Anak ada masalah cacing! Macam mana tu? Selalu kerap kita dengar anak ada masalah cacing tetapi apakah petandanya?
Menurut perkongsian Dr Mazliana Mazlan, petanda anak yang mengalami kecacingan adalah selalu gatal dan kerap menggaru di bahagian belakang terutama dubur. Apa nak buat? Ini tip untuk mak ayah.
Anak selalu garu bahagian belakang, macam cacing je. Bila anak makin membesar, dah mula pandai kutip sesuatu nak masukkan ke dalam mulut. Bila anak mula makan, dah pandai makan macam-macam hidangan.
Bila anak kerap ambil makan minum dari luar, dengan penjagaan kebersihan yang kita tak pasti.
Untuk anak yang kerap kecacingan, atau nak elak anak dari kecacingan, korang boleh selalu bagi anak 8 makanan ni. Semuanya makanan segar dan senang nak dapat.
Kecacingan boleh berlaku, kadang tanpa kita sedar pun kan. Tiba-tiba je anak asyik garu bahagian dubur.
Antara simptom kecacingan;
– Gatal bahagian dubur
– Anak kerap tak sihat
– Kerap muntah cirit
– Asyik kembung perut
– Tak lalu makan
– Susut berat badan
– Keluar cacing bersama najis
Korang boleh bawa anak jumpa doktor, dalam masa yang sama, perbanyakkan bagi anak makanan macam ni ok.
Dan, tak perlu takut bawak anak grounding ye. Grounding penting untuk kuatkan imun anak. Banyakkan makanan macam ni untuk anak, cacing pun fikir panjang nak dekat dengan anak kita.
Ads
1. Betik dan bijinya. Ada kandungan papain dan carpain, bersifat antiparasit. Cara mudah untuk anak makan, kisar betik dengan bijinya sekali, tambah air dan madu. Boleh minum terus, atau jadikan aiskrim.
2. Bawang putih. Ada allicin, ini ejen penting untuk bunuh parasit. Banyakkan bawang putih dalam makanan anak, buat sup paling senang.
3. Biji labu. Ada cucurbitacin dalam ni, bantu lemahkan beberapa jenis parasit. Untuk anak yang dah pandai mengunyah lebih sesuai. Bagi je diorang makan terus, atau masuk dalam yogurt pun sedap, tambah madu sikit.
Ads
4. Delima. Ada kandungan punicine, sangat beracun untuk parasit. Bagi anak makan sekali dengan bijinya. Sesuai untuk anak yang dah pandai mengunyah. Kalau baby, boleh picitkan jus je terus masuk mulut anak.
5. Kelapa, isinya, airnya, minyaknya. Semua untuk parasit. Bagi anak minyak kelapa setiap hari, bagi anak air kelapa dan isinya setiap minggu, insyaAllah anak bebas parasit sampai besar.
6. Carrot. Tinggi vitamin A, immune booster untuk anak. Masak sup boleh letak ni sekali.
Ads
7. Kunyit. Bersifat antiparasit, mampu lemahkan parasit, dan musnahkan telur parasit. Masukkan kunyit segar atau kunyit serbuk asli dalam makanan anak. Elak serbuk kunyit yang ada campuran.
8. Bunga cengkih. Herba yang bersifat antiseptik, antiparasit, antibakteria. Boleh flush kan parasit dari tubuh anak. Senang kalau anak suka sup, masukkan je setiap kali masak.
Putrajaya negeri kedua terkaya di Malaysia berdasarkan pendapatan penengah. Namun, ia merekodkan kadar bantut kanak-kanak keempat tertinggi di negara ini. Mengapa?
Ramai yang terkejut apabila mendapat tahu kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya adalah 24.3 peratus, seperti yang dilaporkan melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Malaysia (NHMS) 2016. Kadar ini lebih tinggi dari kadar prevalens negara ketika itu, iaitu 20.7 peratus.
Kadar bantut yang tinggi sering dikaitkan dengan kawasan pedalaman dan kemiskinan tegar. Namun pada tahun 2020, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Putrajaya mempunyai kadar kemiskinan terendah di Malaysia.
Manakala negeri dengan kadar bantut kanak-kanak tertinggi pula ialah Kelantan diikuti Terengganu dan Pahang, seperti yang dilaporkan dalam NHMS 2016. Ketiga-tiga negeri ini merekodkan antara kadar miskin tegar tertinggi negara ini.
Statistik DOSM menunjukkan 79.7 peratus daripada 32,700 isi rumah di Putrajaya merupakan pekerja bergaji.
Jadi mengapa kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya begitu tinggi hingga melangkaui kadar bantut di Sabah – negeri dengan kadar miskin tegar tertinggi di Malaysia?
SEHARIAN DI PUSAT JAGAAN
Itulah juga soalan yang diutarakan Timbalan Pengarah (Pemakanan) Cawangan Pemakanan Keluarga Kementerian Kesihatan, Zaiton Daud.
“Sering kita sebut tentang betapa majunya Putrajaya dan bagaimana majoriti penduduk di sana kakitangan kerajaan, maka dari segi jaminan pendapatan mungkin tidak banyak masalah. Jadi, mengapa kadar bantut Putrajaya begitu tinggi sekali?
“Set data yang sama menunjukkan kadar bantut terendah ialah di Kuala Lumpur, pada 10.5 peratus. Ini pelik. Apa bezanya Kuala Lumpur dengan Putrajaya?” soalnya ketika bercakap dalam forum dalam talian bertajuk Kanak-Kanak Bantut: Pencegahan dan Model Solusi, anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Katanya Kementerian Kesihatan sedar bantut bukan sekadar masalah nutrisi. Pelbagai faktor lain mempengaruhi kadar bantut seperti kadar celik kesihatan, persekitaran dan akses kepada penjagaan kesihatan.
Zaiton percaya apa yang berlaku di Putrajaya disebabkan kanak-kanak kecil menghabiskan masa terlalu lama di bawah penjagaan taska. Ini mengakibatkan mereka lebih berpotensi terdedah kepada amalan pemakanan kurang baik seperti tidak mendapat makanan yang cukup atau berkhasiat.
Kebanyakan keluarga di Putrajaya pula terdiri daripada ibu bapa bekerja, menyebabkan anak-anak hampir seharian di taska.
“Inilah yang mengganggu amalan pemakanan anak-anak. Ketika mengambil anak-anak dari taska pula, ibu bapa dalam keadaan penat selepas seharian bekerja. Sukar untuk memberikan yang terbaik kepada keluarga apabila diri sendiri keletihan.
“Adakah lagi tenaga untuk menyediakan makanan berkhasiat di rumah, atau mungkinkah mereka akan “tapau” sahaja?” katanya.
Persoalan ini penting kerana keterbantutan salah satu ukuran utama bagi mengenal pasti masalah malnutrisi kronik dalam kalangan kanak-kanak. Selain fizikal yang pendek, malnutrisi kronik boleh menyebabkan seorang kanak-kanak mengalami masalah kesihatan sepanjang hayat.
SUKAR DIPANTAU
Bukan semua taska di Putrajaya berdaftar dan ini menyebabkan situasi ini sukar dipantau dan dikawal, kata Zaiton.
Taska berdaftar diwajibkan mematuhi peraturan dan undang-undang ketat yang memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan terbaik selari dengan Akta Kanak-kanak 611 dan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.
Di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, mana-mana individu sama ada pengusaha, pengurus, penyelia atau pengasuh yang bekerja di taska wajib mengikuti dan lulus Kursus Asuhan Permata. Ini meliputi latihan dalam penjagaan, keselamatan dan penyediaan makanan seimbang bagi bayi dan kanak-kanak di pusat asuhan.
Setakat 8 Mac 2022, terdapat 63 taska berdaftar di Putrajaya dengan 28 daripadanya beroperasi di premis tempat kerja.
Bagaimanapun, jumlah ini terlalu sedikit untuk menampung keperluan penjagaan populasi kanak-kanak bawah lima tahun di Putrajaya yang dianggarkan seramai 13,200 orang pada tahun 2020, menurut data DOSM.
Situasi ini menyebabkan ibu bapa kurang pilihan dan terpaksa menghantar anak-anak ke pusat asuhan tidak berdaftar.
Malangnya, pilihan sedemikian boleh mendatangkan kesan yang serius.
Kualiti penjagaan di taska berkemungkinan besar penyebab utama kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya begitu tinggi. Walaupun kenyataan ini belum dapat dibuktikan secara konklusif, setidak-tidaknya ia dapat menerangkan mengapa kadar bantut di Malaysia melangkaui perbezaan pendapatan, kaum dan jurang bandar-desa.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak dari isi rumah dengan pendapatan rendah jauh lebih berkemungkinan menjadi bantut kerana mereka lebih terdedah kepada faktor penyebab tersembunyi seperti kesukaran mendapatkan makanan berkhasiat, penjagaan kesihatan dan sistem sanitasi yang baik.
Pengasuh di taska dan pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar memang sentiasa dilatih dan dilengkapi dengan cara penjagaan dan panduan pemakanan bagi kanak-kanak dan bayi, namun situasinya mungkin berbeza di taska tidak berdaftar.
Walaupun begitu, ibu bapa terutamanya mereka yang berpendapatan rendah lebih memilih untuk menghantar anak ke taska tidak berdaftar kerana faktor yuran yang rendah selain senarai menunggu yang tidak lama.
IBU BAPA KURANG PENDIDIKAN
Mungkin itu yang berlaku di Putrajaya, kata Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik di Universiti Putra Malaysia Prof Dr Norhasmah Sulaiman.
“Bukan semua yang tinggal di Putrajaya itu berpendapatan tinggi. Ramai yang boleh kita kategorikan dalam golongan B40. Saya rasa inilah sebab kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya begitu tinggi, kerana ramai sebenarnya miskin bandar.
“Jurang pendapatan di Putrajaya sangat luas. Kos sara hidup juga tinggi. Saya yakin kebanyakan ibu di Putrajaya bekerja dan terpaksa menghantar anak ke taska, jadi mereka sukar hendak pastikan anak-anak mendapat makanan berkhasiat,” katanya.
Untuk mengelakkan bantut, adalah penting untuk menjaga pengambilan nutrisi kanak-kanak dalam 1,000 hari pertama kehidupan yang bermula dari dalam kandungan. Jika gagal mengawal kualiti pemakanan atau membetulkan masalah bantut dalam tempoh itu, kanak-kanak yang terkesan akan mengalami masalah sepanjang hayat. Ini termasuk keciciran dalam akademik, kesukaran mendapat pekerjaan baik dan lebih berisiko mendapat penyakit.
Negara yang mengalami masalah bantut juga secara purata kerugian tujuh peratus pendapatan per kapita, menurut satu kajian World Bank.
Norhasmah berkata, Kementerian Kesihatan sudah menjalankan pelbagai usaha untuk mendidik pengasuh tentang amalan pemakanan terbaik bagi kanak-kanak.
Bagaimanapun, masih ada faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan itu. Antaranya, tahap pendidikan ibu bapa atau yang lebih khusus tahap pendidikan si ibu.
Merujuk kepada satu kajian yang diterbitkan dalam The Lancet, beliau berkata, ada beberapa kluster penyebab kadar bantut meningkat.
“Kluster pertama ialah pendidikan ibu bapa yang berkait rapat dengan keadaan sosioekonomi mereka. Kluster kedua yang dibincangkan ialah tahap pendidikan si ibu dan bagaimana ia mempengaruhi cara seorang ibu mengendalikan amalan pemakanan di rumah,” jelasnya.
Katanya perkara ini boleh dinilai melalui peruntukan sumber dalam isi rumah.
“Adakah si ibu mengutamakan pemakanan? Apabila anak-anak menghabiskan lebih lapan jam sehari di taska, bagaimana ibu yang bekerja memastikan anak-anak mendapat zat makanan secukupnya?
“Kadangkala ibu bapa berpendapatan tinggi tetapi kadar bantut dalam kalangan keluarga sedemikian masih tinggi. Mengapa? Mungkin kerana terlalu sibuk sehingga tidak dapat menyediakan hidangan berkhasiat untuk anak-anak. Mungkin juga mereka tidak sedar betapa pentingnya penyediaan makanan berkhasiat untuk pertumbuhan kanak-kanak,” katanya.
Menurut NHMS 2016, sekitar 19.2 peratus kanak-kanak Malaysia berusia 6 hingga 23 bulan tidak mencapai jumlah minimum pengambilan hidangan yang disyorkan.
TIADA BANYAK PILIHAN
Isu penderaan di taska dan pusat penjagaan kanak-kanak di Putrajaya juga agak kerap dilaporkan di media massa dalam tempoh 10 tahun ini.
“Terdapat data yang menunjukkan kadar penderaan kanak-kanak di taska Putrajaya sangat tinggi. Saya yakin kadar penderaan yang tinggi di taska ada hubungan dengan kadar bantut di wilayah itu,” kata Dr Amar HSS Singh, seorang pakar pediatrik yang pernah berkhidmat selama 40 tahun di bawah Kementerian Kesihatan.
Garasi Bernama cuba mendapatkan data yang dimaksudkan dari laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak berjaya. Koleksi data yang tersedia untuk capaian umum hanyalah ringkasan statistik kes penderaan yang dikira sebagai kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001. Jumlah kes penderaan pula tidak dikategorikan mengikut negeri atau taska yang terlibat.
Keluarga yang hanya ibu atau bapa bekerja memang bergelut dengan kos sara hidup sejak sebelum pandemik Covid-19. Yang pastinya situasi pandemik ini menyebabkan keadaan semakin teruk dan memaksa lebih ramai ahli keluarga keluar mencari rezeki demi kelangsungan hidup. Jika kedua-dua ibu bapa terpaksa bekerja, tentunya penjagaan anak-anak terpaksa diserahkan kepada pihak lain.
Kredit: AWANI, BERNAMA
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terapi berkuda dikatakan merupakan salah satu terapi terbaik dapat membantu menambah baik kesihatan fizikal, sensori, emosi, sosial dan komunikasi kanak-kanak istimewa.
Malah pakar juga turut bersetuju latihan menunggang kuda dapat membantu membina kekuatan kaki walaupun lumpuh.
Bukan itu saja bahkan terapi ini sudah banyak diamalkan dan terbukti berkesan di seluruh dunia seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat, New Zealand dan Singapura.
Melalui petikan berita Harian Metro, terdapat satu organisasi di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan ini secara percuma untuk orang kurang upaya (OKU). Organisasi tersebut adalah The Riding for the Disabled Association (RDA) Malaysia yang telah bertapak sejak tahun 1989.
Kemudian, ia mula dijalankan oleh ahli terapi pekerjaan yang berkelayakan dan membabitkan pelbagai aktiviti. Antaranya mengenali kuda dan pembelajaran menunggang haiwan tersebut.
Berikut merupakan 7 kesan positif buat anak berkeperluan khas yang boleh diperoleh daripada terapi berkuda, menurut Ketua Jurulatih Terapi Berkuda RDA Malaysia, Muthusamy Kandasamy.
1. Memperbaiki pemprosesan saraf dan deria dalam otak
Menunggang kuda dapat memberi manfaat kepada kanak-kanak yang mengalami gangguan pemprosesan deria seperti autisme dan Gangguan Perhatian Defisit Hiperaktif Gangguan (ADHD).
Aktiviti ini terbukti mampu membantu memperbaiki pemprosesan saraf dan deria dalam otak.
2. Perkembangan kognitif dan bahasa
Selain itu, terapi menunggang kuda juga didapati memberi manfaat kepada perkembangan kognitif dan bahasa kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme serta masalah intelek.
3. Meningkatkan beberapa kemahiran sosial
Kesan aktiviti menunggang kuda terhadap sosial turut dikaji dan didapati dapat membantu meningkatkan beberapa aspek kemahiran sosial.
4. Mengasah kemampuan mendengar arahan dan melaksanakannya
Aktiviti regangan tangan dan bahu ketika di atas kuda, merupakan antara aktiviti yang biasa dibuat setiap kali sesi terapi berkuda bagi penunggang OKU.
Ia bertujuan mengasah kemampuan penunggang mendengar arahan dengan baik dan seterusnya dapat melaksanakan arahan yang diberikan.
5. Membina keyakinan diri
Aktiviti asas yang selalu diamalkan ketika menunggang kuda dibuat untuk menggalakkan penunggang berinteraksi dengan ‘side walker’. Side walker merupakan alat sokongan ketika menunggang kuda.
Di mana, pada masa yang sama dapat membina keyakinan diri dan memberikan kerjasama.
6. Beri peluang pembelajaran kepada pergerakan berjalan
Bagi anak yang mengalami ketidakupayaan fizikal (OKU fizikal), aktiviti menunggang kuda dapat memberi simulasi pergerakan pelvis dan anggota bawah yang serupa dengan aktiviti berjalan.
Ini akan memberi peluang pembelajaran kepada pergerakan berjalan lebih baik untuk anak yang tidak mampu berjalan sendiri.
7. Belajar menyeimbangkan badan
Terdapat aktiviti menunggang kuda dalam bentuk zigzag yang akan dapat membantu penunggang untuk belajar menyeimbangkan badan.
Daripada segi saintifiknya pula, aktiviti kuda berjalan ketika anak sedang menunggangnya akan dapat merangsang sistem deria vestibular bagi integrasi sensori di otak bagi penunggang itu.
Mempunyai tanda lahir bukanlah suatu yang pelik sebenarnya, namun oleh kerana tanda lahir yang agak ketara pada muka, seorang kanak-kanak yang masih kecil dipanggil buruk dan ‘cacat’ oleh segelintir masyarakat yang tidak prihatin.
Marianna Bowering dari Adelaide sangat menyayangi anak perempuannya yang diberi nama Angelica. Mempunyai tanda lahir di bahagian muka yang turut dikenali sebagai “port wine stains”, ibu ini menganggap ia adalah satu keunikan yang ada pada anak perempuannya itu.
Angelica dilahirkan dengan tanda lahir berwarna merah di wajahnya, Marianna mengelarkan tanda itu sebagai ‘Angels kiss’ kerana bentuknya yang seakan hati.
Tapi ternyata tidak semua orang dapat menerima keadaan anak perempuannya itu sehingga ada yang menghina si kecil ini dengan mengatakan muka Angelica seperti dipanggang.
Menurut Marianna juga, dia sering mendapat komen yang berunsur hinaan sama ada secara peribadi ataupun secara online di laman sosial miliknya sendiri.
“Perkataan yang paling menyakitkan apabila seorang lelaki mengatakan kepada saya bahawa Angelica cacat, saya sangat terkejut.
“Ada juga yang mengatakan mukanya sangat mengerikan sehingga dia tidak akan mendapat teman lelaki pada masa hadapan dan saya tidak seharusnya membiarkan Angelica bermain dengan air panas,” katanya.
Dengan kata-kata hinaan yang dilemparkan kepada si kecil Angelica, Marianna bimbang dengan masa depan anaknya itu.
“Saya risau apa yang bakal dia lalui di alam persekolahan tetapi saya berharap akan ada lebih banyak pendidikan terhadap kesedaran tentang perkara ini.
“Ia sangat menyakitkan apabila orang lain bersikap kejam terhadapnya namun ketika saya melihatnya sekarang, saya tahu dia seorang yang berani dan mempunyai keyakinan yang tinggi,” ujar Marianna.
Justeru itu, ibunya sedang cuba untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang apa itu tanda lahir Port Wine Stains supaya anak-anak yang senasib dengan Angelica tidak lagi menerima tohmahan dan hinaan seperti yang dialami anaknya itu.