Secara umumnya, pada peringkat awal usia, kanak-kanak lebih suka bermain sendirian tanpa diganggu oleh orang lain. Barang kepunyaan miliknya tidak boleh diganggu.

Sekiranya ada orang lain mengambilnya, dia akan menangis atau merampas kembali mainan kepunyaan. Oleh itu orang dewasa tidak perlu bimbang kerana hal ini dianggap biasa kepada kanak-kanak lingkungan usia dua hingga tiga tahun.

Namun terdapat beberapa cara untuk mendidik kanak-kanak yang bersikap sedemikian. Kanak-kanak kecil mudah meniru orang di sekelilingnya. Tunjukkan contoh positif berkongsi.

Pastikan ada penggunaan perkataan “kongsi” setiap kali bertukar barangannya dengan orang lain.

Dengan cara ini, diharap anak anda dapat belajar bahawa berkongsi itu adalah aktiviti yang menyeronokkan. Pujian yang positif hendaklah diberikan semasa berinteraksi. Secara tidak langsung, anak anda berupaya untuk menguasai kemahiran berkongsi alatan mainan dan barangan lain.

Memang benar kanak-kanak suka bersama dalam kumpulan tetapi dia tidak suka bekerjasama antara satu sama lain. Pastikan terdapat banyak pilihan untuk menghindarkan masalah perebutan alatan. Selain itu, beri penekanan setiap alat mainan perlu dikongsi terutamanya mainan yang menjadi terlalu penting kepada kanak-kanak. Setiap mainan yang digunakan perlu dikembalikan mengikut masa yang ditetapkan.

Namun,  kanak-kanak di bawah usia empat tahun sememangnya tidak memahami konsep masa. Menyuruh si kecil menggunakan alat mainan atau meminjamkannya untuk jangka masa sekejap, tidak memberi apa-apa makna. Dia tidak memahami langsung erti sebentar waktu. Dicadangkan gunakan jam waktu atau isyarat yang membolehkan dia faham bahawa alat yang dipinjam perlu dikembalikan mengikut masa yang ditetapkan.

Paling penting, sama ada di taska atau tadika perlu ada banyak alatan mainan untuk setiap kanak-kanak bermain. Kekurangan alatan mainan akan menjadi masalah perkongsian mainan. Kanak-kanak akan berkelakuan bertolak ansur apabila mempunyai banyak pilihan dan bebas memilih.

Tindakan tegas, disiplin secara membuta tuli dan menyakitkan perasaan sebenarnya akan menimbulkan lebih banyak masalah. Oleh itu, gunakan pendekatan bimbingan dengan penuh kesabaran untuk menggalakkan kanak-kanak menjadikan amalan berkongsi menjadi tabiat yang memberi kepuasan kepada dirinya.

Tip aktiviti perkongsian alatan secara kumpulan

  1. Bermain tanah liat
  2. Mewarna
  3. Permainan blok
  4. Mengira buah-buahan
  5. Cari barang tersembunyi

Tinggalkan Komen