Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa kanak-kanak mempunyai banyak tenaga?
Mereka tidak seperti orang dewasa. Jalan sedikit sudah letih, lari sedikit mulalah mengah, baru lompat sedikit sudah rasa hendak pitam. Kanak-kanak tidak begitu.

DARI MANA DATANGNYA TENAGA KANAK-KANAK?

Pada usia sekitar 4 tahun kanak-kanak sudah dapat MENGAWAL FIZIKAL mereka dengan sendiri. Mereka tidak perlu lagi dipegang ataupun dipimpin oleh orang dewasa.

They are in control of their body.

Ini memberikan mereka rasa bebas untuk berdikari dan untuk bergerak menggunakan anggota badan sendiri. Perasaan bebas ini menjadikan kanak-kanak lebih aktif dan bertenaga.

Setiap pencapaian dan keupayaan fizikal yang baru akan menaikkan lagi semangat kanak-kanak untuk menguji dan mengembangkan kemampuan fizikal mereka. Motivasi intrinsik inilah yang memberikan mereka tenaga yang tidak putus.

Selain itu, kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Mereka juga mempunyai kecenderungan semulajadi yang tinggi untuk belajar dan memahami tentang apa yang dikesan oleh sensori mereka. Mereka akan meneroka segala sesuatu yang dilihat di persekitaran mereka. Otak kanak-kanak berkembang dengan pesat dan tenaga diperlukan untuk membantu PERKEMBANGAN OTAK mereka itu.

Kanak-kanak hidup dalam ‘PRESENT MOMENT’ ataupun dalam momen sekarang.
Mereka tidak terbawa-bawa kisah masa lalu yang penuh penyesalan, kesedihan ataupun kerisauan. Mereka juga tidak gundah gulana memikirkan tentang masa hadapan seperti orang dewasa.

Mengenangkan kesedihan masa lalu dan memikirkan kemungkinan pada masa hadapan menyebabkan banyak tenaga dibazirkan dengan tidak produktif. Apabila minda kita mundar mandir di antara masa lalu dan masa hadapan, ia akan menyebabkan badan kita letih dan tertekan.

Inilah masalah yang tiada pada kanak-kanak. Mereka gembira (sepatutnya) dengan kehidupan mereka pada momen yang sekarang.

Inilah yang memberikan mereka banyak tenaga untuk bergerak, bermain dan meneroka walaupun orang dewasa sudah pun longlai keletihan.

Kajian yang dibuat oleh Sebastien Ratel, Associate Professor dalam bidang Fisiologi Senaman Université Clermont Auvergne, Perancis mendapati bahawa kanak-kanak mempunyai tahap tenaga yang lebih tinggi berbanding atlit professional dewasa. Ini kerana tubuh kanak-kanak membina dan mengekalkan tenaga menggunakan KAEDAH METABOLISM yang lebih efisien daripada orang dewasa.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak juga mempunyai keupayaan untuk pulih dari keletihan lebih cepat daripada atlit profesional dewasa.

APA YANG PERLU DILAKUKAN OLEH IBU BAPA?

Sediakan ruang dan peluang untuk kanak-kanak menyalurkan tenaga mereka yang banyak itu dengan bergerak, bermain, memanjat, berguling, melompat dan melakukan aktiviti fizikal yang lain. Bawalah mereka keluar untuk meneroka persekitaran mereka dan menggunakan tenaga yang banyak itu. Tenaga yang terpendam dan tidak disalurkan pada tempat dan aktiviti yang sesuai boleh menimbulkan masalah kesihatan dan juga masalah tingkah laku.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy