Anak Kidal Ada Kelebihannya, Mama Jangan Runsing Atau Cuba Tukar Tangan Anak!

Share

Pasti ada diantara kita yang memiliki anak yang menulis menggunakan tangan kidal. Sebenarnya tak salah dan tak jadi satu kesalahan pun jika menggunakan tangan kidal. Jika anak anda memilih untuk menggunakan tangan kidal seperti ayahnya, biarkan sahaja.

Jangan sesekali memaksa anak yang berkecenderungan tangan kidal kepada tangan kanan. Percayalah, bila besar anak akan keliru dengan kiri dan kanan. Lebih-lebih lagi bab mencari arah. Kan susah tu!

Anak kidal ni banyak kelebihannya. Paling penting mereka tersangatlah kreatif! Jom baca kelebihan anak kidal yang dikongsikan oleh Cikgu Iznan, di blognya, www.cikguiznan.com.


Apa Yang Anda Perlu Tahu Jika Mempunyai Anak Kidal

Sebenarnya, tidak ramai yang dilahirkan kidal. Mereka terdiri daripada 15 peratus populasi dunia dan dianggap unik serta kreatif. Menurut kajian, kemahiran motor kanak-kanak berkait rapat dengan fungsi otak.

Otak besar manusia terdiri daripada dua bahagian, iaitu kiri dan kanan. Otak kanan berfungsi mengawal bahagian kiri badan, manakala otak kiri bertanggungjawab mengawal bahagian kanan badan. Namun bagi anak kidal, fungsi otak kanannya berkembang lebih baik dan dominan berbanding otak kiri.

Selain itu, otak kiri juga berperanan mengawal kemampuan berbahasa, bercakap, menulis dan semua perkara berkaitan tata bahasa. Sementara otak kanan pula berfungsi mengatur kreativiti, keupayaan persepsi, pengenalan dimensi ruang, situasi, waspada dan tumpuan.

Bagi kanak-kanak kidal, kecenderungan mereka menggunakan tangan kiri boleh dilihat seawal usia dua ke tiga tahun. Ketika ini, kemahiran motornya sedang berkembang dan akan menunjukkan bahagian mana yang lebih dominan. Sifat kidal akan lebih ketara ketika kanak-kanak mencapai usia lima tahun.

Terdapat beberapa fakta mengenai anak kidal yang boleh dijadikan rujukan serta panduan oleh ibu bapa. Antaranya;

1. Anak mewarisi kidal dari keturunan

Pada 2007, seorang penyelidik mendedahkan penemuannya berkaitan anak kidal. Ia berpunca daripada faktor keturunan. Kesimpulan itu dibuat berdasarkan kes penghidap disleksia yang mempunyai gen simetri otak. Gen itu diturunkan daripada bapa, tetapi tidak bermakna kidal disebabkan kelainan simetri otak.

2. Bukan semua kidal semula jadi

Potensi kidal memang ditunjukkan sejak anak lahir. Tetapi, ada juga kanak-kanak yang kidal disebabkan faktor kesihatan, tangan kanan tidak berfungsi baik atau otot tangan kanan lemah hingga terpaksa menggunakan tangan kiri.

3. Anak kidal lebih peka

Menurut laporan dibentangkan Pusat Perubatan Universiti Georgetown, Amerika Syarikat, pendengaran anak kidal lebih tajam dan mampu membezakan jenis suara dengan baik. Ini berbeza dengan anak dominan tangan kanan yang lebih dinamik dan mudah berubah hingga tidak sensitif dalam membezakan jenis suara.

4. Tidak tetap pendirian

Berdasarkan ujian tingkah laku yang diadakan di Scotland, didapati orang kidal lebih pemalu. Mereka bimbang melakukan kesilapan dan takut menerima kritikan hinggakan mudah bersikap ragu-ragu dalam membuat keputusan.

5. Sensitif

Anak kidal mudah berubah mood dan lebih sensitif. Ini kerana, segelintir daripada mereka tidak mempunyai keseimbangan dalam memproses emosi di otak kanan dan kiri.

6. Kreatif

Hasil kajian terhadap lebih 2,000 orang kidal menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada mereka lebih berbakat dalam bidang seni dan artistik.

7. Lebih penakut

Persatuan Psikologi British membuat penelitian terhadap beberapa orang kidal dan mereka yang dominan tangan kanan.

Semua responden diminta menonton filem seram. Hasilnya, kanak-kanak kidal mengingati dengan jelas setiap adegan yang menyeramkan dalam filem dan cenderung mengalami trauma.

8. Pintar

Anak kidal mempunyai otak yang lebih berstruktur, menjadikan kemampuan intelektualnya lebih tinggi dalam pelbagai bidang. Mensa, sebuah organisasi yang menghimpunkan pemilik IQ tertinggi di dunia menyatakan sekurang-kurangnya 20 peratus ahlinya adalah kidal.

Apapun, anak kidal mempunyai banyak kelebihan yang boleh dikembangkan dari semasa ke semasa. Justeru, ibu bapa dan guru seharusnya memahami dan menerima keunikan yang ada dalam diri anak-anak ini.

Ibu bapa khususnya, mereka boleh berbincang dengan doktor dan pakar berkaitan mengenai cara terbaik untuk mendidik, mengasah bakat serta mengembangkan potensi anak kidal berbanding mengubah keunikan semula jadi yang ada pada si manja.

Published by
SRM