Anak-anak dilahirkan dengan sifat semulajadi yang membezakan setiap seorang daripada mereka. Kadang-kadang apabila kita membanding-bandingkan mereka, secara tidak sengaja kita menggunakan label yang ‘negatif’ sebagai diskripsi diri mereka contohnya malas, kedekut, lembap, lembik, serabut, cemerkap, degil, buas dan bermacam-macam lagi kosa kata negatif yang sudah sebati dalam masyarakat.
Adakalanya kita menggunakan label negatif ini dengan tujuan untuk memotivasikan anak supaya anak berubah. Ini adalah kaedah yang salah.
Berikut perkongsian dari Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK), Puan Noor Afidah Abu Bakar
“A child will behave better when the child feels better”.
Seorang anak akan berkelakuan baik jika dia merasa senang dengan dirinya dan bukannya dengan merasakan dirinya tidak berguna.
Kepercayaan dan konsep diri seorang anak terbentuk sejak anak berusia lingkungan 5 tahun lagi. Jika label negatif ini diberikan oleh individu yang terdekat dan dipercayai oleh anak, anak akan percaya dengan label tersebut dan akan merasakan diri tidak mempunyai harapan untuk berubah. Berpandukan label-label ini, anak akan percaya apa yang diperkatakan tentang dirinya.
“Itulah saya!”
Lihatlah pembawaan anak dari kaca mata yang positif. Gunakanlah label yang positif untuk menerangkan tentang anak tersebut apabila berada di hadapan anak dan apabila menceritakan perihal anak kepada orang lain di hadapan anak. Ini bukanlah bermakna anda perlu bercerita berlebih-lebihan tentang anak sehingga membosankan orang lain.
‘Be realistic’.
TUKARKAN LABEL:
1) BUAS KEPADA BERTENAGA
Semua kanak-kanak mempunyai banyak tenaga. Malah kita perlu memupuk keupayaan fizikal anak sehingga boleh mencapai tahap yang maksima kerana perkembangan fizikal adalah penting untuk perkembangan-perkembangan yang lain.
Ads
Walau bagaimanapun sesetengah anak mempunyai tenaga yang lebih berbanding anak yang lain. Mereka dilahirkan dengan keupayaan fizikal yang berbeza dan luar biasa. Bagi anak yang sebegini, ibubapa perlu membantu anak menyalurkan tenaganya melalui saluran yang betul.
Jika anak suka memanjat, bawalah dia ke taman permainan atau pusat rekreasi yang sesuai. Tahukah anda semua kanak-kanak mempunyai kecenderungan fizikal untuk memanjat, berguling, melompat, dan berlari? Itu sifat yang normal pada kanak-kanak. Jika kecenderungan ini tidak dibimbing dengan betul, sudah tentulah dia melompat atas sofa rumah atau memanjat gril pintu rumah.
Marah atau menengking tidak akan menyelesaikan masalah tersebut. Makin dihalang makin dibuatnya. Ibubapa yang bijak dan kreatif tahu bagaimana mempositifkan setiap cabaran dan situasi supaya dapat dimanfaatkan oleh anak. Ibubapa yang bijak akan melengkapkan diri dengan ilmu perkembangan kanak-kanak kerana mereka ingin memahami kenapa tingkah laku anak mereka sedemikian.
2) SUKA BERKHAYAL KEPADA KREATIF
Keperluan yang penting bagi anak yang suka berkhayal adalah pensil, kertas, blok binaan, berus, warna, kertas lukisan, dan alat muzik.
Mereka selalunya memiliki kecerdasan bahasa atau linguistik, kecerdasan visual atau artistik, atau kecerdasan muzik. Kenalpasti apakah yang mengisi khalayan mereka dan beri anak-anak ini peluang untuk meluahkannya melalui saluran kreativiti. Beri anak peluang untuk meluahkan apa yang dikhayalkan. Mungkin mereka memikirkan satu inovasi atau falsafah yang boleh mengubah dunia satu hari nanti.
Apa yang penting adalah memastikan masa yang diambil untuk anak berkhayal tidak berlanjutan sehingga mengabaikan rutin harian yang perlu dilunaskan. Biarlah khayalan itu ada kandungan dan batasannya.
Kenalpasti potensi anak melalui tingkah laku anak yang mungkin tidak menyenangkan kita. Lihatlah potensi itu sebagai satu kelebihan anak yang harus dipupuk. Jika kita mencari dan melihat yang positif, maka positiflah yang akan kita jumpa sebaliknya jika ia dilihat sebagai negatif, kita akan gagal untuk menyaring potensi anak.
3) DEGIL KEPADA TEGAS (ASSERTIVE)
Satu sifat penting yang perlu ada pada anak-anak kita adalah ‘assertive’. Anak yang ‘assertive’ adalah anak yang teguh mempertahankan pendiriannya dan tidak mudah dipermain-mainkan oleh orang lain.
Anak yang kita labelkan sebagai degil merupakan seorang yang kental apabila berhadapan dengan cabaran dan mempunyai percaya diri yang tinggi.
Ads
Bagi anak yang sebegini, peraturan memainkan peranan yang sangat besar untuk memastikan mereka degil bertempat. Ibubapa tidak boleh menjadi permisif iaitu mengizinkan apa saja yang ingin dilakukan anak. Batasan perlu diwujudkan untuk memastikan mereka selamat dari segi fizikal dan mempunyai pemikiran dan amalan yang bersesuaian dengan nilai dan budaya. Tanpa peraturan, anak ini boleh menjadi degil yang biadap dan tidak kena tempat.
Pemikiran mereka harus diasah dan dipupuk supaya mereka berupaya menjadi seorang yang tegas dengan prinsip yang dipegang.
Anak yang ‘assertive’ ini perlu dipuji dan sifat mereka harus digalakkan lagi kerana itulah diri mereka.
Beri mereka peluang untuk membuat keputusan kerana peluang yang sebegini akan membantu memperkayakan proses pemikiran mereka.
Bagi anak yang sering berbeza pendapat dengan kita terutamanya yang sudah remaja, itu adalah perkembangan yang normal kerana peringkat pemikiran mereka melangkah ke tahap ‘Formal operational stage’ dari ‘Concrete operational stage’. Mereka berupaya untuk menganalisa dan mengamati sesuatu yang abstrak.
Jika mereka ‘assertive’, bekalkan mereka dengan adab kiranya tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat dan bimbinglah mereka dengan adab untuk berdebat secara berhikmah.
Anak-anak sebegini perlu dilatih untuk mempunyai empati yang tinggi supaya dapat menjadi seorang individu yang mempertahankan hak dan maruah oleh lain yang ditindas dalam masyarakat.
4) KEDEKUT KEPADA BERJIMAT-CERMAT
Usah terlampau ringan mulut melabelkan anak sebagai seorang yang kedekut jika amalan berbelanja anak tidak sama seperti diri kita. Mungkin anak mempunyai tafsiran yang berbeza tentang berbelanja dan berkongsi. Ingatlah anak-anak bukan kita. Ramai kanak-kanak yang suka menabung walaupun tanpa disuruh oleh ibubapa. Sifat itu seakan-akan lahir dengan sendirinya dalam diri anak. Inilah yang dinamakan pembawaan. Mereka lahir dengan sifat sebegitu walaupun ayah dan ibu adalah dari kalangan mereka yang suka berbelanja tanpa batasan. Mungkin juga anak belajar dari ibubapa dan bertekad mahu mengamalkan sesuatu yang berbeza.
Individu yang berjimat cermat sifatnya tidak membazir. Dia berbelanja untuk keperluan dan bukannya kemahuan semata-mata. Dia berjaya mengekang keinginan untuk memiliki sesuatu dengan ‘delayed gratification’. Dia sabar menunggu ganjaran.
Latihlah anak-anak ini untuk memberi dan menyumbang kepada mereka yang memerlukan. Latih mereka membantu dengan apa saja kelebihan yang dimiliki.
Melabel mereka dengan label ‘kedekut’ hanyalah satu penghinaan buat anak ini kerana mereka mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Cuba fahami agenda mereka walaupun ia mungkin bertentangan dengan agenda kita. Ada pelbagai sebab manusia berjimat cermat.
Ads
5) PEMALU KEPADA BERHATI-HATI
Jika dilihat pada otak mereka, anak yang pemalu mempunyai aktiviti yang lebih pada otak kanan mereka. Mereka lebih cenderung kepada aspek kreativiti dan aestetik. Mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri, tidak selesa dalam situasi yang baru dan selalunya sangat sensitif. Mereka berbeza daripada anak-anak yang mudah berkawan dan sesuaikan diri. Mungkin mereka bukan ‘ekstrovert’ seperti ibubapa, namun itu tidaklah bermakna mereka tidak berupaya untuk keluar menyumbang dalam masyarakat. Terimalah diri mereka seadanya.
Ibubapa perlu mengingatkan diri sendiri bahawa anak-anak ini adalah pemerhati yang sangat baik. Itu kelebihan mereka. Anak-anak ini mendekati orang lain dan menyesuaikan diri dengan sesuatu situasi dengan lebih berhati-hati. Mereka tidak terburu-buru dalam mengambil keputusan. Itu juga adalah satu kelebihan. Anak memerlukan peluang untuk melatih diri sendiri untuk lebih ke hadapan. Ramai anak yang pemalu dan tidak banyak bercakap tetapi mereka berupaya berada di atas pentas apabila perlu tanpa sebarang ketakutan.
Mereka memerlukan kaedah latihan yang berbeza. Ibubapa haruslah kreatif dan tidak memaksa mereka untuk menjadi seperti anak yang lain. Paksaan hanya akan meletihkan mereka dan membuatkan mereka berputus asa kerana merasakan diri gagal. Dengan memberi penekanan kepada kelebihan anak, anak akan lebih yakin dengan diri sendiri.
6) CEREWET KEPADA MEMPUNYAI CITARASA
Setiap individu mempunyai citarasa yang berbeza-beza. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menyukai sesuatu yang kita suka. Anak-anak yang cerewet dalam memilih sesuatu adalah anak yang mempunyai citarasa dan gaya yang tersendiri. Mereka mungkin lebih kreatif atau menilai sesuatu dari kaca mata yang berbeza daripada kita. Mungkin juga cara berfikir mereka dan persepsi mereka berbeza. Gaya pembelajaran mereka juga mungkin berbeza daripada orang lain. Perbezaan ini tidaklah menjadikan anak itu anak yang tidak baik. Fahami pemikiran anak tersebut dengan banyak bersoal jawab dan berinteraksi dengan anak.
Jika perspektif mereka cuba untuk difahami, dan berlakunya toleransi dua hala, anak akan menjadi lebih terbuka untuk menerima pilihan dari perspektif orang lain. Anak yang cerewet tentang pemakanan perlu dilatih dengan adab supaya bersyukur dengan rezeki yang ada. Dengan itu walaupun makanan itu bukannya citarasa anak, dia tetap menjamahnya kerana perspektifmya telah berubah.
Anak yang cerewet ini selalunya sukar untuk menjadi seorang pengikut atau ‘follower’ secara membabi buta. Mereka tidak ada perasaan FOMO (Fear of Missing Out) atau takut ketinggalan berbanding orang lain kerana citarasa mereka berbeza. Lihatlah sifat ini sebagai satu kelebihan pada diri anak.
KESIMPULANNYA
Ibubapa perlu positif dan kreatif dalam menilai sifat semulajadi anak. Lebih mudah untuk anak membina jati diri dan keyakinan diri apabila label yang digunakan untuk menerangkan tentang anak adalah sesuatu yang positif seperti kreatif, bertenaga dan berprinsip..
Anak pandai sebut nama objek tetapi tak pandai mintak, tak pandai tanya dan jawab soalan, tak pandai ikut arahan dan macam-macam lagi. Kenapa ini terjadi?
Ini adalah kerana, bertanya dan menjawab soalan, meminta, berbual dan mengikut arahan, semua itu adalah merupakan komunikasi dua hala. Menamakan objek dan berkomunikasi adalah dua kemahiran yang berbeza.
Berdasarkan perkongsian dari Patologis Pertuturan Bahasa, Aishah Kassim diterangkan bagaimana untuk mengetahui perbezaannya.
Sama ada kita sedar atau tidak, apabila kita berkomunikasi contohnya seperti ketika berbual, kita sebenarnya sedang mengambil giliran untuk bercakap. Contohnya seperti:
Seorang bercakap dan yang lain akan mendengar
Seorang bertanya soalan dan seorang menjawab soalan
Seorang tunjuk dan seorang melihat
Jadi samalah juga seperti kita, kemahiran mengambil giliran adalah penting untuk kanak-kanak berkomunikasi. Tapi bagi kanak-kanak, mereka perlu belajar perkara asas dalam kemahiran mengambil giliran. Antara contoh-contoh kemahiran mengambil giliran adalah seperti berikut:
Semasa bermain bola, kita membaling bola pada kanak-kanak dan mereka membalingnya kembali pada kita
Beratur dan menunggu giliran untuk membasuh tangan
Bergilir-gilir meletakkan barang di dalam bekas
Memasukkan bola ke dalam bakul secara bergilir-gilir
Berkongsi mainan seperti puzzle dan memasukkannya secara bergilir
Dan macam-macam perkara atau aktiviti yang mereka boleh lakukan secara bergilir.
Kemahiran mengambil giliran ini boleh melatih kanak-kanak untuk menunggu dan memberi respon pada sesuatu (situasi, perbualan dan aktiviti) dan juga penting untuk mereka belajar berkongsi.
Bagaimana Mengajar Kanak-Kanak Mengambil Giliran
Lakukan aktiviti yang melibatkan giliran seperti:
– Bermain bola – membaling dan menangkap bola secara bergilir. Bantu kanak-kanak jika mereka tidak tahu membaling semula bola kepada anda.
– Memasukkan bola ke dalam bakul secara bergilir
– Meletakkan puzzle secara bergilir
– Memasukkan manik pada tali secara bergilir
– Memasukkan duit ke dalam tabung secara bergilir
Bantu anak anda sekiranya mereka tidak tahu untuk melakukannya
Sebut nama mengikut giliran seperti “giliran mama, giliran adik”
Lakukan aktiviti sehingga kanak-kanak tahu yang mereka perlu menunggu giliran secara spontan
Anda juga boleh menggunakan aktiviti harian seperti mencuci tangan, menyuap makanan dan lain-lain lagi
Kemahiran untuk mengambil giliran dalam melakukan sesuatu aktiviti adalah penting untuk membentuk komunikasi dua hala di kalangan kanak-kanak. Jadi selalulah untuk melatih kanak-kanak demi mengasah kemahiran mengambil giliran mereka!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jangan terlalu mudah memberi apabila anak meminta sesuatu: They need to feel the struggle. Bila kita berdoa dan meminta apa yang kita inginkan dari Tuhan, adakah Tuhan terus memberi apa yang kita inginkan tu serta merta?
TIDAK.
Tuhan menguji kita dulu,kan?
Dia nak bagi apa yang kita minta,tetapi in His way,not our way.
Dalam pada Dia nak bagi tu… Dia test dulu… makhluk ciptaanNya ini mampu tak nak bersabar dalam setiap ujian yang dihadapi. Mampukah makhluk ciptaanNya ini mampu bertahan,harungi ujian dengan sabar,doa dan tawakal?
Setelah lamaaaaaa ujian tersebut diberi,barulah Dia berikan apa yang kita minta tu.
Sama seperti anak kecil kita juga.
Mereka ada masanya perlu diuji apabila mereka meminta apa yang mereka nak tu,tak semestinya mereka dapat on the spot.
Kita kena faham… kita bukan Tuhan.
Tak setiap masa kita boleh penuhi keinginan anak kita kerana kita dengan anak kita cuma manusia biasa. Punya limitasi tertentu.
Jadi,kenapa perlu kita rasakan,setiap kali anak nak sesuatu,kita kena bagi?
Tak perlu pun sebenarnya.
Andai kata kita tak mampu nak berikan,kita cakap pada anak,kita tak boleh bagi.
Biarlah anak mengamuk mcm mana sekalipun… if we insist of “No means No” maksudnya anak kena faham yang keinginannya tak boleh dipenuhi pada waktu tersebut.
Jadi,itu adalah ujian baginya.
Kita nak dia hadapi ujian tersebut atau kita kesian kat anak?
Saya serahkan pilihan itu kpd anda.
Sebab kalau saya… saya akan anggap itu adalah ujian kecil baginya.
Ada beberapa ujian kecil yang anak perlu lalui seperti:
✅tidur yang tidak selesa. Tak semestinya tidur mesti di atas katil,berselimut dan harus ada rutin/aircond dan sebaginya. Kalau benarlah anda ingin me’manusia’kan anak anda,sesekali benarkan dia tidur di tempat yang tidak selesa. Kita tak mampu nak terus memberi keselesaan kpd anak kita. Andai kata suatu hari nanti berlaku bencana alam tertentu yang menyebabkan kita perlu berhujan dan berpanas,maka ajarkan dia dari skrg.
Saya tak kata kena sentiasa bagi anak berpanas dan berhujan ya. Ada masa kita kena bagi anak ‘rasa’ ujian seperti ini. Supaya kelak apabila berlaku sesuatu yang di luar jangkaan,anak mampu utk menghadapinya dengan baik. Pada peringkat permulaan memang sukar,tetapi lama kelamaan survival skill anak meningkat,anak jadi mudah nak hidup.
✅makan tanpa gajet. Saya seringkali dengar keluhan ibu bapa,”anak saya tak boleh makan kalau tak ada gajet”. “Daripada anak saya tak makan,baik saya bagi gajet supaya anak saya makan. Kurang2 dia makan”. “Daripada anak saya berlari sana sini masa makan,lebih baik dia duduk diam,tak kacau orang,tak jatuhkan brg2 kat kedai makan”. Mcm nilah. Kalau benarlah anak kita tu manusia,dia mesti boleh makan tanpa gajet. Tapi saya tak pastilah pulak anak anda tu “apa” dah kalau tak boleh makan tanpa gajet? Maksudnya seumur hidup dia makan,kena pakai gajet ke? Atau masa kecil ni saja? Anda yakin dari awal lagi anda dah introduce gajet masa makan,bila dia dah masuk umur 4 tahun,dia boleh makan tanpa hadap gajet? Anda yakin anak anda satu hari nanti boleh makan tanpa gajet walaupun telah diberikan sejak kecil? Fikir2kanlah.
Anak tak duduk diam masa makan tu hanya satu ujian kecil utk kita. Kita sedang diuji dengan keadaan anak berlari sana sini masa nak makan,tak nak bukak mulut,dan sebagainya. Tapi kita tak fikir,once kita introduce anak tu makan dengan gajet,mcm mana anak boleh berjaya dlm survival skill nya kalau takde gajet? Pernah terfikir kalau berlaku musibah banjir,tiada bekalan elektrik utk caj telefon,bagaimana agaknya reaksi anak anda pada ketika itu jika dia nak makan,tapi gajet tak ada? Waktu makan adalah waktu makan,bukan waktu tengok gajet. Susah mcm mana pun… anda,pasangan dan anak anda sendiri harus belajar menghadap makanan ketika makan,bukan gajet. Ini adalah ujian. Anda tak boleh sabar dengan ujian sekecil ini,maka anda expect anak boleh berhadapan dengan ujian hidup begini?
Banyak lagi sebenarnya ujian2 kecil yang anak kita perlu hadapi dalam pada dia nak membesar ni.
Tugas kita adalah memastikan bahawa anak kita boleh atau tidak berhadapan dengan ujian tersebut. Kalau dia tak boleh,dia nak mengamuk,nak menangis,nak marah… itu fitrah semulajadi seorang insan apabila diuji. Bila kita diuji,kita juga mengamuk,menangis,marah,sedih——>>>kenapa aku diuji sampai mcm ni sekali??????????
Tapi once kita dah settle down,kita bagi masa utk diri kita berfikir…. menerima ujian tersebut seadanya… maka,akan ada sinar buat kita satu hari nanti. Jika sinarnya bukan skrg,tapi mungkin selepas mati kelak.
Bagi anak kecil… dia kena lalui ujian yang segala kemahuan dia pasti ada yang tak dpt dipenuhi. Jadi dia kena marah,kena mengamuk… kita? Bagi masa pada dia. Explain dengan baik. Kenapa kita tak bagi,walaupun dia kecil lagi. Andai kata dia tak dpt menerimanya juga,kita ignore saja sebab kita kena faham,dia dalam proses nak menerima kenyataan tersebut. Kita doa,mudah mudahan anak kita faham. So once dia dah faham,yang tak semua keinginannya dapat dipenuhi,mudahlah kita di kemudian hari.
Masalah kanak2 zaman skrg ni,ramai yang susah nak berhadapan dengan ujian kecil ini sehingga membawa kepada tingkahlaku yang melampau seperti menghentak kepala di dinding,mengamuk berguling-guling,pukul badan sendiri,gigit diri sendiri atau org lain dan sebagainya.
Kdg2 semuanya bermula dari kita.
Terlalu memenuhi apa yang anak inginkan sampai anak tak tahu mcm mana nak settle down sendiri perasaan dia.
Lama kelamaan makin parah,dan kita jugak yang makin susah hidup dengannya. Patutnya anak makin dah besar,makin mudahkan kita,tapi ini tidak. Makin besar makin susah pulak nak faham.
Dah tak bagi faham masa kecil… masa besar makin menjadi jadi lerrrr…
Liyana Raya,
Occupational Therapist (Paediatrik) & Pengurus,
LiyanaRaya Training & Consultancy.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berapa ramai yang tahu apa itu masalah disleksia? Sebagai ibu ayah anda kena ada info ini supaya tak senang-senang label anak lambat membaca sebagab ‘lembab’ belajar sedangkan sebenarnya dia ada masalah.
Macam mana nak mengenal pasti disleksia dan apakah langkah-langkah seterusnya untuk membantu anak tersebut jika dia mempunyai masalah disleksia?
Menurut Pakar Pediatrik, Dr Juliana Hashim seperti dipetik dalam doktorbudak.com kebiasaannya perkara pertama yang ibu bapa fikirkan mengenai dislekia adalah anak menulis secara terbalik seperti “mirror image” atau anak sukar membaca kerana nampak perkataan atau huruf itu bergerak-gerak seperti di dalam watak cerita “Percy Jackson”.
Disleksia adalah orang yang mempunyai masalah di dalam pembacaan tetapi bijak di mana IQ sama atau lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya.
Kadang kala pelajar-pelajar disleksia di sekolah akan dianggap lembab oleh guru dan rakan-rakan kerana sukar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan keyakinan diri seorang kanak-kanak.
Tahukah anda bahawa orang-orang terkenal seperti Albert Eistein, Leonardo da Vinci, Thomas Edison, penulis Hans Christian Anderson, pelakon Tom Cruise dan Orlando Bloom adalah orang yang mempunyai disleksia.
Oleh yang demikian dengan bantuan awal yang betul, kita boleh membantu kanak-kanak disleksia untuk menguasai bidang pembelajaran mereka.
Kenal Pasti Tanda-Tanda Disleksia
Tanda-tanda disleksia boleh dikenal pasti seawal umur 5 ½ tahun. Tidak kurang juga ada yang baru dikenal pasti semasa umur persekolahan. Tidak semua kanak-kanak disleksia akan mempunyai tanda-tanda yang sama.
Antara simptom-simptom disleksia adalah:
Sukar memasang butang atau mengikat tali kasut
Tersalah pakai kasut
Cuai di dalam pergerakan “clumsy” dan mudah jatuh
Menghadapi masalah untuk melompat (hop & skip)
Menghadapi masalah untuk menangkap, membaling dan menendang bola
Menghadapi kesukaran untuk memahami arahan seperti atas/bawah, dalam/ luar, depan/belakang
Sukar untuk mengikut arahan yang panjang pada suatu masa
Mungkin mempunyai sejarah lewat bercakap
Pertuturan yang tunggang langgang seperti “padah sawi” untuk sawah padi
Sukar menyebut perkataan yang banyak suku kata seperti “hospital” untuk hospital.
Sukar menamakan objek
Keliru antara kiri dan kanan
Bahagian anggota tangan yang dominan tidak dapat dikenal pasti
Tulisan tangan yang tidak kemas dan mempunyai banyak huruf/ perkataan yang terbalik (contoh huruf b/d, u/n, p/q, m/w )
Tidak boleh menyalin daripada papan putih / papan hitam dengan betul
Sukar untuk mengingat hari,tarikh lahir, alamat, nombor telefon
Sukar mengenal masa/ membaca jam
Keliru perkataan “semalam” atau “esok”
Sukar mengingati turutan sesuatu perkara. Contoh: turutan hari Isnin-Ahad, bulan Januari – Disember.
Sukar membaca secara fonik
Berasa mudah penat kerana menggunakan konsentrasi dan tenaga yang tinggi tetapi membuahkan hasil yang sedikit. Oleh yang demikian kanak-kanak mungkin akan mengelat apabila tiba masa untuk belajar
Kajian telah membuktikan bahawa diagnosa dan terapi yang cepat dapat membantu kanak-kanak disleksia dengan lebih bagus.
Cara Rawatan Dicadangkan
Disleksia 3
Kini di sekolah rendah kerajaan terdapat program LINUS (saringan literasi dan numerasi ) di mana ujian akan dilakukan untuk mengenal pasti pelajar yang bermasalah di dalam pembacaan dan pengiraan. Di dalam program tersebut terdapat modul untuk menyaring pelajar-pelajar disleksia.
Jika ibu bapa atau guru-guru telah mengenal pasti kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri disleksia , anda bolehlah pergi berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan di mana mereka akan membuat penilaian dan seterusnya akan membuat rujukan hospital ke doktor pakar kanak-kanak atau pakar perkembangan kanak-kanak (Developmental Pediatrician) sekiranya terdapat di hospital itu.
Sebelum diagnosa disleksia dibuat, kadang kala kanak-kanak tersebut perlu menjalankan ujian pendengaran, penglihatan atau ujian IQ untuk memastikan pelajar bukan “slow learner” atau lewat perkembangan global.
Sesetengah daripada mereka akan dirujuk ke terapi pertuturan atau terapi cara kerja (occupational therapist).
Setelah itu, perbincangan dengan ibu bapa akan dibuat untuk membuat keputusan samada pelajar boleh dimasukkan ke sekolah yang mempunyai kelas khas dan mendaftar mereka sebagai kanak-kanak berkeperluan khas.
Di Malaysia juga terdapat organisasi bukan kerajaan iaitu Persatuan Dyslexia Malaysia yang berpusat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Persatuan ini boleh membantu ibu bapa dan terutamanya kanak-kanak dyslexia.
Bomba berjaya selamatkan warga emas hidap strok terperangkap banjir di Sri Muda. Seorang warga emas yang terlantar akibat serangan strok berjaya diselamatkan daripada terperangkap dalam rumahnya yang dilanda banjir kilat di Taman Iswara Sri Muda, Seksyen 25.