, intonasi suara dan fikiran sibuk memikir untuk segera pergi menguruskan hal lain? Rasa malas betul nak melayan permintaan anak yang mahu ke taman permainan. Jika anak bermain pun, si ibu atau ayah sibuk melayan telifon di tepi taman berbanding bermain bersama anak.

Adakah kita sering nak cepat-cepat bila memakaikan baju anak sepertinya ia cuma satu tugasan yang perlu di siapkan supaya kita dapat beralih ke tugasan lain? Kita marah-marah anak yang tak reti duduk diam untuk memakai lampin. Kita tak puji cantiknya rambut kerinting anak yang kita bantu sikatkan. Kita tak pandang mata anak dan puji betapa comelnya dia sambil membutang bajunya.

Tahukah anda menghabiskan masa bersama individu yang ‘tidak ada rasa’ untuk duduk bersama-sama dengan anak, sudah cukup untuk menaikkan kadar stress anak kecil seawal beberapa minit?

Anda pernah dengar tentang ‘still face experiment’? Ia satu eksperimen popular yang pertama kali dijalankan pada tahun 70an oleh seorang infant developmental psychologist, Dr Edward Tronick, yang membuktikan anak kecil sangat sensitif mengesan respon beremosi (emotional) VS respon tanpa emosi (non-emotional) yang dia dapatkan dari penjaganya.

Anak akan segera menjerit, menangis, bertantrum dan ‘buat perangai’ untuk menarik perhatian penjaga yang dia rasa ‘tidak berminat’ /tak beremosi bila bersamanya. Inilah antara asas kepada hakikat: anak yang bertantrum **salah satunya** akibat anak ingin menagih perhatian dan merasa tidak puas emosinya.

Sumber: Baby Language

Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama JovianNina. Akan bersiaran setiap Rabu pada jam 9 malam, dan ulangan setiap Ahad jam 9.30 pagi hanya di Astro Ria saluran 104 & 124.

Nak macam-macam info? Join channel Telegram Pa&Ma D Parents