Bagi kanak-kanak yang selalu mengalami selesema dan kerap bersin di waktu pagi, ini bermakna mereka mengalami gejala penyakit yang dikenali sebagai allergic rhinitis.
Dalam keadaan ini, kanak-kanak selalunya akan mengalami hidung tersumbat dan kerap bersin terutamanya di waktu pagi dan ianya akan berkurangan di sebelah tengah hari atau petang.
Anak seawal usia 6 bulan sudah boleh mengalami keadaan ini. Penyakit-penyakit seperti asma, ekzema dan allergic rhinitis ini selalunya lebih kerap berlaku jika terdapat sejarah keluarga mengalami masalah yang sama iaitu faktor keturunan.
Tidak seperti jangkitan selesema atau batuk biasa, allergic rhinitis ini tidak berjangkit melalui cecair badan. Penyakit ini selalunya akan menjadi ketara oleh beberapa faktor seperti perubahan cuaca, perubahan suhu iaitu dari tempat panas ke tempat sejuk boleh menyebabkan hidung tersumbat dan berair.
Habuk adalah salah satu faktor penting . Bulu haiwan dan sesetengah jenis makanan adalah antara penyebab timbulnya gejala penyakit ini. Penyakit ini susah untuk sembuh. Doktor selalunya akan hanya memberi ubat untuk mengurangkan simptom dan gejalanya.
Ibu bapa seharusnya memainkan peranan untuk mengurangkan gejala dan simptom penyakit anak. Pastikan tiada habuk atau kurangkan habuk di persekitaran terutamanya bilik tidur. Sebaik baiknya elakkan hamparan permaidani. Cadar mesti ditukar sekerap mungkin.
Jauhkan anak daripada bermain dengan binatang peliharaan dan perlu juga membuat pemerhatian makanan yang diambil si manja bagi memastikan makanan yang diambil tidak boleh menyebabkan alergi ini. Pemeriksaan secara rapi harus dilakukan dengan membawa anak berjumpa pakar telinga, hidung dan mulut (ENT).
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Demam, Selesema, Batuk & Dah Jumpa Doktor Tapi Tak Sembuh? PU Amin Kongsi Ayat Bacaan Untuk Ubatkan Pesakit
Apabila bayi anda sakit atau tidak sihat disebabkan oleh masalah kesihatan seperti demam atau selesema, pastinya ia akan menerbitkan rasa bimbang dan risau di hati anda. Bagi ibu bapa baru, mesti pernah timbul persoalan di fikiran anda, apakah yang dikatakan suhu normal bayi?
Bagaimana untuk mengetahui bahawa sama ada bayi anda demam atau tidak? Artikel ini akan membantu anda untuk mengetahui perihal mengenai suhu normal bayi.
Adakah suhu normal bayi dan dewasa sama bagi setiap peringkat usia?
Badan anda akan mempunyai keupayaan untuk mengawal perubahan suhu selaras dengan peningkatan usia. Secara umumnya, individu dewasa yang lebih berusia akan berdepan kesukaran dan kesulitan untuk mengekalkan haba, malah mereka juga lebih cenderung untuk mempunyai suhu badan yang lebih rendah.
Suhu normal individu dewasa
Suhu badan normal bagi individu dewasa yang diambil secara oral adalah sekitar 36.4 ℃ ke 37.5 ℃, bergantung kepada kaedah pengukuran, kerana kaedah yang berbeza akan memberikan angka yang sedikit berbeza.
Suhu normal kanak-kanak
Suhu badan normal bagi kanak-kanak yang berusia antara 3 hingga 10 tahun adalah pada 35.5 ℃ ke 37.5 ℃ apabila diambil secara oral. Kanak-kanak cenderung untuk mempunyai suhu badan normal yang sama dengan seorang individu dewasa.
Ada masanya, seorang bayi dan kanak-kanak akan mempunyai suhu badan yang lebih tinggi daripada seorang individu dewasa bagi pengambilan suhu melalui bacaan ketiak dan telinga.
Suhu normal bayi yang berusia 0 hingga 2 tahun adalah sekitar 36.6 ℃ hingga 38 ℃ apabila diambil secara rektum. Suhu normal bayi akan meningkat sedikit apabila bayi sedang melalui proses pertumbuhan gigi. Secara puratanya suhu normal bayi yang baru lahir adalah sekitar 37.5 ℃.
Suhu badan bayi adalah lebih tinggi berbanding individu dewasa atau kanak-kanak kerana mereka mempunyai permukaan badan yang lebih besar berbanding dengan berat badan mereka. Badan mereka juga lebih aktif secara metabolik, yang mana akan menghasilkan lebih banyak haba.
Badan bayi tidak mengawal selia suhu badan seperti mana yang dilakukan badan individu dewasa. Bayi akan kurang berpeluh walaupun dalam cuaca atau keadaan panas, ini bermakna badan mereka menyimpan lebih banyak haba.
Ini sekali gus bermakna situasi adalah lebih sukar untuk mereka menyejukkan badan sekiranya mereka mengalami demam.
Mengenal pasti julat atau bacaan normal badan menjadikannya lebih mudah untuk memahami dan mengetahui kebarangkalian anda demam.
Apa yang dimaksudkan suhu panas bayi?
Menurut Ketua Pegawai Perubatan Residen dan Pediatrik di Royal Children’s Hospital di Melbourne, Dr Daniel Golshevsky, seorang bayi yang berada di bawah usia 3 bulan dengan suhu 38 ℃ dianggap mempunyai demam.
Manakala suhu 38.5 ℃ pula adalah tahap bacaan bagi bayi berusia lebih 3 bulan dan kanak-kanak untuk dianggap sebagai demam.
Sejarah kesihatan, sebarang tanda dan simptom seorang bayi merupakan antara faktor yang boleh menentukan sama ada suhu badan tinggi yang dialaminya merupakan satu perkara yang harus dibimbangkan atau tidak.
Ini kerana jelas Golshevsky lagi, ada kalanya bayi berkemungkinan akan mempunyai suhu badan yang tinggi disebabkan pakaian yang dipakai secara berlebihan, iaitu banyak lapisan atau mungkin dibaluti selimut.
Suhu badan bayi
Secara purata suhu normal bayi dan kanak-kanak adalah antara 36.4 ℃, tetapi ia mungkin berbeza sedikit bagi setiap bayi mahupun kanak-kanak. Seorang bayi atau kanak-kanak akan dianggap sebagai demam apabila mengalami suhu badan pada 38 ℃ atau lebih tinggi.
Bayi anda mungkin mengalami demam sekiranya:
- Anda merasai sentuhan panas berbanding biasa, pada dahi, belakang badan mahupun perut bayi anda
- Merasai peluh atau kelembapan pada bayi anda
- Pipi bayi anda kelihatan kemerahan
- Jika anda merasakan bayi anda mungkin mengalami demam, perkara terbaik yang boleh anda lakukan adalah dengan memeriksa suhu badan mereka dengan termometer.
Bagaimana untuk mengambil suhu badan bayi?
Secara idealnya, anda memerlukan termometer digital untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat dan cepat.
Cara untuk mengambil suhu badan bayi anda:
- Pegang dan letakkan bayi anda dengan cara yang selesa di lutut anda dan letakkan termometer pada bahagian ketiak mereka – sentiasa menggunakan termometer pada bahagian ketiak bagi anak anda yang berada di bawah usia lima tahun.
- Dengan cara yang perlahan tetapi kukuh, cuba untuk menahan lengan mereka kepada badan untuk memastikan termometer berada pada tempat yang sama – ia bergantung kepada arahan pengeluar termometer – tetapi kebiasaannya ia adalah sekitar 15 saat dan terdapat termometer yang boleh memberikan bacaan kurang daripada 15 saat, dan beberapa termometer digital akan menghasilkan bunyi apabila sudah selesai membuat bacaan.
- Suhu yang terpapar pada termometer akan menunjukkan bacaan suhu badan anak anda.
Bagaimana memastikan bacaan adalah tepat?
Sekiranya anda menggunakan termometer digital pada bahagian ketiak anak anda dan mengikut arahan pengeluar dengan teliti, anda kebiasaannya akan mendapat bacaan yang tepat.
Namun terdapat beberapa perkara yang turut boleh mengubah bacaan, antara beberapa contoh keadaan atau perkara yang boleh mengubahnya adalah seperti:
- Anak anda dibaluti dengan selimut
- Berada di dalam bilik yang sangat panas
- Anak anda sangat aktif
- Anak anda memeluk botol air panas
- Memakai banyak lapisan pakaian
- Sedang mandi
Jika perkara yang disenaraikan di atas berlaku, sila biarkan mereka untuk menyejukkan badan selama beberapa minit, tetapi elakkan untuk membiarkan mereka menjadi sejuk atau menggigil, kemudian ambil semula suhu badan mereka untuk melihat sekiranya terdapat perubahan.
Bagi anak yang asyik demam, batuk, sakit-sakit dan susah nak sembuh, PU Amin kongsikan ayat bacaan yang boleh meredakan kesakitan.
Kredit: Hello Doktor, PU Amin
Mama yang baru lepas berpantang, mama yang ada anak kecil jom join Bengkel Refresh & Recharge dan daftar di SINI segera
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Radang Payudara Boleh Ganggu Misi Penyusuan 2 Tahun. Kaunselor Laktasi Kongsi 17 Tips Untuk Elak
Sejak semalam bahagian puting menjadi sakit dan pedih. Bayi juga meragam seperti tidak puas menyusu. Pengeluaran susu juga tidak lancar. Ibu ini mungkin mengalami mastitis. Tapi tahukah anda jika tidak ditangani dengan baik ia boleh menjadi lebih teruk iaitu radang payudara?
Menurut kaunselor laktasi, Puan Norsyamlina Che Abdul Rahim, saluran susu tersumbat dan radang payudara (mastitis) adalah dua keadaan masalah payudara yang berlainan. Kadang-kadang susu boleh tersumbat pada sebahagian payudara sahaja.
Jika susu yang tersumbat ini tidak dikeluarkan pada bahagian payudara tersebut, ia akan menyebabkan keradangan (inflammation) tisu payudara atau radang payudara tanpa jangkitan (non-infective mastitis).
Pada peringkat awal tiada jangkitan bakteria berlaku pada payudara. Tetapi apabila payudara dijangkiti bakteria, ia menjadi radang payudara dengan jangkitan (infective mastitis).
Bagi mengelakkan masalah radang payudara ini dan kaunselor laktasi ini mencadangkan 17 perkara yang mama boleh lakukan.
- Ibu perlu mengeluarkan susu dengan lebih kerap. Cara terbaik ialah dengan meneruskan penyusuan dengan kerap.
- Ibu perlu memastikan bayi melekap dengan betul semasa penyusuan. Mempelbagaikan posisi penyusuan boleh membantu bayi melekap dengan lebih baik.
- Jika payudara terlalu besar, ibu perlu mengangkat dan mengampu payudara semasa menyusu agar pengaliran susu lancar di bahagian bawah payudara.
- Ibu perlu memberi bayu menyusu pada payudara yang terlibat (jika tidak terlalus akit) terlebih dahulu sehingga tercetusnya pancutan (let down) dan kemudian tukar kepada payudara sebelah lagi.
- Jika terlalu sakit untuk menyusu, perah sama ada menggunakan pam atau tangan bagi mengosongkan payudara.
- Lakukan urutan lembut (breast compression) di bahagian yang tersumbat ke arah puting sebelum dan sewaktu bayi menyusu.
- Tuam payudara yang terlibat dengan tuala suam (warm-pressed) sebelum menyusu untuk merangsang pengaliran susu ibu.
- Ibu juga boleh mandi dengan air suam dan melakukan urutan payudara secara lembut dengan menggunakan sikat atau genggaman tangan semasa mandi. Urutan perlulah mengarah ke bahagian puting. Urutan akan membantu payudara untuk dikosongkan dengan lebih maksimum dan mengurangkan simptom saluran tersumbat.
- Sepanjang mengalami radang susu dan saluran tersumbat, usahakan supaya payudara tidak ditekan kuat atau terhimpit.
- Ibu perlu memastikan coli yang dipakai tidak ketat.
- Ibu perlu elak daripada tidur dalam posisi meniarap yang boleh menyebabkan payudara ditindih.
- Pastikan tali penyokong penggendong bayi tidak terlalu menekan payudara.
- Tekanan oleh ibu jari pada payudara atau kecederaan pada payudara boleh menyebabkan saluran tersumbat.
- Lakukan pemerahan susu ibu jika bayi tidak mahu menyusu dengan kerap kerana jika menyusu dengan kerap kerana jika susu tidak dikeluarkan, ketulan akan menjadi lebih menyakitkan dan boleh menyebabkan bernanah.
- Setiap kali selepas penyusuan, ibu perlu memerah (sama ada dengan pam atau tangan) untuk membantu mengosongkan payudara dengan lebih efektif dan seterusnya menggalakkan penyembuhan.
- Lakukan tuaman sejuk antara sesi penyusuan (iaitu semasa bayi tidak menyusu) untuk mengurangkan kesakitan pada payudara.
- Ibu perlu mendapat rehat yang cukup dan mengambil air dengan mencukupi untuk proses penyembuhan yang lebih optimum.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Batuk Pneumonia Bunyinya ‘Dalam’ & Kerap Waktu Malam Ke Pagi. Beza Dengan Batuk Biasa
Adakah anak kerap diserang batuk, demam dan selesema? Apabila ini berlaku, sudah tentu si kecil kurang selera makan dan enggan minum susu. Ada kalanya susu yang diminum tersedak disebabkan batuk.
Ia mungkin situasi biasa, tetapi jika masalah kesihatan itu berlarutan lebih tiga hari, cepatlah bertindak! Ini kerana jika dibiarkan, paru-paru anak anda mungkin dijangkiti virus yang mengakibatkan anak anda mengalami pneumonia.
Secara umumnya jangkitan paru-paru adalah berkaitan penyakit pneumonia. Pneumonia merujuk kepada jangkitan kuman pada paru-paru yang membuatkan seseorang itu sukar bernafas. Ia berlaku disebabkan saluran udara pada paru-paru dipenuhi nanah dan lendir yang menyebabkan sistem pernafasan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan mengakibatkan oksigen tidak sampai ke dalam darah dan sel tubuh. Ini akan menyebabkan kanak-kanak mengalami kekurangan oksigen yang menyebabkan dia sukar bernafas yang membahayakan nyawa si manja anda.
Pneumonia terjadi kerana jangkitan bakteria, virus, fungus dan parasit. Secara umum antara bakteria yang menyebabkan pneumonia adalah ‘Streptococcus pneumoniae’, ‘Haemophilus influenzae’, ‘Chlamydia trachomatis’,’Mycoplasma pneumoniae’ dan ‘Legionella pneumophila’. Jangkitan kuman atau virus yang menyebabkan jangkitan di hidung , batuk, selsema dan berterusan pada paru-paru.
Pencegahan Awal
Pneumonia adalah masalah jangkitan paru-paru yang sangat biasa di kalangan kanak-kanak Malaysia. Jangkitan paru-paru kerap dialami oleh kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun.
Kira-kira 60 peratus punca utama kebanyakan kanak-kanak dimasukkan ke wad di Malaysia. Pada awalnya kanak-kanak akan mengalami keradangan paru-paru (bronkitis) sebelum bertukar menjadi lebih kronik iaitu pneumonia. Pneumonia mungkin sukar dikesan pada kanak-kanak yang aktif, tetapi secara umum boleh dikesan menerusi perubahan sifat kanak-kanak itu iaitu meragam, tidak mahu minum susu dan tidak aktif.
Bagi kanak-kanak yang aktif, mungkin sedikit sukar mengesan gejala ini tetapi jika dia batuk berpanjangan selama tiga hari, lesu, muntah, nafas berbunyi dan mengalami kekurangan air (dehidrasi) segera dapatkan pemeriksaan lanjut dengan pegawai perubatan berdekatan. ibu bapa sepatutnya menyedari risiko pneumonia.
Segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kanak-kanak yang berisiko mendapat penyakit ini ialah mereka yang dijaga oleh pengasuh di taska, ‘day care’ iaitu dalam kelompok yang ramai dan keluarga yang besar dengan rumah yang sempit.
Pada masa yang sama persekitaran dibiarkan tidak bersih dan perkongsian bekas makanan dan minuman yang menyebabkan penyakit disebar dengan mudah.
Dalam pada itu, bagi bayi yang berusia satu hingga tiga bulan sepatutnya sihat dan tidak ada sebab bayi ini mengalami demam. Namun jika tetap mengalami demam, bayi harus menjalani pemeriksaan imunisasinya.
Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil. Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen.
Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital iaitu pernafasan laju, sukar untuk bernafas , bibir menjadi biru, batuk berdarah dan tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing. Jangkitan kuman ini boleh membahayakan nyawa.
Simptom
1. Demam panas
2. Batuk dengan atau tanpa kahak
3. Sakit dada
4. Tiada selera makan, tidak mahu makan
5. Rasa tidak sihat, sering merengek
6. Pernafasan laju atau susah bernafas
7. Muntah atau cirit-birit
Rawatan
Kanak-kanak yang mengalami jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor. Bagaimanapun, jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.
Dalam pada itu, pencegahan awal untuk mengelak jangkitan kuman boleh dilakukan seperti amalan kebersihan diri, persekitaran yang baik dan meneruskan penyusuan susu ibu. Alternatif lain pencegahan awal ibu bapa boleh mendapatkan vaksin melalui hospital swasta untuk meningkatkan imun anak anda.
Vaksin seperti vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles), Vaksin influenza dan Vaksin pneumococcal merupakan pengambilan imunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru.
♦ Beza batuk biasa dan batuk pneumonia
Batuk biasa Bunyinya ‘tidak dalam’ berbanding batuk akibat pneumonia.
♦ Batuk pneumonia
Bunyinya ‘dalam’ dan kerap terjadi waktu malam sehingga ke pagi. Kahak berhimpun kerana lebih kerap batuk di sebelah malam.
5 Tip Mudah
1. Mesti ada termometer untuk mengukur suhu badan anak.
2. Dapatkan puting botol susu jenis Y-Cut iaitu susu keluar apabila dihisap oleh anak kecil. Jenis ini membantu mengelak anak kecil tersedak susu.
3. Pastikan persekitaran taska bersih dan tidak terlalu ramai kanak-kanak.
4. Dapatkan rawatan doktor jika demam, selesema dan batuk tidak pulih selepas tiga hari.
5. Teruskan penyusuan susu ibu untuk meningkatkan antibodinya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI