Malang tidak berbau. Tanpa kita jangkakan berlaku perkara yang tidak diingini seperti terkena patukan ular ketika di rumah.
Jika anak atau sesiapa sahaja di sekeliling kita yang terkena patukan ular jangan cemas, cuba lakukan langkah ini dan ada pesanan penting dari Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan buat semua.
Ikuti perkongsian beliau.
“Ini ularnya, doktor!” Lelaki itu sua seekor ular sepanjang 4 kaki. Bertempiaran beberapa orang petugas perempuan Jabatan Kecemasan melarikan diri dari lelaki itu. Ada yang terpekik, ada yang melatah. Kecoh di buatnya.
“Dah mati dah ular ni,” ujar lelaki berkenaan. Terpamer senyuman dibibirnya. Mungkin geli hati melihat gelagat petugas-petugas yang ketakutan itu.
Itu ular, biarpun dah mati, reptilia tidak berkaki tu tetap menakutkan. Bagi sesetengah orang, melihat gambarnya sahaja sudah cukup untuk mendatangkan ngeri, apatah lagi jika ada fizikalnya di depan mata.
Saya ambil ular yang berada dalam plastik lutsinar itu dari tangan lelaki berkenaan. Sejujurnya, ada perasaan gentar dalam hati saya ketika ular itu bertukar tangan. Bimbang ia hidup semula. Namun bila sedar kepala ular berkenaan telah hancur ditetak, perasaan tu menlenyap.
“Anak saya macam mana, doktor?” Lelaki ini sebenarnya adalah bapa kepada seorang pesakit yang berada di zon merah. Anaknya yang berusia 3 tahun telah dipatuk ular ketika sedang tidur di lantai rumah dengan ibunya pada waktu malam.
Mereka hanya sedar apabila anaknya tiba-tiba terjaga dan menangis tak henti-henti. Tak boleh dipujuk. Mereka kemudiannya mendapati ada bekas patukan ular di tangan anaknya setelah memeriksa rapi. Paniklah jadinya.
Si ayah cuba beberapa kali menyedut keluar bisa dengan mulut. Tiada apa yang keluar. Setelah itu dia bingkas bangun dari katil dan pergi ambil tali untuk mengikat tali di lengan anaknya, sedikit di atas daripada bekas patukan. Kuat dia ikat.
Setelah itu dia terus memeriksa sekitar rumah untuk mencari keberadaan ular tu. Jumpa ular di dapur. Si ayah cuba tangkap ular itu, namun ia bukan kerja mudah memandangkan ular itu melawan dan asyik menyelinap ke sebalik kabinet dan barangan lain. Akhirnya di ayah berjaya membunuh ular itu, dan mereka segera ke hospital.
Sampai hospital daerah, doktor di sana terus merujuk kanak-kanak tu kepada hospital berpakar. Setelah buat apa yang perlu, kanak-kanak itu dihantar ke hospital berpakar menggunakan ambulans. Perjalanan ambil masa 2-3 jam.
Sementara itu doktor di hospital berpakar pula sibuk menghubungi Dr K (nama dirahsiakan). Di Malaysia ni, beliau pakar perunding yang mahir mengenal pasti ular dan cara pengurusan patukan ular. Nak pilih beri rawatan yang berkesan, kena tahu ular apa yang patuk mangsa.
Ularnya ada, tapi jenis ular tu sukar dikenal pasti kerana telah hancur kepalanya ditetak. Lumat. Antara cara kenal pasti ular adalah melalui bentuk kepala dan warna kulitnya. Kalau kepala dah tak ada bentuk, pengecaman jadi sukar.
“Kami tengah kenal pasti ular patuk anak encik, dan tengah cuba dapatkan antivenomnya jika perlu.” jawab saya.
Tak semua patukan ular perlukan antivenom, kerana tak semua ular berbisa. Malah kebanyakan ular tak berbisa. Antivenom hanya diperlukan untuk rawat ular berbisa, dan ia mestilah berdasarkan spesis ular yang mematuk. Contohnya: ular tedung, antivenom lain dari pada ular laut.
“Apa masalahnya? Kan saya dah bawa ularnya!” tegas si ayah. Kelat rasa mulut nak beritahu kenapa kami alami sedikit kesukaran nak kenal pasti jenis ular tu. Silap cakap nanti, mesti dia rasa seperti kami ni meletakkan kesalahan pada dia. Aduh!
Berita baiknya, akhirnya kami dapat kenal pasti ularnya. Berita buruknya, ia ular berbisa dan perlukan antivenom dan urusan mendapatkannya agak lambat.
Kenapa lambat? Banyak faktor, tak mahu saya tuding jari pada mana-mana pihak. Namun, ada perkara yang kita boleh belajar dari insiden ini.
Jika ada sesiapa dipatuk ular, tak usah beriya-iya nak bunuh ular untuk ditunjukkan pada doktor. Ambil gambar. Lebih mudah dan cepat. Ambil lah beberapa keping gambar berlainan sudut (jika boleh).
Tak perlu sedut bisa dengan mulut, tak perlu ikat dengan ketat anggota yang dipatuk. Hanya perlu ambil gambar ular, perlu bertenang, kurangkan pergerakan anggota yang dipatuk, dan segera ke hospital.
Jika nak bawa juga ular, biarlah orang lain yang uruskan untuk tangkap ular tu. Yang utama bawa mangsa ke hospital dahulu, ular boleh bawa datang kemudian. Pengecaman akan dibuat melalui gambar dahulu.
Kisah kali ini, tak berakhir dengan kisah gembira. Ada kemudaratan kekal pada mangsa. Kanak-kanak tu alami masalah saraf dan otak. Terlantar sahaja, tak sedarkan diri. Jari di tangan yang patuk ada yang alami nekrosis (tisu mati).
Mohon kalian doakan kesejahteraan pihak yang terlibat.
Menarik: Intan Najuwa Bakal Timang Anak Perempuan, Potong Kek Simbolik Umum Jantina Anak!
MUA Bellaz Sebak Ada Sebab Gigih Rakam Momen Dengan Anak, “Dulu Tak Ada Gambar Waktu Kecil
Burnout Jaga Anak Sendirian, Suami Tempat Wany Hasrita Mengadu!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI