Hari ini banyak kes kematian mengejut melibatkan ibu bapa muda yang masih mempunyai anak-anak kecil. Kebanyakan kes kematian berlaku secara mengejut dan tanpa sebarang sejarah penyakit yang berbahaya.
Ya, memang benar ajal maut Tuhan yang menentukan tetapi sebagai manusia kita boleh berusaha untuk menjaga kesihatan diri agar terhindar daripada jangkitan penyakit berbahaya. Ingatlah anak-anak yang masih kecil, kehilangan ibu bapa di usia muda memberikan impak yang besar terhadap emosi dan tumbesaran anak.
Menurut Jabatan Statistik 2019, penyakit jantung terus menjadi punca utama kematian di Malaysia. Masalah kolesterol tinggi, faktor risiko utama penyakit jantung memberi kesan kepada 8 juta atau 40% orang dewasa di Malaysia. Kebanyakan ibu bapa muda semakin terdedah pada risiko tersebut yang mana sudah tentuu ia memberi impak besar kepada anak-anak untuk menghadapi kehilangan ibu bapa di usia kecil.
Dr. Beni Rusani, Konsultan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) dan Rozanna M Rosly, Ketua Perkhidmatan Dietetik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMSC) berpesan kepada ibu bapa muda agar menjaga kesihatan masing-masing dan ubahlah gaya hidup dan tabiat pemakanan jika sayangkan diri sendiri dan sudah tentunya anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang ibu bapa.
Ibu bapa, tibalah masa untuk menjaga jantungmu!
Dengan peningkatan risiko penyakit jantung dalam kalangan ibu bapa muda, pakar-pakar bersetuju bahawa mengutamakan pengurusan kolesterol adalah amalan ibu bapa yang bertanggungjawab.
Kehilangan ibu bapa yang muda memberikan impak jauh lebih besar berbanding kehilangan ibu bapa yang lebih tua. Bagi seorang kanak-kanak, ini bermaksud kehilangan kasih sayang, kepercayaan dan model peranan ketika usia pembentukan mereka masih lagi kritikal. Begitu juga impak terhadap mata pencarian sekeluarga.
Ads
Ini bukanlah satu senario yang baharu. Di Malaysia, penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian dalam kalangan orang dewasa [1]. Kolesterol tinggi, iaitu faktor risiko utama penyakit jantung, menjejaskan 8 juta atau 40% orang dewasa di Malaysia[2]. Dengan peranan, harapan dan tuntutan terhadap ibu bapa yang kian mencabar serta gaya hidup yang serba pantas, tidak hairanlah golongan ibu bapa berhadapan dengan risiko kolesterol tinggi yang semakin meningkat.
“Pilihan gaya hidup yang tidak sihat sudah menjadi norma ibu bapa muda generasi baharu,” kata Dr Beni Rusani, perunding kardiologi di Institut Jantung Negara (IJN). Tabiat makan yang tidak sihat, peningkatan tahap stres, gaya hidup sedentari, dan merokok – sebahagian besarnya disebabkan oleh jadual kerja yang sibuk – mendedahkan ibu bapa muda kepada risiko kolesterol tinggi dan penyakit kronik tidak berjangkit (NCD). “Kronik merupakan kata kunci di sini,” tambahnya yang bermaksud masalah ini merupakan hasil faktor risiko yang terkumpul bertahun-tahun lamanya.
“Penyakit jantung lazimnya dikesan dalam kumpulan usia 50-60 tahun. Namun begitu, NCD bukan penyakit yang berlaku dalam masa sehari, malah ianya berpunca akibat tabiat buruk yang berlarutan selama kira-kira 20 tahun.”
Lebih membimbangkan lagi, pesakit jantung di Malaysia adalah yang termuda berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara.
“Ibu bapa kini mempunyai lebih banyak sebab untuk mengambil berat tentang kesihatan jantung dan kolesterol tinggi sejak awal lagi,” katanya.
“Bagi memerangi kolesterol tinggi, sememangnya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati,” kata Dr Beni. “Malahan, cara ini sebenarnya lebih murah. Oleh sebab kolesterol tinggi merupakan kesan tabiat buruk jangka panjang, semakin lama diabaikan, semakin sukar untuk dirawat. Ini pula akan menyebabkan kos ubat-ubatan dan rawatan melambung. ”
Ads
Mungkin ramai yang mengeluh, pencegahan lebih mudah dikatakan daripada dilakukan. “Jika ibu bapa sukar untuk mendapatkan motivasi, lakukanlah demi anak-anak mereka.”
Ini adalah kerana kanak-kanak cenderung untuk meniru tingkah laku ibu bapa mereka. “Dalam erti kata lain, ibu bapa harus menunjukkan teladan yang lebih baik seperti mengamalkan diet yang seimbang dan bersenam secara konsisten supaya menjadi ikutan anak-anak mereka. Dengan cara ini, kita dapat memutuskan kitaran negatif di mana mereka mengulangi tabiat buruk ibu bapa mereka, bahkan sebelum mereka menempuh alam dewasa.”
“Perkara ini tidak lebih daripada akal budi (common sense) dan keupayaan membuat keputusan secara bertanggungjawab – dalam erti kata lain, sifat-sifat keibubapaan yang baik.”
Amal Diet Sihat Jantung
Memutuskan kitaran negatif mungkin kedengaran seperti satu tanggungjawab yang besar, namun Rozanna M Rosly, Ketua Perkhidmatan Dietetik, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) percaya perkara itu bermula dengan menambah baik tabiat makan seseorang. “Sebagai rakyat Malaysia, tidak dinafikan selera makan kita memang ‘sihat’, apatah lagi dengan pilihan makanan segera, makan di luar, dan khidmat penghantaran makanan yang semakin berleluasa.”
“Namun, terdapat beberapa perubahan gaya hidup positif berikutan perintah kawalan pergerakan baru-baru ini, seperti amalan memasak di rumah dan peningkatan masa untuk mengeratkan ikatan keluarga. Ini meyakinkan saya bahawa kita sebenarnya mampu menjadikan tabiat makan yang sihat suatu kebiasaan baharu,” katanya.
Ads
Menurut Rozanna, diet sihat jantung tidak rumit untuk diamalkan, malahan tidak memerlukan perubahan yang drastik. “Cuma beberapa petua yang sangat mudah, sehinggakan ibu bapa dengan jadual yang padat pun dapat mengamalkannya.”
Mulakan dengan Pinggan Sihat Malaysia, petua yang berdasarkan konsep membahagikan satu pinggan makan kepada tiga bahagian, iaitu ‘Suku-Suku-Separuh’. Suku pertama diisi dengan protein (seperti ikan, ayam, daging dan kekacang), manakala suku kedua diisi dengan karbohidrat (seperti nasi, mi, roti dan bijirin). Separuh yang selebihnya pula terdiri daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.
“Fokus adalah pada yang Separuh, kerana 95% orang dewasa di Malaysia tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran seperti yang disyorkan setiap hari,” tegasnya. Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan serat, vitamin dan mineral. Diet yang tinggi dengan serat makanan dapat membantu mengurangkan risiko NCD termasuk kolesterol tinggi.
Satu lagi penambahan kepada diet yang seimbang, ibu bapa juga boleh mempertimbangkan makanan yang diperkaya dengan sterol tumbuhan. Sterol tumbuhan mempunyai struktur yang serupa dengan kolesterol dan berfungsi mengurangkan penyerapan kolesterol ke dalam darah.
Walaupun boleh didapati secara semula jadi dalam semua tumbuh-tumbuhan, amat sukar untuk seseorang mendapat sterol tumbuhan yang mencukupi untuk mendapatkan kesan penurunan kolesterol daripada diet Malaysia yang biasa. Sterol tumbuhan ditambahkan ke dalam pelbagai produk makanan, termasuk susu yang diperkaya di Malaysia. Kajian menunjukkan pengambilan harian 2 hingga 3 g sterol tumbuhan dapat menurunkan kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) ataupun kolesterol tidak baik setinggi 10%, termasuk mereka yang menghidap kolesterol tinggi[3].
Satu lagi petua berguna ialah ‘pertukaran’ makanan. “Anda pasti terkejut betapa banyaknya pilihan pertukaran makanan yang lebih sihat dalam makanan seharian kita di Malaysia. Peraturan umum petua ini adalah mengurangkan makanan berminyak atau bergoreng, makanan yang tinggi garam, serta memberikan perhatian kepada jumlah pengambilan kalori anda,” jelasnya.
Mengulas tentang tabiat makan tidak sihat yang harus ditinggalkan oleh rakyat Malaysia, Rozanna berkongsi nasihat berikut: Amalkan tabiat snek yang sihat dengan membuat pilihan yang lebih sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Daging yang diproses dan makanan segera juga harus dikurangkan. Berikan perhatian bukan sahaja pada makanan bahkan minuman anda. Pengambilan minuman berkarbonat dan bergula yang berlebihan akan meningkatkan jumlah kalori anda. Malahan menurut kajian terkini, ia juga akan meningkatkan risiko penyakit jantung.
Bak kata pepatah, ‘Kota Rom tidak dibina dalam sehari’, tiada jalan pintas untuk mencapai kesihatan jantung. Bagaimanapun, kedua-dua pakar bersetuju bahawa setiap langkah kecil yang diambil adalah penting, dan ibu bapa harus mula mengubah gaya hidup mereka dan mengamalkan rutin penjagaan kesihatan jantung mereka sekarang, demi menuju kehidupan yang bermakna dengan orang yang tersayang.
[1] Jabatan Statistik Malaysia – Perangkaan Sebab Kematian Malaysia (2019).
[2] Kementerian Kesihatan Malaysia – Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (2019).
[3] Gylling, H. et al (2014). Sterol tumbuhan dan stanol tumbuhan dalam pengurusan dislipidaemia serta pencegahan penyakit kardiovaskular. Aterosklerosis, 232 (2): 346-60.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sedar tak sedar, Ozylnn Wati dah habis pun pantang anak keenamnya. Sebelum ini dia dan suami, Johan hanya berkongsi gambar bayi perempuan yang diberi nama Nur Latifah Cherdiq Hanania sipi-sipi saja.
Bagaimanapun, genap 2 bulan 6 hari usia si comel Cherdiq ini, akhirnya Ozlynn dan Johan telah berkongsi wajah bayi mereka buat tatapan umum. Wajah Cherdiq yang putih gebu itu dikatakan seiras dengan muka abangnya, Sodiq.
Mula pandai hisap jari
Rata-rata geram melihat kecomelan Cherdiq dengan pipinya yang bam bam itu. Menurut Ozylnn, dah masuk usia 2 bulan, nampaknya Cherdiq dah dapat satu tabiat baru iaitu mula pandai hisap jari.
“Nak tak nak, Ozylnn perlu sentiasa pastikan kuku sentiasa pendek kerana risau boleh terluka. Malah Cherdiq juga berbeza dengan abang dan kakaknya kerana dari awal lagi rambut lebat dan kening pun berwarna brown.
“Lagi satu, Cherdiq ini begitu manja dengan papa. Dia suka sangat tidur atas dada papanya. Dengan berselorohnya, Ozlynn menyatakan mungkin sebab dada dan perut Johan empuk buatkan Cherdiq syok tidur atas papa,” kongsinya.
Tambah Ozylnn lagi, Cherdiq juga dah pandai nak ajak berbual dengannya. Seolah macam faham-faham je orang bercakap.
“Alhamdulillah susu badan masih cukup”
Setakat ini, Ozylnn juga sangat-sangat bersyukur kerana susu badannya masih cukup untuk Cherdiq dan Cherdiq juga tak memilih sama ada menyusu terus atau diberikan susu perahannya dalam botol.
“Jadi mudahlah untuk Ozylnn jika perlu kembali bekerja kerana Cherdiq tak kisah minum botol asalkan dapat susu mama,” ujarnya.
Kira-kira dua bulan lalu, pasangan suami isteri ini berkongsi berita kelahiran bayi keenam sehingga mengejutkan peminat mereka kerana ramai yang tak tahu Ozylnn hamil. Walaupun suami isteri ini sentiasa buat lawak, tapi bab mendidik anak, mereka tegas. Ramai yang kagum dan seronok melihat keakraban keluarga Jozlynhanania.
Masih lagi jaga makan dan berpantang
Sementara itu, Ozylnn tak lokek berkongsi tips berpantangnya kepada peminat yang bertanya bagaimana dia boleh kekal kurus walaupun ada enam anak dan usianya pun dah cecah 40 tahun.
Kongsinya, sejak dari anak pertama hingga keenam, pemakaian bengkung lilit menjadi pilihannya dan ada makanan dan minuman yang sejuk langsung tak ambil selama dua tahun.
“Bukan itu saja, Ozylnn sempat menitipkan pesanan buat ibu-ibu bila umur kita cecah angka 30 tahun atau 35 tahun standby je proses penurunan berat agak slow, sebab metabolism kita semakin rendah.
“Tak apa masa berpantang ni la jaga bebetul ok.. Tak yah ada CL pun tak apa. Asalkan jaga dari segi pemakanan. Tak dapat bersukan tak apa, menyusukan anak lebih kerap, nanti dah habis pantang rajin-rajin berjalan dalam erti kata lain cardio ye.
“Tak pun dah masuk 4 minggu tu untuk yang bersalin normal dah boleh perlahan-lahan masak lauk ringkas kat dapur bagi berpeluh.. kannnn.. Saya doakan semoga semua yang berpantang sekarang, sihat hendakNya aamiin YRA,” katanya.
Ozlynn berkahwin dengan Johan Raja Lawak. Mereka dikurniakan 6 orang anak iaitu Ariq, Sodiq, Haziq, Cantiq, Moleiq dan Cherdiq.
Kredit: IG Jozylnnhanania
Teruja nak dapat baby, tapi masih banyak persiapan yang perlu dibuat. Mental dan fizikal pun kena mantap sebelum si manja lahir nanti. Mahu belajar segalanya tentang cara-cara menguruskan bayi baharu lahir? Jom sertai E-Workshop Pa&Ma : A-Z Uruskan Newborn Baby! Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/urus-newborn-baby-a-z/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hari pertama persekolahan pastinya bermacam ragam gaya anak boleh dilihat. Ada yang menangis tidak mahu berpisah dengan ibu, begitu juga yang cukup selesa malah menyuruh ibu untuk pulang ke rumah.
Pun begitu situasi yang berlaku kepada Datin Seri Zizie Ezetti ini lain dari yang lain. Bukan hanya menangis bahkan anaknya turut memanjat pagar kerana ingin pulang ketika hari pertama persekolahan.
Menerusi instagram, Zizie berkongsi kisah ini melalui perkongsian beberapa buah video ketika sesi persekolahan bermula. Sayunya melihat kembar Aadam dan Aaleph yang menangis tidak mahu ke sekolah.
” Hari pertama persekolahan mereka. Aaric selalu nampak cool. Pada mulanya Aadam kelihatan penuh yakin. Manakala Aaleph pula melangkah ke kelas dengan berat hati.
” Sekarang ini rumah makin sunyi dan saya sudah mula rindukan mereka,” katanya menerusi satu entri di instagramnya.
Hati ibu mana yang tidak tersentuh melihat anak menangis tidak mahu berpisah. Anak kembar lelaki, Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette dilihat mula menangis sebaik diminta memasuki ke dalam kelas.
Malah anak kecil itu bertindak memanjat pagar untuk mendapatkan ibunya dengan tangisan yang semakin kuat. Mujurlah tenaga pengajar bertindak bijak menenangkan kedua-duanya.
Rata-rata seluruh pengikut Zizie di instagram terhibur dengan perkongsian itu dan meninggalkan pelbagai komen melihat gelagat Aadam dan Aaleph.
Walaupun Zizie dilihat cukup tenang ketika menenangkan kedua anaknya, namun kata Zizie hatinya turut tersentuh dan menangis sebaik tiba di rumah.
” Guru ada berkongsi perkembangan anak-anak dengan saya. Saya tak tipu, saya menangis. Rasa sedih bila tengok wajah anak saya.
” Sekarang ini saya menunggu di rumah sebelum menjemput mereka pulang dari sekolah. Tak sabar rasanya nak dengar cerita hari pertama persekolahan mereka,” tulisnya.
Semoga Aadam, Aaleph dan Aaric semakin baik untuk ke sekolah pada hari berikutnya. Permulaan yang mencabar namun pastinya semakin lancar dan baik bila kesemuanya sudah mula serasi dengan rutin baru.
Terdahulu, Zizie mendirikan rumah tangga bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag, Datuk Seri Bung Mukhtar pada 2009.
Kini pasangan ini dikurniakan dengan anak kembar, Aadam dan Aaleph pada 2017 dan seorang anak perempuan, Aalisa Belle Izzete.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Kredit: @zizieizette
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemalangan boleh berlaku bila-bila masa. Kadang kita dah beringat pun orang akan langgar. Ibaratnya sedikit kecuaian boleh menyebabkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
Bagaimanapun kesedaran mengenai penggunaan car seat di kalangan rakyat Malaysia masih lagi kurang untuk diguna pada bayi atau kanak-kanak sehingga sanggup riba atau pegang. Alasan lain lagi bila diletakkan dalam car seat anak terus menangis dan akhirnya ibu bapa terpaksa mengalah.
Jika tak berlaku kemalangan ok lagi tapi seandainya berlaku kejadian diluar kawalan menyesal tak sudah. Perkongsian dari seorang ibu di Facebooknya Meme Umaida Taib mengenai kemalangan yang berlaku pada mereka sekeluarga benar-benar membuktikan penggunaan car seat penting dan anaknya yang berusia 4 bulan terselamat walaupun keempat-empat tayar kereta yang dinaiki mereka terbalik ke atas.
Berikut perkongsiannya
HEBATNYA PERCATURAN ALLAH SWT.
Assalamualaikum semua sanak saudara dan rakan taulan. Keluarga kecil saya baru mengalami kemalangan yang tragis pada 12.00pm semalam 12 August 2019. Alhamdulillah ajaibnya kuasa Allah, kami bertiga tidak mengalami apa-apa kecederaan langsung terutama anak kami yang berusia 4 bulan. Kalau tengok pada gambar kereta semua ingat kami cedera teruk.
PENTINGNYA CAR SEAT
Asytar memang tidur sepanjang perjalanan semalam. Lepas kejadian kereta terbalik suasana sunyi sepi. Dalam keadaan terbalik kami mencari menjerit nama Asytar sebab saya tak jumpa car seat. Alhamdulillah selepas beberapa saat kami terdengar tangisan Asytar. Dalam keadaan upside down Asytar berada dalam keadaan buckle up di dalam car seat. Saya baring di bawah Asytar dan cepat-cepat buka buckle nak keluarkan Asytar dari kereta. Dalam keadaan kereta upside down lega bila tengok car seat dan Asytar masih dalam keadaan baik. Suami dapat keluar kereta dahulu dan cepat-cepat ambil Asytar dari saya. Alhamdulillah bersyukur kami sekali lagi Asytar terus berhenti menangis seperti tiada apa yang berlaku.
Kami agak terlambat ajar Asytar duduk dalam car seat sebenarnya. Kadang-kadang memang kesian kalau dia menangis taknak duduk car seat tapi kami keringkan hati biarkan dia menangis dalam carseat. Alhamdulillah sekarang he get used to it. Lepas apa yang terjadi depan mata sendiri saya nak memberi kesedaran supaya parents luar sana especially orang-orang yang rapat dengan saya, kalau anda sayangkan anak-anak anda saya merayu tolonglah didik anak anda duduk dalam car seat seawal usianya baru lahir. Tiada siapa tahu apa yang akan terjadi dalam hidup kita. So kita kena take extra precaution before kita menyesal di kemudian hari. Kereta boleh beli, nyawa anak tiada gantinya.
Alhamdulillah Asytar sangat active lepas kejadian sampai hari ni. Hari ni kami bawa dia pergi clinic dan specialist. Alhamdulillah tiada tanda2 serius terjadi dekat Asytar. Mungkin Allah tu lindung Asytar yang tidak berdosa, dengan ibu dan ayah Allah lindung sekali untuk terus menjaga Asytar sehingga akhir hayat kami. Setiap kali solat saya tak pernah fail minta supaya Allah sentiasa lindungi Asytar Rizqi Akmal supaya sentiasa dibawah lindungan dan rahmat Allah SWT. Car seat masih dalam keadaan baik setelah apa yang terjadi semalam.
ALLAH MAHA BESAR, MAHA MELINDUNGI
Hebatnya kuasa Allah bila Allah hantar orang yang betul-betul ikhlas menolong kami. Cuma satu je kami ralat. Kami tak sempat berterima kasih pada keluarga yang menolong kami semalam. Abang dan kakak tu berserta keluarga melalui jalan yang sama untuk pulang ke Ipoh. Abang tu yang menyambut Asytar dari suami saya terus dia beri pada isteri dia. Dalam kami masih kusut, kakak tu jaga Asytar selama 2 jam macam anak dia sendiri walaupun bersempit-sempit dengan anak-anak dia dalam kereta. Kami terhutang budi dan nyawa pada keluarga tersebut.
Kalaulah abang dengan kakak tu tak ada tak tau lah Asytar macam mana tengah panas sementara menunggu keluarga saya datang beri bantuan. Ya Allah ikhlasnya keluarga tu sampai sanggup tunggu berjam-jam padahal perjalanan mereka masih jauh lagi. Disebabkan trauma dan kelam kabut semalam kami tak sempat nak minta contact number pada abang dan kakak tu. Gambar keempat tu kakak tu tengah dukung Asytar dengan anak kecil dia sekali. Video yang kelima agak blur tapi ada nampak sipi2 kereta dan abang yang tolong kami tu. Dengan kuasa viral, kalaulah abang dan kakak tu baca post kami ini, mintak tolong contact saya di nombor 0122628220 dan suami 0126410243.
Terima kasih tak terhingga pada keluarga Raja Nor Laila, Raja Shahrul Nizam dan Raja Norzakiah terutama Wan Shyrell, Raja Adly Izuan Badak-king, Raja Shahrul Nizam, Wan Shyney dan Amy Rahimi sebab bersama dan menunggu kami sehingga selesai semuanya. Jasa anda tak terbalas, hanya Allah yang dapat membalas. Terima kasih juga pada semua yang mendoakan kesejahteraan kami. Semoga kita semua dijauhkan dari segala perkara buruk yang tidak kita ingini.
“Benda yang rosak boleh dibaiki dan dibeli, nyawa yang hilang tiada galang gantinya.”
Pernah tak terfikir, kenapa doktor jarang ambil MC walaupun dah nampak jelas tak sihat? Kalau orang biasa, demam sikit terus pergi klinik, dapat ubat,...