Anak kencing malam, mak ayah boleh cuba tip ini untuk atasi. Kencing malam atau ‘enuresis’ adalah keadaan di mana kanak-kanak tidak dapat mengawal pundi kencing mereka dan secara tidak sengaja membuang air kecil semasa tidur.
Keadaan ini adalah perkara biasa dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya yang berumur di bawah lima tahun. Masalah kencing malam boleh terjadi kepada mana-mana kanak-kanak, tidak terkecuali anak anda. Apatah lagi jika anak anda sudah mula bersekolah. Namun, jika ia berlanjutan melebihi usia tersebut, ia mungkin memerlukan perhatian yang lebih khusus.
Jika anak anda kencing malam, apa yang perlu anda lakukan? Ketahui cara bagaimana untuk menangani masalah ini dengan mengikuti panduan di bawah.
1.Jika anak anda dalam lingkungan umur yang sesuai untuk bercerai lampin, mulakan cara didikan dengan tidak memberikan anak menyusu botol dua atau tiga jam sebelum waktu tidurnya. Elakkan juga memberi anak minuman berkafein atau berkarbonat pada waktu malam kerana kafein hanya akan membuatkan anak anda untuk kencing lebih kerap.
2.Latih si kecil untuk ke bilik air sebelum masuk tidur.
3.Pesan pada anak anda untuk bangun ke bilik air jika terasa ingin membuang air kecil. Jika anak anda takut untuk ke tandas seorang diri, pesan padanya untuk mengejutkan anda jika ingin membuang air kecil.
4.Bagi mengelakkan anak takut ke bilik air, sentiasa nyalakan lampu di tandas bagi memudahkannya jika terjaga daripada tidur.
5.Buat permulaan, kejutkan anak anda daripada tidur untuk pergi membuang air kecil selepas beberapa jam mereka tidur. Lama-kelamaan, mereka akan biasa dengan rutin tersebut.
6.Berikan pujian pada anak anda jika dia berjaya untuk tidak kencing malam. Namun, jika ada beberapa kali anak anda terkencing malam, jangan mudah menghukum atau memarahi mereka.
7.Letakkan plastik pada tilam supaya mudah untuk anda membersihkan tilam dan menjaga kebersihan tilam daripada terkena air kencing.
8.Ajar anak anda tentang kebersihan dengan memberitahu mengapa mereka tidak boleh kencing malam.
9.Luangkan masa bersama anak sebelum tidur. Berikan mereka pelukan dan ciuman sebelum tidur agar mereka rasa tenang.
10.Jika masalah kencing malam anak anda kronik, cuba kaedah hypnosis yang dikatakan berkesan untuk menangani masalah kencing malam.
11.Buat jadual tentang kencing malam anak anda. Ingat! Jadual yang dibuat bukan untuk memalukannya tetapi untuk memberi semangat kepadanya. Sebagai contoh, anda boleh tandakan bintang pada hari yang dia tidak kencing malam. Hal ini akan membantunya bersemangat untuk berusaha tidak kencing malam.
Sebagai ibu bapa, anda perlu banyak bersabar. Sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi masalah ini. Anggap ia sebagai satu peluang untuk anda merapatkan diri dengan anak anda. Selain itu, anda juga perlu meniupkan semangat kepada anak untuk berhenti daripada kencing malam.
Beritahu anak anda masalah kencing malam turut dihadapi oleh kanak-kanak lain. Terangkan kepadanya bagaimana masalah itu berlaku dan cara mencegahnya. Jika semua usaha tidak berhasil, mintalah bantuan doktor. Doktor akan memberikan ubat bagi menangani masalah kencing malam.
Sumber: Hello Doktor
Baca artikel lain juga: Jangan Marah Bila Anak Kencing Malam, Ini Tip Atasinya!
Jangan Hukum Anak Kencing Malam! Kesannya Boleh Ganggu Emosi & Anak Stres
Ini 8 Punca Anak Kerap Kencing Malam! Ada Yang Disebabkan Penyakit Bahaya
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my