Anak Kecil Menyusu Badan, Suami Patut Tolong Cara Ini Tanda Bagi Sokongan Pada Isteri

Share

Bila masih ada anak kecil menyusu badan, suami patut tolong sebagai cara tanda sokongan pada isteri. Wanita bila mempunyai anak, tiada lagi masa untuk diri sendiri melainkan jika urusan rumah tangga dan anak selesai. Tambah lagi yang bekerja. Sampai rumah, letak beg sekejap terus fikirkan apa nak buat untuk suami dan anak.

Lagi payah, anak cuma nak dengan si ibu. Balik-balik kerja dua-dua anak tarik ibu. Agak-agak macam mana seorang suami boleh mudahkan urusan isteri dalam situasi ini?

Ok, cuba ikut tip ni perlahan-lahan. Kalau dapat suami yang ada masa untuk memahami dunia mak-mak beranak kecil, untung-untung semua benda ni dah siap balik kerja nanti.

  1. Tolong buat air untuk isteri

Biasanya ibu menyusu selalunya akan rasa dahaga. Maka eloklah suami tolong sediakan minuman untuk isteri. Serius, isteri pasti akan hargai dan hilang penat balik kerja walau suami cuma bagi air kosong.

  1. Sediakan tempat bersandar

Memang tugas menyusukan bayi adalah tugas isteri tapi bukan bermaksud suami hanya tidur lena tak sedarkan diri pada waktu malam. Apa salahnya suami jadi tempat isteri bersandar dan berehat semasa menyusukan bayi. Selesa sikit isteri nak menyusukan bayi. Untung-untung cara ini boleh rapatkan hubungan suami isteri.

  1. Uruskan anak yang lain

Kalau dua-dua anak kecil itu masih menyusu badan, biarkan dia menyusu kejap. Nanti suami bolehlah tarik salah seorang dan buat main kejap. Tak adalah isteri rasa susah nak handle anak. Kena faham situasi ini, tak boleh tunggu arahan kaum mak-mak yang dah penat. Tapi kalau anak yang lain dah besar dan tak menyusu, suami tolonglah uruskan keperluan anak-anak macam mandikan atau bagi makan. Jangan biarkan isteri seorang yang menguruskan keperluan anak. Tahu tak kalau mak-mak menyusu ni stress, susunya pun boleh drop.

  1. Basuh peralatan pam susu

Kadang balik kerja dah penat, nak basuh peralatan pam susu pun tak sempat. Haaa… masa inilah suami boleh bantu. Suami boleh meringankan beban isteri dengan membersihkan segala peralatan tersebut. Jadi masa nak guna, isteri boleh terus ambil yang dah bersih. Mudah juga kerja mak-mak nak menyusu.

  1. Bantu buat kerja rumah

Jangan bebankan isteri dengan tugas-tugas rumah tangga. Suami juga boleh membantu isteri melakukan kerja-kerja membasuh pakaian, mengemas rumah, menyapu lantai, membasuh pinggan dan mungkin juga memasak. Isteri boleh tumpukan perhatian untuk menyusukan si kecil tanpa memikirkan pakaian yang belum tersidai.

  1. Suami boleh tolong tukarkan lampin

Andai anak menangis di tengah malam, suami jangan buat-buat tak dengar dan tidur ‘mati’. Suami sepatutnya bangun dulu untuk tengok sama ada lampin si kecil sudah basah atau hendak susu.

Jika lampin perlu ditukar, tak perlu kejutkan isteri sebaliknya anda boleh buat sendiri. Kemudian barulah kejutkan isteri untuk menyusukan bayi.

  1. Uruskan bayi selepas menyusu

Suami juga boleh membantu isteri menguruskan anak selepas disusukan seperti sendawakan anak (bayi baru lahir), mendukung, mandikan atau tidurkan bayi. Biasanya ibu akan rasa sedikit penat selepas menyusukan anak. Jadi isteri perlu berehat seketika.

  1. Jaga mood isteri

Tak mudah beranak kecil ni, tambah kalau isteri itu pun keluar bekerja. Penat emosi dan badan. Jadi suami kena tahu cara nak buat isteri gembira walau penat nak menyusu anak. Haaa… ini juga salah satu formula untuk menghasilkan susu yang banyak dan berkualiti. Jangan sakitkan hati isteri dan jangan cari pasal dan menyebabkan mood isteri terganggu. Sebolehnya mengalah dan cuba letakkan diri anda dalam situasi mak-mak.

  1. Balik awal

Mungkin banyak kerja tetapi kalau dah tahu ada anak kecil eloklah suami usahakan balik awal. Kalau nak ikutkan kerja yang tak siap, memang setiap hari kerja tak habis. Andai betul-betul tak boleh pulang awal, beritahu isteri awal-awal dan balik terus ambil alih tidurkan anak. Bagi isteri rehat kejap.

  1. Cedok ilmu mudahkan kaum ibu menyusu

Jangan nak harapkan kaum mak-mak 100% dalam urusan menyusu dan menjaga anak. Sekurang-kurangnya suami tahu sedikit sebanyak tentang menyusu dan sesekali bolehlah berkongsi tip dan bagi sokongan waktu isteri rasa air susu kurang.

Ok, nampak tak caranya? Sebenarnya tak susah pun nak ‘manjakan’ kaum isteri yang masih menyusukan anak kecil. Percayalah, suami yang membantu dan menyokong isteri menyusukan anak akan memberikan perubahan besar dalam hidup sebagai pasangan suami isteri walau zaman bercinta dah berlalu pergi.

Jom tonton cara suami ini tolong isterinya yang menyusu anak. Suami lain pun boleh contohi.

 

 

Published by
Wan Amy