Kalau anak anda kerap terjaga waktu tidur malam jangan main-main kerana ia boleh jejaskan perkembangan minda dan fizikal si manja. Mesti ramai ibu bapa yang melalui pengalaman si kecil suka menangis tengah malam dan susah untuk tidur semula.

“Sejak masuk umur setahun, Amna susah nak tidur malam. Lepas tu asyik terjaga ajak main. Risau mama tau!”

Mungkin ada anak kecil yang dulu jenis tidur sepanjang malam dan hanya bangun untuk menyusu sahaja tetapi bila masuk usia setahun mula berubah pola tidurnya. Tambah memeningkan kepala papa mama, bila dia bangun tengah malam dan ajak bermain untuk tempoh paling lama tiga jam.

Waktu siang pula dia hanya tidur sekali dan sekejap. Mulalah papa dan mama risau fikirkan hal ini. Adakah ini boleh memudaratkan kesihatan si kecil?

Tidur yang cukup dan berkualiti memang penting untuk bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar. Kalau tak cukup tidur, ia boleh menjejaskan perkembangan minda dan fizikal si manja.

Pernahkah anda terfikir berapa lama sebenarnya si kecil perlu tidur dalam sehari? Dari lahir sampai dewasa, jumlah jam tidur yang diperlukan berbeza ikut peringkat perkembangan dan ini termasuk tidur petang atau ‘nap time’. Tidur penting untuk anak membesar sihat dan cergas.

Jom rujuk jadual tidur anak mengikut usia mereka.

• Lahir-3 bulan: tidur selama 18 jam sehari – lapan atau 10 jam pada waktu malam dan lapan jam waktu siang.

• 4-6 bulan: tidur selama 16 jam sehari – 12 jam tidur pada waktu malam dan empat jam pada waktu siang.

IKLAN

• 6-8 bulan: tidur selama 14 jam – 11 jam pada waktu malam sementara tiga hingga empat jam pada waktu siang.

• 8-12bulan: tidur selama 13 jam – 11jam hingga 12 jam pada waktu malam, 2 jam lagi pada waktu siang.

• 12-18 bulan: tidur antara 11 hingga 12 jam waktu malam dan hanya dua jam pada waktu siang.

Masa bayi baru lahir, dia tidak dapat membezakan waktu siang ataupun malam. Jadi, bayi akan tidur untuk 2-3 jam dan bangun semula untuk menyusu. Waktu malam pun sama. Selepas kira-kira 6 minggu, barulah mereka mula dapat tidur lebih lama pada waktu malam. Ketika ini, digalakkan ibu bapa untuk mula membiasakan bayi untuk aktif waktu siang dan tidur lebih lama pada waktu malam.

Selepas usia 3-6 bulan, bayi biasanya dapat tidur berterusan selama 5-6 jam pada waktu malam. Anak-anak yang dapat jumlah tidur yang cukup boleh masuk tidur dalam masa yang singkat iaitu 15-30 minit, tidur berterusan dan lena.

Sekiranya si kecil tidak dapat kualiti tidur yang bagus, dia akan selalu mengantuk pada waktu siang, mengamuk dan bersikap hyper dengan masalah sikap yang sukar dikawal.

IKLAN

Kenapa sesetengah anak kecil ada masalah tidur malam? Ini antara sebabnya.

Anak Kerap Terjaga Waktu Tidur Malam Boleh Jejaskan Perkembangan Minda & Fizikal Si Manja!

1. Sudah jadikan ‘habit’ memerlukan bantuan untuk tidur. Misalnya dia biasa dibuai ketika hendak tidur jadi anak tidak akan belajar untuk tidur sendirian. Jika dia terjaga atau ibu tiada di sisinya, dia akan menangis dan mengamuk untuk mendapatkan perhatian.

2. Terlalu penat atau tidak dapat ‘nap time’ yang mencukupi. Bayi dan kanak-kanak memerlukan tidur petang sekurang-kurangnya satu hingga dua kali sehari. Sekiranya mereka rasa penat sebab tak cukup tidur petang, mereka akan mengamuk dan tidak mahu tidur malam. Jika mereka nampak sudah terlalu mengantuk waktu petang, bagilah mereka tidur untuk 1 hingga 3 jam. Tetapi jangan bagi mereka ‘nap’ kalau sudah dekat dengan waktu tidur malam.

3. Gelisah berpisah dengan ibu bapa kerana perlu tidur berasingan di katil/bilik berlainan. Disebabkan itu, mereka tidak mahu tidur malam atau tidak tidur lena dan asyik terbangun.

IKLAN

4. Anak tiada rutin tidur yang tetap di mana waktu tidur bertukar-tukar dan berlalinan pada hari cuti akan membuatkan amalan tidur anak menjadi lebih susah. Ibu bapa dan ahli keluarga lain yang selalu tidur lewat dan tiada waktu tidur rutin turut menjejaskan amalan tidur anak.

5. Obstructive Sleep Apnea di mana saluran pernafasan tersumbat disebabkan masalan tonsil dan adenoid (bahagian belakang hidung dan tekak) yang besar. Anak-anak tidur berdengkur kuat, nafas laju, mulut ternganga dan tidak dapat kualiti tidur yang bagus. Mereka tidak dapat tidur lena dan susah bangun pagi. Jika anak ada tanda seperti ini, segera bawa berjumpa doktor.

6. Alahan dan asma. Hidung tersumbat/berlendir ataupun resdung sebab alahan, selesema ataupun penyakit asma boleh menyebabkan anak susah bernafas. Akibatnya, mereka tidak dapat tidur lena. Masalah perut kembung, asid refluk, sakit telinga atau sakit tumbuh gigi di kalangan bayi juga boleh menyebabkan mereka susah tidur malam.

Jadi, walau apa cara sekalipun anak anda hendak tidur, sentiasa pastikan mereka mendapat cukup tidur. Jangan biasakan anak kecil berjaga hingga lewat malam kerana menonton telvisyen atau bermain handphone dan akibatnya mengamuk susah nak tidur.

Sumber: doktorbudak.com

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI