Siapa kata anak kecil tak mengalami stres? Mungkin kita yang tidak perasan kerana kita terlalu sibuk menguruskan keluarga setiap hari.
Menurut Dr Putri Afzan Maria Zulkifli, hampir 1juta orang kanak-kanak di Malaysia mengalami stres. Beliau menjelaskan bahawa hal ini amat membimbangkan memandangkan 90% bahagian otak terbentuk dari 0 hingga 6 tahun. Manakala 10% lagi, yang melibatkan kognitif akan mula terbentuk pada umur 7 tahun, sehinggalah anak anda berumur 23 tahun.
Oleh itu, penting untuk kita mengesan tanda stres pada anak, terutamanya anak-anak di bawah usia 6 tahun.
Berikut adalah 7 tanda stres pada kanak-kanak yang tak patut dipandang ringan oleh ibu bapa yang dikongsikan oleh zuriat.my
Semenjak kebelakangan ini, adakah anak anda kerap menjerit ketakutan atau mengigau dalam tidur? Mimpi ngeri sekali-sekala adalah biasa. Tetapi jika terlalu kerap, ia mungkin tanda stres disebabkan suatu kejadian sehingga menyebabkan trauma seperti dibuli atau terlihat kemalangan.
Pujuk anak untuk berkongsi pengalaman tersebut dan bantu mereka untuk melupakan kejadian tersebut.
Salah satu tanda stres pada anak adalah dia akan melakukan tabiat baru yang tidak pernah dia buat sebelum ini. Antaranya ialah perbuatan berulang-ulang seperti mengigit kuku atau memintal-mintal rambut. Apabila anak mulakan tabiat buruk ini, jangan terus melenting.
Cuba cari waktu yang sesuai untuk mendalami hati anak. Perlahan-lahan tanyakan anak jika ada sesuatu yang mengganggu fikiran mereka. Ceritakan juga masalah anda pada zaman kanak-kanak contohnya pada mereka supaya mereka faham yang orang lain juga punya masalah. Dengan cara ini, akan akan lebih terbuka untuk bercerita.
Anak yang mengalami tekanan cenderung untuk mengasingkan diri dari ahli keluarga lain. Mereka tidak seceria dulu dan lebih suka bersendirian di dalam bilik. Mereka juga lebih sukar untuk menceritakan masalah yang dihadapi. Mereka mungkin mengalami konflik dengan ahli keluarga lain atau di sekolah.
Jangan biarkan anak bersendirian. Libatkan anak dalam setiap perbualan dan perbincangan keluarga. Ajak dia turut serta dalam aktiviti keluarga.
Sesetengah anak sulung mungkin akan mula bertindak kasar apabila mereka mendapat adik baru. Stres boleh menjadi punca kepada perangai agresif tersebut. Selain menggigit, menendang atau memukul, mereka juga lebih kerap bercakap dengan nada yang lebih nyaring, kurang sopan dan tidak mendengar cakap.
Kita sebagai ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik pada mulanya. Tenangkan anak dan jadi pendengar yang baik untuknya. Berikan ruang untuk anak meluahkan perasaan.
Rimas betul jika anak kita suka berkepit dengan kita tidak kira masa. Sebelum ini jika kita tinggalkan sekejap ok je. Tetapi sejak kebelakangan ini, ditinggalkan sekejap, terus merengek tak tentu pasal. Macam bayi kecil pula!
Namun, jangan terlalu cepat marahkan anak. Cuba cari puncanya kerana anak yang berkelakuan begini mungkin sedang mengalami penyesuaian diri pada persekitaran yang berubah.
Perubahan lain yang terjadi pada anak adalah mereka lebih cepat emosional. Walaupun dalam perkara kecil seperti tidak boleh mengikat tali kasut sudah boleh membuatkan anak naik angin. Anak juga lebih mudah putus asa.
Perkara ini berlaku apabila anak terlalu ingin mencapai kesempurnaan (perfectionist) dan gagal menyenangkan hati kita. Hal ini mungkin terjadi kerana mereka juga ingin menyerlah seperti adik-beradik yang lain atau kita sebagai ibu bapa terlalu mendesak anak. Bina keyakinan diri pada anak dan jangan terlalu mendesak melebihi kemampuan mereka.
Mungkin ada sesuatu yang mengganggu fikiran si anak sehingga menyebabkan pencapaiannya di sekolah merosot. Dia juga sukar untuk menumpukan perhatian ketika membuat kerja rumah. Barangkali ada masalah dengan rakan sekelas atau mungkin masalah itu datang daripada kita sendiri.
Jika masalah ini berlarutan, berbincanglah dengan anak. Capai satu penyelesaian.
ANAK-ANAK PERLUKAN PERHATIAN DAN KASIH SAYANG
Walaupun dunia anak-anak semakin canggih pada hari ini, tiada satu apa pun yang dapat menggantikan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Oleh itu, hargailah masa berkualiti bersama anak dan jangan hanya menumpukan kepada akademik atau prestasi pendidikan mereka sahaja.
Sebaliknya, didik mereka menjadi insan yang seimbang, terapkan nilai-nilai positif, dan beri masa untuk mereka menjadi kanak-kanak sebenar!